Tuesday, April 15, 2008

Akidah sebagai asas Tamadun Islam

AQIDAH SEBAGAI ASAS TAMADUN ISLAM

Tamadun islam merupakan satu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang tinggi dan dibentuk sera dibangunkan diatas asas-asasnya tang utuh dan padu bagi menjamin kesejahteraan masyarakatnya.

Akidah ialah iman atau kepercayaan kepada Allah yang diikat oleh ucapan dua kalimah syahadah. Ia merupakan inti dasar kepada kewujudan tamadun islam. apabila seseorang individu itu beriman kepada Allah, dia wajib mematuhi segala yang terkandung dalam tuntutan syahadatain yang diucapkannya. Seseorang yang berakidah islam harus faham bahawa dengan menyebut dua kalimah syahadah tadi telah menyebabkan dirinya terikat dengan tanggungjawab serta komitmen yang tinggi terhadap Allah. Bukan sekadar ketaatan yang mutlak kepada Allah saja bahkan seseorang yang mengaku berakidah islam mesti menjadikan seluruh jiwa raganya serta hidup dan matinya untuk Allah semata-mata serta menjauhi sebarang bentuk unsur-unsur syirik dan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam pelbagai bentuk dan corak. Konsep tauhid inilah yang telah melahirkan satu motivasi yang tiada taranya terhadap umat islam dizaman awal untuk mempertahankan islam. Penanman aqidah yang teguh telah menyebabkan seseorang itu sanggup mempertahankan kebenaran dan menumpaskan kebatilan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda demi mempertahankan aqidah erta membuktikan ketakwaan kepada Allah S.W.T. [1]

SEJARAH PERKEMBANGAN AQIDAH

Ilmu untuk menetapkan aqidah berdasarkan dalil secara kukuh telah lahir bersama munculnya islam itu sendiri. Untuk itu aqidah dan ilmu berkaitan dengannya telah melalui peringkat zaman dan masa tertentu, iaitu :

1. Aqidah zaman nabi dan Sahabat
2. Aqidah akhir zaman sahabat
3. Aqidah zaman Umaiyyah [2]

1. AQIDAH ZAMAN NABI DAN SAHABAT


Umat islam dan para sahabat pada zaman rasulullah menerima terus segala ajaran yang dibawa oleh rasulullah tanpa banyak persoalan dan kiranya ada persoalan dan tidak faham mereka terus menemui rasulullah danmeminta penjelkasan. Antara lain juga Rasulullah sendiri pun sememangnya menjelaskan segala perkara yang menimbulkan kemusykilan dan kekeliruan dikalangan para sahabat. Justeru itu, pada masa Rasulullah, persoalan aqidah khasnya perkara yang berkaitan dengan sifat 20 atau sifat ketuhanan tidak timbul. Antara lain factor tersebut tidak berlaku kerana para sahabat dapat memahami ayat Al-Quran atau sifat Allah sebagaimana yang disifatkan oleh Allah didalam Al-Quran dan hadis. Antara lain juga para sahabat menerima dan memahami kandungan Al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan aqidah dan sifat-sifat Allah khasnya tanpa mempersoalkan makna disebaliknya. Untuk itu, pada zaman nabi kepercayaan umat islam adalah sangat kukuh dan teguh, contohnya : dengan beberapa ayat daripada Al-Quran seperti dalam Surah Al-Ikhlas

Dengan ayat itu sudah cukup kukuh untuk menjadi pegangan mereka. Untuk itu ilmu Tauhid atau permasalahan aqidah belum timbul secara langsung atau belum muncul sebagai suatu ilmu yang berpecah serta sendiri. namun begitu, semenjak zaman nabi perbahasan ilmu Tauhid telah dipelajari terutama sewaktu berdakwah di Mekah, perkara Tauhid merupakan perkara yang amat ditekankan oleh Nabi.


Zaman nabi, Baginda menyatukan umat dan kaum muslimin serta menjaga kedaulatan Islam. Untuk itu juga semua kaum muslimin mengembalikan apa sahaja masalah mereka kepada nabi. Antara lain juga, para sahabat pada masa itu disinari oleh cahaya hidayat dan Al-Quran. Antara lain juga, nabi sentiasa mengawal mereka daripada perpechan dalam masalah aqidah merupakan suatu perkara yang besar dan masalah yang ditakuti. Untuk itulah kaum muslimin sentiasa diingatkan supaya mentaati Rasul dan ditegah daripada berselisih. [3]

Namun begitu, manussia telah dikurniakan akal fikiran, maka begitu juga para sahabat ada diantara dan kalangan mereka yang memiliki tabiat suka mengambil tahudan berfikir yang telah mendorong sesetengah sahabat untuk memikirkan zat Allah. namun begitu, rasulullah menegah mereka berbuat demikian, sebagaimana sabda yang diriwayatkan daripada Abu Nu’aim


Antara lain juga,nabi telah menegah dan melarang daripada berbantah dalam masalah Qadar. Dimana pada suatu ketika nabi menemui para sahabat sedang waktu itu mereka sedang berdebat tentang perkara Qadar,

Dalam keadaan lain, nabi menyuruh supaya membuat pertimbangan dan meneliti apa yang diterima atau daripada ahli kitab, iaitu tidak membenarkan terus apa yang mereka katakana dan tidak mendustakan semuanya.

Disebabkan apa yang telah nabi disampaikan itu adalah terang,jelas dan nyata maka ia tidak perlu diperdebatkan lagi. Antara lain juga Al-Quran menyuruh Rasul-Nya menghadapi kaum dengan memberi nasihat dan peringatan.

Apabila perlu ada kepada pertukaran fikiran maka hendaklah dilakukan dengan cara yang paling baik dan perbincangan yang mendatangkan tujuan yang baik. antara Al-Quran mengarahka akal manusia daripada dalil akal dan menghindarkan perdebatan dan perselisihan. [4]

Para sahabat telah beriman sepenuhnya dengan aqidah serta menyerahkan segala jiwa mereka dengan penuh keyakinan dan ketaatan kepada Allah. Dengan itu, pada masaitu tidak timbul permasalahan aqidah. Antara lain pada waktu itu,wahyu sedang diturunkan, mereka juga hadir dan hidup dalam suasana dengan berdamping diri dengan rasulullah, dengan itu nilai penghormatan dan persahabatan dengan Nabi begitu kukuh dan menyebabkan mereka tidak timbul sebarang keraguan dan tidak ada apa-apa syak terhadap aqidah yang mereka terima daripada rasulullah itu.

Dalam peersoalan dan permasalahan yang berkaitan sifai-sifat Allah, semua para sahjabat beriman dan menerima sepenuhnya daripada nabi dan mengikut apa yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis. Penerimaan para sahabat juga sepenuhnya tanpa ada rasa keraguan atau kemusykilan terhadap apa yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis tersebut. Dalam konteks lain juga para sahabat tidak berselisih diantara mereka dalam perkara yang berkaitan dengan al-Sifat,al-Asma’al-Husna dan al-Af’al. Semua para sahabat mensabitkan sebagaiman ayang terdapat atau dijelaskan melalui al-Quran dan al-Hadis dengan penuh keimanan dan penerimaan.

Apa yang dijelaskan oleh al-Maqrizi, dimana para sahabat dizaman hayat Rasulullah tidak mengemukakan persoalan –persoalan yang berkaitan Qada’dan qadar, sifat Allah dan zatNya atau juga tidak bertanya perkara yang berkaitan dengan ayat-ayat mutasyabihat. Para sahabat hanyalah bertanya dalam perkara yang berkaitan dengan hukum hakam, ibadat dan cara melakukannya dengan sempurna. Bukti dan secara logiknya dapat kita nilai dimana kiranya perkara tersebut ditanya oleh para sahabat, sudah tentu terdapat hadis yang menjelaskan tentang hukum halal dan haram, kiamat dan lain-lain. Sebagai contohnya dalam surah al-tarmizi terdapat bab yang dinamakan dengan : larangan membicarakan berkaitan Qadar secara mendalam. Dimana dalam perkara itu terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, katanya bermaksud : Rasulullah kelur menemui kami sedangkan waktu itu kami kami berselisih dan bertengkar tentang soal qda’ dan qadar. maka baginda memarahi kami sehingga merah padam muka baginda, lalu baginda bersabda “ Apakah ini yang disuruh kepada kamu? Atau apakah aku diutuskan kerana itu ? sesungguhnya orang-orang yang terdahulu daripada kamu binasa apabila mereka itu berselisih didalam perkara yang seumpama ini. Aku berharap supaya kamu sekalian tidak lagi berselisih mengenainya. ”[5]

Sebagai rumusannya, zaman nabi segala kemusykilan dan masalah terus dirujuk kepada nabi dan nabi dapat menjelaskannya dengan wahyu dan petunjuk wahyu atau dengan ijtihad baginda dan betulkan oleh wahyu jika tidak tepat[6]. Secara umumnya, pada zaman nabi tidak ada sebarang masalah dalam ilmu tauhid dan lainnya dan sahabat juga tidak ada sebarang perselisihan dan mereka dapat merujuk terus kepada nabi dan sumbernya bersih. Dengan penjelasan dan dalil tersebut menunjukkan Islam tidak suka umatnya bertelingkah atau berada dalam polimek yang berterusan. Begitulah keadaan akidah di zaman nabi.


AKIDAH AKHIR ZAMAN SAHABAT


Setelah nabi wafat, dalm masa pemerintahan khalifah pertama dan kedua, umat islam tidak ada masa untuk membahaskan perkara atau dasar aqidah kerana antaranya mereka sibuk menghadapi peperangan dan musuh dalam usaha mempertahankan kesatuan islam. Diman aketika itu tidak ada perselisihan faham dalam asas aqidah. Mereka membaca dan memahami al-Quran tanpa ada ta’wil / Mereka mengikuti al-quran dan menjauhi apa yang ditegah. Mereka juga mensifatkan Allah dengan apa yang Allah sifatkan sendiri. Antara lain, mereka mensucikan Allah daripada sebarang sifat yang tidak layak bagi kemuliaan dan keagungan Allah. apabila mereka berdepan dengan ayat mutasyabihat mereka beriman dengannya mengikut dengan menyerahkan penta’wilan kepada Allah sendiri.


Pada zaman sahabat kalaupun berlaku perselisihan pendapat dikalangan mereka ialah perkara yang berkaitan dengan ijtihad dan dalam masa furu’ sahaja, namun mereka sependapat dan tidak berselisih dalam perkara Usul. namun sebenarnya perselisihan pendapat dalam perkara furu’ tersebut telah bermula semenjak rasulullah hampir wafat lagi. Didalam Kitab al-Milal Wa al-Nihal karangan al-Shahrastani menyebut dimana terdapat 10 perkara dan 10 perselisiha yang berlaku dikalangan para sahabat ketika rasulullah hampir wafat dan selepas baginda wafat.


Dalam perkara dan persoalan yang berkaitan dengan Usul atau aqidah, para sahabat menerima apa sahaja yang mereka terima daripada Rasulullah sebagaimana semasa hayat nabi dan semasa zaman nabi. Untuk itu, para sahabat tidak gemar membahaskan atau menceritakan perkara yang berkaitan dengan perkara aqidah atau yang berhubungan dengan aqidah. Para sahabat yang mengambil langkah demikian kerana perbincangan dan perbahasan yang berkaitan dengan persoalan aqidah boleh mencetuskan dan menimbulkan perselisihan dan perpecahan dikalangan umat islam. Untuk itu, para sahabat lebih mengutamakan dan memberi penekanan dalam perkara yang berkaitan dengan hukum amali sahaja. Untuk itu, juga dalam perkara amali seandainya mereka tidak jelas atau berselisih, mereka akan merujuk kepada al-Quran dan hadis untuk mencari keputusan yang tepat dan untuk mencari penyelesaiannya. Sekiranya ada yang tidak dapat diselesaikan berdasarkan nas al-Quran dan hadis, para sahabat akan mengkiaskan dengan perkara yang berlaku pada zaman nabi


Para sahabat besar amat mengecam sesipa yang menimbulkan dan membahaskan perkara yang berkaitan dengan aqidah. Saidina Umar menentang keras mereka yang menimbulkan persoalan berkaitan dengan aqidah, seperti tentangan beliau terhadap mereka yang menimbulkan isu nas Mutasyabihat. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Sayuti didalam kitabnya yang bernama :

Saun al-Mantiq Wa al-kalam ‘An Fanni al-Mantiq Wa al-Kalam dimana seorang lelaki yang bernama Abdullah ibn Subigh telah datang ke madinah dan bertanya tentang persoalan al-Mutasyabihat( seolah-olah dengan tujuan untuk meragu-ragukan). Untuk itu saidina Umar telah menyediakan pelepah tamar, apabila Abdullah Ibn Subigh datang, Umar bertanya kepadanya : “ kamu ini Abdullah Ibn Subighkah ?” Ia menjawab : “ Ya. “Maka Umar terus memukul kepalanya dengan pelepah tamar sehingga berdarah.
Dengan itulah kaum muslimin berada diatas landasan dan mendapat panduan yang baik, sebagaimana firman Allah :

Walaupun secara langsung atau secara meluas perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak dibincangkan pada zaman sahabat, namun pun begitu perkara itu tidak juga dibahaskan secara tidak meluas. Tetapi ia bukanlah untuk dibahaskan atau diperdebatkan, bahkan ia bertujuan untuk mendalam dan memperluaskan ilmu pengetahuan agama. antara lain juga, penjelasan yang difikirkan oleh para sahabat jika ada keraguan yang timbul atau diperselisihkan hanalah semata-mata untuk menolak klekeliruan dan membuat penjelasan semata-mata, tidak lebih daripada itu.


Boleh dikatakan kepercayaaan dan pegangan umat Islam dizaman awal khulafa’ al-rasyidan tidak banyak bezanya dengan masalah hayat nabi. apa yang timbul hanyalah dari sudut hukum furu’atau hukum pecahan sahaja, bukannya berkaitan dengan dasar akidah. Itupun kalau masih berunding dan berbincang dan kembali kepada kitab Allah dan hadis nabi. Sekiranya mereka tidak dapati dalam kitab Allah dan hadis rasul, mereka akan membuat perbandingan atau al-qiyas dengan peristiwa yang berlaku pada zaman nabi. Sebagai rumusannya, pada zaman awal khulafa’ al-Rasyidin juga masih belum timbul perkara yang berkaitan dengan ilmu tauhid.

Namun begitu, zaman khulafa’ al-rasyidin yang bermula dengan Abu Bakar, umat islam telah berkembang bertambah serta wilayah islam berkembang pesat hingga dapat menakluki wilayah yang sebelumnya berada di bawah pengaruh Rom dan Parsi. Dengan perluasan kuasa dan pengaruh khasnya zaman pemerintahn Umar dan Uthman, ramailah daripada kalangan umat bukan islam dan bukan bangsa Arab memeluk islam. Mereka tidak mengerti tentang bahasa Arab dan tidak mengerti dengan mendalam perkara agama, khasnya ilmu tauhid.


Jajahan dan negara islam telah meluas ke sebelah Timur, Utara dan Selatan. bangsa dan agama lain yang memeluk islam mempunyai adat dan kepercayaan asal mereka yang tersendiri, oleh itu bukan senang untuk mengikiskannya dalam diri mereka, walaupun mereka telah memeluk islam. Mereka tidak mengerti dan tidak dapat memahami dengan mendalam pergertian ilmu Tauhid dan apa dia asas akidah islam sebenarnya.


Untuk menangani dan menyelesaikan masalah serta mengembangkan agama islam dan aqidah islam yang lurus itu, ulama telah bertungkus – lumus untuk membuat pengkajian dan memecahkan ilmu agama yang bercampur aduk dan sukar untuk difahami dan dipelajari itu, khasnya bagi mereka yang tidak mendalami bahasa Arab, al-Quran dan hadis dengan memecahkannya kepada ilmu yang khusus. Lantaran itulah ulama telah memecahkan dan membuat pengkajian khusus terhadap ilmu Tauhid atau ilmu Aqidah yang terpisah daripada ilmu lain dengan sendirinya.


Pada masa zaman pemerintahan khalifah yang ketiga, lantaran berlaku pertelingkahan dan kekacauan polotik yang berakhir dengan terbunuhnya Uthman. Maka umat isslam menjadi terpecah kepada beberapa fahaman dan puak. Masing-masing golongan dan fahaman itu ingin mempertahankan fahaman mereka dan pendirian mereka. Justeru itu, terbukalah ruang untuk mentakwilkan terhadap nas al-Quran dan hadis, serta timbullah periwayatan hadis palsu. Justeru itu perbahasan berkaitan dengan aqidah bertambah melebar dari hari ke hari.

Pada zaman akhir sahabat telah lahir mereka dan golongan yang telah cuba menta’wilkan ayat-ayat al-quran, khasnya ayat-ayat yang mempunyai hubungan dan kaitan dengan sifat. Antara lain juga suatu golongan dan mereka itu telah cuba menimbulkan masalah-masalah dan persoalan syubahat dan akhirnya mereka itu telah mentasybihkan dan mentajsimkan Allah. Golongan yang telah menimbulkan dan mengadakan persoalan tersebut adalah dari kalangan pelampau seperti golongan sabi’iyyah.

Dengan lahir dan adanya golongan mentasybihkan dan mentajsimkan Allah maka lantaran itu pula telah lahir puak dan golongan lain pula yang menentang mereka. Golongan yang menentang golongan yang mentajsimkan Allah itu bermula dengan Ja’d Ibn darham dan selepasnya diikuti pula oleh Jaham Ibn Safwan dan seterusnya aliran dan penentangan tersebut diteruskan pula oleh golongan Muktazilah. Maka bermula daripada situlah maka lahirnya perbincangan berkaitan dengan sifat lebih besar dan lebih meluas dalam perbahasan ilmu al-Kalam.

AKIDAH ZAMAN BANI UMAIYYAH

Setelah negara dan jajahan takluk serta jajahan takluk islam mulai meluas telah terbuka luas untuk umat islam memikirkan perkara yang berkaitan aqidah. Selain itu juga setelah pemeluk agama lain memeluk dan memasuki islam, namun jiwa mereka dipengaruhi oleh unsur agama mereka sebelumnya yang mereka tinggalkan, lahir kebebasan untuk berbicara tentang masalah yang didiamkan oleh ulama salaf. Untuk itu lahir segolongan umat islam yang mulai memperkatakan masalah qadar, antara mereka ialah :

a. Ma’bad al-Juhani
Nama penuh beliau ialah Ma’bad Ibn Khalid al-Juhani yang merupakan salah seorang tokoh tabi’in. Dialah orang mula-mula memperkatakan maslah qadar dan menurut riwayatnya,beliau mengambil fahamannya itu daripada seorang Iraq yang beragama nasrani yang murtad selepas memeluk islam. Ma’bad telah dibunuh oleh al-Hajjaj kerana turut memberontak bersama-sama dengan Ibn Asy’ath pada tahun 80 Hijrah.


b. Ghailan al-Dimasyqi.
Nama beliau ialah Abu Marwan Ghailan Ibn Muslim. Bapanya seorang hamba yang telah dimerdekakan oleh Uthman iBn Affan. Beliau telah datang ke Damsyiq pada zaman pemerintahan Hisyham Ibn Abd. Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat petah bercakap dan beliau mengikuti fahaman Ma’bad dalam masalah qadar.


c. Ja’d Ibn Dirham
Beliau merupakan seorang guru kepada Marwan Ibn Muhammad. Beliau juga merupakan seorang yang berfahaman qadar dan merupakan orang yang mula-mula mengatakan al-Quran itu makhluk. Dia kemudiannya dibunuh oleh Khalid Ibn Abdullah al-Qasri dalam masa pemerintahan Hisyham Ibn Abd. Malik.



Sebagai rumusannya, 3 tokoh tersebutlah merupakan orang yang mula-mula memperkatakan tentang qadar. Para sahabat yang hidup sezaman dengan mereka seperti Abdullah Ibn Umar, Jabir Ibn Abdullah, Anas Ibn Malik dan Ibn Abbas serta Abu Hurairah mengatakan mereka itu adalah golongan salah dan menyuruh masyarakat supaya jangan memberi salam kepada mereka, menjauhkan diri, jangan menziarahi mereka jika sakit dan jangan menyembahyangkan jenazah mereka.

Selepas daripada kemunculan 3 tokoh diatas lahir pula golongan yang menafikan Qudrat dan Iradat manusia. Golongan ini memperkatakan begitu supaya tidak ada sekutu dalam perbuatan Allah dan menafikan sifat-sifat Allah atau Allah itu bagi mereka adalah tidak bersifat. Golongan ini dimulai atau dipelopori oleh Jaham Ibn Safwan. Beliau merupakan asalnya seorang Parsi yang memeluk islam. Beliau telah lama menetap di Kufah, Iraq.
Beliau bertemu dengan Ja’d dan kemudiannya menganut beberapa pendapat Ja’d. Selepas itu beliau bersama-sama dengan harith Ibn Syuraij telah melancarkan pemberontakan terhadap Bani Umaiyyah di Khurasan lalu beliau dapat ditawan dan dibunuh.

Golongan atau puak ini dikenali dengan golongan Jabariah berasaskan aqidah yang mereka pegang. Mereka juga kadangkala dikenali dengan puak jahmiyah, iaitu dinisbah kepada pengikut Jaham Ibn Safwan. Antara lain juga, mereka dikenali dengan puak Mu’aththilah kerana mereka menafikan Sifat-Sifat Allah.


Jaham juga berpendapat bahawa Allah itu tidak bersifat kecuali dengan sifat Khaliq, Qadir dan Fa’il sahaja. Sifat-sifat tersebut sama sekali tidak boleh disifatkan kepada makhluk. Antara lain pendapat Jaham tersebut adalah bersama dengan pendapat Jabariah iaitu segala perbuatan manusia itu tidak ada kuasa melakukan sesuatu, apa sahaja yang dilakukan oleh manusia adalah dari Allah. Antara lain juga Jaham berpendapat bahawa tidak harus sama sekali disifatkan Allah dengan sifat yang boleh disifatkan kepada manusia atau makhluk kerana hal tersebut boleh menyebabkan Allah itu sama atau menyerupai makhluk –Nya. Untuk itu Jaham menafikan Allah bersifat dengan sifat ‘Alim, Murid dan Hayy. Apa yang boleh disifatkan kepada Allah ialah Qadir, Maujud, Fa’il, Khaliq, Muhyi dan Mumit. Kerana semua sifat tersebut berkaitan dengan sifat kemudiannya dikembangkan oleh golongan Muktazilah.


Diantara method yang digunakan oleh golongan yang mengatakan al-Quran Qadim dan menafikan Sifat Allah yang Qadim ialah dengan mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan method kefahaman akal. Sebenarnya mereka menggunakan method kefahaman akal itu ialah untuk menyangkal dan menentang golongan yang mentasybihkan Allah. Antara lain jugaia untuk menentang orang-orang Yahudi dan Kristian serta agama Parsi dan Majusi yang tidak boleh ditentang fahaman mereka dengan al-Quran dan hadis. Method akal ini juga digunakan oleh Muktazilah kemudiannya untuk menentang musuh-musuh islam juga.


Pada penghujung abad pertama hijrah tersebar pula fahaman dan puak serta aliran Khawarij. Mereka ini telah mengkafirkan orang yang mengerjaka dosa besar. Pendapat tersebut telah disanggah oleh Hassan al-Basri. Beliau telah menetapkan pendapat yang menjadi ikutan orang ramai. Iaitu orang yang melakukan dosa besar adalah fasiq dan tidak kafir.

Selepas itu pendapat al-Hassan itu telah disanggah pula oleh muridnya yang bernama Wasil Ibn “Ata’dan selepas itu mengasingkan diridaripada majlis gurunya lalu membentuk majlisnya tersendiri. Wasil berpendapat orang yang melakukan dosa besar berada diantara dua martabat. Pendapatnya itu kemudiannya diikuti pula oleh ‘Amru Ibn ‘Ubaid. Lantaran mereka telah mengasingkan diri daripada majlis gurunya, mereka dikenali sebagai Muktazilah.

Wasil Ibn ‘Ata’ telah menyebarkan fahaman Muktazilah dengan menyuruh pembantunya menyebarkan ke seluruh pelusuk daerah hingga ke Khurasan di Timur, Morocco di Barat, Armiya di sebelah Utara dan Yaman di sebelah Selatan.

Sebagai rumusannya, pada zama inilah dikatakan mulanya bermula untuk menyusun kitab berkaitan dengan ilmu Kalam atau Tauhid. Namun kitab itu tidak ada yang sampai ke tangan kita sekarang [7]


[1] Modul pembelajaran ,Sejarah dan Tamadun Islam,hlm.15
[2] Pengantar ilmu tauhid ,Abd.Latif Muda, hlm.25
[3] pengantar ilmu tauhid , hlm.122
[4] Pengantar ilmu tauhid,Abd.Latif Muda,Hlm.122
[5] ilmu hadis , Ash.Shiddieqy, hlm 17

[7] Pengantar ilmu tauhid , Abd.Latif Muda ,hlm.273



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com


No comments: