Perjuangan Rasulullah s.a.w.

PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. SEBAGAI PESURUH ALLAH S.W.T UNTUK MENEGAKKAN SYIAR ISLAM


Pendahuluan

Nabi Muhammad s.a.w selaku makhluk terpilih dan contoh terbaik kepada semua umat Islam di muka bumi ini bukanlah calang-calang orangnya sehingga sanggup dan mampu melakukan satu perjuangan yang begitu besar dan hebat. Perjuangan beliau untuk menegakkan agama Islam di kalangan masyarakat Jahilliyah yang sudah jauh terpesong dari jalan yang benar bukanlah perkara mudah,dan ianya menuntut pengorbanan dari segi mental,spiritual dan rohaniah. Atas perlindungan dan pimpinan dari Allah s.w.t. , semuanya dapat diatasi oleh pejuang terulung Islam ini.

Perjuangan Rasulullah S.A.W.

Perjuangan Rasulullah S.A.W. untuk menegakkan syiar Islam bermula setelah baginda dilantik menjadi Rasul. Kerasulan baginda berlaku selang 40 hari setelah baginda menerima wahyu pertama yang menandakan baginda telah dilantik manjadi nabi. Baginda menerima wahyu pertama pada malam 17 Ramadhan tahun 41 dari umur baginda melalui perantaraannya,iaitu malaikat Jibril a. s. ketika baginda di Gua Hira` yang terletak di Jabal An-Nur,kira-kira 6 batu jauhnya dari kota suci Mekah. Mengikut pendapat ustaz Muhammad Farid Wajdi,pemergian nabi Muhammad S.A.W. berulang-alik ke Gua Hira` terutamanya ketika usia baginda mendekati 40 tahun semata-mata untuk tahannus. Maksud tahannus ialah tabarrur. Tabarrur pula bererti berbuat bakti. Ahli-ahli sejarah pertama seperti Ibnu Hisyam di dalam Siratun Nabi menyebut asal perkataan tahannus ialah dari kalimah tahannuf dan tahannuf itu dari hanif,iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan mengikuti agama Ibrahim. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa baginda mempunyai maksud tertentu terutamanya dalam usaha baginda untuk memantapkan jiwa serta mengumpul dan membulatkan fikirannya yang kian hari bergolak.

Pemilihan Gua Hira` adalah amat bertepatan dengan usaha baginda untuk memantapkan jiwa baginda agar tidak merasa gentar dan melenyapkan rasa takut serta melatih diri baginda hidup dalam kesusahan. Melalui perkara sebeginilah baginda mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. sebagai penolong dan pemimpin seluruh alam yang luas ini. Susah payah baginda untuk sampai dan berada di Gua Hira` ini bolehlah dianggap sebagai perjuangan batin baginda dan ianya merupakan titik tolak bagi perjuangan-perjuangan yang lebih besar pada masa-masa yang akan datang.

Setelah beberapa ketika lamanya menghilangkan diri,Malaikat Jibril a. s. datang menemui Rasulullah S.A.W. buat kali kedua di dalam bentuk rupanya yang asal yang memenuhi segala ruangan di antara langit dan bumi,dan dengan segera melaungkan kata-kata yang berbunyi seperti berikut:

Maksudnya:”Wahai Muhammad!Sekarang ini engkaulah Rasulullah dan
aku adalah Malaikat Jibril!”

Nabi Muhammad S.A.W. pun segera pulang ke rumah kerana terlalu terkejut dan menyuruh isteri baginda,iaitu Saiditina Khadijah menyelimutinya. Lalu,Malaikat Jibril a. s. datang membacakan wahyu:

Maksudnya:”Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan peringatkanlah
(manusia). Dan Tuhan engkau,hendaklah engkau besarkan.
Dan pakaian engkau,hendaklah engkau bersihkan. Dan
perbuatan dosa,hendaklah engkau tinggalkan. Dan janganlah
engkau banyak memberi(kerana hendak) mendapat(balasan)
yang lebih banyak. Dan kerana(memenuhi perintah) Tuhan
engkau,hendaklah engkau bersabar. ”
(Al-Mudaththir:1-7)

Dengan turunnya ayat ini,ini manandakan secara resminya Nabi Muhammad S.A.W. menjadi Rasulullah untuk menerima dan melaksanakan segala titah perintah Allah S.A.W. dan sebagai rahmat kepada sekalian manusia,jin serta seluruh alam yang terbentang luas ini. Ianya sebagai mana yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Maksudnya:”Dan tidak Aku utuskan engkau(Muhammad) melainkan
sebagai rahmat kepada seluruh alam. ”

Oleh kerana itu,adalah menjadi tugas dan tanggungjawab baginda Rasulullah S.A.W. membawa risalah yang amat besar ini,iaitu risalah tauhid kepada seluruh umat manusia agar mereka tunduk menyerah dan menghambakan diri di bawah keesaan Allah S.A.W. Risalah tauhid inilah yang diperjuangkan hingga ke hayat akhir Rasulullah S.A.W. Kini,kesan daripada perjuangan murni Rasulullah ini boleh dilihat di seluruh alam ini,iaitu umat Islam terdapat di merata sudut dunia.

Pendekatan Rasulullah S.A.W.

Perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam menegakkan kalimah tauhid bolehlah dikaitkan dengan gerakan dakwah dan jihad baginda. Hal ini boleh diperhatikan melalui firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Maksudnya:”Hai Rasul,sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu. Dan jika kamu tidak kerjakan(apa yang diperintah
-kan itu)kamu tidak menyampaikan risalahNya,padahal
Allah memelihara kamu dari(gangguan)manusia. Dan Allah
Tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. ”
(Al-Maidah:67)

Islam adalah agama wahyu,agama risalah yang merupakan pesan ketuhanan yang mesti disampaikan kepada segenap lapisan umat manusia. Islam tidak sama dengan agama lain,yang merupakan agama budaya. Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui Allah S.W.T sebagai agama yang benar. Islam adalah agama dakwah di mana semua umat Islam berkewajipan mengajak manusia dengan segala macam cara dan media,agar menerima kebenaran agama Allah,meyakini dan mengamalkan dalam segala aspek kehidupan.

Di dalam hal ini,Said Ramadan Al-Buti dalam bukunya Fiqh Al-Sirah menyebut bahawa Rasulullah S.A.W. di dalam usahanya untuk berdakwah,baginda telah melalui beberapa peringkat yang berlainan,iaitu:

Peringkat pertama:seruan secara sulit memakan masa tiga tahun.
Peringkat kedua :seruan secara terang-terangan tanpa kekerasan berjalan
sehingga berlakunya Hijrah.
Peringkat ketiga :dakwah secara terang-terangan menggunakan senjata
untuk mempertahankan diri berjalan hingga pembukaan
Tanah Suci Mekah.
Peringkat kempat :dakwah secara terang-terangan dan mengangkat senjata
terhadap mereka yang cuba menghalang perjalanan
dakwah. Dalam peringkat inilah dipraktikkan syariat-syariat
Islam dan perintah jihad pun diturunkan.

Secara ringkasnya,peringkat pertama dan kedua merupakan peringkat dakwah baginda di Mekah dan dua peringkat seterusnya adalah semasa baginda berada di Madinah.

a)Peringkat awal:dakwah di Mekah

Pada peringkat awalnya,dakwah Rasulullah di Mekah berlaku secara sulit. Langkah pertama baginda,ialah untuk menyebarkan Islam kepada mereka yang paling hampir kepada baginda sahaja. Pada mulanya,risalah tauhid ini disampaikan kepada isteri baginda sahaja iaitu Saidatina Khadijah yang muncul sebagai orang yang pertama memeluk agama Islam. Kemudiannya diikuti dengan Ali bin Abi Talib,Zaid bin Harithah yang merupakan orang suruhan dan anak angkat nabi,Abu Bakar bin Quhafah, Uthman bin Affan,Al-Zubair bin Awwam,Abdul Rahman bin Auf,Saad bin Abi Waqqas dan lain-lain lagi.

Dakwah ini dirahsiakan sehingga memeksa Rasulullah dan umat Islam yang lain terpaksa ke gua-gua dan lereng-lereng bukit untuk menunaikan sembahyang bersama sahabat-sahabatnya supaya tidak dilihat oleh orang lain. Pada,suatu hari,perbuatan Rasulullah ini telah dilihat ole Abu Talib,iaitu bapa saudara baginda,lalu ia bertanya kepercayaan baru apakah yang telah dianuti olehnya. Rasulullah S.A.W. menjawab bahawa ini adalah agama neneknya,Ibrahim. Lantas Abu Talib,berkata,walaupun ia tidak menerima agama ini,tetapi ia membenarkan Rasulullah S.A.W. menganutnya dan akan terus melindunginya.

Ketika pemeluk agama Islam meningkat kepada tiga puluh orang lelaki dan perempuan,Rasulullah S.A.W. memilih suatu tempat yang agak terpencil iaitu di rumah Al-arqam Bin Abi Al-Arqam. Di situ,baginda menyampaikan seruan Islam dan tunjuk ajar baginda. Kemudian,pengikut agama Islam meningkat kepada empat puluh orang dan kebanyakkannya terdiri daripada golongan fakir miskin dan hamba sahaya yang tidak mempunyai tempat di masyarakat Quraisy.

Hikmat dakwah secara sulit adalah untuk memastikan mereka yang memeluk Islam ini benar-benar cenderung dan minat kepada seruan dakwahnya. Ini adalah pengajaran kepada pendakwah di masa yang akan datang supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika menjalankan tugas dan mengkajinya untuk sampai ke matlamat dan tujuan utama dakwah.

Setelah tiga tahun dakwah secara sulit ini berlaku,maka Allah S.A.W. menurunkan perintah supaya dakwah ini dijalankan secara terang-terangan, sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Maksudnya:”Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala
apa yang diperintahkan(kepada kamu) dan berpalinglah
dari orang-orang musyrik. ”

Menyahut seruan Allah S.W.T. ini,perkara pertama yang baginda lakukan ialah dengan mengumpul Bani Fihr dan Bani Adi di atas bukit Safa. Kesemua mereka hadir,dan bagi yang tidak hadir dihantarkan wakil bagi mewakili mereka. Kemudian Rasulullah S.A.W. pun berkata:”Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan iaitu di hadapanku ini suatu azab sengsara yang paling hebat. ” Abu Lahab yang turut menghadiri perjumpaan itu pun bangun lalu berkata “Binasalah engkau ini Muhammad,apakah untuk ini saja yang engkau kumpulkan kami?”Kemudian turunlah ayat Al-Quran iaitu surah Al-Masad. Selepas itu,baginda menggunakan pendekatan yang telah di tunjuk ajarkan kepadanya oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

Maksudnya:”Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang
terdekat. Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang
yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman. ”
(Al-Syu`ara:14&15)

Sebagai menyambut seruan Allah di atas,rasulullah s.a.w. telah mengumpul kaum kerabatnya seperti Ka`b bin Luai,Bani Murran bin Ka`b,Bani Hasyim, Bani Abdul Manaf,Bani Abdul Mutalib serta anaknya Fatimah dan menyeru mereka selamatkan mereka dan hindarkan diri mereka dari api neraka. Namun seruan baginda mendapat reaksi negatif dari kaum kafir Quraisy. Baginda menerangkan kepada mereka di mana berhala yang diperbuat daripada batu itu yang kemudiannya disembah itu langsung tidak memberi faedah dan menbahayakan mereka.

Akibat daripada kecaman Rasulullah S.A.W. terhadap berhala dan penyembahannya,baginda telah ditentang secara habis-habisan oleh kafir Quraisy kecuali mereka yang memeluk Islam serta bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Mereka inilah yang mempertahankan rasulullah s.a.w. dari serangan
kafir Quraisy. Kafir Quraisy menentang dengan menghina dan mengejek baginda. Namun itu tidak sedikit pun melunturkan semangat baginda untuk menyebarkan Islam,dan ini menunjukkan betapa kuatnya jati diri dan kesabaran yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W. Di antara penghinaan-penghinaan yang dilemparkan kepada Rasulullah S.A.W. ialah:

1. Mereka mencampakkan duri-duri yang tajam di jalan yang dilalui oleh Rasulullah S.A.W. dan ketua-ketua masyarakat yang lain.
2. Kafir Quraisy membuat bising ketika baginda bersolat.
3. Perut-perut binatang yang kotor serta jijik diletakkan di belakang baginda ketika baginda sedang sujud.
4. Leher Rasulullah S.A.W. diikat dan dijerut sehingga terbeliak matanya.
5. Najis binatang yang jijik lagi kotor dilemparkan ke pintu rumah baginda.

Namun semua tentangan itu gagal untuk menghalang baginda daripada meneruskan perjuangan baginda untuk menyebarkan agama Islam. Kemuliaan akhlak baginda dan keimanan yang teguh telah menenangkan beliau.

Apabila penghinaan dan ejekan tidak meninggalkan kesan,helah secara lembut dan halus pula digunakan oleh kafir Quraisy. Diantaranya ialah,mereka mengemukakan tawaran seperti harta benda dan kekayaan,kepimpinan atau akan dilantik sebagai raja sekiranya baginda sanggup meninggalkan perjuangannya sebagai mana yang tercatat dalam cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Uthbah bin Rabia ketika beliau dihantar menemui Rasulullah S.A.W.

Penindasan ini bukan sahaja ditujukan kepada Rasulullah S.A.W sahaja,malahan sesiapa saja dari pengikut-pengikutnya,contohnya:

1. Bilal bin Rabah dihumbankan ke atas pasir yang panas terik dan seketul batu yang besar diletakkan ke atas dadanya,namun lidahnya sentiasa menyebut perkataan “Ahad,Allah Ahad. ”
2. Ammar bin Yasir dilemparkan di atas pasir yang panas dan dipukul hingga pengsan. Keluarganya dicampak ke air dan dipaksa baring di atas besi yang panas membara. Ibunya Sumaiyah dibunuh oleh Abu Jahal.
3. Zunairah,seorang hamba perempuan yang bekerja di rumah Saidina Omar,telah dibelasah hingga buta kedua belah matanya oleh Abu Jahal.

Peristiwa Israk dan Mikraj pula telah memberi kekuatan baru kepada Rasulullah dan para pengikutnya. Bai`ah(ikrar) yang diberikan oleh kaum Ansar juga membuka medan perjuangan yang baru,dan turunnya wahyu yang membayangkan keizinan berhijrah ke Madinah:

Maksudnya:”Sesungguhnya mereka yang beriman dan berhijrah serta
berjihad dengan harta dan nyawanya pada jalan Allah……”
(Al-Anfal:72)

b)Peringkat kedua:Dakwah di Madinah.

Rasulullah S.A.W. pun berhijrah ke Yathrib atau nama barunya Madinah dengan para pengikut baginda pada 1 Muharram. Di Madinah,usaha pemantapan akidah dan dakwah berlaku secara aman. Baginda juga telah mengambil beberapa langkah ke arah perubahan baik dari segi sosio-budaya,politik mahu pun kenegaraan. Diantara langkah-langkah itu ialah:

1. Mempersaudarakan orang-orang Ansar dan Muhajirrin di mana orang-orang Ansar bukan setakat melindungi keselamatan orang-orang Muhajirrin malah memberi tempat tinggal,harta benda,isteri dan lain-lain lagi.

2. Melaksanakan syariat dengan turunnya perintah berpuasa,zakat dan haji. Rasulullah S.A.W. juga berpeluang mendirikan masjid-masjid seperti masjid Qubaa` dan masjid An-Nabawi sebagai tempat ibadat,pendidikan dan pengajaran,juga sebagai tempat pentadbiran hal negara Islam.

3. Membentuk Perlembagaan Madinah(Sahifah Madinah),dimana orang Islam bebas menjalankan seruan Islam di sekitar Madinah. Dengan wujudnya Perlembagaan Madinah,maka terbentuklah negara Islam yang pertama iaitu Madinah dengan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai ketua negara.

Namun begitu,Rasulullah S.A.W. masih tetap menghadapi masalah dari empat golongan manusia yang lain,iaitu:

1. Golongan Mu`aahid(golongan yang berdamai) iaitu golongan Yahudi yang membuat perjanjian dengan baginda dalam Perlembagaan Madinah.
2. Golongan Kafir Musyrik iaitu kaum Quraisy dan pemerintah Mekah yang bermusuh dengan mereka.
3. Golongan Munafiqin(pura-pura Islam) iaitu penduduk Madinah yang melakukan gerakan bawah tanah untuk menghancurkan pemerintahan Rasulullah S.A.W.
4. Golongan atas pagar iaitu golongan yang mengambil peluang dengan menyokong pihak yang lebih kuat.

Selepas sekian lama,berlakulah beberapa peperangan yang kebanyakkannya dipimpin oleh baginda dan membawa kejayaan kepada Rasulullah S.A.W. seperti kejayaan baginda membuka negara Islam yang pertama di dunia iaitu Madinah Al-Muwarrah.

Faktor-faktor Kejayaan Rasulullah

Diantara faktor-faktor kejayaan Rasulullah S.A.W. ialah:

1. Kesabaran dalam menjalankan seruan Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W. merupakan model Islam terbaik bagi semua umat Islam di dunia ini.

2. Istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Allah S.W.T. untuk menyebarkan agama Islam kepada seluruh umat manusia.

3. Sifat kepimpinan baginda yang bijak di dalam membuat keputusan.

4. Akidah yang mantap menjadikan Rasulullah S.A.W. dan pengikut-pengikutnya sentiasa bersemangat waja dan tidak takut menghadapi tentangan dari Kafir Quraisy.
5. Sentiasa mendapat bimbingan,petunjuk dan pertolongan dari Allah S.W.T. Malahan sebagai kekasih Allah S.W.T. ,doa baginda sentiasa dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

6. Akhlak baginda yang tidak sukakan kekerasan. Baginda sendiri tidak pernah menindas orang lain dengan keistimewaan yang ada padanya. Baginda juga tidak pernah berlebihan dalam percakapan dan tidak pernah menghina sesiapa. Sebaliknya,baginda tunduk sabar terhadap segala penganiayaan yang dilakukan oleh orang lain kepadanya.

Kesimpulan

Rasulullah S.A.W. merupakan manusia terunggul yang pernah wujud di dunia ini. Tidak ada siapa pun yang mampu yang mampu menandingi kehebatan baginda sehingga mampu membangunkan agama yang mulia ini. Semangat perjuangan baginda seharusnya dicontohi oleh semua umat Islam di dunia ini. Oleh itu,kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. seharusnya mencontohi semangat baginda untuk berdakwah dan mengikuti sunnahnya agar kita akan menjadi manusia yang dirahmati dan diberkati Allah S.W.T.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com