Tuesday, April 15, 2008

Kepercayaan Masyarakat Nusantara Sebelum dan Sesudah Islam


KEPERCAYAAN MASYARAKAT NUSANTARA SEBELUM DAN SESUDAH KEDATANGAN ISLAM


Kepulauan Melayu ataupun Alam Melayu bukan hanya terletak di Semenanjung Malaysia sahaja malah meliputi negara-negara di Asia Tenggara termasuk Indonesia, selatan Thailand serta Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Nusantara. Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengenalpasti dan mengambilkira bahawa alam Melayu meliputi seluruh rumpun Melayu-Polinesia dari Pulau Malagasi di sebelah barat dan Pulau Paskah di timur, Pulau Formosa di utara serta kepulauan Indonesia dan New Zealand di sebelah selatan

Mengikut sejarah, tamadun Melayu telah berusia lebih 5000 tahun dengan mengambilkira tamadun Melayu Deutro yang telah wujud sekitar 3000 sebelum Masehi. Alam Melayu boleh dikategorikan kepada beberapa peringkat iaitu tamadun purba atau pra-sejarah iaitu sehingga abad ke-3 M, tamadun Hindu iaitu mulai kedatangan pengaruh Hindu pada abad ke-3 M dan Arab jahiliah sehingga ke-12 M dan yang terakhir iaitu tamadun moden selepas kedatangan Islam iaitu selepas abad ke-12 hingga kini.





DEFINISI KEPERCAYAAN

Kepercayaan dapat didefinisikan sebagai satu fahaman dogmatis yang terjalin erat dengan adat istiadat hidup dari pelbagai suku bangsa terutamanya yang masih kuat pegangannya ataupun yang berfahaman kolot. Dengan kata lain kejayaan adalah apa sahaja adat hidup bermula pada asal usul keturunan sesuatu suku bangsa. Kepercayaan dan agama mempunyai banyak persamaan tetapi kepercayaan tidak mempercayai adanya alam lain sesudah mati.

Perkataan agama berasal dari bahasa sanskrit yang bermaksud undang-undang, peraturan terhadap yang Maha Esa. Asal kata agama juga dari bahasa sanskrit “a” membawa maksud tidak manakala “gama” membawa maksud kacau. Jika disusun maka menjadi “tidak kacau”. Terdapat juga pendapat yang mengatakan “a” bererti tidak manakala “gam” ialah pergi. Selain itu dari segi bahasa asalnya agama dapat diertikan sebagai sebarang bentuk undang-undang samada ia ciptaan manusia ataupun tuhan adalah dikategorikan sebagai agama. Ensiklopedia Winker Prins cetakan ke-2 W. Gods pula mengatakan bahawa agama ialah penyembahan kepada tuhan, serta patuh kepada segala suruhannya. Tambahan lagi, beliau mengatakan agama adalah hubungan antara manusia dengan tuhan.



Dalam dokumentasi Malaysia, keputusan pimpinan pusat Muhammadiah Majlis Tarjih yang bermuktamar khususi pada 29 Disember 1954 hingga 12 Januari 1955 di Yogjakarta sebulat suara menetapkan :
1. Agama adalah apa yang disyariatkan Allah dengan perantaraan nabi-nabi-Nya samada berupa perintah, larangan ataupun petunjuk untuk kebaikan hamba-Nya di dunia dan di akhirat.
2. Agama Islam (yang dibawa oleh Nabi Muhammad) ialah apa diturunkan Allah di dalam Al-Quran dan yang tersebut di dalam Hadis yang “Hasan” berupa perintah, larangan serta petunjuk untuk kebaikan hamba-Nya.
Zenophanes mempunyai pandangan yang tajam terhadap agama. Dia mengatakan bahawa agama adalah khayalan manusia yang kemudiannya menciptakan dewa-dewa serta tuhan yang tidak bergerak dan kekal. Kemudian Euheberas pula telah mengatakan bahawa dewa-dewa sebenarnya adalah tokoh-tokoh yang diagung-agungkan. Selepas itu agama Kristian agama-agama primitif (kesukuan) adalah jahat dan biadab serta dianggap agama syaitan.

JENIS-JENIS KEPERCAYAAN

Kepercayaan manusia dari dulu hingga sekarang dapat dikategorikan kepada 4 jenis.
Penyembahan kekuatan alam disebut DINAMISME.
Penyembahan roh/nenek moyang disebut ANIMISME.
Penyembahan tuhan yang tidak Esa disebut POLITHEISME.
Penyembahan tuhan yang Esa disebut MONOTHEISME.

KEPERCAYAAN SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

ANIMISME
Daripada kajian yang telah dijalankan didapati bahawa animisme merupakan anutan tertua masyarakat Melayu. Animisme ialah penyembhan atau kepercayaan kepada makhluk-makhluk halus dan roh. Dr. Harun Nasution secara ringkas menjelaskan bahawa masyarakat primitif menganggap semua benda baik yang bernyawa atau tidak mempunyai roh. Ianya berkait rapat dengan aktiviti harian dan suasana kehidupan mereka yang bergantung sepenuhnya pada pertanian dan alam sebagai sumber ekonomi.

Menurut pendapat Ibn. Khaldun, kehidupan manusia sering dipengaruhi oleh keadaan persekitarannya seperti udara, iklim dan sebagainya. Mereka mewujudkan satu kepercayaan yang kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Dengan ini ia telah melahirkan hubungan yang kuat antara manusia dengan alam sekitarnya. Kepercayaan tentan adanya roh dan semangat pada setiap benda di sekeliling mereka telah diwujudkan. Mereka yang menganut mempercayai bahawa roh semua makhluk sesudah mati akan terus hidup. Roh ini akan hidup pada tempat-tempat yang jarang dikunjungi oleh manusia oleh manusia misalnya hutan, gunung, pokok besar dan sebagainya. Roh-roh ini pula boleh dibahagikan kepada dua jenis. Sebahagiannya menjadi roh baik manakala sebahagian lagi menjadi roh jahat.
1. Roh Baik
Roh baik atau ‘good magic’ berasal dari roh orang yang sudah mati yang semasa hayatnya adalah orang yang selalu berbuat kebaikan. Roh sebegini yang seringkali dipuja untuk mendapatkan sesuatu benda. Mereka percaya sekiranya berlaku jenayah atau kejahatan di sesuatu tempat, roh baik akan berasa marah dan memberi hukuman berupa bencana alam pada sesiapa yang terbabit. Oleh itu mereka sangat takut melakukan kejahatan disebabkan hukumannya yang berat.
2. Roh Jahat
Roh Jahat atau ‘black magic’ berasal dari roh orang yang sudah mati yang semasa hidupnya adalah orang yang selalu berbuat kejahatan. Mereka sangat menakuti roh sebegini. Mereka akan mengadakan upacara-upacara tertentu agar roh ini tidak mengganggu kehidupan mereka.

Kepercayaan sebegini akan membawa kepada amalan beragama seperti pemujaan dan perhambaan diri kepada benda yang dipuja. Menurut R. O. Windstedt, penduduk di Nusantara juga mempercayai semangat. Semangat-semagat ini dipercayai wujud pada benda-benda tertentu di sekeliling mereka seperti anggota badan, nama seseorang, tumbuhan dan sebagainya. Seperti kebiasaannya untuk mengelak daripada semangat marah, mereka akan mengadakan upacara-upacara tertentu.



KEPERCAYAAN HINDU-BUDDHA
Dari kajian yang telah dijalankan agama Hindu telah berkembang di India lebih kurang 300 tahun sebelum masihi. Agama Hindu pada mulanya mempumyai satu tuhan iaitu Brahma. Beberapa abad kemudian akibat daripada campur tangan pendeta-pendeta, kini tuhan agama Hindu terdiri daripada Brahma, Vishnu dan Siva yang juga dikenali sebagai Trimurthi. Kitab suci mereka pula ialah Veda yang terdiri daripada empat jenis iaitu Rig, Sam, Yajar, Athar Veda. Kitab ini bukanlah kitab orang India dan Arya tetapi ia di bawa oleh pendatang yang berpindah ke Lembah Mohenjo Daro, Punjab, India Utara pada abad ke-15 sebelum masihi. Hubungan antara alam Mel;ayu dengan India
Telah wujud sejak abad ke-2 Masihi lagi. Mereka yang datang kesini di sebabkan oleh perdagangan. Contoh kerajaan awal di Nusantara yang menganuti agama Hindu ialah Majapahit, Kediri, Mataram, Kalingga dan Sundra.

Agama Buddha diasaskan oleh Sidarta Gautama pada 515 sebelum masihi di Budimanda. Nama asalnya ialah Sidarta yang dilahirkan di Kota Kapitaliwasttu pada kira-kira 560 sebelum masihi. Agama Buddha pada mulanya bertuhankan satu tetapi sesudah kematian beliau banyak campurtangan pendita-pendita yang menyebabkan wujud banyak Dewa. Kitab Buddha ditullis setelah 600-1000 tahun sesudah kematian beliau. Jadi wujud banyak kekeliruan dan kesangsian mengenai isi kitab tersebut. Atas desakan agama Hindu, agama Buddha berpindah keluar dari India. Disebabkan itu didapati banyak negeri-negeri di Nusantara yang menganuti agama Buddha disebabkan oleh penyebarannya yang meluas. Dari fakta yang didapati di Indonesia terdapat 7 buah candi. Tidak berapa lama kemudian akibat daripada perdagangan masyarakat di Nusantara didapati telah menggabungkan kepercayaan Hindu, Buddha serta animisme menjadi satu kepercayaan yang dikenali sebagai kepercayaan Hindu-Buddha. Kesan penggabungan agama ini jelas ketara berbanding mana Hindu Bali amat berbeza dengan Hindu India.


KEDATANGAN ISLAM DI NUSANTARA
Agama Islam berkembang di Nusantara disebabkan oleh beberapa faktor antaranya faktor perdagangan. Kebanyakan daripada mereka berasal dari Tanah Arab. Mereka menggunakan perniagaan sebagai wadah untuk menyampaikan dakwah mereka. Agama Islam mudah diterima oleh masyarakat di Nusantara disebabkan oleh pengaruh ajaran Hinduisme dan Buddhisme yang sangat tipis dalam kehidupan masyarakat. Kebanyakan yang memegang kuat kepercayaan sebegini adalah dari golongan atasan. Sememangnya boleh dikatakan kedatangan Islam adalah tepat pada masanya dengan keadaan masyarakat di Nusantara yang terumbang ambing disebabkan oleh kekosongan akidah. Mereka amat tertarik dengan Islam disebabkan oleh kesyumulan dan keunggulan Islam itu sendiri. Islam merupakan agama yang lengkap yang meliputi bidang hidupan harian dari yang sekecil hingga sebesar perkara.

Sudah diketahi bahawa di Nusantara boleh dikatakan semua penganut Islam memegang kefahaman Imam As Shafie. Tetapi tidak sepenuhnya hukum-hukum Islam itu ditaati, sebagaimana yang telah dikatakan oleh Prof. Dr. E. Utrecht dalam bukunya ‘ Pengantar Dalam Hukum di Indonesia ‘ cetakan kedua halaman 13 :
Di Indonesia, syariat Islam itu tidak ditaati seluruhnya. Di dalam hukum peraturan al-Quran dan syariat, hanya hukum-hukum perkahwinan dan faraid sahaja yang ditaati sepenuhnya.

Sememangnya bukan disebabkan oleh Islam itu sendiri yang lemah tetapi disebabkan oleh dalaman iaitu tahap keimanan mereka kepada Allah. Mereka lebih suka mengambil yang mana perlu dan meninggalkan yang mana menyusahkan mereka. Selain itu, mereka lebih cenderung untuk berhubung dengan bomoh dan pawang sekiranya mendapat sebarang musibah atau ujian daripada Allah. Ini menyebabkan mereka semakin jauh dengan Allah sehingga mudah dibentuk dan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Benarlah firman Allah dari surah an Nahl ayat 100 : ‘Sesungguhnya pengaruh syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikannya (syaitan) pemimpin mereka dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah ’

Antara sebab lain yang menyebabkan masyarakat di Nusantara semakin lemah pegangannya terhadap Islam hingga mudah dihasut oleh syaitan ialah :
i. Agama pemerintah (penjajah)
Pemerintah dari barat yang bertapak di Nusantara adalah beragama Nasrani. Konsep agama Nasrani pada umumnya hanya mengatur hubungan-hubungan rohaniah iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Sedangkan konsep agama Islam mengatur hubungan manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia.
ii. Politik Pemerintah (penjajah)
Urusan dunia dan akhirat bagi Islam tidak dapat dipisahkan bagaikan kepala dengan badan. Ini bererti mencampurkan urusan negara terutamanya politik dengan keagamaan. Perkara sebegini sangat ditakuti oleh penjajah. Jadi mereka cuba sedaya upaya melalaikan masyarakat di Nusantara sehingga umat Islam menganggapnya sebagai dua cabang yang berlainan.


Namun begitu, agama Islam tidak dapat lari daripada berhadapan dengan fikrah animisme serta tahyul yang boleh membawa kepada khurafat. Amalan-amalan sebegini yang menjadi turun temurun nampaknya begitu sukar untuk dikikis dan dibuang daripada kehidupan mereka.


KHURAFAT

Khurafat merupakan kepercayaan yang banyak dipengaruhi oleh kuasa selain daripada Allah seperti Animisme dan kepercayaan-kepercayaan lain. Perkataan khurafat berasal dari perkataan arab ‘khurafat’ yang dari aspek terminologinya beerti lemah akal kerana ketuaan atau orang yang rosak akal disebabkan nyanyuk kerana terlalu tua. Dari segi bahasa pula bermaksud memetik, seumpama memetik buah. Bagaimanapun dalam korteks akidah, khurafat boleh dikatakan bermaksud bidaah akidah, yang merupakan kepercayaan kepada sesiuatu yang menyalahi ajaran Rasulullah. Selain itu ia juga dikaitkan dengan berpegang dan beriktikad dengan perkara-perkara yang bukan daripada ajaran agama, tidak munasabah dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Didalam Al-Quran jika dikaji tidak ada ayat yang menerangkan secara jelas dan terperinci mengenai khurafat namun begitu terdapat ayat yang memberi tumpuan tentang sebab berlakunya perkara sebegini dan kesannya kepada sipengamalnya. Ini dinyatakan dalam firman Allah dari surah at-Taubah ayat 51 yang bermaksud
“Katakanlah tidak akan menimpa kepada kami selain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kami. Dialah pelindung kami dan hendaklah orang-orang yang beriman bertawakal kepada Allah “.
Syaitan senantiasa mencari jalan untuk memesongkan akidah umat Islam dengan cara menghasut dan menjanjikan kemewahan duniawi sehingga manusia lari dari landasan sebenar. Ini dinyatakan didalam surah al-Naml ayat 22.
“Dan syaitan itu telah menghiaskan bagi mereka amalan-amalan, lalu dihalangi mereka daripada jalan Allah S.W.T sehingga mereka tidak mendapat hidayat daripada Allah”.
Selain itu orang Melayu juga terkenal dengan kepercayaan sial majal serta sangat fanatik dengannya. Terdapat hadis-hadis yang menerangkan tentang golongan sebegini antaranya daripada Imam Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :
“Bukan daripada golongan kami sesiapa yang berasa sial pada dirinya atau meminta diramalkan kesialannya atau menenung nasib atau minta ditenungkan nasib atau menyihir atau minta disihirkan”.
Daripada sabdaan ini jelas menunjukkan besar dosanya apabila mengamalkan kepercayaan khurafat dan bahayanya bukan hanya pada si pengamalnya sahaja malah membabitkan masyarakat Islam amnya. Selain itu Nabi juga pernah bersabda bahawa :
“Membuat garis-garis ditanah, menganggap sial kerana alamat-alamat, melemparkan kekiri kerana adanya sesuatu kepercayaan adalah termasuk daripada yang menyembah Jibti (selain dari Allah) “.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKANNYA

Bagi masyarakat Melayu khususnya kepercayaan sebegini wujud secara turun-temurun. Walaupun Islam telah berkembang dengan pesatnya di Nusantara tetapi masih terdapat sebilangan kecil yang enggan membuang fahaman sebegini. Daripada rujukan yang boleh dipercayai didapati kepercayaan ini disebabkan oleh pengaruh animisme dan dinamisme, dan pengaruh Hindu.
Pengaruh Animisme dan Dinamisme
Kepercayaan mengenai kuasa-kuasa ghaib sememangnya sudah diketahui wujud bagi masyarakat di Nusantara. Mereka mempercayai bahawa setiap benda berjiwa dan mempunyai semangat. Akibat daripada itu mereka mengambil iktikad dan mempercayai bahawa jin, pelesit, penunggu dan sebagainya mempunyai kuasa yang dapat memberi kebaikan dan keburukan kepada mereka.

Pengaruh Hindu
Pengaruh Hindu yang datang terkemudian menyebabkan kepercayaan sebegini semakin menjadi-jadi terhadap perkara yang berunsur tahyul dan khurafat seperti percaya kepada kuasa-kuasa Dewa. Melalui kepercayaan ini juga wujudlah pertapaan dikawasan-kawasan tertentu di mana ia dikatakan berfungsi sebagai penghubung antaranya dengan Dewa-Dewa. Selain itu pengaruh Hindu juga turut menyebabkan wujudnya upacara-upacara seperti melenggang perut, berjambul dan sebagainya.

Pegangan agama yang kurang.
Kurangnya pegangan kepada agama Islam juga boleh dijadikan sebagai faktor utama kerana disebabkan lemahnya iman memudahkan mereka dipesong serta dihasut oleh syaitan. Mereka, masih mengguna pakai kepercayaan nenek moyang mereka yang secara terang-terangan bertentangan dengan hukum Islam. Kepercayaan sebegini juga boleh menyebabkan syirik.
Kesan-kesan
 Pengamalnya tidak bebas dalam berfikir.
 Menyebabkan lemah akal dan imannya. Ini disebabkan mereka menafikan kepercayaan kepada qadak dan qadar.
 Menyebabkan masyarakat malas berusaha, mudah berputus asa serta tidak bertawakal kepada Allah.
 Berlakunya pembaziran seperti menabur beras kuning serta menjamu penunggu.

SUMBER RUJUKAN
Pengantar Filasafat Agama. Dr. Aslam Hady. Penerbit CV. Rajawali Cetakan Pertama 1986.

Aliran-Aliran Kepercayaan Dan Kebatinan di Indonesia. M. As’ad El Rafidy. Cetakan Pertama 1977 oleh Ghalia Indonesia.

Dienul islam. Dr. Nasruddin Razak. Cetakan Kelima. Pt. AlMaa’rif 1982







No comments: