Pencapaian Umat Islam Dalam Sains Teknologi

PENDAHULUAN

Sains adalah ilmu pengetahuan yang teratur dan dapat dibuktikan kebenarannya. [1] manakala teknologi adalah ilmu tentang cara mencipta barang-barang dalam perusahaan. [2]Menurut Everett Mendelsohn,
“Sains ialah kegiatan saling bertindak manusia. Oleh itu ia adalah suatu aktiviti sosial. Pengetahuannya,kenyataanya, disuburkan dan dikongsi dikalangan kelompok manusia. Oleh itu, pada dasarnyapengetahuan saintifik adalah pengetahuan sosial. Sebagai aktiviti sosial, nyata sekali bahawa sains adalah hasil sejarah dan proses yang terjadi menurut masa dan tempat yang melibatkan manusia sebagai pelakon. Para pelakon ini bukan sahaja berperanan dalam sains tetapi dalam masyarakat yang lebih luas, di mana mereka adalah sebahagian daripadanya. ”

Sejarah dan perkembangan sains dalam Islam sebenarnya orang Islamlah yang memberi sains sebagai bentuk yang boleh dikenali. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh epistemologi Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun, nilai dan prinsip akhlak memainkan peranan yang penting dalam usaha seseorang Islam itu menuntut ilmu. Tidak terdapat dwikotomi atau konflik antara Islam dan sains, tidak ada persamaan dalam sejarah Islam berhubung dengan perseteruan antara agama kristian yang telah diinstitusikan dengan sains. Islam seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad S.A.W menekankan penuntutan ilmu. Islam adalah satu sistem yang penuh. Ia adalah satu agama, kebudayaan dan tamadun sekaligus.
Sebagai satu sistem yang holistik ia menyentuh segenap kegiatan manusia. Etika dan nilai Islam meresap dalam semua kegiatan manusia. Oleh sebab itu Islam mempunyai perspektif yang tetap dari sudut falsafah,sosiologi dan metodologi tentang SAINS DAN TEKNOLOGI[3].

ZAMAN KEEMASAN

Kebangkitan bersejarah sains dan teknologi ketika zaman keemasan Islam bermula semenjak era Khulafa ar-Rashidin iaitu semenjak zaman Abu Bakar,Umar,Uthman dan Ali. Ia kemudiannya diteruskan semasa pemerintahan Abassiah yang pertama iaitu pada kurun ke-18. Khalifah seperti Al-Mansor, Ar-Rashid dan Al-Mamun memainkan peranan utama dalam menggalakkan penyelidikan sains dengan menyediakan segala kemudahan. Ini telah membantu dalam penciptaan tradisi pengajian sains. [4]
Perkara pertama yang dilakukan oleh orang Islam ialah mempelajari segala perkara yang diketahui oleh manusia sebelum mereka. Mereka mengumpul buku-buku Yunani, Parsi dan China. Selepas fasa pertama yang memakan masa selam lima puluh tahun, mereka mula mengorak langkah era seribu tahun mereka sendiri. Mereka membetulkan pemerhatian zaman lepas dan mengorak bidang-bidang sains yang baru.
Dalam proses yang sangat penting ini, orang Islam telah mengelakkan diri dari terjerumus dalam dua perangkap besar yang boleh membawa mereka ke arah mengasimilasikan kebudayaan lain dengan sepenuhnya. Pertama,mereka tetap berada di atas garis panduan Islam. Mereka memberi tumpuan terhadap fakta dan mengabaikan andaian-andaian, mereka mengumpulkan karya-karya perubatan,matematik,astronomi dan geografi, tetapi menjauhkan diri daripada sihir dan mitologi. Kedua, mereka mahu bahasa Arab dijadikan bahasa sejagat, mereka menterjemahkan segala ilmu pengetahuan ke dalam bahasa Arab dan membangunkan bahasa itu menjadi bahasa pengantar yang berkesan cekap dan mujarab untuk perhubungan saintifik di kalangan semua orang didunia.
Pada masa inilah universiti dan makmal penyelidikan berkembang pesat di semua bandar utama dunia Islam, merentasi benua Asia, Afrika dan Eropah. Hospital dan farmasi menjadi sesuatu yang lazim walaupun di pekan-pekan kecil dan kerajaan berlumba – lumba menggalakkan usaha ini. Hasilnya, muncul teknologi baru termasuk sumber elektrik, tinggalan –tinggalan yang dikenalpasti sebagai bateri telah digali dan dipamerkan di Muzium Baghdad.

CIRI-CIRI ZAMAN KEEMASAN

Ciri-ciri utama zaman keemasan ialah:
1) kesejagatan
2) toleran
3) pasaran berciri antarabangsa
4) hormat kepada sains dan ahli sains
-5-
5) sifat Islam tentang kedua-dua cara dan matlamat sains.

Kesejagatan Islam timbul daripada kenyataan bahawa satu-satunya ikatan perpaduan di kalangan individu yang diterima dalam Islam ialah ikatan kesatuan kepercayaan dan tujuan dalam kehidupan. Semua orang Islam diikat dengan satu perikatan dalam satu masyarakat supranasional, yang dinamakan ummah yang ditakrifkan oleh Al-Quran sebagai mereka yang menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Oleh itu ummah bukan sahaja sebuah negara dan bukan sahaja satu masyarakat keagamaan. Ia adalah kedua-duanya sekali dan lebih daripada itu: sebagai satu Model.
Takrifan kita berhubung dengan ‘yang lain’ dalam ummah melangkaui ikatan keluarga,bangsa atau geografi. Nabi Muhammad menekankan persaudaraan semua orang Islam dalam berbagai-bagai bentuk dan paling penting dalam praktiknya sendiri. Walaubagaimanapun perikatan dalam ummah tidak menentang mereka yang berada diluarnya. Orang Islam cukup sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada kemanusiaan seluruhnya. Semua manusia adalah ummah Muhammad sejak Allah mengutuskannya sebagai Rasul kepada manusia. Sarjana-sarjana Zaman Keemasan mempunyai pandangan yang menyeluruh. Mereka sanggup membangunkan idea-idea yang dirintis oleh orang bukan Islam, samada daripada golongan semasa atau sebelumnya. Ciri inilah yang membolehkan mereka menyerap dan mensintesiskan begitu banyak ilmu pengetahuan dalam jangka waktu yang pendek pada tahun permulaan Islam.
Kesejagatan ini, yang bergabung dengan toleran memungkinkan penukaran idea dan penerimaan bakat asing. Natijahnya, masyarakat saintifik Islam nyata
-6-

berbentuk kosmopolitan dalam bangsa, bahasa dan juga agama. Mereka semua diikat dengan kesatuan pandangan tentang dunia, kesatuan bahasa,kebudayaan bahkan merupakan sebahagian daripada kesatuan milieu saintifik.
Ahli sains zaman itu menjelajah begitu jauh merentasi dunia Islam yang ketika itu merangkumi lebih kurang 40 juta kilometer persegi dan terdiri daripada hampir seluruh negara yang bertamadun. Ahli sains bebas bergerak dalam kawasan yang sungguh luas ini dan mereka mendapat layanan sebagai rakyat dimana saja mereka berada. Malahan ketika keunggulan politik dunia Islam jatuh, keadaan ini tidak berubah. Lazimnya seseorang ahli sains Islam menghabiskan usianya dibawah beberapa sistem politik yang bersaing satu sama lain untuk memikatnya dan memudahkan pengajiannya. Oleh itu seseorang ahli sains Islam dan hasil karyanya adalah komoditi yang boleh dipasarkan keseluruh dunia Islam.
Kerajaan yang berbeza-beza ini melakukan semua ini kerana penghormatan mereka terhadap sains dan ahli sains, dibawah pengaruh ajaran Al-Quran dan juga Nabi Muhammad. Cita-cita setiap ibubapa adalah untuk melihat anak mereka menjadi seorang yang berilmu pengetahuan dan menguasai sains. Menuntut ilmu dianggap sebagai tugas mulia yang mempunyai nilai kepahlawanan yang lebih tinggi daripada silsilah.
Sebagai balasan, ahli sains melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh kegigihan. Seperti jua harta kekayaan, mereka menganggap ilmu sebagai amanah Allah kepada seseorang yang paut menggunakanya dengan penuh kesedaran.


-7-
Ini bermakna mereka hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk kebaikan masyarakat dan ia perlu disalurkan kepada orang lain. Dengan itu, kedua-dua cara melakukan sains serta hasil kesudahan usaha mereka ditentukan oleh sistem nilai Islam. [5]
CABANG-CABANG ILMU SAINS ISLAM
i) Matematik

Boleh dikatakan hampir semua cabang matematik moden dapat dikesan kepada usaha-usaha ahli sains Islam[6]. Ini termasuk asas dan istilahnya yang diambil secara langsung daripada bahasa Arab atau diterjemahkan secara hurufiah daripada perkataan –perkataan yang dicipta oleh pakar-pakar Islam. Orang Islam di zaman permulaan menggunakan huruf abjad Arab sebagai angka tetapi semenjak kurun kesembilan orang Islam sebelah Barat mencipta al-arqam al-gharibiyah daripada huruf –huruf sanskrit kuno. Satu daripada karya terbesar ahli sains Islam ialah sifar(sifr) ditulis 0 bagi barat dan bagi timur. Sifar memungkinkan penulisan ungkapan-ungkapan mudah bagi nombor nilai yang infinit banyaknya, apabila digabungkan dengan sembilan angka asas.
Orang Islam meneruskan pembinaan model matematik mereka yang baru dengan memperkenalkan sistem perpuluhan iaitu satu idea yang bijak. Dalam sistem ini nombor dinyatakan dengan menggunakan sepuluh simbol dimana setiap simbol diberi nilai tempat dan juga nilai mutlak.


Bagi pendaraban(darb),mereka menggunakan kaedah kekisian, bagi hasil bahagi(kasr) mulanya mereka menggunakan kaedah mencuba yang diganti dengan cepatnya oleh apa yang disebut kaedah mencakar dan ini diikuti pula dengan kira bahagi panjang. Untuk mewakili pecahan, orang Islam memperkenalkan garis pemisah dan ungkapan berbentuk perpuluhan( misalnya ½ dan 0. 5). Mereka juga melahirkan nombor-nombor genap,ganjil dan emicable( jumlah faktor bagi suatu nombor sama denagan jumlah faktor bagi suatu nombor lain)
Algebra(al-jabr) adalah ciptaan seorang genius, Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi(750 – 850) dari Khawarizmi, iaitu berhampiran Laut Aral di Asia Tengah. Daripada namnya terbit perkataan ‘al-gorithm’ yang digunakan hari ini dalam analisis nombor dan ketokohannya dianggap oleh sarjana barat sebagai setanding dengan Euclid: ‘seorang ahli matematik yang unggul disepanjang zaman’[7], dan memiliki kepribadian seorang genius sains yang kukuh. Dia menterjemahkan beberapa perkataan Yunani dan dalam karyanya sendiri yang masyhur Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah,
Seorang arab dari Kufah, Abu Yusuf Ya’aqub Ibn Ishaq Al-Kindi(801-70)
Meletakkan asa aritmetik moden. Dia menulis pendahuluan kepada aritmetik, lapan menuskrip berkenaan teori nombor dan berkenaan pengukuran kadar dan masa. Al-Kindi juga adalah orang yang pertama memajukan geometri sfera yang digunakannya dalam kajian ilmu falak. Dia menulis sebuah buku berkenaan sfera, sebuah lagi berkenaan azimut di sfera dan yang ketiga berkenaan bagaimana meratakan sebuah sfera. [8]
Thabit Ibn Qurrah(835-900), berbang Syria dari Harran( di tenggara Turki) adalah pengkritik matematik Yunani yang utama. Beliau menterjemahkan dan menghuraikan karya-karya Euclid, karya Achimedes berkenaan heptagon sekata,
tujuh daripada lapan buah buku Appolonius bersabit keratan kon dan postulat-postulat Ptolemy dan Eutocius(juru ukur dari Alexandria dalam kurun keenam). Ibnu Qurrah menulis berkenaan teori nombor,termasuk nombor-nombor tak nisbah dan emicable.
Muhammad Ibnu Jabir Al-Batani( 850-929) ahli sains dari harran denagn sistematiknya membina trigonometri( muthallathat) dan melanjutkannya kepada trigonometri sfera. Dia mula-mula sekali menyediakan jadual sinus, tangen dan kotangen yang lengkap dengan kejituan yang sungguh tinggi. Dia memperkenalkan idea nisbah trigonometri dan dengan demikian mencipta perkaitan trigonometri yang asas. Dia menggunakan sinus dalam kajian ilmu falaknya, menyadari kelebihannya berbanding perentas Yunani. Al –Battani menghasilkan perkaitan diantara sisi dan segitiga bagi segitiga sfera yang seragam dan umum dengan menggunakan olahan algebra ke atas identiti trigonometri.
Abu al-Wafa Muhammad Ibnu Muhammad al – Buzjani, berbangsa Parsi dari Afghanistan ialah ahli matematik paling unggul kurun kesepuluh. Dia melengkapkan karya al-Khawarizmi( menghubungkan algebra dan geometri dengan menyelesaikan persamaan darjah tinggi. Dia menghasilkan keratan yang meluas berkenaan keratan kon, mengira isipadu jasad yang dijanakan melalui pegisaran rentasan kon di sekitar paksinya sehingga hampir mencapai prinsip pengamilan.
Ibnu Yunus( M. 1009) menjadi penyuluh kepada logarithma. Dia membuktikan buat kali pertama bahawa hasil darab kosinusbagi dua sudut adalah bersamaan dengan setengah jumlah kosinus selisih sudut dan kosinus
-10-
jumlahnya. Dengan ini Ibnu Yunus mengubah hasil darab kosinus kepada satu penjumlahan yang membenarkan penggunaan olahan logarithma.
Ahli – ahli sains matematik lain yang turut memberi sumbangan dalam perkembangan ilmu pengetahuan ialah seperti Ibnu al –Haytham(965-1039),
Abu al – Jud,Umar al-Khayyam( 1045-1121),Giyath al-Din Jamsid Ibnu Masud Al-Kasi(1424) yang menghasilkan miftah Al-Hisab.

ii) Fizik
Karya yang paling mustahak bagi ahli fizik Baghdad kurun ke-9 iaitu, Musa Ibn Salur dan puter-puteranya Muhammad, Ahmad dan Hassan ialah Kitab Al-Hayal, ia menerangkan undang-undang mekanik dan masalah kestabilan. Ahli Matematik iaitu al-Kindi(801-70) merupakan perintis dalam bidang optik bersabit dengan pantulan cahaya. Beliau juga adalah orang pertama yang mengembangkan teori bunyi-bunyi muzik.
Satu lagi sumbangan penting dalam fizik ialah Risalah al-Khala’, hasil karya seorang ahli falsafah Turki bernama Abu Nasr Al-Farabi(872-950). Beliau menerangkan ujikaji untuk membuktikan kewujudan vakum. Al-Farabi juga mengkaji bunyi-bunyi muzik dalam bentuk gelombang. Abu Sa’ad Abd Al-Rahman Ibn Yunus( M. 1009) mencipta pendulum( deduce) cara ia beroperasi dan menggunakannya untuk menyukat masa lebih awal lagi sebelum era Galileo.
Ibn al-Haytham( 965-1039) yang berasal dari Basrah adalah bapa optik moden. Dalam bukunya Kitab al-Manazir, beliau membuktikan hukum pembiasan cahaya yang mana kredit telah diberi berkurun kemudian kepada Snell dan Royen.

-11-
Beliau menghasilkan jadual sudut datang dan pembiasan bagi cahaya melintasi permukaan 2 medium yang berbeza.

Bunyi adalah subjek yang digemari oleh seorang lagi ahli sains yang bernama Al-Jaldaki. Dalam bukunya Asrar Al-Mizan dia menyatakan bahawa perombakan bukanlah pergerakkan pemindahan air atau udara. Ia adalah kesan yang berlaku daripada tindakan demi tindakan dan keterangan demi keterangan. Tambahnya, gema berlaku sebab pantulan perombakan udara ketika ia bertembung dengan gunung yang tinggi atau dinding. Lazimnya gema tidak kedengaran untuk jarak dekat kerana kewujudan masa yang sangat singkat antara mendengar bunyi dan mendengar gema.
Abu Rayhan Muhammad Ibnu Ahmad Al-Baruni(973-1048) ialah seorang lagi ahli sains dari Khawarizmi yang mempunyai ‘rasa’ yang baik bagi kelajuan bunyi dan cahaya. Dia membuat pemerhatian bahawa kelajuan cahaya jika diukur berbanding kelajuan bunyi, akan didapati terlalu besar. Dia juga membuat kajian meluas berkenaan telaga artesian, menerangkan bagaimana ia berlaku dengan merujuk kepada prinsip tekanan. [9]
Abu al-Fatah Abd Rahman al-Khazin dari Marw adalah salah seorang ahli fizik yang unggul pada awal kurun ke-12. Sebahagian besar bukunya Mizan Al-Hikmah menyentoh tentang mekanik dan hidrostatik. Al-Khazin menyukat berat dan ketumpatan udara,mencatatkan bahawa udara seperti juga cecair mempunyai daya mengangkut dan bahawa berat sesuatu jasad dalam air kurang daripada beratnya sebenar. Beliau mengkaji tegangan permukaan bagi cecair dengan mengukur ketumpatan tentunya. Dia mengetahui bahawa ketumpatan air berubah dengan suku atau kemasinan dan mengukur nilai-nilai ini dengan tepat.

iii) Astronomi
Terjemahan karya-karya astronomi kuno di semenanjung Arab bermula pada masa pemerintahan Umayyah dan diteruskan di bawah pemerintahan Abassiah yang pertama. Ibrahim Ibn Habib Al-Fazari(M. 777) menterjemahkan banyak buku dari
India, tetapi dia adalah juga ahli sains Islam yang memulakan kajian asli dalam astronomi. Dia mencipta astrolabe dan meramalkan gerhana bulan dan matahari. Dia mengkaji tahun lunar,pergerakkan bintang dan waktu sembahyang.
Kemudian buku Yunani diterjemahkan oleh Al Hajjaj Ibn Yusuf terutamanya buku Al-Majsati(almagest) karangan Ptolemy. Tidak lama kemudianobservatori dibina di seluruh bumi Islam yang menarik ahli falak dari segenap pelusuk dunia.
Kejayaan besar yang pertama ialah apa yang diperihalkan oleh Abu Al-Tayyib Sind Ibn ‘Ali(kurun ke-9) seperti yang dilaporkan oleh Ibn Yunus dalam manuskripnya Kitab Al-Zayi Al-Kabir Al-Hakimi.
Al-Khawarizmi telah dilantik sebagai ahli falak istana oleh Al-Ma’mun. Dia adalah orang yang mula-mula sekali membina jadual astronomi,mengira pergerakkan planet, kecondongan gerhana dan ukuran geodesik yang lembut.
Al – Kindi pula membina satu model Sfera bagi dunia dan dengan menggunakan geometri menghujahkan bahawa jasadnya finit. Dia juga membuktikan bahawa permukaan laut dan seterusnya permukaan bumi juga adalah sfera. Dia merekabentuk satu bingkai sfera untuk mewakili kedudukan –kedudukan gerhana dan bulatan jasad lain diangkasa.
-13-
Al-Batani( 850-929) mengukur tambahan longitud bagi apogi suria semenjak zaman Ptolemy pada tahun 150 masihi ialah sebanyak 16° 17’.
Abu A-‘Abbas Ibn Muhammad Ibn Kathir, ahli falak abad ke-9 dari Farghana di Asia Tengah, menumpukan tenaganya menghitung jarak-jarak dari bumi ke bulan dari planet. Dia mengira dengan tepat isi padu bulan merujuk kepada isipadu bumi dan memperolehi juga isipadu-isipadu relatif bagi matahari,Mecury,Venus,Mars,Jupiter dan Saturn. Nilai ini digunakan hingga zaman Copernicus.
Abd Al-Rahman Al-Sufi(903-86) yang dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran menyiapkan jadual bintang-bintang tetap dan melukis peta kedudukannya di angkasa. Dia menamakan lebih daripada seribu bintang melalui kumpulan-kumpulan mewakili haiwan. Sistem ini masih digunakan dan nama-nama Eropah bagi bintang-bintang ini adalah ciptaannya.
Muhammad Ibnu Muhammad Al-Bazjani( 940-98) menjumpai kegoyangan dalam pergerakkan bulan,suatu penemuan yang didakwa berkurun kemudian oleh Tucho Brake.
Ibn Haytham telah menggunakan optik untuk menentukan stellar yang tepat, mengambil kira pembiasan atmosfera dengan altitud sesuatu bintang dengan masa peredaranya melalui zenit( samt) dan menerangkan kenapa jasad – jasad berbentuk sfera kelihatan seperti piring.
Enam ratus tahun sebelum Galileo, Al-Baruni telah mendakwa bahawa bumi berputar pada paksinya. Dengan menggunakan astrolabe dan kehadiran gunung yang tinggi berhampiran dengan laut atau tanah rata, dia mengira lilitan terrestrial dengan cara menyelesaikan persamaan geodesik yang sungguh kompleks. Dia juga menetapkan secara saintifik arah Makkah daripada sebarang titik di glob.
-14-

Di kalangan ahli falak Islam yang unggul, yang terakhir sekali ialah Shamduddin Muhammad Ibn Muhammad Al-Rudaini(1627-83) yang berasal dari Tarudant( Morocco). Dia mencipta injin berbentuk sfera untuk mengukur masa, suatu alat yang berfungsi dalam bekas dan boleh digunakan di sebarang longitud dan latitud.

iv) Kimia
Penyelidikan kimia Yunani telah diserabutkan dengan perdebatan falsafah-falsafah dan tujuan –tujuan mitos seperti batu hikmat yang menukar logam asas kepada emas dan ubat mukjizat bagi kehidupan yang mengizinkan kesihatan dan kebelian berkekalan. Orang Islamlah yang mula-mula sekali meneroka percubaan( ujikaji) dalam analisis saintifik kepada kedudukannya yang sewajarnya dalam sains. Merekalah yang mula-mula sekali menyiasat berbagai-bagai nilai teori kimia melalui percubaan. Dalam proses ini mereka menemui banyak hasil baru yang mana nama-nama dalam bahasa eropahnya masih berbau Arab seperti :
Chemistry – al-kimiya
Alambic-al-alambiq
Alkohol-al-kuhul
Alkaline-al-qalanis
Arsenic-al-zirnikh
Ahli sains Islam kerap kali berupaya membangun satu proses yang tidak di ketahui lalu menjadi satu industri besar-besaran yang mengubah ekonomi dunia.

-15-

Bermula pada tahun 351 ketika Zuyad Ibn A-Salih, gabenor Islam di Samarkand, Asia Tengah mengirim satu ekspidisi tentera ke China. Tentera ini pulang
dengan beberapa orang tawanan yang mengajar orang Islam cara primitif membuat kertas.
Menjelang tahun 794 Al-Fadl Ibn Yahya Al-Marbaki, gabenor Islam di Khurasan memajukan proses ini dan mendirikan kilang kertas yang pertama. Al-Tha’alibi menyebut kejayaan ini dalam bukunya Lata’if Al-Ma’arif dalam perkataan berikut:
“Kertas Samarkand menghapuskan lontar(papyrus) Mesir dan kulit-kulit yang biasa digunakan untuk ditulis oleh orang dahulu sebab kertas-kertas ini lebih baik, lebih nipis, lebih mudah dan lebih praktikal. ”
Industri ini sampai ke Syria dan Mesir sebelum kurun kesembilan, Al – Andalus, bahagian Sepanyol Islam dan Portugal pada kurun kesepuluh dan Afrika Utara pada kurun berikut. Contoh-contoh kertas yang diperbuat boleh didapati di perpustakaan Sepanyol khasnya The Escorial.
Jabir Ibn Hayyan Al-Kufi( 738-813) dari Kufah di Iraq adalah ahli kimia pertama yang unggul dan tanpa diragui lagi, dia adalah bapa kimia moden. Bekerja dalam makmalnya berhampiran Bawwabah, Damsyik, dia telah mengasaskan percubaannya keatas kelima-lima pancaindera, menggunakan bahan-bahan asli logam, tumbuhan dan haiwan. Dia mengakhiri huraian tentang percubaan-percubaannya seperti berikut:
“ Saya mengetahuinya mula-mula dengan tangan dan otak saya, dan saya mengkajinya sehingga ia menjadi betul, dan saya mencari kesilapan-kesilapan dalamnya”.
-16-

Ibn Hayyan mencipta peralatan untuk memotong, membakar dan menghablur. Dia menyempurnakan dan menerangkan proses asas bagi sublimasi, penyejatan, pencairan, penghabluran, pembakaran, penyulingan, penglilinan, penulinan, larutan, pengikatan, panggangan, ‘coction’, penggabungan dan pengoksidaan. Dia membezakan penyulingan lansung dengan menggunakan kukus air dan penyulingan tak lansung menggunakan dapur pasir. Ibn Hayyan mendakwa bahawa air akan tulen cuma melalui penyulingan. Jika tidak kekotoran dalam air larut kedalamnya dan penulenan tidak meninggalkan kesan.
Ahli kimia ini menemui banyak hasil terbaru termasuk alkaline,asid,garam,gris dan cat. Dia menyediakan asid sulfurik, asid nitro hidroklorik, CH3COOH(asid cuka). Dia mencipta bahan untuk mengeringkan baju dan bahan pencegah karat. Dia juga menyediakan cat dalam berbagai-bagai warna untuk digunakan pada baju dan binatang, serta dakwat yang digunakan untuk menulis manuskrip yang mahal. Keseluruhannya, Ibn Hayyan menulis lebih daripada 500 kajian dalam bidang kimia tetapi sedikit sahaja yang sampai kepada kita.
Ahli kimia Islam yang terkenal selepasnya ialah Abu Bakar Muhammad Ibn Zakariya Al-Razi(854-932), berbangsa Parsi. Dia menyediakan asid sulfurik dan asid-asid lainnya serta alkohol dengan menapai bahan –bahan manis, mengkaji raksa dan sebatiannya dan menerangkan pelan dan kegunaan perkakas bagi kegunaan bahan kimia. Al-Razi melengkapkan proses ujikaji dengan menerangkan dulu bahan-bahan yang digunakan, kemudian peralatannya, kaedah dan syarat ujikaji.


-17-
Dialah orang pertama membahagikan hasil kimia kepada kategori hasil gaian, tumbuhan dan haiwan dan dia jugalah yang mengishtiharkan bahawa perjalanan kehidupan tubuh badan adalah berdasarkan tindakbalas kimia yang kompleks.
Abu Al-Qassim Salamah Ibn Ahmad Al-Majriti(950-1007) berbangsa Andalus dari Majrit(Madrib) adalah orang pertama yang membuktikan prinsip kekekalan jisim-kredit untuk usaha ini telah pun didakwa 900 tahun kemudian oleh Lavoiser.
Ahli perubatan Ibn Sina(980-1037) mengemukakan teori-teori yang jitu berkenaan pembentukan logam, batu dan gunung. Beliau menentang kepercayaan bahawa logam boleh bertukar kepada emas dengan mudah ‘ sebab logam mempunyai rangka yang tersendiri yang tidak boleh ditukar dengan cara perubahan yang kita ketahui. ’

Ahli kimia yang lain ialah Muhammad Al-Tamimi Al-Maqdisi(kurun kesepuluh), berbangsa Palestin, Ibn Jazlah( M. 1080) dari Iraq, Abu Al-Hassan ‘Ali Ibn Irfa’ Al-Ra’as( M. 1197) yang menulis Rizam Mini Al-Dhahab dari Andalusia.

v) Perubatan
Hospital Islam yang pertama dibina semasa hayat Nabi di Madinah meliputi hospital tentera Islam di medan pertempuran. Dengan berkembangnya Negara Islam, hospital-hospital umum didirikan di setiap bandar. Institusi kepakaran yang pertama iaitu sebuah pusat kusta dibina oleh Khalifah Al-Walid dari pemerintahan Umayyah di Damsyik pada tahun 707.

-18-
Pemerintahan Umayyah juga mendirikan hospital-hospital tentera,hospital bergerak dan institusi kepakaran dalam penyakit –penyakit mental.
Pada pemerintahan Abbassiah pada kurun kesembilan iaitu, pemerintahan Al-Makmun, farmasi-farmasi bertambah tersusun di bawah kawalan Negara. Setiap bandar mempunyai ketua ahli farmasi rasmi.
Penterjemahan teks-teks khas bermula awal ketika negara Islam mewarisi sekolah-sekolah perubatan yang masyhur seperti yang terapat di Jundisabur di selatan Iraq. Penterjemah paling terkemuka dan tanpa diragui lagi ialah ahli kristian Nestoria, Abu Zayd Hunayn Ibn Ishaq Al-‘Abaddi(807-77) yang berasal dari Al-Hirah(Iraq). Dia menterjemah karya-karya Yunani terutamanya hasil karya Hippocrated, Galen, Paul dari Aegina dan Dioscorides. Dia menulis karya asli berkenaan perubatan terutamanya tentang mata, rangka dan ubatnya dan farmakologi.
Ahli perubatan Islam yang mula-mula terkenal ialah Al-Razi. Dia menjadi ketua ahli perubatan Hospital Rayy di Tehran, kemudian dengan jawatan serupa di
Hospital Baghdad. Pakar bedah terkemuka, dia adalah orang yang pertama yang membezakan penyakit cacar dan campak dan menulis tentangnya. Dia menulis Kitab Al –Hawi satu ensiklopedioa perubatan sebanyak 24 jilid, dia mencatatkan kes-kes kliniknya dengan amat tepat. Dia menerangkan tentang penyakit seperti penyakit seperti bengkak renal, regurgitat aorta, oftalmia, peludahan berdarah( hemoptisis) dan kebotakan sementara atau alopesia. Hasil karyanya yang lain iaitu, Al-Mansuri menjadi buku teks perubatan yang digunakan selama beberapa tahun. [10] Dia juga menulis buku tentang diet dan sebuah lagi Sirr Al-Asrar berhubung dengan farmakologi dalam mana dia membahagikan ubat kepada kategori hasil galian,tumbuhan dan biologi dan menerangkan cara penggunaannya. Dia selalu menguji ubat-ubat baru ke atas aiwan dan mengkaji kesan –kesan sampingan. Dia menggunakan candu dan hasis dalam anestasia dan menghasilkan garam NaOH dan kalium karbonat dalam makmalnya.
Sebuah buku teks perubatan, Al-kitab Al-Malaki yang berbentuk teoritis dan praktik telah ditulis oleh ahli perubatan Parsi, ‘Ali Ibn Al-‘Abbas Al-Ahwazi(M. 940). Penulisnya adalah orang yang mula-mula sekali menyebut tentang rangkaian yang menghubungkan salur darah dan arteri. Dia juga memberitahu akan kesukaran sembuh daripada tuberkulosis sebab pergerakan paru-paru. Dia merawat jangkitan kelenjar limpa dan tonsil secara pembedahan.
Al-Ahwazi merupakan pengamal ostespati terkemuka, merawat keterpelecokan dan kepatahan tulang yang menyakitkan seperti dagu bawah. Dalam bidang farmakologi, dia menyediakan dan menerangkan berbagai-bagai jenis pil, serbuk, sirap, ubat cair, pencahar dan ubat gigi.
Abu Al-Qasim, pakar bedah yang dilahirkan pada tahun 936 di cordova menerangkan pembedahan-pembedahan dalam hasil karyanya sebanyak 30 jilid berjudul,Al-Tasrif Liman ‘Ajaza ‘Ani Al-Tabib. Buku ini menjadi buku teks umum selama lebih daripada 5 kurun. Dia menyempurnakan pembedahan bahaya seperti mengeluarkan batu dari pundi-pundi, mengeluarkan bayi yang meninggal dunia dan pemotongan. Dia menulis tentang ginekologi, penyakit mata dan telinga dan pergigian. Kebanyakkan alat yang digunakan adalah ciptaannya sendiri.
Ahli fizik, Ibn Haytham yang usia 73 tahunnya merentasi kurun kesepuluh dan kesebelas,memberi ilustrasi tentang pembedahan mata dan menamakan bahagian-bahagiannya. Penerangannya tepat dan kajiannya merintis jalan bagi penggunaannya untuk membetulkan kecacatan mata.
-20-
vi) Geografi
Orang Islam memajukan jarum magnetik bagi kegunaan dalam pelayaran dan mencipta kompas morinar serta astrolabe. Mereka meneroka jalan-jalan baru didaratan dan lautanbagi menghubungkan Asia, Afrika dan Eropah disamping membuka pelabuhan-pelabuhan dan rangkaian stesen-stesen darat. Mereka membian kapal dikilang yang mereka namakan dar al-sinaah( arsenal) dan setiap kapal mempunyai amir al-bahr(admiral) sebagai ketua. Orang Islam menggunakan cara baru untuk menentukan perjalanan mereka dengan menggunakan bintang dan memetakan jalan laut. Mereka menetapkan jalan meridian bagi longitud dan latitud-latitud selari. Dengan itu mereka mencipta kartografi sfera. [11]
Orang Islam mengembara ke China,Jepun, India dan Asia Tenggara, Laut Hindi, Eropah termasuk Scandinavia, Ireland, Jerman, Perancis dan Russia dan kawasan Mediteranian dan Afrika.
Al-Khawarizmi, telah membuat sumbangan dalam pengukuran lilitan bumi. Dia juga membantu melukis peta geografi dunia yang pertama bagi orang Islam. Bukunya surah Al-Ard mengembangkan lagi geografi Ptolemy.

PENUTUP

Tidak diragui lagi bahawa ahli sains Islam banyak mempelopori bidang – bidang sains dan teknologi dan ia kekal hingga kehari ini. Mereka berjaya membuktikan bahawa pembangunan material yang bergerak seiring dengan
pembangunan nilai yang selaras dengan kehendak Islam telah berjaya membawa manusia kearah kesejahteraan hidup dan kebahagiaan akhirat.
Mutakhir ini kita dapat melihat dengan jelas ketidakseimbangan yang berlaku dan bagaimana manusia hidup dengan sifat dengki, menindas, ganas, rakus dan tidak berperikemanusiaan.
Sebagai satu agama yang hadir dengan matlamat membawa manusia kearah kebaikan dan diredhai Allah S.W.T maka dunia Islam perlu mencipta semula ciri zaman Keemasan yang merangkumi kesejagatan, toleran, hormat kepada sains dan ahli sains, kesatuan matlamat dan cara sains dan iklim yang tidak membataskan pergerakkan –pergerakan ahli sains, teknologi dan hasil mereka dikalangan Ummah secara bebas.
Sabda Rasullullah:
“Hari-hari kebelakangan Ummah ini akan dapat akan dapat diperbaiki cuma dengan apa yang diperbaikinya pada hari permulaannya”



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com