Tuesday, April 15, 2008

Kepercayaan Masyarakat Melayu Sebelum Dan Sesudah Islam

KEPERCAYAAN MASYARAKAT ALAM MELAYU SEBELUM DAN SESUDAH KEDATANGAN ISLAM


APAKAH MASYARAKAT ?
Mengikut Kamus Dewan (Edisi Baru) , masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama (dalam sesuatu tempat dengan aturan-aturan dan cara tertentu) serta pergaulan hidup. Mengikut Mutahhari, suatu masyarakat adalahkelompok-kelompok manusia yang saling terkait oleh sistem-sistem, adat-istiadat, ritus-ritus serta hukum-hukum khas, dan yang hidup bersama.

Kehidupan manusia bersifat kemasyarakatan, ertinya, bahawa secara fitrahnya ia bersifat kemasyarakatan. Hakikatnya, sifat kemsyarakatan itu wujud selama ada pembahagian kerja, pembahagian keuntungan dalam suatu peringkat tertentu tradisi dan sistem. Selain itu terdapat juga gagasan-gagasan, ideal-ideal, perangai-perangai serta kebiasaan-kebiasaan khas menguasai manusia umumnya. Dengan kata lain, masyarakat merupakan kelompok manusiayang di bawah seperingkat kepercayaan, ideal dan tujuan, tersatu dan bergabung dalam satu rangkaian kesatuan hidup bersama.

PENGENALAN ALAM MELAYU

Alam Melayu merupakan kawasan yang turut dikenali sebagai ‘Nusantara’. Ia merujuk kepada negara-negara di Asia Tenggara iaitu kepulauan-kepulauan Indonesia, Malaysia dan Filipina. Konsep Alam Melayu yang dipakai oleh UNESCO mengambil kira seleuruh rumpun Melayu-Polinesia dari Pulau Malagasi di sebelah barat dan Pulau Paskah di timur, Pulau Formosa, Hawaii di utara serta kepulauan Indonesia dan New Zealand sebelah selatan.

Alam Melayu terkenal sebagai ‘mutiara timur’. Muka buminya subur dengan pelbagai flora dan fauna serta menyimpan pelbagai khazanah sumber ekonomi di perut bumi dan di dasar lautnya. Di persadanya pelbagai kelompok etnik manusia hidup bersama. Ini menjadikan alam Melayu sebagai ‘Taman Kesuma Wicitra’ atau “Taman Aneka Bunga’ yang melahirkan falsafah kepelbagaian budaya dalam satu rumpun Melayu yang besar.

Dari perspektif sejarah, tamadun Melayu telah berusia lebih 5000 tahun dengan mengambil kira tamadun Melayu Deutro yang wujud sekitar 3000 tahun sebelum Masihi. Alam Melayu juga telah lama membina kebudayaannya yang tersendiri seiring dengan tamadun dunia yang lain. Dalam proses perkembangannya, ia melalui tiga peringkat utama iaitu :

(a) Tamadun Purba atau Pra-Sejarah (sehingga abad ke-3 Masihi)
(b) Tamadun Hindu iaitu mulai kedatangan pengaruh Hindu (abad ke-3 Masihi dan Arab jahiliah, hingga tahun1200 Masihi)
(c) Tamadun Moden iaitu selepas kedatangan Islam (1200 Masihi hingga kini
APAKAH ITU KEPERCAYAAN KHURAFAT?

Khurafat bermakna kepercayaan karut yang bertentangan dengan agama Islam juga terdapat kepercayaan-kepercayaan karut yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang maha suci. Kepercayaan ini diwarisi secara turun-temurun, dan satu generasi ke satu generasi. Ia menyalahi dasar-dasar ilmu tauhid dan diambil daripada punca-punca yang salah.

Kepercayaan karut ini sukar dihapuskan kerana ia sudah berakar umbi dalam jiwa orang-orang Melayu. Kepercayaan ini masih mendapat tempat dalam akidah orang-orang Melayu kerana mereka sudah menganggap kepercayaan itu adalah betul dan salah (5) .

ANUTAN DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

Anutan tertua masyarakat Melayu ialah Animisme. Animisme ialah kepercayaan kepada makhluk-makhluk, objek-objek ataupun roh (spiritual beings) . Kepercayaan ini berkait rapat dengan suasana kehidupan masyarakat yang bergantung kepada alam sekitar, muka bumi dan sebagainya untuk menggerakkan aktiviti pertanian yang menjadi sumber ekonomi mereka. Ia telah melahirkan satu bentuk hubungan yang erat antara manusia dan persekitarannya. Keakraban ini mewujudkan satu bentuk kepercayaan bahawa setiap yang ada di sekeliling mereka juga ‘hidup’ dan mempunyai ‘roh’, ‘semangat’ dankeperibadian tersendiri.

Di Nusantara kepercayaan animisme ini juga wujud dalam bentuk kepercayaan kepada ‘penunggu’ atau ‘puaka’ yang menghunu sesuatu tempat. Mereka turut meyakini makhluk-makhluk ini boleh mendatangkan kesan baik ataupun kesan buruk kepada mereka. Kepercayaan kepada animisme juga telah membawa kepada amalan beragama iaitu pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu yang dipercayai mempunya kuasa untuk mendatangkan kesan-kesan tertentu kepada si pemuja. Contohnya, masih ramai orang-orang Melayu memuja kampung mereka, ini bertujuan supaya kampung mereka berada dalam keselamatan dan kesejahteraan tanpa diganggu-gugat oleh jin, jembalang afrit, hantu raya, dan sebagainya. Mereka juga percaya jika tidak dilakukan tiap-tiap tahun atau tiga tahun sekali, ia akan membawa malapetaka atau orang-orang kampung akan digodai oleh jin iblis, dan sebagainya.

Satu lagi contoh yang berkaitan ialah orang Melayu mempercayai bahawa padi ada mempunyai semangat, tetapi semangat padi itu adalah wanita, sebab itu di rumah-rumah padi, mereka menyediakan alat-alat solek seperti sikat rambut, minyak rambut, bedak dan cermin muka. Mereka menyediakan semua itu agar semangat yang dipanggil sebagai Sri Danggolami itu sukacita. Untuk menjaga semangat padi supaya tidak melarikan dirinya, mereka mengadakan bermacam-macam pantang larang, antaranya ialah : Mengambil padi dari jelapang padi mestilah seorang wanita kerana dia bersifat lemah-lembut. Kalau tidak dijaga pantang larangnya, maka semangat padi akan kuarng dan seterusnya akan hilang.

Bila semangat itu lari maka akibatnya padi cepat habis hasil padi akan merosot Kepercayaan kepada animisme juga telah membawa kepada pantang larang. Masyarakat ini mempercayai melanggar pantang larang boleh membawa kecelakaan dalam hidup mereka. Pantang larang dalam adat-istiadat Melayu membawa pengertian bahawa sesuatu itu tidak boleh dibuat, tidak boleh dimakan, tidak boleh disebut dan sebagainya.

Keramat ialah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang banyak baktinya kepada Allah S.W.T. Segala yang dipohonkan adalah dimakbulkan oleh Allah kerana amat dikasihi. Keramat itu hanya berlaku ketika orang itu masih hidup. Mengikut pandangan Ismail Awang, keramat itu ialah suatu yang timbul atau sesuatu yang lahir, yang menyalahi adat dari sseseorang yang dianggap kekasih Allah, atau lazimnya disebut Wali Allah, sebagai Allah memuliakannya. Tetapi tidaklah menjadi syarat bahawa keramat itu harus sesuatu yang luar biasa atau menyalahi adat di kalangan manusia itu, biasanya orang seperti itu mudah mendapat sesuatu hajat. Keramat ini adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang soleh yang hampir kepada-Nya, untuk mematahkan atau melemahkan pendirian orang kafir. Tetapi mu’jizat ialah anugerah Allah kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Bezanya Rasul mendapat wahyu manakala Wali atau orang soleh tidak mendapat wahyu.

Tetapi jika sesuatu yang luat biasa itu lahir dari orang kebanyakan dari kalangan orang Islam, maka dikatakan “Ma’unah” (Pertolongan Allah) . Perkara yang luar biasa juga lahir dari kalangan orang kafir, seperti sami Buddha misalnya dapat menyembuhkan si sakit dengan begitu pantas sehingga mengkagumkan, yang membawa orang terpesona dengannya atau dia dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa maka ini adalah dinamakan sebagai “Istidraj”, iaitu dorongan untuk menyesatkannya dan menyesatkan orang yang mengikutinya.

Orang-orang Melayu kebanyakannya mempercayai sesuatu yang ganjil itu sebagai keramat, samada ianya terdiri daripada golongan manusia, binatang, pokok-pokok kayu, dan sebagainya. Mereka mempercayai bahawa keramat itu ada kuasa yang dapat memberi kesenangan dan kesusahan kepada manusia. Kepercayaan ini diwarisi dari semenjak orang-orang Melayu belum lagi memeluk agama Islam. Mereka juga percaya bahawa keramat itu mengharapkan balasan daripada segala kepenatan yang dilakukannya, oleh itu mereka menghantar pulut kuning, nasi kunyit, pisang dan sebagainya ke kubur keramat.

Hinduisme ialah bentuk kepercayaan yang datang dari pengaruh India ke Alam Melayu. Hubungan antara Alam Melayu dengan India telah terjalin sejak abad ke 2 M lagi. Kerajaan-kerajaan seperti Majapahit, Srivijaya dan lain-lain adalah kerajaan-kerajaan yang mendokong fahaman hinduisme. Selepas kedatangan pengaruh hindu, muncullah fahaman ‘sinkretisme’ iaitu percampuran antara agama Hindu-Buddha dengan unsur-unsur kepercayaan peribumi. Kesan dari proses sinkretisme ini jelas kelihatan dalam ciri-ciri agama Hindu-Bali yang masih kekal hingga kini. Sinkretisme dalam Hindu-Bali mewujudkan ciri-ciri perbezaan antara ‘Hindu-Bali’ dan ‘Hindu-India’ kerana ‘Hindu-Bali’ meliputii unsur-unsur kepercayaan peribumi dan kepercayaan agama Buddha (12) .

Dalam memperkatakan tentang pengaruh Hindu-Buddha di Alam Melayu, Prof S. M. Naquib berpendapat pengaruh Hindu dan Buddha semata diamalkan oleh suatu lapisan tipis struktur masyarakat sahaja. Ia merupakan agama yang dipertahankan oleh golongan istana serta golongan bangsawan sedangkan rakyat biasa mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap ajaran-ajaran tersebut. Van Leur menyatakan masyarakat Melayu-Indonesia itu bukanlah sebagai masyarakat Hindu kerana ia dianuti dengan bersungguh-sungguh oleh golongan bangsawannya sahaja. Sedangkan falsafah Hindu yang sebenar tidak juga difahami oleh mereka Ajaran yang mereka pegang adalah dalam bentuk pandangan hidup yang berteraskan kesenian serta upacara-upacara ritual demi untuk memperkukuhkan kedudukan golongan raja-raja dan bangsawan dalam masyarakatnya. Ia bukanlah satu ajaran yang berteraskan falsafah dan logik akal fikiran serta tidak mampu merubah pandangan hidup masyarakat di Alam Melayu itu sendiri.

TRANSFORMASI ASPEK-ASPEK AKIDAH DAN KEPERCAYAAN YANG BERTERASKAN ISLAM DI ALAM MELAYU

Kedatangan Islam nyata telah melakukan satu perubahan dalam aspek kepercayaan daripada alam tahyul dan khurafat, masyarakat telah diperkenalkan satu konsep akidah yang jelas iaitu akidah tauhid, ajaran tauhid yang bersifat metafizik ini menyelit unsur-unsur intelektualisme serta akidah kedalam pemikiran masyarakat. Ia telah menyebabkan timbulnya rasionalisma yang tidak pernah wujud sebelumnya. S. M. N al al-Attas (1972) menyatakan fenomena inilah yang telah mencetuskansatu semangat hebat yang mampu menggerakkan perubahan falsafah hidup masyarakat di nusantara ini.

Masyarakat mula meniggalkan alam mitos dan khayalan menuju alam pemikiran, akal serta peraturan-peraturan hidup yang jelas. Mereka mula percaya kepada rukun-rukun Iman dan Islam serta beribadat kepada Yang Maha Esa.

Sepanjang abad ke13-16 Masihi, Alam Melayu mengalami proses perubahan yang menghasilkan masyarakat yang putus dari tradisi pra-Islamnya kepada perubahan jiwa dan minda serta berpegang teguh kepada akidah, syariat, world view serta niali-nilai hidup Islam yang murini. Ia membuka laluan bagi Alam Melayu untuk bangkit menjadi ‘Khairu Ummah’, berusaha menghargai nilaidiri serta mempunyai sikap dan tabiat menghargai akal fikiran.

RUJUKAN

Mutahhari, Murthada (1986) Masyarakat & Sejarah : Kritik Islam Atas Marxisme & Teori Lainnya Bandong, Indonesia

Kamus Dewan (1993) K. Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementrerian Pendidikan Malaysia

Mohd Yunus b. Hj Yatim (1974) Bimbingan Pengetahuan Ugama Islam, Penerbitan Utusan Melayu (M) Berhad Kuala Lumpur.

Ismail b. Awang B. A. (Usuluddin) (1984) Adat Orang-orang Melayu Yang Bertentangan Akidah Islam, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, Kota Bharu

No comments: