Wednesday, April 16, 2008

Konsep Tamadun Islam


DEFINISI TAMADUN

Tamadun yang kita gunakan dalam bahasa kita sekarang ini adalah berasal daripada perkataan arab iaitu madana. Ia merupakan kata dasar daripada perkataan arab iaitu madinah yang bermaksud kota, bandar dan sebagainya. Maksud tamadun dalam bahasa arab secara lebih terperinci lagi ialah bermaksud peradaban dalam konteks pemodenan dan juga urbanisasi.

Namun begitu tamadun mula digunakan dengan meluas apabila Jurji Zaidan meggunakan istilah “tamadun” untuk menerangkan tentang peradaban didalam buku yang di tulisnya ; Ta’rikh al-Tamaddun al-Islami (Sejarah peradaban Islam) . Semenjak itu, di Malaysia dan Indonesia menggunakan istilah tamadun intuk menerangkan tentang peradaban yang bermula dalam sekitar tahun1902-1906.

KEPENTINGAN TAMADUN KEPADA MANUSIA
Seperti yang kita tahu tamadun merupakan aspek yang amat penting kepada manusia. Ini adalah kerana tamadun merupakan kayu pengukur dalam menentukan cara hidup, pengurusan diri dan masyarakat, dan juga pegangan hidup.

Adalah penting untuk kita mengetahi bahawa tamadun juga merupakan identiti sesuatu individu atau populasi. Ia juga merupakan kayu pengukur untuk menilai tahap kehidupan seseorang, semakin tinggi tamadun itu, semakin tinggi kehormatan yang diterima.

Tamadun Islam merupakan tamadun yang unik berbanding dengan kaum yang lain. Ini adalah kerana tamadun Islam tidak hanya menumpukan kepada hal hal duniawi seperti mana tamadun lain, terutamanya tamadun barat.

Tamadun Islam adalah unik dan amat sempurna. Ianya meliputi segala macam aspek kehidupan dunia dan akhirat. Tamadun Islam digambarkan dengan penuh sistematik dan tersusun. Kita akan membincangkan hal ini dengan lebih lanjut di bab yang seterusnya.

KESEMPURNAAN DAN SUSUN ATUR TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam menitikberatkan 3 aspek yang sangat penting iaitu akidah, syariat dan juga ibadah. Selain daripada itu ilmu dan juga harta merupakan sebahagian dari penafsiran untuk tamadun Islam. Walau bagaimanapun, kedua aspek tersebut tidaklah begitu penting berbanding tiga perkara pokok yang dinyatakan sebelum ini. Pendek kata, jika tidak mempunyai harta dan juga ilmu, kita masih lagi mengiktiraf indivi atau masyarakat itu sebagai bertamadun (Islam) , tatapi apabila tiada aqidah, syariat dan juga ibadah, maka itu bukannya tamadun Islam.

Berdasarkan prinsip tamadun Islam, tiga perkara pokok itu sangat penting kerana ketiga-tiga perkara tersebut merangkumi keseluruhan cara hidup sebagai seorang muslim.
Akidah merupakan pegangan dan kepercayaan terhadap Allah tanpa sebarang paksaan lagi, Syariat pula akan dibincangkan dengan lebih lanjut selepas ini, dan ibadah pula merupakan bagaimana seseoarang itu melakukan perkara yang disruh dan meninggalkan larangan Nya.

Penjelasan tentang syariat islam

SEJARAH PERKATAAN DAN DEFINISI SYARIAT

Syariat (ataupun Syariah) merupakan perkataan dari bahasa arab yang bermaksud sumber air yang mengalir atau binatang untuk diminun. Kemudian kata tersebut digunakan untuk pengertian; Hukum-hukum yang diturunkan Nya untuk umat manusia (hamba-Nya) . Perkataan syra’a bererti menggunakan syariat. Selain dari itu istara’a juga mempunya makna yang serupa dengan syariat.

Dari segi istilah seperti yang dinyatakan di dalam buku Pengantar Syariat Islam yang ditulis oleh Prof. Dr. Achmad El Ghandur, syariat merupakan Hukum (peraturan) yang diturunkan Allah SWT melalui rasul-rasul Nya yang mulia, agar mereka keluar dari kegelapan ke dalam terang dan mendapar petunjuk ke arah jalan yang lurus.

Di dalam buku itu juga beliau membuat kesimpulan iaitu syariat Islam merupakan hukum dan peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT untuk umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW samada Al quran ataupun sunah Nabi dalam bentuk perkataan, perbuatan dan ketetapan.

SEBAB MENGAPLIKASIKAN HUKUM ALLAH (SYARIAT)

Maksud mengaplikasikan hukum-hukum Allah SWT (syariah) adalah berpegang teguh dan mengamalkan ajarannya secara total sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan Al-Hadis buat selama-lamanya dan melaksanakan dalam segala aspek kehidupan di dunia sebagai pantulan untuk mencapai kecemerlangan di alam akhirat. Syariah adalah asas kepada perundangan Islam dan ianya bersifat tetap dan mutlak.

Pada Zaman Jahiliyah dahulu, seolah-olah undang-undang tidak pernah wujud, di mana peraturan yang ada hanya mengikut hawa nafsu semata-mata. Sesiapa yang kuat, maka dialah yang berkudrat, sebaliknya yang lemah dan kalah, mereka itu menjadi mangsa.

Hukum hanya untuk rakyat, sedangkan pihak penguasa seolah-olah kebal di sisi undang-undang. Justeru itulah perhambaan telah bermaharajalela di sana sini, terutama terhadap masyarakat Badwi yang berkulit hitam.

Sebaik sahaja Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul, maka Baginda diperintah Allah SWT untuk mencanang prinsip hukum keadilan secara menyeluruh untuk membanteras peraturan-peraturan Jahiliah yang berlaku dikalangan masyarakat Quraisy dan sekaligus menegakkan hukum yang berdasarkan Al Qur'an dan Al Hadis. Undang-undang ini tidak terbatas kepada golongan, negeri, atau negara tertentu sahaja, malah ianya berjalan ke atas semua orang di mana sahaja mereka berada tanpa kecuali, kerana ianya merangkumi segenap bidang kegiatan masyarakat sehingga sampai kepada masalah-masalah kenegaraan. Dengan tertegaknya undang-undang tersebut, maka manusia tidak berhak lagi meminda apa-apa hukum yang terkandung di dalamnya, seperti, menghalalkan benda yang haram, atau sebaliknya mengharamkan benda yang halal. Setiap individu, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, wajib meyakini dan mematuhi undang-undang sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri.

CARA-CARA RASULLAH MENGAPLIKASIKAN HUKUM ALLAH


1. Prinsip persamaan manusia dalam aspek hukum hakam.

Islam yang terkenal dengan sifat adil telah meletakkan kedudukan setiap manusia sama dari segi undang-undang tanpa dipengaruhi oleh faktor keturunan, pangkat, kekayaan, dan sebagainya. Jika yang bersalah itu seorang penguasa atau rakyat jelata, maka tetap dikenakan tindakan undang-undang, sebagaimana ditegaskan oleh Rasullah s.a.w dalam sebuah Hadis kepada anaknya sendiri, sebagai berikut:
Pengertian:
"Jika Fatimah (anakku) mencuri, maka aku sendiri akan potong tangannya. "

Oleh itu, Islam mengecam sikap sebahagian manusia yang menyalah gunakan
kuasa dalam menjatuhkan hukuman sehingga berlaku ketidak adilan terhadap seseorang, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Maadiah, ayat 8, seperti berikut:
pengertiannya:

"... Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa... "

2. Prinsip keteladanan.

Nabi Muhammad bukan sahaja telah dipilih oleh Allah SWT menjadi seorang Rasul, malah dia juga merupakan pemimpin ummah. Sebagai seorang pemimpin, baginda bukanlah hanya bertindak memerintah atau melarang orang lain daripada melakukan sesuatu tanpa menunjukkan contoh teladan atau mengerjakan sesuatu terlebih dahulu. Prinsip keteladanan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dalam segala aspek kehidupan, baik bidang ubudiyah (ibadah) , muamalah juga sebagai seorang Rasul, pemimpin, suami, dan sebagai seorang ayah.

Model yang ditonjolkan itu adalah merupakan teras kejayaan kepimpinan
seseorang untuk menghasilkan sesuatu yang cemerlang dan bertamadun dalam segenap bidang. Sebaliknya Islam amat mengecam seseorang yang hanya pandai berkata-kata bahawa perkara itu benar dan perkara itu salah, tetapi tidak merealisasikannya dalam kehidupan sehari-hari, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah AshShof, ayat 3, seperti berikut:
Pengertiannya:

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. "

3. Prinsip Elastisiti (keanjalan) .

Islam adalah satu-satu agama, dimana ajarannya banyak bertoleransi berbanding dengan ajaran-ajaran/ doktrin agama lain. Prinsip elastisiti dalam Islam di bahagikan kepada tiga, iaitu:
a. Iaitu meringkan/ mengurangkan beban.

Seperti: Solat zohor, solat asar, dan solat isyak. Masing-masing jumlah rakaatnya empat. Tetapi boleh dilakukan dua rakaat dikala musafir. Begitu juga dibenarkan menjamak solat zohor dengan solat asar, dan solat maghrib dengan solat isyak.

b. Iaitu meniadakan beban.

Seperti: Cara mengerjakan solat. Solat ialah suatu ibadah yang wajib dilakukan jika cukup syarat-syaratnya. solat tidak boleh ditinggalkan. walau dalam keadaan apa sekali pun. Berdiri bagi yang berkuasa adalah termasuk dalam rukun solat, tetapi boleh dilakukan secara duduk, berbaring, dalam hati dan dengan cara apa sahaja, jika tidak berkuasa/ uzur. Jika seseorang itu tidak boleh solat di dalam hati, maka dia tidak diwajibkan lagi untuk mengerjakan solat, malah dia disolatkan oleh orang lain (meninggal dunia) .

c. Iaitu secara bertahap dalam menerapkan hukum.

Islam terkenal dengan agama toleransi dalam sesuatu perkara, terutama dalam selok belok kehakiman. Sebelum kedatangan Islam, arak itu telah menjadi darah daging orang Arab Jahiliyah. Sebaik sahaja berkuasa, maka Islam tidak mengharamkan sekaligus melainkan secara beransur-ansur sehingga tiga tahap, sebagai berikut:

Tahap Pertama.

Islam memberitahu bahawa meminum arak itu adalah berdosa besar dan akibat buruknya terhadap kesihatan mental serta fizikal manusia lebih banyak berbanding dengan manfaat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 219 sebagai berikut:
Pengertiannya:

"Mereka bertanya kepada kamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: pada kedua-dua terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar dari manfaat. "

Tahap Kedua.

Islam melarang umatnya mengerjakan solat ketika mabuk, dan jangan minum arak apabila hendak solat. Sebagaimana firman Allah, dalam surah An Nisa' ayat 43, sebagai berikut:
Pengertiannya:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan. "

Tahap Ketiga.

Pada tahap ini umat Islam telah kuat imannya, maka barulah Allah SWT menegaskan laranganNya bahawa arak itu hukumnya haram di sisi Islam kerana ianya adalah perbuatan syaitan yang terkutuk, sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Al Maaidah ayat 90 sebagai berikut:
Pengertiannya:

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib (dengan panah) adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kecemerlangan. "

Begitulah cara Islam merevolusikan ajarannya di bidang hukum, yang mana pihak penganjur dan yang dianjurkan sama-sama mentaatinya. Islam berpegang bahawa semua ummah manusia adalah sama di sisi Allah SWT. Dengan demikian, maka akhirnya undang-undang Islam yang dibawa dan disampaikan Baginda Rasulullah s.a.w tidak dapat dipertikaikan kewibaannya dan mempunyai ketamadunan yang tinggi yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ajaran agama lain di dunia sehingga dewasa ini. Akhir sekali undang-undang Islam amat berwibawa dan mempunyai maruah yang tinggi di kalangan masyarakat, terutama terhadap Allah SWT.


SYARIAT ISLAM SEBAGAI ASAS TAMADUN ISLAM

Allah S.W.T. menggalakan agar umat manusia berusaha bagi mencapai kemajuan dalam semua aspek smada dunia atau akhirat yang berlandaskan syariat Islam. Sebagai Khalifah yang dipertanggungjawabkan, manusia perlu melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi dan juga beribadah kepada-Nya.

Islam telah memperkenalkan peraturan dan undang-undang yang sempurna dan lengkap bagi membantu manusia dalam hal tersebut. Ini bermaksud bahawa syariat yang dibawa oleh Rasulullah dapat membantu seluruh umat manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan juga akhirat.

Tiga perkara penting yang ditekankan dalam syariat Islam untuk mencapai kemajuan dalam membentuk tamadun dan keselamatan hidup di dunia ialah dalam aspek ekonomi, politik, dan sosial.

PERUNDANGAN: ASAS PENTING DALAM ISLAM
Islam adalah "DIN" iaitu sistem hidup yang menyeluruh. Secara mudah ia boleh dibahagikan kepada tiga aspek utama, iaitu "akidah" ataupun pegangan hidup "Syariah", iaitu sistem hidup dan akhlak iaitu nilai hidup. Bagaimanapun pembahagian ini tidak benar-benar tepat. la sekadar boleh atau berguna untuk dijadikan petunjuk tentang kedudukan "perundangan" dalam Islam.

"Perundangan" adalah sebahagian daripada "Syariah". la secara umum "apa yang harus dan apa yang tidak harus dilakukan oleh seseorang sejauh mengenai "hak" dan "tanggungjawab" (obligasi) dalam masyarakat". Sepertimana telah ditarik perhatian di atas, dalam Islam ia samada bersifat sistem nilai yang berkuatkuasakan berasaskan keagamaan atau yang dikuatkuasakan melalui institusi pemerintahan yang tertentu, terutamanya institusi penguatkuasaan dan pengadilan.

Sebagai sebahagian daripada sistem hidup, "perundangan" adalah suatu sistem nilai yang paling lentur atau flaksibal dalam syariat Islam, berbanding dengan "akidah" dan "akhlak" yang bersifat lebih ideal dan dogmatik. Pembinaannya berasaskan kepada dua unsur iaitu unsur "wahyu" dan unsur "realiti" hidup. Kenyataan bahawa "undang-undang" itu mencerminkan cita-cita masyarakat sebahagiannya betul sejauh mengenai "perundangan" Islam. Malah, apa yang dikenali sebagai "undang-undang lazim" (common Law) di barat teorinya ada dalam perundangan Islam dalam doktrin "Ulf' iaitu "Kelaziman".

Bagaimanapun, dalam Islam, "perundangan" tidak terlepas daripada nilai keagamaan. Konsepnya, sekularisme tidak diperakui dalam Islam, dimana semua hal perlu dikaitkan dengan nilai agama, walau bagaimana dominan sekalipun asas realiti hidupnya.
Dilihat dari sudut ini, penilaian terhadap "perundangan" sebagai satu aspek yang tersendiri hanya berasas dari kacamata akademik semata-mata. Dari segi keagamaan ia kurang dapat di wajarkan.

Dari segi sejarahnya, pembinaan aspek "perundangan" dalam Islam berkembang selaras dengan pembinaan aspek-aspek lain. Cuma dalam sejarah awal Islam ia terkemudian sedikit daripada aspek "akidah" dan "akhlak". Sepertimana termaklum, dalam era "Mekah" wahyu lebih menumpukan kepada aspek "akidah" iaitu pembinaan asas pegangan hidup dan "akhlak" iaitu pembentukan peribadi mulia. Dalam era "Madinah" barulah tumpuan diberikan kepada "Syariah" kerana masyarakat dan negara Islam sudah terbentuk.

Namun dalam perkembangan selanjutnya aspek perundangan ini boleh disifatkan lebih pesat. Ini mungkin kerana ia sangat diperlukan sejajar dengan perkembangan amalan Islam sendiri sebagai dasar masyarakat dan negara. Dari segi akademik juga ia kelihatan lebih pesat. Ini kerana, dalam keadaan yang sihat, akademik lebih bersifat sokongan logistik kepada realiti hidup dalam masyarakat dan negara.

Elok juga ditarik perhatian, sekadar bagi faedah tulisan ini, aspek perundangan Islam ini telah berkembang sejak zaman awal Islam lagi dan mencapai kemuncak perkembangannya di zaman pemerintahan Abbasiah. Dalam kepesatan perkembangan itu berbagai-bagai aliran telah lahir. Bukan empat, bukan sepuluh atau dua puluh, tetapi lebih banyak daripada itu. Paling dominan dipuncak perkembangan ialah empat mazhab Sunni, Maliki, Hanafi, Syafi'i dan Hambali.

Dalam perkembangan seterusnya, terutama dizaman lembab, mazhab Syafi'i terbahagi kepada dua aliran, iaitu aliran Baghdad dan aliran Khurasan. Antara tokoh aliran Baghdad ialah al-Syirazi, pengarang kitab al-Muhadzzab dan al-Nawawi, pengarang kitab Minhaj al-Talibin. Kedua-dua buku ini ialah yang menjadi asas utama kepada perkembangan pemikiran "perundangan Islam" di Nusantara.


SYARIAT ISLAM SEBAGAI AGENDA DALAM PEMBINAAN TAMADUN MELAYU


Ketentuan yang diambil oleh perlembagaan Malaysia bahawa Melayu semestinya beragama Islam memberi petunjuk yang jelas tentang kedudukan Islam dalam tamadun Melayu. Meskipun terdapat peruntukan-peruntukan lain yang menafikan Syariat Islam sebagai Undang-undang negara, namun perundangan Islam masih terjamin kedudukannya atas sifatnya sebagai sebahagian daripada ajaran dalam agama Islam. Malah, sedikit sebanyak kuasa yang diberikan kepada negeri-negeri untuk menguatkuasakan aspek-aspek tertentu dalam Syariat Islam sebagai Undang-undang negeri telah menjamin pengaruh Syariat Islam di negara ini tidak hilang terus.

Bagaimanapun, dalam agenda pembinaan tamadun realiti politik ini boleh dinafikan. Di bawah kuasa penjajahan Inggeris yang begitu beria-ia untuk melaksanakan undang-undang mereka secara total, nilai perundangan Islam masih dapat dikembangkan sebagai budaya rakyat. Seolah-olah, dalam keadaan tapak untuk berkuasa sebagai alat negara hilang, perundangan Islam boleh berkubu pada garisan adat dan budaya. Dalam pengertian inilah pengaruhnya dalam pembinaan tamadun terus kekal.
Sistem nilai tentang apa yang seharusnya dan apa yang tidak seharusnya dilakukan dalam masyarakat mempunyai pengaruh yang besar terhadap struktur masyarakat itu sendiri. Dengan kata lain, ia mempunyai pengaruh yang tebal dalam menentukan hala tuju masyarakat berkenaan, termasuk corak tamadun yang perlu dipupuk dan diperkembangkan. Keistimewaan Islam, berbanding dengan agama-agama lain banyak terletak pada sistem nilai ini. Boleh dikatakan keseluruhan agama lain sekadar menekankan soal metafizika sahaja, sedangkan bagi Islam realiti hidup atau dalam istilah lain, hidup duniawi juga termasuk dalam urusannya.

Dalam pembinaan seterusnya nilai Tamadun Melayu, aspek perundangan Islam ini perlu diambil kira. la sudah merupakan asas budaya yang kukuh dan mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam masyarakat Melayu dalam pembinaan pandangan sejagat mereka. Adalah perlu kedudukannya dalam sifat undang-undang yang dikuatkuasakan melalui institusi pemerintahan diperluaskan. Sekurang-kurangnya sampai mengimbangi pengaruhnya sebagai nilai-nilai hukum yang membentuk budaya masyarakat.

Tanpa pengambilkiraan ini konflik akan berlaku antara hukum Islam sebagai satu keyakinan masyarakat dan norma-norma asing yang tidak dianuti tetapi dikuatkuasakan. Umum mengetahui konflik lebih membawa keburukan. Dalam kontek pembinaan tamadun Melayu, ia boleh melahirkan tamadun yang penuh dengan keserbasalahan atau jelasnya tamadun yang serba salah.


Penutup
Sejarah telah membuktikan bahawa kelahiran Islam telah membawa perubahan dan pembaharuan kehidupan manusia sejagat. Islam membawa manusia kembali kepada aqidah yang betul setelah mengalami hidup jahilliah Rasulullah berjaya mendidik, pengikutnya dan mampu membentuk mereka menjadi manusia yang berguna beriman, kuat beriman, berakhlak mulia sehingga mampu membangunkan tamadun yang baru dengan cenderung.

Fajar Islam telah menyinari seluruh pelusuk dunia sehingga menjadikan umat Islam zaman lampau telah membuktikan kemampuan mereka. Islam hadir secara berkesan dan praktikll dalam sejarah tamadun manusia. Ini adalah mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam, gigih dan bersungguh melaksanakan.
Kehadiran Islam dengan kaedah-kaedah pembinaan tamadun telah memberi kesan yang sangat bermakna kepada tamadun manusia. Antara adab yang dapat membentuk keutuhan umat, setiap individu dalam masyarakat bersama-sama dalam perkara kebajikan dan amar makruf serta menghalang kejahatan nahi mungkar. Yang akan melahirkan permuafakatan adalah merupakan elemen terpenting, yang boleh membawa kepada kebaikan dan penyelesaian masalah dengan mudah, mengeratkan silaturrahim.

Islam adalah agama untuk dipraktikkan. Syariat Islam adalah syariat yang praktikal. Islam agama tamadun, Islam agama persaudaraan, Islam agama kemasyarakatan dan berbagai-bagai lagi ungkapan yang memperlihatkan 'world view' islam tiu sebagai agama untuk dijelmakan dalam kehidupan harian. Tentang hal ini Al quran banyak sekali memberikan penjelasan seperti gesaan supaya dilaksanakan hukum Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah

Islam sama sekali tidak dapat dipisah dari kehidupan dunia. Islam telah meletakkan satu asas yang kukuh dalam membentuk sistem bermasyarakat, bernegara serta bermuamalah sesama makhluk. Islam mempunyai prinsip-prinsip akhlaqnya yang unggul dan telah meletakkan darjat kemanusian di tempat yang wajar. Segala prinsip dan asas dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni telah disusun dan diatur dengan begiut rapi dan teliti oleh Islam. Konsep bernegara dan pembangunan misalnya telah digaris oleh Islam dengan jelas untuk jadi panduan dan ikutan umat Islam dalam semua tempat dan zaman. Islam bukan sekadar membicarakan aqidah semata-mata tetapi aqidah dan amal. Amal yang beliau maksudkan di sini ialah melembagakan syariat Islam itu dalam kehidupan yang dijelmakan dalam bentuk praktikal. Islam tidak pernah menyuruh penganutnya mengkesampingkan hal-hal keduniaan atau survival manusia di dunia. Islam memberi galakan supaya manusia berusaha gigih untuk mendapatkan habuan dunia.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com


No comments: