Kedudukan Ulamak Dalam Islam

PENGENALAN (DEFINISI ULAMA)

Kata ulama bermaksud orang yang mengerti atau orang yang berilmu atau orang yang berpengetahuan. Kata ulama adalah jama’ dari kata tunggal ‘aalim yang bermaksud orang yang berilmu. Kata ‘aalim adalah isim fa’il dari kata kerja (fi’il) ‘aalima yang ertinya ia telah mengerti atau ia telah mengetahui. Menurut bahasa masyarakat Indonesia, ulama diertikan sebagai orang yang berilmu. Ini adalah sesuatu yang salah tetapi ia seakan-akan tidak di anggap salah kerana sudah biasa menjadi sebutan umum. Menurut erti ulama oleh masyarakat Indonesia iaitu sebagai seorang yang berilmu, ia mengandungi erti yang seluas-luasnya secara umum iaitu meliputi semua orang yang berilmu tanpa mengira apa sahaja ilmunya. Apabila kata ulama ini dihubungkan dengan perkataan lain maka ertinya hanya mengandungi erti yang terbatas dalam hubungannya itu. Contohnya seperti ulama fikih ertinya orang yang mengerti tentang ilmu fikih, ulama kalam maknanya orang yang arif dalam ilmu kalam dan sebagainya. Menurut bahasa Indonesia yang mana ia masih berlaku sampai sekarang ini kata ulama atau alim ulama diertikan untuk orang-orang yang ahli tentang agama Islam iaitu orang yang mendalami ilmunya dan pengetahuannya tentang agama Islam serta cabang-cabang urusan agama Islam. Menurut H.Rosihan Anwar, yang dimaksudkan dengan ulama itu adalah orang-orang yang berpengetahuan dalam soal agama yang antara lain ahli dalam hokum syariah, faham fikih atau tasawuf, tergantung dari bidang spesialisasi yang disukainya atau dipilihnya.1
ULAMA SEBAGAI PENYIAR AGAMA ISLAM ATAU DA’I

Perkataan da’I membawa maksud pengundang atau pengajak, mengundang manusia kepada agama Allah iaitu agar manusia mahu beriman dan melaksanakan ajaran-ajaran Allah SWT. Dalam erti kata yang lebih mudah perkataan Da’I boleh didefinisikan sebagai penyiar atau penyebar agama Islam. Ajakan kepada Islam terhadap manusia atau dakwah Islamiah adalah merupakan satu kewajipan bagi semua orang Islam. Kewajipan dakwah Islamiah dan amar maaruf nahi mungkar dibebankan kepada setiap muslim, maka setiap orang Islam wajib berdakwah sesuai dengan kemampuannya. Orang yang berilmu berdakwahlah dengan ilmunya, orang yang tidak berilmu tetapi berharta berdakwahlah dengan hartanya, orang yang tidak berilmu dan tidak mempunyai harta tetapi mempunyai tenaga maka wajiblah dia berdakwah dengan tenaganya dan bagi orang yang mempunyai buah fikiran yang bagus wajiblah dia menyumbangkan buah fikirannya bagi kepentingan dakwah Islamiah. Sedangkan seorang muslim yang hanya mempunyai pengertian agama satu sahaja wajib untuk menyampaikan ayat tersebut kepada orang lain, apatah lagi seorang ulama yang banyak ilmunya. Ulama ini mempunyai tugas yang penting di dalam menyiarkan agama Islam. Kepentingannya di dalam menyiarkan, menyebarkan dan menjelaskan agama Islam diperlukan dalam segala waktu dan saat. Baik pada masa damai atau perang, masa bahagia atau sejahtera, suasana gembira atau susah, keadaan sihat atau sakit dan sebagainya. Pada masa peperangan di zaman Rasulullah, tidak semua kaum muslimin baik pemuda atau orang tua harus meninggalkan Kota Madinah untuk berperang, tetapi mestilah masih ada golongan yang tinggal untuk mempelajari dan memperdalamkan agama Islam daripada para ulama. Di dalam al-Quran hal ini disabdakan oleh Allah dalam surah at-Taubat ayat 122 yang membawa maksud, ‘Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang beriman itu pergi semuanya. Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.’ Surah atTaubat 122.
Tentunya dalam hal ini kedudukan atau peranan orang-orang yang banyak ilmunya amat penting walaupun pada masa peperangan iaitu tetap berfungsi sebagai penyiar dan penyebar agama Islam dan mencerdaskan umat. Bagaimana sekiranya ulama tidak menjalankan peranannya dengan baik, tentu sahaja ia akan dituntut Allah di akhirat nanti. Begitu juga keadaannya kepada ulama yang hanya memainkan peranan hanya kepada keluarganya. Dengan yang demikian peranan ulama tidak hanya tertakluk pada keluarganya sahaja tetapi juga terhadap umat yang nanti dimintai pertanggunganjawabnya pula oleh Allah di akhirat kelak.2
ULAMA SEBAGAI PEMIMPIN ROHANI

Sebagaimana telah diketahui oleh umum, oleh para ahli dan telah nyata di dalam bukti, bahawa yang dinamakan manusia ialah bukan hanya jasmaninya sahaja tetapi adalah gabungan antara jasmani dan rohani. Bukan hanya zahir sahaja malah gabungan antara zahir dan batin, badan dan jiwa, yang mana bila hanya salah satunya sahaja, umpama hanya badan dan jasmani sahaja tiada jiwa dan rohani maka akan pincanglah dan pecahlah yang dinamakan manusia itu. Terbukti bila jasmani yang sakit, rohani dan jiwa ikut terganggu. Sebaliknya bila jiwa dan batin yang sakit badan dan jasmani juga turut terganggu. Menurut ahli pula yang dinamakan hidup itu bukanlah naik turunnya nafas di dada, tetapi jiwa dan rohani yang seimbang dengan badan dan jasmani. Seorang ulama sebagai pemimpin rohani, ertinya memimpin dan membimbing umat dalam bidang rohani. Dalam hal ini, menurut ajaran Islam adalah memimpin dan membimbing umat agar mereka benar dalam menghayati agamanya. Jelasnya di sini, ulama yang melaksanakan fungsinya sebagai pemimpin rohani umat adalah memimpin umat dalam bidang rohani. Untuk lebih jelas akan diberi pengertian tentang apa itu Islam. Jika Islam boleh dikatakan sebagai satu system, maka Islam mencakupi tiga bidang iaitu akidah, syariah dan akhlak. Bidang akidah meliputi segala kepercayaan dalam rukun Iman yang enam, bidang syariah meliputi ibadah dan muamalah dan bidang akhlak meliputi akhlak terhadap khaliq dan sesama makhluk. Ulama mendidik agar rasa rohaniah umat sesuai dengan apa yang diharapkan oleh ajaran Islam. Ini kerana segala bentuk kegiatan keduniaan manusia yang dimanifestasikannya dalam bentuk kegiatan budaya, kalau tidak mendapat siraman Islam, tidak diwarnai oleh jiwa Islam maka akhirnya tidak akan menjadi ibadah kepada Allah. Bentuk luar adalah sekadar lambang fizik yang bilamana tidak dijiwai oleh Islam tidak akan menjadi ibadah sebagai pengabdian kepada Allah. Bila ulama tidak melaksanakan peranannya, ia dikatakan tidak mempunyai tanggungjawab terhadap bidang ini, maka rasa rohaniah umat tidak akan terkehendaki akhirnya akan wujudlah hal-hal yang tidak elok dari tingkah laku umat. Dengan ini, akan terjadi ada tubuh tanpa jiwa, ada jasmani tanpa rohani, ada gerak tanpa roh dan akibat dari ini, tingkah laku umat tampak gagah, mempesona, mengagumkan dan menakjubkan tetapi kosong dari kedamaian, kosong dari ketenteraman dan bahkan hanya kulit yang ada tanpa isi. Semua akan jadi hambar, tampak hipokrit dan riak belaka. Tentu sahaja semua ini tidak dikehendaki oleh Islam maka bila ulama tidak menjalankan fungsinya berusaha membimbing umat untuk mengisi rona laku perbuatan umat akibat negatif yang terjadi. Di sinilah letaknya peranan ulama sebagai pemimpin rohani.3

ULAMA SEBAGAI PENGEMBANG AMANAH ALLAH

Segala kewajipan dari Allah yang dipertanggungjawabkan kepada manusia boleh dikatakan sebagai amanat dari Allah. Ini dapat ditegaskan lagi melalui surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud : sesengguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya. Dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.
Apa yang diamanatkan itu ialah segala hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang baik berupa tindakan, perbuatan dan perkataan atau kebijaksaan dan kepercayaan hati. Perkara yang berhubungan dengan ulama dalam hal ini, adalah ulama itu berkewajipan memelihara amanat dari Allah, berupaya memelihara agama Allah dari kerosakannya, menjaga agama Allah agar tidak dikotori oleh manusia dan menunaikan segala perintah Allah. Amanah dari Allah yang berupa kewajipan beribadat kepada Allah hendaklah ditunaikan jika tidak ulama itu diertikan berlaku khianat kepada amanat yang disampaikan Allah kepadanya. Allah mempertaruhkan ilmu pengetahuan kepada ulama agar ummat tidak menyembunyikan kebenaran yang seharusnya dibuka kepada ummat. Menurut Rasulullah orang yang mengkhainati sesuatu perkara yang dipercayakan kepadanya ia termasuk telah memiliki satu alamat munafik. Ummat selalu memerhatikan gerak geri ulama. Setiap gerak geri ulama sentiasa menjadi tontonan dan ikutan ummat. Bagi orang-orang yang kurang imannya dia mendikan ulama yang terlibat dalam perkara yang tidak baik sebagai dasar dan alasan untuk menirunya.sebagai kesimpulan bagi peranan ulama yang ke tiga ini Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: ulama itu adalah para pemegang amanat allah atas segenap makhluknya.4

ULAMA SEBAGAI PEMBINA UMMAT

Ulama sebagai pembina ummat merupakan peranan ulama yang keempat yang akan dihuraikan di sini. Ulama yang mempunyai pengaruh yang luas berkesempatan untuk mengambil bahgaian dalam menentukan apa dan bagaimana pola yang harus dimiliki ummat. Kelompok manusia yang telah mengakui bahawa ulama itu sebagai pemimpin dan pembimbing mereka akan menjadi idola bagi mereka, setiap tutur kata ulama dipatuhi dan setiap gerak geri ulama diikuti atau diteladani. Di sinilah peranan ulama di dalam membina ummat amat penting. Tidak diragukan lagi bahawa ulama juga berkewajipan untuk membina ummat agar mereka mempunyai citra, tingkah laku dan pandangan hidup yang sesuai dengan ajaran Allah. Maka jika ini semua telah tercapai pada tiap-tiap orang di muka bumi ini sudah tentu tersusunkah masyarakat yang mempunyai satu tatacara hidup yang sesuai dengan citra ajaran Allah iaitu mempunyai keperibadian tersendiri, mempunyai corak tersendiri. Tentu sahaja corak atau syibghah itu sesuai dengan sabda Allah sendiri dalam surah Al-Baqarah ayat 138 : Syibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik syibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepadanyalah kami menyembah.
Para ulama berkewajipan untuk membina ummat agar sesuai dengan segala amal perbuatan dan berkeyakinan hidupnya dengan syibghah Allah itu. Dan ummat dilarang untuk mengikuti ulama yang melanggar atau tidak sesuai dengan apa yang telah diwariskan para nabi. Rasullullah SAW bersabda: janganlah kamu semua duduk semajlis dengan sembarangan ulama kecuali dengan ulama yang mengajak dari lima perkara iaitu dari keraguan kepada keyakinan, dari riak kepada keikhlasan, dari tamak kepada sederhana, dari takbur kepada rendah hati dan dari permusuhan kepada kejujuran
(HR Abu Nu’ain dari Jubir)
Ulama yang mengajak dari lima perkara kepada lima perkara itulah ulama yang mempunyai sifat mendidik kepada ummat atau kepada sesiapa sahaja yang mendekatinya. Setiap orang yang berada di sisinya tidak lepas dari ajakannya kepada kebaikan, dan ulama tersebut selalu mengajak kepada sesiapa sahaja untuk berbuat kebaikan ini kerana ulama itu sentiasa yakin bahawa semua orang tidak sempurna imannya dan senantiasa memerlukan bimbingan.5
ULAMA SEBAGAI PEMBIMBING UMMAT

Rasullulah SAW bersabda: ulama itu adalah pemimpin (HR Ibnun Najjar dari Annar r.a) dan Sesungguhnya ulama di bumi ini adalah bagaikan bintang-bintang di langit. Dengan dia (bintang) , ummat ditunjukkan jka dalam kegelapan baik di darat mahupun di laut
(HR Al Ajuni dari Annas r.a)
Menurut dua sabda di atas ulama adalah penuntun, pembimbing dan pemimpin. Tentunya tugas pemimpin adalah menunjukkan jalan dan membimbing umat ke jalan yang benar. Bagaikan bintang-bintang di langit di kala alam gelap, pelaut ataupun orang yang didaratan mengambil manfaat pada bintang tersebut sebagai penunjuk jalan. Demikian pula ulama tugasnya adalah menunjukkan jalan kepada ummat yang sedang mengalami kegelapan fikiran dan kebingungan. Sekiranya ulama tidak menjalankan peranannya dengan bertanggungjawab maka kerosakan akan menimpa ummat dan ulama tersebut akan menanggung dosa yang besar. 6

ULAMA SEBAGAI PENEGAK KEBENARAN

Semua pendokong Islam untuk menegakkan agama Islam itu dengan segala daya dan kemampuan yang dimilikinya. Semua orang Islam tidak lepas dari percubaan dan rintangan dalam mengamalkan ajaran agama Allah dan dalam menuju keredhaan Allah. Tetapi bagi para ulama cubaan dan rintangan itu lebih besar datangnya daripda rintangan yang dialami oleh orang-orang biasa. Bagi musuh-musuh yang hendak menghapuskan Islam, mereka akan menghapuskan tokoh ulama terlebih dahulu. Apabila tokoh ulama telah berjaya ditewaskan mudahlah bagi pihak musuh menjatuhkan ummat yang lain. Kalau penegak atau tiangnya telah hancur atau roboh mestilah seluruh bangunan yang lain kan ikut roboh. Maka dengan itu agama Allah juga akan turut hancur. Apabila para ulama tidak menjunjung tinggi ajaran Islam, tidak menegakkan dan mempertahankan ajaran Allah tentu rosaklah ummat yang menjadi pendokong ajaran Allah. Terdapat ulama-ulama yang menderita disebabkan oleh siksaan dari orang-orang yang tidak berperikemanusiaan ada yang sampai mati kerana disiksa, mati dalam penjara dan lain-lain. Semua ini adalah semata-mata untuk mempertahankan dan menegakkan kebenaran.7

PENUTUP

Peranan ulama dalam membimbing dan memimpin ummat dalam menuju kepada takwallah adalah tanggungjawab yang besar. Para ulama dan pemimpin Islam harus mempunyai jiwa kepimpinan dan tanggungjawab atas kepimpinannya itu dan juga harus mengetahui agama serta ummat yang di pimpinnya itu kerana para ulama menjadi ikutan ummat yang lain.8