Al Quran sebagai teras tamadun

AL-QURAN SEBAGAI ASAS TAMADUN ISLAM

DEFINISI TAMADUN ISLAM

Sesungguhnya pembicaraan definisi sesuatu perkataan atau istilah biasanya menimbulkan kekeliruan. Hal ini bertitik-tolak tentang wujudnya berbagai-bagai pendapat yang dikemukakan oleh sarjana dalam bidang yang berkaitan. Kelainanini merupakan fitrah semula jadi manusia yang sentiasa berbeza dalam cara berfikir di antara satu sama lain, yang timbul akibat daripada perbezaan latar belakang pendidikan, alam persekitaran, minat, sikap dan sebagainya. Demikian juga halnya dalam memberikan definisi tentang tamadun. Untuk memudahkan perbincangan dan kefahaman, mari kita lihat definisi tamadun dari aspek bahasa Malaysia dan bahasa Arab.

Bahasa Malaysia.
Tengku Iskandar di dalam Kamus Dewan mencatatkan pengertian tamadun sebagai kebudayaan, peradaban, kemajuan, sopan santun dan sebagainya.[1]
Mahmood Mohd Taib al-Najmi di dalam bukunya Sejarah Tamadun Islam mendefinisikan tamadun sebagai peraturan masyarakat yang dapat membantu manusia menambahkan hasil pengeluarannya sama ada dari segi pemikiran atau kebendaan.[2] Daripada huraian yang tersebut di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa dua istilah pernah digunakan untuk menghuraikan tamadun iaitu kata-kata kebudayaan, peradaban dan tamadun. Walaupun kata-kata ini berbeza dari segi sebutannya tetapi ianya membawa satu maksud yang sama iaitu pencapai manusia di dalam segala aspek kehidupan manusia sama ada dari aspek pemikiran, kerohanian, abstrak atau kebendaan.

Bahasa Arab.
Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi di dalam Qamus al-Marbawi, menjelaskan bahawa perkataan tamadun berasal daripada perkataan madana yang bermaksud kehalusan budi pekerti dan akhlak mulia seperti orang kota. Kamus tersebut juga menjelaskan bahawa kata tamadun membawa maksud kehalusan adat atau kemurnian pencapaian manusia yang hidup di kota yang memiliki peraturan yang baik sehingga berjaya menghasilkan keamanan, keselamatan, kemakmuran dan penghasilan teknologi yang membantu menyempurnakan kehidupan kota yang bahagia.[3]
Ali Md. Isa menjelaskan bahawa perkataan tamadun berasal daripada perkataan mudun yang membawa kota-kota. Kata tamadun di dalam bahasa Arab bermaksud ‘kemajuan yang dicapai oleh satu-satu bangsa di dalam membangun dan memodenkan diri mereka agar dapat duduk di tahap yang lebih tinggi’.[4] Kesimpulan daripada huraian yang tersebut di atas jelas menunjukkan bahawa maksud sebenarnya istilah tamadun serupa sahaja sama ada dalam bahasa Malaysia mahupun bahasa Arab. Tamadun Islam dalam erti kata yang paling ringkas ialah pencapaian manusia dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berpusat di kota dalam bentuk skrip, seni bina, ilmu pengetahuan, sains, teknologi, kepercayaan, undang-undang, politik dan sebagainya yang berasaskan kepada akidah, syarak dan akhlak dan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.



AL-QURAN

Al-Quran adalah kalamullah yang diwahyukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Di dalamnya terkandung risalah Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, sistem perundangan Islam, pengetahuan tentang alam ghaib, sistem moral, fakta-fakta sains, sejarah dan lain-lain lagi. Pembacaannya adalah suatu ibadah. Al-Quran juga merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang kemukjizatannya berkekalan sepanjang zaman. Al-Quran juga menjadi sumber rujukan dan pencetus kebanyakan bidang ilmu. Oleh itu, adalah wajar dikatakan bahawa al-Quran sebagai sumber inspirasi dan asas dalam membina Tamadun Islam kerana pendorong dan penggerak utama orang Islam ialah al-Quran.


AL-SUNNAH

Al-Sunnah didefinisikan sebagai apa yang datang daripada Rasulullah S.A.W. selain daripada al-Quran, meliputi perkataan, perbuatan dan persetujuan yang dijadikan dalil hukum. Peranan al-Sunnah ialah menjelaskan perkara-perkara yang tidak jelas dalam al-Quran dan memberi tafsiran bagaimana untuk melaksanakan apa yang kurang jelas dalam al-Quran.


ASAS-ASAS TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam merupakan satu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang tinggi dan dibentuk serta dibangunkan di atas asas-asasnya yang utuh dan padu bagi menjamin kesejahteraan masyarakatnya. Asas-asas tersebut ialah Akidah, Syariah dan Akhlak. Ketiga-tiga asas tamadun Islam ini saling bergantung dengan al-Quran kerana ia (al-Quran) menjadi sumber rujukan utama untuk Akidah, Syariah dan Akhlak di dalam Islam.


AKIDAH

‘Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami (Allah) anugerahkan kepada mereka’.[5]

Akidah ialah iman atau kepercayaan kepada Allah S.W.T. yang diikat oleh ucapan dua kalimah syahadah. Ia merupakan inti dasar kepada kewujudan tamadun Islam. Apabila seseorang individu itu beriman kepada Allah S.W.T. dia wajib mematuhi segala yang terkandung dalam tuntutan syahadatain yang diucapkannya. Seseorang yang berakidah Islam harus faham bahawa dengan menyebut ucapan dua kalimah syahadah tadi telah menyebabkan dirinya terikat dengan tanggungjawab serta komitmen yang tinggi terhadap Allah S.W.T. Bukan sekadar ketaatan yang mutlak kepada Allah S.W.T. sahaja bahkan seseorang yang mengaku berakidah Islam mesti menjadikan seluruh jiwa raganya serta hidup dan matinya untuk Allah S.W.T. semata-mata, serta menjauhi sebarang bentuk unsur-unsur syirik dan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam pelbagai bentuk dan corak. Konsep tauhid inilah yang telah melahirkan satu motivasi yang tiada taranya terhadap umat Islam di zaman awal untuk mempertahankan Islam. Penanaman akidah yang teguh telah menyebabkan seseorang itu sanggup mempertahankan kebenaran dan menumpaskan kebatilan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda demi mempertahankan akidah serta membuktikan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

‘Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadatku dan matiku hanyalah untuk Allah, tuhan memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’.[6]

‘Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu (tunggal) dan kamu sekalin berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah’.[7]

‘Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki mahupun perempuan serta ia beriman. Maka sesungguhnya akan Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan akan Kami sempurnakan mereka dengan balasan yang lebih baik daripada apa-apa yang mereka kerjakan’.[8]

‘Berpegang teguhlah kamu dengan agama Allah (bersatu padu) dan jangan berpecah belah’.[9]

‘Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia ! Telah dating kepada kamu kebenaran (al-Quran) dari tuhan kamu. Oleh itu ssesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (berimanlah kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”’.[10]

‘Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa beroleh pahala yang besar’.[11]


Demikianlah antara contoh-contoh terjemahan ayat-ayat suci al-Quran yang menunjukkan bahawa betapa berapa rapatnya dan saling kaitannya dengan akidah Islam.





SYARIAH

Syariah merupakan peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia. Ia bersifat muktamad. Manusia tidak berhak meminda apa-apa peraturan yang ditetapkan oleh al-Quran dan Al-Sunnah kecuali melalui jalan-jalan yang dibenarkan oleh Islam seperti melalui kaedah ijtihad yang boleh dilakukan dari semasa ke semasa terhadap perkara-perkata cabang dalam menyelesaikan persoalan-persoalan semasa yang berlaku dalam masyarakat manusia. Syariat Allah ini berjalanke atas manusia tanpa pengecualian. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

‘Seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong tangannya. Sesungguhnya telah binasalah umat-umat sebelum kamu di mana apabila orang-orang bangsawan mereka mencuri, mereka tidak bertindak tetapi apabila orang-orang yang lemah mencuri mereka pun menjalankan hukuman ke atasnya’.


Ini berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang sering terpengaruh oleh perasaan atau sentimen menyebabkan nilainya menjadi goyang dan sentiasa berubah-ubah. Undang-undang Allah mencakupi segenap bidang kegiatan manusia dari gerak harian seseorang individu hinggalah kepada soal-soal kenegaraan. Dari sini proses pembangunan manusia adalah terkawal supaya dapat melahirkan tamadun yang sempurna dan seimbang sesuai sekali dengan fitrah manusia. Dalam hal ini Islam menolak sebarang pembinaan tamadun dan perancangan yang di luar batasan syariat. Dalam Al-Quran menjelaskan persoalan ini supaya kita sebagai manusia berfikir.

‘Apakah hukum (peraturan) jahiliah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin’.[12]











AKHLAK

Akhlak menurut perspektif Islam meletakkan keimanan seseorang kepada Allah dalam bentuk praktis. Ini bererti setiap perlakuan dan tindakan manusia mestilah berteraskan keimanan serta akidah tauhid yang mutlak. Aspek keimanan tadi mesti dijelmakan dalam bentuk amalan soleh. Islam tidak mengukur kegemilangan sesuatu bangsa berdasarkan ketinggian percapaian dalam aspek kebendaaan semata-mata kerana ia bukan merupakan matlamat kepada tamadunnya. Apabila pembinaan sesebuah tamadun mengkesampingkan soal-soal akhlak, ia akan mengakibatkan berlakunya kepincangan kepada tamadun tersebut. Oleh itu Islam amat mementingkan akhlak dalam pembinaan tamadun supaya dapat mengimbangi potensi dan kecenderungan individu dan masyarakat ke arah kebaikkan dan sesuai dengan matlamat pencipta manusia serta matlamat risalah Nabi Muhammad S.A.W. Manusia dijadikan oleh Allah bukan sekadar untuk memenuhi keperluan material semata-mata tetapi untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar mengabdikan diri kepada-Nya. Dalam hal ini jelas sekali ahklah merupakan kayu pengukur kepada nilai dan kualiti sesuatu tamadun yang dibina oleh manusia. Ia tidak akan dapat direalisasikan sekiranya tidak berpegang teguh kepada akidah serta mempraktikkan segala syariat Islam dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

‘Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadanya ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikamt Allah orang yang bersaudara dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat Nya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.’[13]

‘Jika ada dua golongan daripada orang mukmin berperang, maka damaikan antara keduanya. Dan jika salah satu daripada kedua-duanya berbuat aniaya terhadap golongan satu lagi, maka perangilah golongan yang membuat aniaya itu sampai golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali kepada perintah Allah, maka damaikanlah keduanya dengan saksama dan berlaku adillah kerana sesungguhnya Allah menyukai kepada orang yang berlaku adil.’[14]

Amat jelas ketegasan Al-Quran dalam usaha pemupukan permaufakatan dan perpaduan umat Islam seperti yang tercatat di dalam terjemahan ayat di atas.










KESIMPULAN

Al- Quran sahajalah yang dapt menberikan ubat yang paling serasi dan mujarab bagi mengekalkan dan mengabadikan perpaduan (tamadun Islam) yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan keturunan tanpa ada alternatif lain. Paling utama dan paling digalakkan oleh Al-Quran ialah agar semua manusia di dunia ini menjadi Islam. Al-Quran secara langsung dan tepat menberikan penerang kepda pembacanya tentang cara-cara kehidupan dan ke arah pengujudan suatu tamadun yang unggul (tamadun Islam).

‘Apakah mereka masih mencari agama lain selain agama Allah. Pada hal kepada Allah telah menjadi Islam (menyerah) diri segala apa yang di langit dan bumi, baik dengan sukar mahu pun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka dikembalikan.’[15]

[1] M/s 521,Tengku Iskandar,Kamus Dewan,Kuala Lumpur.
[2] M/s 194,Mahmood Mohd Taib al-Najmi,Sejarah Tamadun Islam.
[3] Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi,Qamus al-Marbawi.
[4] M/s131,Ali Md. Isa,The Renaissance of Islam,Kuala Lumpur.
[5] Terjemahan ayat 2, surah al-Baqarah.
[6] Terjemahan Surah al-An’am,ayat 162.
[7] Terjemahan Surah an-Najm,ayat 39.
[8] Terjemahan Surah an-Nahl,ayat 97.
[9] Terjemahan Surah Ali Imran,ayat 103.
[10] Terjemahan Surah Yunus, ayat 108.
[11] Terjemahan Surah al-Isra’,ayat 9.
[12] Terjemahan surah Al-Maidah, ayat 50.
[13] Terjemahan surah Asy-Syams ayat 7.
[14] Terjemahan surah Ar-Rum ayat 20.
[15] Terjemahan surah Al-Kahfi ayat 30.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com