Pengaruh Islam Dalam Pendidikan

Pengaruh Tamadun Islam Di Nusantara Di Dalam Aspek Pendidikan.


Dengan tersebarnya wahyu Ilahi yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w. secara langsung Islam membawa satu kuasa besar terhadap ketamadunan manusia sejagat, meliputi seluruh aspek hidup dan kehidupan manusia.
Dalam perjalanan secajarah kelahiran islam yang memakan masa lebih kurang 1400 tahun yang lalu adalah merupakan kematangan umat islam di dunia ini. Dengan itu masyarakat islam telah banyak memberi sumbangan kepada dunia terutama berupa karya-karya saintifik, falsafah dan teknologi.
Dengan demikian apakah yang dimaksudkan perkataan “Tamadun” itu sendiri?Dalam hal ini, banyak istilah-istilah tamadun yang dapat di ketahui dan diambil daripada pendapat para sarjana ditimur dan di barat. Untuk mengupas persoalan ini, tamadun boleh didefinisikan mengikut tiga bahasa:


Bahasa Melayu.
Menurut Kamus Dewan, Tamadun didefinisikan sebagai kebudayaan,peradaban dan kemajuaan. Manakala peradaban diertikan sebagai kemajuan yang meliputi fizikal dan spiritual sesuatu bangsa atau masyarakat.






Bahasa Arab.
Istilah Tamadun dalam Bahasa Arab iaitu “Umran”,”hadharah”,dan “Madaniyyah”. Menurut seorang sarjana Islam dan sosiaologi Ibn Khaldun menggunakan istilah”Umran” bagi menerangkan sifat-sifat tamadun. Dari segi bahasa perkataan “Umran” berasal dari perkataan terbitan dari kata dasar “Amara” yang bererti kawasan tanah yang didiami,tinggal,menetap,berkembang subur lagi makmur[1]. Dalam perkataan yang lain “umran” bermaksud tinggal menetap yang menjadi asas kepada sesebuah tamadun. Ibn Khaldun telah menetapkan beberapa ciri bagi “umran” iaitu :
i. Pegangan agama yang kuat.
ii. Sistem kenegaraan yang tersusun rapi.
iii. Pencapaian kaedah penulisan yang tinggi.
iv. Kepakaran dalam bidang senilukis dan senireka.

Jelaslah konsep “umran” yang diutarakan oleh Ibn Khaldun merangkumi semua aspek kemajuan didalam masyarakat.

Dari segi bahasa “hadharah” bermaksud suatu wilayah,daerah,kota,bandar,kampung atau tanah yang diusahakan. Istilah “hadharah” digunakan oleh Malik Bennabi(seorang pemikir Islam dari Algeria) dengan bermakna berada di tahap maju.

Pada abad ke-20, istilah “madaniyah” di gunakan oleh Muhammad Farid dan Syeikh Muhammad Abduh yang memberi maksud mempunyai perkaitan dengan tamadun atau kebudayaan dan bandar[2]. “Madaniyah” boleh membawa erti membina, mendirikan bandar, menaikkan taraf ke tahap beradapan, menghaluskan budi pekerti,menimbulkan sifat keinsanan sejati serta menjauhi sifat kebinatangan dan telah mencapai tahap kehalusan budipekerti serta kebudayaan yang luhur.

Dalam Bahasa Arab pula ada beberapa istilah yang di gunakan dalam pengertian pendidikan. Perkataan yang biasa digunakan “ta’alim” yang bermaksud pengajaran. [3]

Allah s.w.t berfirman,yang bermaksud

وعلم١دم١لأسمآءكلهآثمعرضهمآعلىالملأءكتفقاكـأنبءوبأسماءهوءلاءإنكنتمـصدقين

“ Dan Allah mengajarkan kepada Adam segala nama,kemudian ia berkata kepada malaikat,beritahulah Aku mana-mana semua itu jika semua benar. ” (Surah Al-Baqarah ayat : 21)

Manakala perkataan “tarbiyah” dipergunakan untuk didikan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“ Hai Tuhanku, sayangilah kedua-dua ibubapaku sebagaimana mereka mendidikku sewaktu kecil”. (surah Asra’ ayat : 24)


Bahasa Inggeris
Manakala istilah education dalam bahasa Inggeris yang berasal dari Latin educare bererti memasukkan sesuatu yang bermaksud memasukkan ilmu ke dalam kepala seseorang[4]. Kebanyakkan para sarjana meletakkan istilah culture dan civilization sebagai dua perkataan dalam satu pengertian sebagaimana yang diungkapkan oleh seorang sosiologi inggeris yang bernama Arnold J. Toynbee dalam Qiamul Hadhariah Fil Quranil Qarim: Taufiq Mohd Sabi,(1972) menyatakan bahawa culture itu bermakna civilization yang secara langsung memberi gambaran kepada fikiran kita mengenai perkara-perkara berikut iaitu agama, senibina, senilukis, akhlak dan adat istiadat[5]. Perkataan civilization dari kata civitas yang membawa maksud bandar.
Manakala pendidikan boleh didefinisikan sebagai ilmu. Dalam agama Islam, ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Fardhu ain ialah ilmu –ilmu tentang kebenaran objektif untuk pedoman manusia. Ia merupakan ilmu abadi yang menjadi inti dasar kepada ajran islam contohnya ilmu mengenai aqkidah,syariat, dan akhlak. Fardhu kifayah ialah semua displin ilmu yang diperlukan untuk menyempurnakan keperluan hidup manusia sama ada yang berbentuk keagamaan atau keduniaan.


Pengaruh Tamdun Islam Di Nusantara dalam aspek pendidikan.

Islam bertapak di alam Nusantara yang meliputi negara Asia Tenggara iaitu Tanah Melayu(Malaysia), Indonesia,Thailand dan Filipina melalui pedagang Arab yang datang berdagang di Nusantara, usaha penyebaran agama Islam dari ulama atau tuan guru dari Tanah Arab(Timur Tengah) dan ahli-ahli sufi. Menurut Asy-Syid Qutb menyatakan bahawa Islam datang untuk menghapuskan segala bentuk perhambaan ciptaan manusia dan untuk menentukan bahawa “pengabdian” yang mutlak di bumi ini hanyalah untuk Allah s.w.t[6]. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan ayat al-Ouran surah Al-Imran ayat 83. Dari kata-kata tadi, terkandung maksud perubahan dan pembangunan jiwa umat manusia,sebagai umat yang bersatu untuk menyembah dan tunduk kepada perintah Allah dan untuk mengimarahkan alam sebagai khalifahNya. Umat di Nusantara, tidak terkecuali menerima perubahan dan pembangunan jiwa walaupun teori Islam telah bertapak di rantau ini selewat-lewatnya pada abad ke 12 M. Perubahan yang tidak berlaku sebelum kedatangan Islam ialah perubahan jiwa kepercayaan dan pemikiran yang mencirikan perubahan world-view atau weltanschauung masyarakat di alam Nusantara, daripada kepercayaan anamisme kepada keparcayaan pada tuhan yang esa; daripada pemikiran khayaliah kepada pemikiran yang rasional yang mencirikan perubahan intelek yang tinggi. Perubahan inilah telah memberi jalan kepada umat Islam di Nusantara untuk menjadi khairu ummah yang berusaha menghargai ahsanu taqwim yang mempunyai sikap dan tabiat menghargai akal fikiran.

Perkembangan ilmu islam bermula di institut pendidikan islam di rumah, masjid,kuttab(pondok), dan sekolah kemudian wujud ke seluruh nusantara. Struktur pengajian Islam dan institusi-institusinya yang wujud di Nusantara sama dengan yang terdapat di negeri-negeri Arab[7]. Oleh itu, tempat-tempat pendidikan itu mengandungi dua peringkat iaitu:
i. Tempat pendidikan sebelum penubuhan sekolah
ii. Tempat pendidikan selepas penubuhan sekolah
Pada peringkat pertama itu, pendidikan dan pengajaran tidak dikhaskan
pada suatu tempat tetapi di berbagai tempat, mulai dari kedai-kedai buku hinggalah ke istana-istana dan malah di padang. Penubuhan sekolah-sekolah pada masa kedua memerlukan kegiatan-kegiatan pendidikan dan tenaga pengajar dan penuntut-penuntut secara sepenuh masa. Akibatnya sebahagian tempat-tempat yang dulunya digunakan untuk pendidikan semakin berkurang walaupun ada diantaranya yang masih dikekalkan.
Sejarah pendidikan Islam menunjukkan bahawa keseimbangan antara ilmu-ilmu agama dan ilmu –ilmu dunia terdapat pada zaman–zaman kegemilangan dan kekuatan Islam. Dengan itu, wujudnya keseimbangan antara ilmu-ilmu agama dan dunia dalam kurikulum pendidikan dalam Islam. Secara umumnya, kurikulum pendidikan dalam Islam itu meliputi ilmu-ilmu bahasa dan agama, ilmu-ilmu kealaman,sebahagian ilmu-ilmu yang membantu ilmu-ilmu ini seperti sejarah geografi,sastera,syair,nahu, dan balagah dan filsafat dan logika. Mata pelajaran bagi peringkat rendah adalah al-quran, agama, membaca,menulis dan syair. Manakala kurikulum pada peringkat formal dalam Islam mewakili semua kurikulum peringkat rendah dan lebih membahaskan permasalahan agama,syariat dan alam sejagat.
Jadi kurikulum pendidikan dalam Islam bersifat fungsional, tujuannya mengeluarkan dan membentuk manusia muslim, kenal pada agama dan Tuhannya, berakhlak al-Quran tetapi juga mengeluarkan manusia yang mengenali kehidupan, sanggup menikmati kehidupan yang mulia dalam masyarakat yang bebas dan mulia, malah sanggup memberi dan membina masyarakat itu dan mendorong dan mengembangkan kehidupan masyarakat di situ.


Tempat Pendidikan Islam sebelum Penubuhan Sekolah.
Sebelum penubuhan sekolah, ulama memainkan peranan mencirikan masyarakat di nusantara yang sempurna yang mempunyai kegiatan kemasyarakatan dan menjalankan tanggungjawab kepada Allah s.w.t, Rasullullah dan agama Islam. Sistem masjid sebagai markas dapat dilihat sebagai suatu bentuk pemusatan kegiatan islam sebab masjid itulah yang selalu nya dibina di tempat-tempat yang berhampiran dengan semua jenis kegiatan seperti di tepi sungai – seperti di Melaka –kerana sungai menjadi jalan berhubungan, supaya setipa yang lalu akan singgah menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t apabila tiba masanya. Berhampiran dengan masjid itu ada pasar dan pelabuhan. Untuk itu, cuba perhatikan kedudukan masjid Kampung Hulu dan Kampung Keling serta Surau Kampung Jawa di Melaka yang masih menampakkan sifat keislaman masyarakat Melayu. Di antara pelajaran-pelajaran yang diajarakan di masjid ialah ilmu Tafsir,Hadith, Fiqh, bahasa kesusteraan dan sebagainya. Pengajaran disampaikan dalam bentuk syarahan.

Di Indonesia(Mahmud Yunus,1960: 29), menurut kebiasaan kaum Muslimin apabila kanak-kanak berumur tujuh tahun,ia akan di hantar ke surau untuk mengaji Al-Quran, ibadat, tauhid dan akhlak[8]. Begitu juga di Filipina(Majul, 1978 : 1), kanak-kanak yang berumur antara enam hingga sepuluh tahun mula membaca dan menghafaz al-Quran di rumah guru ataupun ulama’ bermula pukul tujuh pagi. [9]Fenomena pembelajaran berbentuk demikian wujud sehingga sekarang.
Di Tanah Melayu(Malaysia), struktur pendidikan seperti di Indonesia dan Filipina juga berlaku iaitu sejak agama islam datang ke Malaysia. Sebagai bukti, petikan kata-kata Abdullah Munsyi dalam Hikayatnya(1974 : 8)[10] :
“Dari zaman nenek moyang pun tidak pernah orang menaruh tempat belajar bahasa Melayu melainkan mengaji Al-Quran sahaja. Dan patut belajar bahasa Arab, kerana ia berguna kepada agama dan lagi dalam akhirat”.

Begitu juga di negeri-negeri yang dilawatinya :
“Maka tiadalah terdapat satu atau dua tempat orang yang mengajar mengaji melainkan adalah dalam sepuluh dua belas rumah seorang dua orang anak-anak mengaji al-Quran
kerana demikian lah adat dalam segala negeri-negeri Melayu dalam dunia, maka tiadalah ia belajar bahasanya melainkan semuanya daripada kecilnya ia memulakan mengaji al-quran. ”(Kisah Pelayaran Abdullah, 1965 : 36).


Ini jelas menunjukkan pendidikan islam di dalam masyarakat nusantara mementingkan ilmu pengetahuan agama islam di berikan kepada anak-anak mereka sewaktu kecil. Di samping itu, kursus pengajian terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu, permulaan, menengah dan kepakaran. Bagi pendidikan permulaan, kuttab atau pondok didirikan sebagai institut pengajiannnya. Berdasarkan beberapa bukti, kuttab yang dididirikan adalah untuk memberi pelajaran awal kepada anak-anak selain di rumah dan masjid. Kuttab menjadi tempat pertemuan diantara guru dengan murid berhubung dengan proses pembelajaran di peringkat awal. Kurikulum yang biasa diajar di kuttab biasanya meliputi semua aspek kerohanian dan jasmani, diantara matapelajaran yang diajar ialah al-quran,hadith, fiqh, akhlak dan tauhid.

Tempat pendidikan Islam selepas Penubuhan sekolah.

Mulai penghujung abad ke-19, terutamanya selepas Perang Dunia I, sekolah pondok, sekolah Arab dan madrasah muncul di merta tempat di Nusantara dengan matlamat memberi kekuatan dan bimbingan kepada umat Islam supaya mereka tidak dihanyutkan oleh arus pembaharuan yang bercorak barat[11]. Pembinaan sekolah agama serta masjid atau surau adalah usaha rakyat sendiri, kadang kala di bantu oleh para dermawan. Sebagai contoh di Kota Bharu, selain menjadi pusat pentadbiaran negeri Kelantan ia merupakan pusat pengajian islam. Di Kota Bharu, pengajaran agama melalui sistem persekolahan hanya terdapat di Madrasah Muhammaddiah[12]. Walau bagaimanapun pengajaran mata pelajaran agama di sekolah ini ialah untuk peringkat rendah sahaja dan hanya bermatlamat untuk membolehkan murid-murid mengetahui asas hukum agama dan menulis dalam bahasa melayu, melalui tulisan jawi pada sebelum tahun 1940. Selepas menuntut ilmu di madrasah, mereka boleh meyambung pelajaran di Masjid Besar Muhammadi dan di surau-surau, sebagaimana juga pendidikan di Masjidil Haram Mekah. Mereka dididik supaya kelak menjadi orang yang berilmu dan alim dalam kitab-kitab tertentu dan kuat pula mengerjakan ibadaj sehari-hari. Untuk menjayakan matlamat yang demikian di samping dikehendaki oleh guru-guru supaya beribadah, mereka mesti pula melalui dua peringkat yang pengajian yang telah ditetapkan. Dalam peringkat pertama, pelajar dikehendaki menghafalkan nahu asas Arab. Tujuannnya untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Arab dan dapat memahami kitab-kitab agama dalam bahasa arab. Disamping itu mereka diajar ilmu agama seperti ilmu fiqh dan tauhid. Kebiasaannya masa yang diambil untuk mempelajari pada peringkat ini selama dua tahun walau bagaimanpun bergantung kepada kemampuan pelajar tersebut. Untuk peringkat yang keduia pula, pelajar-pelajar yang memahami bahasa Arab dan asas keilmuan peringkat pertama tadi diajarkan pula kitab-kitab Arab dan kitab-kitab Jawi karangan ulama mutaakhirin dan mutaqaddimin[13]. Di peringkat ini, mereka akan mendengar huraian –huraian guru tentang makna dan maksud didalam kitab –kitab itu ayat demi ayat. Oleh kerana latihan yang demikian maka timbulnya konsep taqlid dikalangan mereka terhadap pengajaran di dalam kitab-kitab tadi. Justru kerana itu amatlah tepat dikatakan pelajar yang melalui proses pengajian ini dipanggil ulama yang alim di dalam menghuraikan makna di dalam kitab-kitab tertentu tadi sahaja. Selepas mereka tamat di peringkat ini, biasanya digalakkan melanjutkan pelajaran di peringkat yang tinggi di Masjidil Haram Mekah. Tetapi pada zaman ini, sekolah agama dan madarasah telah banyak di tubuhkan oleh pihak pemerintah dan pihak swasta bagi memenuhi permintaan ibuapa yang lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran biasa. Tambahan pula, sekolah agama dan madarasah mempunyai sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah aliran kebangsaan cuma kelebihan bagi sekolah agama dan madarasah mempunyai aliran agama. Di dalam kurikulum sekolah agama atau madarsah mengandungi ilmu agam seperti tauhid, fiqh, syariah, hadith, al-quran, bahasa arab, tarikh islami dan tafsir al-quran. Selepas tamat pembelajaran di peringkat menengah, pelajar tersebut boleh menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat ijazah . Jelas menunjukkan bahawa pendidikan dalam masyarakat di Nusantara dipengaruhi oleh tamadun Islam. Fungsi masjid sebagai pusat ilmu dapat dilihat sehingga hari. Namun ada sesetengah pihak yang cuba memisahkan agam dengan kehidupan seharian.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com