Tuesday, April 15, 2008

Al Quran dalam Tamadun Islam

PENDAHULUAN


Tamadun Islam ialah tamadun yang didirikan oleh masyarakat muslim dari abad ke 7 M hingga kini. Ia merupakan sebuah tamadun yang sepadu dengan menitikberatkan penekanan kemajuan kerohanian serta kebendaan. Dalam jangkamasa tersebut pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi Turki, India dan lain-lain lagi telah bersama-sama bergabung di bawah naungan islam kearah membina sebuah tamadun yang agung hingga muncul bandar-bandar dan kota-kota terkemuka didunia suatu ketika dahuluseperti Madinah, baghdad, Cordova, Iskandariah dan lain-lain lagiyang telah menjadi pusat-pusat penting perkembangan tamadundan kebudayaan islam seterusnya menjadi pusat tumpuan dunia dalam hal-hal keilmuan dan sebagainya.
Bukan itu sahaja bahkan tamadun islam telah memberi sumbangan yang tidak ternilai dari segi kemanusiaan. Tamadun islam lah yang telah berjaya meletakan manusia sesuai dengan martabatnya. Mengeluarkan manusia dari kegelapan jahilliyyah kepada cahaya islam yang terang benderang. sinarannya bukan sahaja menerangi tanah Arab tetapi juga Eropah dan seluruh pelusuk alam.

Konsep Tamadun Islam

Seorang sarjana Islam Muhammad Asad telah menyifatkan tamadun Islam adalah sebuah tamadun yang berideologi di mana al-Quran adalah sumber ideologi tersebut sekaligus menjadi justifikasi yang unggul.

Manakala Prof. Ismail Al-Faruqi pula menulis dalam kertas kerjanya “Islam The Civilizing Force” menjelaskan bahawa tauhid merupakan intidasar kepada tamadun islam. Ia memberi gambaran dan membentuk cara berfikir dan tingkahlaku umat islam kejalan yang diredhai oleh Allah. Ia emrupakan penggerak serta pembentuk identiti dan kebudayaan dalam tamadun Islam.

Jelas sekali konsep tamadun islam tidak sama dengan tamadun-tamadun yang lain. Selain dari tamadun islam ,memang terdapat berbagai-bagai tamadun manusia didunia ini. Ia didirikan oleh satu bangsa pada suatu masa atau tempat. Contohnya tamadun Greek, Cina, Parsi, India dan sebagainya.

Dari pandangan islam pula, seorang sarjana islam M.A.J Beg telah mengemukakan satu teori tentang tamadun ini. Menurutnya didunia ini hanya terdapat dua sahaja konsep tamadun iaitu tamadun Islam dan tamadun barat. Apabila sesebuah tamadun itu memenuhi ciri-ciri yang digariskan oleh islam ia dikatakan sebagai sebuah tamadun islam, manakala apabila ia tidak emnepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh islam seperti sekular atau meterialistik ia, dikategori sebsgai tamadun barat. Ringkasnya semua bentuk tamadun yang bersifat sekular dikatakan sebagai tamadun barat.

Definasi dan perkembangan peristilahan

Terdapat berbagai istilah tamadun yang digunakan oleh kebanyakan sarjana.dalam bahasa Arab terdapat empat istilah yang membicarakan tamadun iaitu Umran, hadharah,Madaniyyah dan tamadun.

Umran adalah kata terbitan dari kata dasar ‘amara’yang bererti kawasan tanahyang didiami , tinggal menetap, berkembang subur lagi makmur, yang sebaliknya ialah kawasan kering, tandus ,terbiar dan binasa.dala pengertian yang lain ‘umran’ menyataakn makna tinggal menetap yang menjadi asas kepada semua tamadun. Untuk menjelaskan lagi konsep ‘umran’ , beberapa ciri iaitu;
Ø pegangan aagma yang kuat
Ø sistem kenegaran yang tersusun rapi
Ø kehidupan cara bandar
Ø pencapaian sistem penulisan yang tinggi
Ø kepakaran dala senilukis dan seni reka

Jelas disini konsep yang diutarakan merangkumi semua aspek ekmajuan dalam masyarakat.

‘Hadharah’ bermaksud suatu wilayah ,daerah, kota , bandar, kampung atau tanah yang diusahakan berlawanan dengan badawah.Badawah yang selaludifaham sebagai hidup ditepi-tepi bukit yang bergantung kepada pertanian dan pentrnakan sebagai sumber utama sedangkan hadharah mmberi maksud kehidupan yang maju berasaskan perindustrian dan perniagaan.

Istilah ;Madaniyyah’ pula muncul pada abad ke20 penulis telah menggunakan perkataan tersebut dalam penulisan-penulisan mereka. Istilah ini mempunyai perkaitan dengan tamadun atau kebudayaan bandar kerana ia diambil dari perkataan arab iaitu Madinah.Madinah yang membawa eri membina , mendirikan bandar, menaikan tahap beradab, menghaluskan budi pekerti, menimbulkan sifat keinsanan sejati serta menjauhi sifat kebinatangan dan telah mencapai tahap kehalusan budi pekerti serta kebudayaan yang luhur.

Apabila kita merujuk kepada bahasa melayu, tamadun diertikan oleh kamus dewan bahasa sebagai kebudayaan, peradapandan kemajuan. Peradapan diertikan sebagai kemajuan yang meliputi kehidupan fizikal dan spritual sesuatu bangsa atau masyarakat.

Tamadun islam manifestasi kemajuan dan pembangunan yang dibina oleh masyarakat islam berlandaskan ciri-ciri islam . Penekanan dalam pembinaan tamadun islam adalah merangkumi aspek spiritual , meterial dan intelektual.

SUMBER UTAMA TAMADUN ISLAM

Al-Quran sebagai sumber utama tamadun Islam

Al-quran adalah kalam (perkataan) Allah s.w.t yang di mu’jiz dan diturunkan kepada Nabi Muhammad dengan lafaz dan makna. Ia mengandungi 114 surah yang terdiri daripada tidak kurang 6000 ayat. Tamadun Islam tegak diatas dasar Illahi yang terpancar didalam Al-quran al-qarim yang dijelaskan dan diperincikan oleh As-sunnah. Ia mengandungi segala nilai, dasar,prinsip serta hukum untuk membimbing manusia bagi mencapai perhubungan dan kesempurnaan hidup. Ia juga merangkumi konsep ketuhanan, pengetahuan tentang perkara ghaib, asas perundangan, moral, fakta-fakta sains, sejarah manusia dan lain-lain lagi.[1]
Tinjauan pelbagai perspektif
Dari sudut sejarah, Al-Quran memperlihatkan beberapa ciri penting tentang sejarah dan hubungannya dengan tamadun manusia melalui peristiwa-peristiwa dan beberapa contoh umat manusia yang terdahulu. Ia bermula dengan kisah para nabi (a.s) kemudian kisah kaum seperti ‘Ad, Thamud, Lut Firaun hinggalah kepada kerajaan Saba’ dan sebagainya. Tujuan utama kisah-kisah ini dipaparkan antara lain adalah supaya dijadikan contoh dan teladan dalam hidup manusia.


“sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal” (Surah Yusuf,12:111)

Konsep dan falsafah sejarah menurut Al-Quran berbeza sama sekali dengan konsep dan falsafah sejarah barat. Islam tidaklah mementingkan aspek-aspek kerohanian sahaja dengan membelakangkan aspek-aspek kebendaan dan kemanusiaan seperti yang dianjurkan oleh Arnold J. Toynbee, seorang sejarawan Inggeris yang telah menulis sebuah buku A Study of History sebanyak 12 jilid, atau mementingkan kebendaan semata-mata dengan melupakan aspek kerohanian sebagaimana yang dikemukakan oleh Karl Marx . Islam tetap mementingkan kedua-duanya sekali.

Al-Quran merupakan sumber utama sejarah islam. Al-Quran emlihat sejarah secara keseluruhan dan secara tidak berasingan daripada aspek-aspek fizikal, kerohanian dan mental.

Dari sudut sosial, Al-Quran merupakan sumber rujukan dalam masalah sosial. Setiap konsep dalam sistem sosial dijelaskan oleh islam yang dinamakan syari’at . Syari’at memandu manusia untuk menyusun kehidupan supaya terjamin agama, nyawa, akal, zuriat dan harta.

Dari sudut politik , pentadbiran menurut islam berlandaskan al-Quran .berdasarkan perintah Al-Quran pentadbiran negara dibuat mengikut konsep syura . Ia telah dijalankan dengan jayanya oleh rasulullah s.a.w dandiikuti selepasnya oleh Khulafa’ al-Rasyiddin .

Dari sudut ekonomi dan kewangan , Islam telah menggariskan konsep dan prinsip tertentu dalam urusan ekonomi. Sumber-sumber perolehan harta, konsep penggunaan dan agihan telah di jelaskan dan dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kewangan islam . Kaedah koleksi harta, organisasi yang terlibat serta peraturan-peraturan am mengenainya telah di garisakn .


Kedudukan Al-Quran

Kedudukan Al-Quran dalam hierki ilmu adalah sebagai teras epistemologi

Teras Epistemologi
Berasal dari perkataan Yunani “episteme” (knowledge). Epistemologi bermaksud kajian tentang fitrah dan kesahihan ilmu. Ia merupakan falsafah yang membicarakan hakikat, makna, kandungan , sumber dan proses ilmu. Persoalan ilmu mendapat perhatian utama pada zaman ini, ketika ahli fikir Islam berhadapan dengan cabaran peradaban barat. Kehebatan peradaban Islam diteroka melalui epestemologi berasaskan Al-Quran .
Pendapat tentang ilmu
Yusuf al-Razi (916M)
Ilmu (adab) mengharuskan kefahaman ilmu, ilmu melengkapakan tindakan yang benar,tindakan yang mengangkat kebijaksanaan.
Abu Hatim al-Razi (810-890M)
Orang yang bijaksana adalah orang yang menggabungkan ilmu dan amal.

al-Kindi (796-873M)
Kebijaksanaan ialah kecermerlangan kekuatan rasional, ilmu tentang alam semesta ,realitinya dan penggunaannya dalam bentuk tindakan realiti mesti dimanfaatkan.

Aristotle (364 sebelum masehi)
Ilmu merupakan kurnian pencipta dan kebijaksanaan adalah kehadirannya[2]


Kewujudan cabang ilmu bertunjangkan al-Quran.

Banyak saranan al-Quran menyentuh agar setiap muslim mengkaji, meneliti, memerhati , memikir, menganalisis kesepaduan ilmu daalm berbagai-bagai bidang terutama sekali mengenai konsep ketauhidan dan ketaqwaan.Antara bidang tersebut ialah pertamanya sejarah. Kisah-kisah Fir’aun , bani Israel dan banyak lagi dipaparkan dalam al-Quran . Semua kisah dan sejarah ini diutarakan agar dapat mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang berlaku.
Rujuk al-Quran surah Yusuf 12:111 dan al-Nahl 2:84

Keduanya bidang biologi..Banyak ayat al-Quran yang menyentuh bidang biologi yang berkaitan dengan tumbuhan, haiwan dan kehidupan seni. Al-Quran menggesa manusia supaya mengkaji, menyiasat,memikir dan merenung tentang keagungan ciptaan tuhan.
Rujuk al-Quran surah an-Nur 24:45 dan an-Nahl 16:66

Ketiganya bidang anatomi. Bidang anatomi merupakan satu cabang daripada bidang sains yang berkaitan dengan ilmu kedoktorandan biologi.
Disebut dalam al-Quran ,surah al-Infitar 82: 6-7

Keempatnya sosiologi. Salah satu bidang yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. ia membincangkan interaksi dan komunikasi antara sesama manusia. Al-Quran mengaitkan bidang sosiologi denga konsep ketaqwaan manusia kepada Allah.
rujuk al-Quran surah al-hujarat 49: 13

Kelimanya geologi dan geografi. Kedua-dua bidang ini mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain.
rujuk al-Quran surah as-Syuara 26:7-8, an Naml 27:61, al-Baqarah 2;74

Keenamnya astronomi. Juga dikenali dengan ilmu falak, iaitu pengetahuan tentang kedudukan pergerakan dan perkiraan serta tafsiran yang berkaitan tentang bintang.
rujuk al-Quran surah al-An’am 6:79

Kesemua bidang ilmu tersebut dan banyak lagi bidang ilmu yang lain terpancar dan bertunjangkan al-Quran . Hasil inspirasi daripada al-quran telah menggerakan para cendiakawan Islam untuk mengkaji pelbagai bidang ilmu. Kejayaannya menguasai setiap bidang telah memberi banyak manfaat kepada seluruh manusia.[3]
AL-QURAN SEBAGAI SUMBER INSPIRASI


PENDAHULUAN

Inti ajaran Islam adalah tauhid, iaitu persaksian bahawa tiada tuhan kecuali Allah. Walaupun singkat, tetapi ia mengandungi beberapa prinsip yang merupakan inti ajaran Islam.[4]

Pertama: Bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang bermakna reality ada dua, yang terdiri dari suatu alam tabii atau makhluk dan suatu reality transendens atau pencipta. Tauhid mengkehendaki bahawa alam tabii jangan di pertuhankan dan tuhan yang transendens itu jangan dibendakan.Kedua-dua reality itu harus tetap berasingan.

Kedua: Bahawa Tuhan adalah punca segala kekuasaan dan segala kekuasaan ditangan makhluk termasuk manusia hanyalah nisbi dan diserahkan kepadanya sebagai amanah.

Ketiga: Bahawa manusia sahaja diantara makhluk-makhluk tuhan yang sanggup bertindak secara bebas, dan bebas pula menjalankan tindakan itu atau tidak. Kebebasan ini memberi manusia beban istimewa,iaitu tanggungjawab. Tanggungjawab ini memberi tindakan manusia ciri-ciri moral, sebab moral itulah yang dikerjakan dengan kebebasan, iaitu dikerjakan oleh seseorangyang mengerjakannya atau tidak mengerjakannya. Tindakan serupa ini merupakan penjelmaan daripada Iradah tuhan.[5]

Keempat: Sebab manusia adalah makhluk yang termulia maka ia diangkat sebagai khalifah Allah diatas bumi untuk mengatur sumber-sumber bumi itu. Untuk mengatur sumber-sumber itu ia di beri tuhan potensi-potensi yang dapat dikembangkan tetapi haruslah dengan tanggungjawab atau amanah.Jadi manusia dalam pandangan Islam bukanlah makhluk yang hina dina atau berdosa semulajadi seperti pandangan berbagai agama lain, oleh sebab itu ia tidak perlu diselamatkan , sebaliknya dalam islam dikenal kebahagiaan atau kejayaan dalam fisiologi dikenal sebagai istilah kesihatan mental.

Jadi perbincangan tentang inti dasar ajaran Islam yang tersimpul dalam istilah tauhid tidak dapat tidak melibatkan perbincangan tentang alam sejagat atau makhluk , tentang manusia walaupun merupakan sebahagian daripada alam sejagat tetapi mempunyai keistimewaan berabnding dengan makhluk lain dan terakhir mengenai wahyu tuhan dalam kitab suci. Ketiga-tiga aspek ini penting sebab disitulah tuhan memanifestasikan iradah-Nya.

Dengan kata lain,iradah Allah dapat ditemukan pada alam sejagat, pada diri manusia dan pada kitab suci. Dengan kata yang lebih sederhana lagi ayat Allah terpampang di alam sejagat, pada diri manusia dan dalam kitab suci. Tetapi kerana wadah tempat terpampangnya tanda-tanda Allah itu berbeza-beza, maka kaedah yang digunakan untuk mencarinya juga berbeza-beza. Itu sebab kaedah penyelidikan sains tabii berbeza dengan kaedah penyelidikan sains kemanusiaan, dan selanjutnya berbeza-beza dengan kaedah penyelidikan pengetahuan yang diwahyukan. Semuanya mengkaji tanda-tanda Allah tetapi cara dan keadannya berlainan.

Jadi, Islam membawa pandangan hidup berkenaan dengan alam sejagat, manusia dan masyarakat yang dapat disimpulkan seperti berikut:

Islam membawa gambaran yang paling sempurna tentang alam sejagat.Ia adalah satu kesatuan yang utuh , setiap bahagianya berpadu dengan yang lain. Setiap wujud ada rahsia dan hikmahnya yang sejalan dengan tujuan wujud itu. Sebab wujud itu adalah kesatuan yang utuh, bentuknya selaras dan system itu disiapkan dan sesuai bagi kehidupan secara umum dan bagi wujud manusia secara khusus, begitu juga kerana kekuatan alam sejagat itu di ciptakan agar kerjasama dengan manusia dan menjadi teman kepadanya , maka haruslah manusia mengkaji, mengenal dan memahami rahsianya dan caranya adalah ilmu. Tidak ada permusuhan antara Islam dengan ilmu, malah Islam menganggap ilmu yang membawa kepada mengenal Allah adalah kewajipan suci, termasuk kewajipan agama.Orang-orang Islam awalan menyedari pentingnya ilmu untuk mengkaji alam sejagat . Mereka menciptakan kaedah eksperimental yang terpengaruh dengan sifat semulajadi Islam dan diperintah oleh Al-Quran yang bertubi-tubi agar berfikir, bermenung menyelidiki langit dan bumi, begitu juga diri manusia sendiri.
Islam mempunyai pandangan khas terhadap manusia , iaitu pandangan yang menyeluruh dan seimbang. Manusia adalah khalifah Allah yang diangkatNya , dipersiapkanNya dengan bakat-bakat yang menolongnya dalam kedudukannya dan dijadikan semua dibumi untuk Dia.Inti kekhalifahan manusia ini tergambar dalam penggunaan akal membawa perintah-perintah Allah menunaikan amanah.Sifat semulajadi manusia dalam Islam adalah ia terdiri daripada badan yang kasar yang emmiliki penggerak-penggerak, syahwat dan roh yang halus yang memiliki keinginan dan cita-citanya. Islam tidak memisahkan antara keduanya. Sifat semulajadi yang dualis pada manusia adalah fitrah yang diciptakan Allah sesuai dengannya dan ia membolehkan menjadi khalifah di bumi. Tugas manusia adalah menyebarkan kebenaran , keadilan ,dan kebaikan sedang ia tidak dapat tercapai tanpa manusia itu sendirimencerminkan kebenaran ,keadilan dan kebaikan.
Agar manusia mencipta masyarakatnya maka ia memulakan dengan membebaskan manusia dari penyembahan ekpada selain Allah. Bila perasaan manusia sudah bebas maka tercapailah harga diri dan kemuliaan dan tetaplah pada dirinya rasa bangga dengan kebenaran danmemelihara keadilan.Untuk mencipta persamaan ini Islam mengakui kesatuan umat manusia. Islam juga mendirikan masyarakatnya atas dasar jaminan sosial . Jadi masyarakat Islam adalah masyarakat moral yang menggunakan ilmu yang betul , terbuka kepada semua tamadun .[6]




PENUTUP


Al-Quran adalah kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada selurah manusia. Didalamnya terkandung risalah Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, sistem perundangan islam, pengetahuan tentang alam ghaib, sistem moral, fakta-fakta sains, sejarah dan lain-lain lagi. Pembacaannya adalah satu ibadah. Al-Quran juga merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w yang mana kemukjizatan berkekalan sepanjang zaman. Al-Quran juga merupakan sumber pencetus kebanyakan bidang ilmu.Oleh itu wajar dikatakan bahawa Al-Quran sebagai sumber inspirasi daalm membina tamadun islam kerana pendorong dan penggerak utama orang islam adalah Al-Quran.
[1] Tamadun Islam, Hj Ahmad Fauzi HJ Morad,Ahmad Tarmizi Khalid,Penerbit Universiti Putra Malaysia,1997
[2] Tamadun Islam, Hj Ahmad Fauzi HJ Morad,Ahmad Tarmizi Khalid,Penerbit Universiti Putra Malaysia,1997
[3] Tamadun Islam, Hj Ahmad Fauzi HJ Morad,Ahmad Tarmizi Khalid,Penerbit Universiti Putra Malaysia,1997
[4] Tamadun Islam dan ideologi-ideologi masa kini, Prof. Dr. Hassan langgulung,Penerbitan Nadhi,1986
[5] Tamadun Islam dan ideologi-ideologi masa kini, Prof. Dr. Hassan langgulung,Penerbitan Nadhi,1986
[6] Tamadun Islam dan ideologi-ideologi masa kini, Prof. Dr. Hassan langgulung,Penerbitan Nadhi,1986


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com


1 comment:

siawyeng said...

boleh tolong jelaskan bahawa kesepaduan ilmu membawa kemajuan kepada sesebuah tamadun?