Pengaruh Islam Dalam Pentadbiran

PENGARUH AJARAN ISLAM DALAM PENTADBIRAN MASYARAKAT MELAYU

Pendahuluan
Islam merupakan satu agama yang terbaik dan ajarannya diikuti oleh semua umat Islam sedunia. Perkembangannya semakin meluas dari Barat hinggalah ke Timur dan ke Asia. Kedatangan Islam ke dalam dunia masyarakat Melayu dapat menyemarakkan lagi semangat dalam memperjuangkan Islam. Pengaruh Islam dalam pentadbiran masyarakat Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan dari kaca mata seorang pemimpin. Ini akan merealisasikan sebuah negara yang berbentuk islamik dalam masyarakat Melayu.
Pengaruh Islam amat kuat dalam pentadbiran masyarakat Melayu dan kepulauannya. Ia merangkumi dalam aspek-aspek seperti ekonomi, kesusasteraan, kesenian, pendidikan dalam penghayatannya, dan sistem perundangan. Gabungan kesemua ini akan mengujudkan satu negara Islam yang bertaraf dunia dan sebagai langkah permulaan untuk menjejaki dunia tanpa sempadan.
Sekiranya sesebuah negara Islam itu sedang membangun, ia sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Justeru,ditambah pula dengan keharumannya sebagai contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf hidup rakyatnya yang beragama Islam tanpa menyekat kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain dan tanpa menindas mana-mana kaum di negara itu. Dalam erti kata lain, rakyat di negara itu akan diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni sejagat serta pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari dasar-dasar yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
Ekonomi
Dalam masyarakat Melayu, ekonomi memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-harian. Ini kerana ia menentukan pembangunan dalam semua bidang tak kira pertanian, perikanan, perindustrian, dan sebagainya. Apabila Islam bertapak dalam masyarakat Melayu, banyak perbaharuan berlaku dan sistem ekonomi seperti kapitalis gagal menempatkan dalam mewujudkan sistem yang cenderung kepada duniawi.
[1]Ekonomi masyarakat melayu berpandukan kepada ekonomi Islam. Ekonomi Islam ialah suatu kumpulan dasar umum ekonomi yang sering diceduk daripada al-Quran dan Sunnah Nabi. Oleh yang demikian, ekonomi Islam ialah sistem ekonomi yang ditegakkan atas dasar-dasar tersebut, sesuai dengan setiap keadaan persekitaran dan zaman. Berhubung dengan dasar-dasar ekonomi itu, Allah berfirman maksudnya ;
“Orang yang memakan(mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan syaitan itu, disebabkan mereka mengatakan : “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli(berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu yang telah sampai kepadanya peringatan(larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti(daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu(sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Sesiapa yang mengulangi lagi(perbuatan mengambil riba) maka mereka itulah ahli neraka, kekal di dalamnya”.
(Surah al-Baqarah 2: 275)
Rasullah s.a.w telah menjelaskan pelbagai dasar ekonomi yang penting antaranya sabda baginda maksudnya:
“Tidak sempurna imam seseorang hingga dia kasih kepada saudaranya(supaya saudaranya itu mendapatkan apa jua) seperti dia kasih akan(supaya sesuatu itu juga dapat) dirinya sendiri”.
Sabda baginda lagi:
“Setiap orang Islam haram mencerobohi hak orang Islam yang lain iaitu darahnya, kehormatannya dan harta bendanya”.
Dan memang banyak sekali nas al-Quran dan as-Sunnah dalam bidang ekonomi yang mengandungi dasar-dasar serta prinsip-prinsip tertentu yang boleh disebut dalam istilah moden sekarang sebagai dasar jaminan sosial dan dasar hak milik timbal balik bagi individu dan masyarakat. Ini termasuk dasar mengenai modal, jasa dan pekerjaan, pengeluaran, pelaburan, tabungan, penggunaan, agihan, meninggalkan amalan riba serta segala faedah yang berbentuk riba, keseimbangan ekonomi dan persaingan yang dibenarkan oleh undang-undang, penawaran dan permintaan, sistem perakaunan, perkongsian dan pengeluran harta.
Keadaan saling berkait dalam pelbagai bidang seperti yang telah disebut merupakan suatu ciri istimewa yang menjadi bukti keunggulan sistem Islam mahupun yang sedang dijalankan sekarang ini. Dengan demikian tidak diragukan bahawa panduan-panduan dan sistem Islam itu bersumberkan kitab suci al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah S.W.T maksudnya:
“Dan bukanlah al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh orang lain selain Allah ; tetapi al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum syarak yang diwajibkan(ke atas kamu)tidak ada sebarang syak ragu-ragu pada al-Quran itu yang datangnya daripada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam”.
(Surah Yunus 10: 37)
Sekarang masyarakat Melayu bahkan dunia tidak ada alternatif lain selain mempraktiskan sistem ekonomi Islam. [2]Menurut al-Maududi, masalah ekonomi diselesaikan oleh Islam melalui tiga cara :
Pertama, penggabungan aspek ekonomi dengan segala aspek kehidupan manusia yang lain. Ini adalah kerana pemisahan atau masalah kehidupan daripada keseluruhan masalah yang lain hanya memburukkan lagi keadaan yang telah sedia begitu buruk. Penggabungan semua masalah kehidupan manusia yang dirancangkan oleh Islam ini amat sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Jika berlaku sebarang masalah, Islam menitikberatkan pembetulan dari segi fitrah semula jadi manusia itu.
Kedua, memperbaiki akhlak masyarakat, di mana dalam kontek ini, segala masalah yang timbul di dalam masyarakat termasuk kepincangan ekonomi berpunca dari keruntuhan akhlak masyarakat. Jika akhlak masyarakat itu baik dan berada di paras yang tinggi nescaya masyarakat menjadi aman dan sejahtera.
Akhir sekali, undang-undang syariah dan perlaksanaannya secara total dan berkesan amatlah penting dalam menjamin kebahagian masyarakat. Kuasa paksaan dan tekanan harus digunakan dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja.
Jelaslah bahawa Islam itu adalah lembut dan mudah difahami dan segala peraturan berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. sekiranya pegangan kedua-dua ini kuat, selamatlah di dunia dan di akhirat.
Kesusasteraan
Kesusasteraan merupakan satu lagi bidang terjun yang berlatar belakangkan kepada kemasukan Islam dalam pentadbiran masyarakat Melayu. [3]Sebelum kedatangan unsur dari luar, masyarakat peribumi sudahpun mempunyai kesusasteraan yang tersendiri. Sebelum masyarakat tempatan tahu menulis, melalui cara pertuturan sahajalah mereka menyampaikan perasaan atau curahan hati masing-masing. Ini dikenali sebagai sastera lisan. Dari percakapan yang pendek membawa kepada percakapan yang panjang hingga menggambarkan sesuatu cerita. Dengan ini timbullah jenis-jenis kesusasteraan mengikut kaedah namanya yang sesuai dengan zaman itu seperti bidalan, peribahasa, perumpamaan dan perbilangan.
Selain itu, pantun juga merupakan sastera yang tertua yang terdapat pada masyarakat Melayu. Hasil sastera yang dihasilkan ini adalah melalui pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap sesauatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Kedatangan unsur luar telah memperkayakan lagi unsur peribumi ini. Setelah kedatangan Islam di kepulauan masyarakat Melayu, proses penanaman aqidah Islam melalui cerita atau kisah-kisah melalui dua cara iaitu dengan mengubahsuai cerita yang sedia tersebar dengan unsur Islam dan mengenengahkan cerita-cerita baru yang berasal dari tradisi Islam.
Kesusasteraan dimulakan dengan cara lisan kemudian diajarkan pula tulisan huruf arab(jawi), dan mulalah ditulis dan disalin kitab-kitab yang senang-senang yang berkaitan dengan ugama. Contohnya, seperti kitab-kitab risalat Dua Kalimah Syahadah, peraturan dan rukun-rukun sembahyang, peraturan puasa dan sebagainya lagi. Kemudian dikembangkan pula dengan doa-doa dan kisah-kisah Nabi, kitab fekah, tafsir al-Quran, hikayat Para Nabi, cerita pahlawan Islam dan lain-lain lagi. Kedatangan Islam menyebabkan kesusasteraan masyarakat peribumi semakin berkembang.
Kesusasteraan masyarakat tempatan tidak hilang malah ada kekal sehingga ke hari ini. Contohnya, sehingga ke hari ini khazanah yang begitu bernilai iaitu pantun masih kekal dan mutunya masih tidak dapat ditandingi oleh ciptaan generasi masa kini.
[4]Tambahan lagi, sastera juga diadaptasikan daripada hikayat atau cerita – cerita dongeng berunsurkan pengajaran,teladan dan contoh yang diikuti oleh kanak-kanak dan para remaja. Justeru tidak hairanlah unsur-unsur Islam dimasukkan dalam cerita atau hikayat ini. Memang sedemikian terlihat dengan adanya kesengajaan menyelitkan nilai-nilai keislaman seperti Hikayat Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Zulkarnain.
Dalam ketatanegaraan jelas terselit nilai-nilai keagamaan yang menjadi benteng kepada kemasukkan anasir-anasir yang lebih cenderung kepada era kemusnahan. Lantaran aspek ketatanegaraan ini dapat dilihat dengan jelas di dalam Taju’s-Salatin dan Bustanu’s-Salatin.
Menyentuh dari sudut contoh dan cara, memang tidak dapat kita nafikan bahawa al-Quran merupakan pegangan yang kuat dan sebagai sumber seluruh peradaban Islam termasuk seni sasteranya. Bagi contoh tokoh-tokoh sastera adalah seperti Abdullah Munsyi, Syed Syeikh Al-Hadi, Ahmad Rashid Talu, Ahmad Lufti,dan Kajai.
Kesenian
[5]Bidang kesenian adalah satu daripada pentadbiran masyarakat Melayu yang diserapkan dengan unsur-unsur keIslaman. Walaupun kepulauan Melayu banyak mempunyai kesenian yang tersendiri tetapi pengaruh Islam tetap gah dalam penyerapannya. Sebagai contoh, dapat dilihat pada makam atau batu nisan, masjid dan perhiasan-perhisannya.
Batu nisan umpamanya, merupakan karya seni Islam yang pertama sekali masuk ke kepulauan masyarakat Melayu. Contohnya yang pernah ditemui ialah batu nisan Syeikh Abdul al-Qadir Husain Alam bertarikh 903 masihi yang dijumpai di Linggir Kedah. Pada permukaan makam-makam yang dijumpai ini terdapat tulisan yang dipahat daripada ayat al-Quran serta ajaran Islam yang menekankan tentang hukum dan tasawuf. Misalnya pada prasasti di Pekan, Pahang. Tertulis ayat al-Quran dengan gaya khat thuluth daripada surah Ali Imran ayat 185, Surah Yunus ayat 62 serta nasihat bercorak kesufian.
Dari segi coraknya, batu nisan tersebut di samping menerima pengaruh asing, juga memancarkan daya kreativiti penduduk tempatan. Contohnya, batu nisan Maulana Malik Ibrahim yang dibawa dari Gunung Jeram mempunyai bentuk seperti kepala terbalik yang menunjukkan adanya pengaruh Parsi.
Selain batu nisan, masjid merupakan karya seni Islam yang terpenting di kepulauan masyarakat Melayu. Dari segi coraknya, masjid-masjid yang menunjukkan corak dari abad 14 hingga abad 18, masih berbentuk tradisional. Misalnya pengaruh tradisi ini dapat dilihat di negara Indonesia di mana bentuknya yang tersusun sebagai lanjutan daripada seni Bali yang disebut 'Meru'. Terdapat juga pengaruh masyarakat tradisi pada bentuk perhiasannya. Contohnya pola-pola yang menjadi perhiasan yang berasal dari zaman pra-Islam seperti daun-daunan, bunga teratai, bukit-bukit karang, pemandangan dan garis-garis geometri. Walaupun masih terdapat unsur bercorak haiwan tetapi dibuat dalam bentuk yang samar. Di samping itu, terdapat juga perkembangan kaligrafi atau seni khat Islam. Ini dapat dilihat pada makam, masjid dan sebagainya. Contohnya masjid terdapat ukiran khat pada mihra, mimbar, bingkai atau lengkung tiang dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa seni ini juga dipengaruhi oleh unsur pra-Islam yang telah lama bertapak dalam masyarakat yang kaya dengan ilmu-ilmu kesenian dari turun temurun.
Penghayatan Al-Quran
[6]Al-Quran yang merupakan kalam Allah dan mukjizat Rasullah s.a.w yang masih wujud sehingga kini sememangnya mengandungi ajaran-ajaran dan perintah-perintah Allah S.W.T. yang mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam dan kecemerlangan hidup masyarakat di dunia dan di akhirat. Dalam pentadbiran mayarakat Melayu amnya, contohnya Malaysia, berteraskan betapa penghayatan al-Quran perlu ditanam di dalam sanubari umat Islam maka kerajaan Malaysia menerusi JAKIM telah melancarkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain(KAFA) pada tahun 1990 dengan peruntukan RM 77 juta setiap tahun. Program ini telah membuahkan hasil di mana permintaan penubuhan sekolah baru dan kemasukkan pelajar semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Bagi menyempurnakan penghayatan ke dalam masyarakat, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, di negeri Selangor bagi melahirkan hafiz dari kalangan lelaki dan perempuan. Objektif yang diutarakan oleh kerajaan Malaysia untuk jangka panjang adalah membekalkan para hafiz sebagai imam-imam masjid di seluruh negara. Apa yang lebih menariknya ialah institusi pengajian tinggi dalam bidang tahfiz al-Quran ini menerusi Diploma Tahfiz Al-Quran telah berjaya menyatupadukan semua maahad dan madrasah tahfiz al-Quran di seluruh negara.
Kemuncak usaha penghayatan al-Quran oleh kerajaan Malaysia ialah dengan menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan juga Peringkat Antarabangsa. Penyertaan dari negara-negara asing termasuklah di rantau kepulauan Melayu, semakin memberangsangkan dari tahun ke tahun. Apa yang lebih penting, penyerapan ajaran Islam dalam pentadbiran masyarakat Melayu semakin meluas dan tidak dapat dipisahkan lagi.
Perundangan
[7]Sejarah perundangan di kepulauan Melayu seperti Malaysia dengan jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam telah mantap dan dilaksanakan dalam pemerintahan Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris. Terdapat bukti yang jelas menunjukkan undang-undang telah dikanunkan dengan cara teratur bagi pemakaian dan panduan kerajaan Melayu ketika itu seperti ‘Hukum Kanun Melaka’, ‘Undang-Undang Pahang’ dan ‘Undang-Undang Kedah’. Beberapa bahagian kanun tersebut adalah petikan daripada hukum fiqh Mazhab Syafie.
Selepas kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaannya Sistem Residen, secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit prinsip undang-undang Inggeris dimasukkan ke dalam sistem pentadbiran,perundangan dan kehakiman masyarakat Melayu. Akhirnya beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan,Enakmen Keterangan dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan di mana Undang-Undang Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi berkuasa.
Berikutan dengan itu, perundangan Islam pun mula diperbuat dalam bentuk Enakmen dan Ordinan bagi mendapatkan penguatkuasaan undang-undang. Keadaan ini meletakkan kedudukan Islam sama dengan bahagian undang-undang lain yang perlu dikanunkan. Cara ini telah diikuti hingga ke hari ini seperti mana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Negara. Ini boleh didapati dalam Jadual Ke-Sembilan Senarai Negeri.
Justeru, daripada apa yang dinyatakan terbuktilah pengaruh Islam terlebih dahulu bertapak di dalam masyarakat Melayu. Walaupun terdapat perubahan tetapi perundangannya adalah mengikut kesesuaian zaman tersebut.
Kesimpulan

[8]Dari apa yang dijelaskan tersebut, nyatalah pengaruh ajaran Islam dalam pentadbiran masyarakat Melayu amat besar sekali. Pentadbirannya merangkumi semua aspek tak kira rohani atau jasmani. Kedatangan Islam dapat memperbaiki akidah dalam mengesakan Allah S.W.T, serta kejahilan yang dilakukan dalam kehidupan sehari-harian oleh masyarakat dengan penghapusan perbezaan darjat dan seterusya membimbing manusia kearah pemuafakatan demi mencapai kebahagiaan dan keadilan yang mutlak sesama umat manusia. Firman Allah S.W.T. maksudnya ;
“Bersatulah dalam ikatan tali Allah, jangan berpecah-belah, kenangkan sejenak nikmat Allah kepadamu di waktu kamu bermusuh-musuhan lantas Allah menanamkan cinta kasih dalam hatimu, sehingga dengan kurnia Allah itu kamu menjadi bersaudara kembali, dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka lantas Allah membebaskan daripadanya. Demikianlah caranya Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya, semoga kamu mendapat petunjuk dan hendaklah ada di antara kamu sekelompok umat yang mengajak manusia ke jalan kebaikan dan menyuruh mereka berbuat makruf serta mencegah mereka daripada berbuat mungkar, mereka itulah umat yang beruntung”.