Pencapaian Tamadun Islam Dalam Astronomi

Intelektual bererti golongan cerdik pandai atau golongan terpelajar. Hasil daya berfikir dan akal budi yang tinggi golongan ini telah melahirkan pelbagai ilmu dan teori yang membolehkan masyarakat hidup lebih beradab dan bertamadun. Bidang ilmu yang diterokai para intelektual merangkumi ilmu sains tulen dan sains sosial termasuk ilmu-ilmu agama dan bukan agama.1
Ilmu pengetahuan berkembang pesat pada zaman Rasulullah s.a.w. Ramai tokoh ilmiah dilahirkan dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang astronomi. Ilmu ini banyak memberi sumbangan dalam tamadun Islam terhadap dunia. Terdapat beberapa karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh astronomi, beberapa kejayaan yang dicapai oleh tamadun islam dalam bidang ini dan peralatan-peralatan yang berjaya dicipta oleh tokoh-tokoh yang terkemuka. Bidang ini telah lama diterokai oleh umat islam berbanding dengan orang Eropah. Ini dapat dibukti kan pada petikan di bawah:
“Sebenarnya orang Islam telah memperoleh kemajuan pesat dalam lapangan ilmu pengetahuan.Mereka mengajar kita menghitung ,sehingga kita dapat berhitung .Meraka dapat ilmu aljabar dan ilmu pasti.Mereka memajukan dan melanjutkan sehingga diperolehnya pula ilmu ukur analytic.Tidak ada perselisihan faham, merekalah pertama kali mendapat ilmu plenometry dan trigonometry.Ilmu-ilmu ini belum pernah diketahui orang Yunani sebelumnya”2
Prof Dr. Carra de Vaux.
Ilmu astronomi akan dibicara dengan lebih lanjut lagi dalan bab seterusnya.



Definisi / Pengenalan Astronomi.

Ilmu astronomi terbit daripada perkataan Yunani astro yang membawa erti ‘yang berkaitan dengan bintang’. Astronomi ialah satu cabang ilmu yang berkaitan dengan kajian bukan sahaja bulan dan bintang tetapi juga planet,galaksi,jirim antara bintang ,nova,supernona,nebula dan apa jua bahan dan jasad yang terdapat di angkasa lepas.3
Pada peringkat awal orang islam mempelajari ilmu astronomi, karya astronomi
yang dihasilkan oleh orang Parsi telah diterjemahkan . Zij-I Syahi,sebuah buku astronomi yang dihasilkan pada tahun 555 M,telah diterjemahkan kedalam bahasa Arab oleh Abu Hassan al-Tamimi dan tafsiranya dibuat oleh Abu Ma’shar.
Dalam bidang ilmu astronomi khalifah Al-Makmun merupakan pelopor pertama mendirikan pusat penyelidikan ilmu yang berkenaan dengan menggunakan alat-alat yang sudah agak sempurna dan teratur di Baghdad.4 Tujuannya untuk mengetahui gerak geri bintang-bintang di langit supaya mereka dapat mengetahui hal berkaitan musim-musim dan arah angin , tidak seperti ahli astronomi terdahulu yang bertujuan untuk mengetahui nasib baik dan buruk yang akan menimpa manusia. Ahli-ahli astronomi Islam tidak terpengaruh dengan ahli astronomi dari Mesir,India, China dan Greek yang menekankan dari segi khayalan atau ramalan untung baik dan jahat semara-mata sebaliknya ahli-ahli astronomi Islam memendang ianya suatu kebesaran Allah.
Tokoh yang pertama dalam ilmu Astronomi yang terkenal pada waktu itu ialah Al-Khuwarizmi. Beliau telah menyelidikikitab-kitab ilmu yang berkenaan dari orang India, Parsi, Yunani dan Mesir, kemudian memberi pendapat mengikut asas-asas Islam. Berkat usahanya , orang-orang Islam tidak lagi banyak terpengaruhi dengan cerita dongeng. Beliau bukan sahaja dianggap pakar tetapi berjaya juga membuat buku yang pertama dalam ilmu Hisab dan Al-Jibra. Buku-buku Al-Khuwarizmi kemudianya telah dijadikan buku rujukan utama di universiti-universiti Eropah hingga ke abad 16 M. Buku astronomi yang terkenal sehingga kini ialah Al-Kawatib Al-Sabitah (Bintang-bintang yang tetap).Buku-buku tersebut adalah buku yang paling digemari oleh penyelidik-penyelidik Barat hingga hari ini.

Alam Bintang Dan Pembangunan Kota Baghdad

Perkembangan ilmu astronomi telah meluas semenjak Khalifah Abbasiyah. Ketika Khalifah Al-Mansur memegang kekuasaan, ia merancang membuka Baghdad Baru. Baghdad lama terletak di Byzantium. Ketua kerja Naubakth adalah seorang ahli ilmu bintang dan dibantu oleh Masha’allah.
Seorang ahli asttronomi, Manka telah dibawa menghadap Khalifah dan beliau telah mempersembahkan sebuah buku Sanskrit yang berjudul Sindhind juga dikenali sebagai Sidhanta, ditukar ke bahasa Arab oleh Al-Fazari Muda. Al-Fazari adalah muslimin pertama yang mencipta astroble.5
Perkembangannya

Al-Biruni mempunyai banyak pengalaman tentang ilmu perbintangan di India. Ia mengatakan
“ ….., Adapun ilmu perbintangan adalah relatif”. Hal ini dapat kita perhatikan pada hasil pekerjaan kuno. Dua ribu tahun sebelum Copernicus ,beberapa ahli bintang India mengarang ilmu perbintangan. Pengetahuan mereka terikat pada dogma. Berlainan dengan orang Islam yang menjadikan ilmu bintang suatu ilmu penyelidikan , tidak dipengaruhi oleh pendapat atau keterangan dogmatis. Ia menjadikan ilmu sejati yang padat.”

Walaupun menerima serangan dari Monggol ,masih terdapat juga orang islam yang dapat berfikir dan mencipta sesuatu yang canggih dan besar. Orang tersebut bernama Nasir al-Din Tusi yang digelar berotak synthetic oleh Dr. Carra de Vaux. Beliau telah mendirikan sebuah observatorium di Maragaha, sebuah tempat terletak di Asia Kecil. Dari observatorium ini, ia dapat memperbaharui ilmu bintang dengan mencipta jadual perjalanan bintang baru, yang diberi nama Jadual Ilkhanian sebagai penghormatan Raja Moghal yang memberi sokongan untuk mendirikan observatorium itu. Alat dan perkakasnya amat menakjubkan dimana terdapat sebuah bola berputar, disusun atas berbagai cincin . bola itu dihadapkan ke langit . Ia bertujuan untuk menentukan bintang di cakerawala. Ilmu ini sudah lama ingin ditakluki oleh orang-orang terdahulu tetapi gagal melakukannya. Contohnya Ptolemy dan orang-orang Alexandria yang cuba untuk mnciptanya tetapi gagal melakukannya. Selain itu cincin-cincin dan gelang-gelang untuk pengukur gerhana bulan , pengukur gerhana matahari dan terdapat juga pengukur khatulistiwa.
Perkakas yang digunakan untu mengukur gerhana bulan mempunyai lima cincin ,tingginya 12 kaki. Perkakas itu mempunyai penunjuk detik dan minit. Ketika Raja Alfonso di Castille hendak membuat sebuah armillary, beliau telah meminta pertolongan dari ahli-ahli astronomi islam untuk mendirikannya. Armillary adalah salinan gelang pengukur Nasir al-Din Tusi. Dalam bahasa Latin disebut mille.
Jadual
Kalau kita lihat ,perkembangan ilmu Islam masih tetap utuh dan baik sehingga abad ke 16. Dengan wujudnya jadual astronomi yang dinamakan Jadual Ulugh Bek segala kajian bintang dapat dijalankan dengan sempurna. Jadual ini telah disiapkan pada tahun 1437 M dan telah menarik minat ahli pengetahuan Barat. Salinannya diterbitkan di Inggeris dalam abad ke 19.
J. Greaves dan T. Hyde telah menyalin jadual itu dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di London dalam tahun 1650 M. Pada tahun 1655 diterbitkan sekali lagi. Sedillot menyalinnya dalam bahasa Perancis, diterbitkan di Paris, tahun 1846 M.
Ramai sarjana Barat berpendapat bahawa perkembangan ilmu Islam ditanah asalnya tidak pernah terputus hingga kini.
Observatorium
Dalam waktu yang sama, diadakan observasi di dua tempat,iaitu di Baghdad dan di Junde-Shahpur. Inilah kali pertama munculnya cabang ilmu yang dinamakan ilmu bintang. Orang Eropah telah menyalin buku tersebut kepada bahasa Yunani dengan nama Astronomos. Orang Inggeris telah memanggil dengan nama Astronomy. Inilah permulaan kata astronom dimasukan dalam kamus Eropah.
Terdapat beberapa istilah astro dalam ilmu perbintangan islam iaitu:-
1)Astrodicticum- alat pencari bintang-bintang cakerawala
2)Asrognose - pengetahuan tempat-tempat bintang
3)Astrolobium - untuk mengetahui jarak bintang
4)Astroskoopie- teropong jauh
Algorithmus
Orang islam yang termasyhur dalam lapangan ilmu bintang pada waktu ini ialah Al-Farghani. Orang Eropah menyalin buku-bukunya kedalam bahasa Latin, menyebut dengan nama Alfraganus. Dalam abad pertengahan , tidak ada ahli ilmu bintang Barat, yang tidak kenal dengan nama Alfraganus.
Al-Farghani diberi nama kerana ia berasal dari Farghana, sebuah kota yang terletak dalam daerah Transoxania. Buku ini telah membawa kemajuan dalam ilmu astronomi barat dan telah disalin oleh Gerad Cremona dan Johanes Hispelanesis dengan nama Compendium. Pelbagai pendapat Al-Farghani telah digunakan dalam buku tersebut.

Sumbangan Al Biruni dalam bidang Astronomi
Nama penuhnya Abu Rayhan Muhammad bin Ahmad Al-biruni daripada keluarga Tajik, dilahirkan pada 3 zulhijjah tahun 362H/4 september 937M di negeri Parsi. Menurut kitab al Ansab yang ditulis oleh Sam'ani dan kitab Mu;jam al-Buldan yang ditulis oleh Ya'qut al-Hamawi, penduduk Khawarizan memanggil orang asing sebagai biruni. Abu Rayhan dikenali sebagai al-Biruni kerana beliau adalah orang asing.
Ø SEBAGAI AHLI ASTRONOMI
Minat dan aktiviti al-Biruni merangkumi skop yang luas. Ini termasuklah teori-teori abstrak tentang falsafah hinggalah kepada sains praktis matematik, geografi, fizik dan astronomi. Bidang pengajian yang utama ialah astronomi. Ini adalah berdasarkan pengakuanya sendiri:
'Oleh kerana bidang saya ialah bidang astronomi, dan sejak saya wujud di dunia ini lagi saya terkenal kerana ilmu itu dan saya tidak berniat untuk keluar dari displin ilmu itu, maka saya mahu berkhidmat kepada perbendaharaan baginda (Mas'ud) yang dikenali sebagai nikmat, dengan menulis kanun (undang-undang) Sina'at al-Tanjim (seni astronomi)6


Beliau memberi contoh tentang kegunaan harian pengetahuan matematik dan astronomi. Contoh ini menunjukan pengaruh matahari dan bulan ketika menentukan musim dan pasang surut air laut. Ilmu pengatehuan tentang bintang-bintang dan kedudukannya sangat penting bagi menetukan arah pengembaraan dan perjalanan.Ia juga sangat berguna ketika menentukan arah kiblat, waktu solat dan kedudukan garis lintang atau bujur sesuatu bandar. Maka beliau telah menunjukkan bahawa astronomi sangat berguna dan sesuai menurut Islam. Teori-teori astronominya yang penting ialah:


& Teori alam semesta
Al-Biruni menganggap bahawa alam semesta terletak di luar permukaan sfera yang terhad. Pada masa yang sama beliau tidak bersetuju dengan konsep graviti alam semesta sebagai kuasa sebenar yang terlibat seperti yang dilihat daripada pengalaman. Beliau telah mendakwa bahawa:
'Apabila sesuatu bahagian anggota jisim tegar bergerak secara garis lurus dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain, sebaliknya jasad itu mengelilingi jasad lain dalam gerakan bulatan yang menggambarkan gerakan mengelilingi satu titik tetap seperti pusat bumi ketika jasad lain itu tegar. Walaubagaimanapun , kawasan persekitaran matahari menyebabkan planet bergerak dalam bentuk elips'7

& Kosmogeni
Walaupun Qanun al-Mas'udi tidak membincangkan asal usul alam semesta tetapi al-Biruni membincangkannya secara terperinci dalam buku al-Tahdid. Beliau menolak pandangan yang menyatakan dunia ini kekal. Beliau mengumpul pelbagai arus pertukaran bumi di zamannya dan melengkapkan karya Abdul al-Malik al-Tayyib al-Busti yang mempunyai muka surat.
& Teori Geosentrik
Al-Biruni dan cendiakawan seazamnya sering memikirkan tentang kontreversi geosentrik dan heliosentrik. Beliau mengatakan bahawa sebarang teori baru tidak dapat diterima tanpa bukti sains yang kukuh. Selagi sesuatu teori alternatif yang sebenar belum ditemui maka wajarlah seseorang itu mempercayai dan menerima teori dan penerangan yang terdahulu. Al -Biruni menulis mengenai pergerakan matahari dalam sebuah buku berjudul Kitab al-Tatbiq fi Tahqiq Harakat al-Syam yang berkaitan denagn teori ini.
& Kalender dan kronologi
Beliau telah menulis satu risalah kecil ynag menerangkan tentang siang dan malam yang juga dapat membuktikan panjang siang dalam setahun di kutub. Beliau telah mencipta sejenis alat untuk mengukur masa dan waktu di siang hari serta menulis buku mengenainya iaitu Ta'bir al-Mizan wa Taqbir al-Azman. Bukunya yang bertajuk Tanqih al- Tawarikh membincangkan tentang tarikh. Manakala buku Tasawwur Amr al-Fajr wa al-Shafiq fi Jihat al-Gharb wa al-Sharq pula membincangkan tentang terbitnya fajar.
Qanun al-Mas'udi adalah diantara bukunya yang terakhir yang membincangkan perkara di atas dengan lebih terperinci. Ia membincangkan tentang siang dan malam , bulan dan tahun, bulan serta matahari juga penerangan terperinci mengenai perbezaan takwim, maklumat tambahan (baru) mengenai kalender orang India, mengubah takwin Sakkala kepada takwin Hijrah
& Matahari
Al-Biruni turut mengkaji tentang matahari dan perkara-perkara yang berkaitan seperti sifat fizik matahari,gerakan tahunan,panjang tahun solar (tropika) dan fajar dan senja.
Sumber Astronomi Islam

Bagi orang islam sumber ilmu yang paling unggul adalah al-Quran. Walaupun al-Quran bukannya sebuah buku astronomi terdapatbanyak fakta astronomi di dalamnya yang boleh menjadi pencetus aktiviti astronomi. Al-Quran menggalakan penganut islam memahami ciptaan alam untuk seseorang itu merasai kebesaran Allah.8
Pengetahuan yang ada pada orang Arab sebelum Islam juga menjadi asas untuk membina astronomi Islam. Ketika itu, mereka telah memahami sedikit sebanyak tentang ilmu bintang ini. Pada peringkat awal astronomi Islam , karya astronomi yang dihasilkan oleh tamadun Parsi telah diterjemahkan. Zij-I atau Zij-I Syahriyari, sebuah buku astronomi yang dihasilkan lebih kurang pada tahun 555 M, telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oelh Abu al Hassan al Tamimi dan ulasannya di buat oleh Abu Ma'syar.
Astronomi India telah juga dipelajari. Pada tahun 155H./771M,seorang perwakilan dari India telah datang ke Baghdad untuk mengajar ilmu astronomi India dan menolong menterjemahkan buku-buku ke bahasa arab. Dua tahun kemudian Zij oleh al-Farazi telah diterbitkan dan kandungan buku ini dikatakan berasaskan kandungan Sidhanta Brahmagupta. Ya'qub bin Tariq, seorang ahli astronomi yang berguru kepada seorang pendita India ,turut sama memainkan peranan dalam membawa pengaruh astronomi India kedalam ilmu falak islam. Siddhanta Aryabatha juga menjadi tatapan ahli astronomi pada masa itu. Siddhanta terus menjadi bahan rujukan hingga kezaman al-Ma'mun.
Pada zaman al-Ma'mun ,penterjemah teks astronomi dari Yunani telah dibuat dengan begiut sungguh. Buku tersebut kemudiannya menjadi bahan rujukan astronomi, menggantikan karya-karya Parsi dan India. Dengan adanya buku-buku terjemahan, maka asas untuk mengembangkan astronomi telah disediakan. Abad ke 3 telah melahirkan ramai ahli-ahli astronomi Islam yang begitu unggul dan membanggakan masyarakat islam.

Faktor Yang Membolehkan Astronomi Berkembang Pesat Pada Zaman Kegemilangan Islam.
& Ajaran islam mengkehendaki penganutnya memikirkan kejadian alam seperti alam seperti pertukaran siang malam, gerakan cakerawala, ciptaan langit dan bumi dan lain-lain lagi untuk mendampingkan diri kepada Allah. Pencerapan dan usaha untuk memahami fenomena dilangit, diterima sebagai amalan soleh yang direstui oleh Allah. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa belajar astronomi adalah fardu kifayah, sementara imam al-Shafii menyatakan bahawa manusia seharusnya berijtihad menggunakan ilmu falak untuk menentukan arah qiblat. Kedua-dua mereka adalah ahli astronomi.
& Islam memerlukan penganutnya mengetahui sedikit sebanyak tentang astronomi. Penentuan bilakah perlu memulakan amalan puasa dan penentuan hari raya , hari wuquf dan beberapa hari yang lain, kesemuanya itu memerlukan kefahaman tentang gerakan dan fasa bulan. Waktu untuk bersembahyang boleh ditentukan dengan memahami peredaran matahari. Masalah-masalah itu menjadi satu cabaran kepada umat islam dan sarjana astronomi Islam zaman silam telah berjaya menyelesaikan masalah yang rumit itu.
& Bantuan kerajaan yang mencukupi bagi mengendalikan kajian astronomi juga menjadi factor yang penting. Pemerintah telah membiayai aktiviti yang berkaitan dengan astronomi denan membina balai-balai cerap dan menggaji mereka yang melakukan cerapan. Institut pengajian seperti Bait al-Hikmah telah didirikan bukan sahaja untuk tujuan astronomi tetapi juga untuk bidang-bidang yang lain.
& Pengetahuan sains yang adakaitan dengan astronomi seperti matematik dan fizik juga mengambil peranan dalam memajukan astronomi. Tokoh-tokoh sains Islam pada masa iti adalah peneroka ilmu-ilmu tersebut. Mereka menguasai ilmu-ilmu seperti geometri, aljabar trigonometri dan optik. Ilmu tersebut sangat berguna dalam astronomi dan telah digunakan untuk mendapat beberapa kuantiti astronomi. Tanpa adanya ilmu tersebut, penentuan jarak, sudut dan saiz planet dan objek lain mungkin tidak boleh dibuat.
& Sikap tebuka dan bertolenrasi terhadap bukan penganut Islam, telah membawa kesan yang baik. Pada mulanya mereka menjadi pengajar. Setelah astronomi berkembang subur didunia Islam, orang-orang bukan islam telah menjadi murid dan rakan kepada tokoh-tokoh astronomi yang beragama islam. Semasa Sepanyol (Andalusia) berada dibawah pemerintahan Islam, ramai orang Eropah telah datang untuk belajar sains dan astronomi. 9

Perkembangan Astronomi Mengikut Kronologi.

Pada akhir abad ke-2 H/ 8M, aktiviti astronomi berpusat di Baghdad. Kerja-kerja dilakukan berasaskan jadual-jadual astronomi India dan Parsi.
Abad ke-3 H/ 9M, telah melahirkan tokoh-tokoh astronomi yang paling unggul. Pada zaman pemerintahan al-Ma’mun , penterjemahan buku dan jadual astronomi Yunani telah dilakukan. Pada awal abad ini tokoh yang paling ketara ialah Habasy al-Hasib dan al-Khwarizmi. Al-Habasy telah mengeluarkan jadual-jadual al-Ma’mun, manakala peninggalan al-Khwarizmi adalah jadual-jadual astronomi yang dianggap penting, disamping karya matematik yang tiada tolok bandingnya. Al-Farghani (Alfaraganus), tokoh dalam era al-Ma’mun, adalah penulis sebuah buku astronomi yang masyhur iaitu unsure-unsur astronomi.
Separuh kedua abad ke-3 H/ 9M, dipenuhi dengan aktiviti astronomi yang lebih gigih. Al-Naiziri (Anaritius) membuat komen terhadap al-Majisti. Dia juga menulis teratis yang paling terperinci mengenai ‘astrolab sfera’. Thabit bin Qurrah pula memainkan peranannya dengan menterjemahkan karya astronomi Yunani dan berpegang teguh dengan teori bahawa equinoks adalah suatu yang berayun.
Seorang lagi tokoh era ini ialah al-Battani (Albategniusa) yang dianggap oleh setengah orang sebagai ahli astronomi Islam yang terunggul. Beliau menurut jejak langkah Thabit. Al-Battani telah membuat pencerapan yang sungguh jitu di dalam sejarah astronomi Islam. Dia mendapati bahawa ‘apogi matahari’ sudah meningkat sekiranya dibandingkan dengan nilai pada zaman Batlamus. Ini telah mendorong al-Battani menemui gerakan ‘apsid matahari’. Al-Battani menetukan bahawa liukan tahunan bumi adalah 54.5” dan sudut ‘ecliptik’ adalah 23 darjah 35’. Dia juga menemui cara baru untuk membuat penyelidikan yang terperinci tentang gerhana bulan dan matahari. Hasil penyelidikan ini masih digunakan sebagai rujukan sehingga abad yang ke 18 M
Abad ke-4 H/ 10M, telah menonjolkan tokoh seperti Abu Sahl al-Kuhi, Abd al-Rahman al- Sufi, Abu Said al Sijzi, Abu al-Wafa al-Buzjani dan Abu al-Qasim al-Majriti. Abd al-Rahaman al-Sufi telah mengahsilkan rajah-rajah bintang, yang dianggap oleh G.Sarton sebagai satu ‘masterpiece’ dalam sejarah astronomi. Buku yang mengandungi peta bintang tetap ini, telah tersebar luas ke dunia timur dan barat. Abu Said al-Sijzi pula terkenal dengan ciptaan ‘astrolab’ yang berasakan andaian bumi mengelilingi mayahari. Abi al-Wafa al-Buzjani, tokoh yang lebih terkenal kerana metematiknya , juga adalah seorang yang berkebolehan tinggi dalam bidang astronomi. Dia menulis versi ringkas buku al-Majisti dan membincangkan tentang bahagian kedua ‘eveksi bulan’. Abu al-Qasim pula menandakan kemunculan tokoh sains Andalusia (Sepanyol). Dia juga seorang ahli alkemi yang terkenal. Beliau mengulas jadual-jadual al-Khwarizmi dan karya-karya Batlamus (Ptolemy).
Abad ke-5 H/ 11M, memaparkan kecemerlangan beberapa tokoh astronomi seperti al-Biruni, Ibn Yunus dan al-Zarqali.
Al-Biruni telah menentukan latitud dan longitud. Dia juga telah membuat banyak ukuran tentang bumi. Beberapa kiraan astronomi telah dilakukan oleh al-Biruni. Kesemua ini telah meletakannya sebagai salah seorang ahli astronomi yang terunggul. Semasa berad di India dia telah membuat kiraan mencari nilai lilitan bumi berdasarkan ketinggian sebuah gunung, satu dataran dan ufuk laut.
Ibn Yunus seorang ahli falak yang menjalankan pencerapannya di Kaherah, telah menyempurnakan jadualnya yang bertajuk Zij (jadual Hakimi) pada tahun 397 H/ 100 M. jadual yang mengandungi pemalar-pemalar yang diukur semula ini adalah antara jadual yang paling tepat, dihasilkan pada zaman itu.
Al-Zarqali adalah seorang ahli astronomi yang berketurunan Sepanyol. Dia mencipta alat astronomi yang dikenali dengan nama sahifah. Sumbanganya ialah penyuntingan Zij Toledo yang dibuat dengan kerjasama beberapa ahli-ahli sains islam dan Yahudi. Jadual ini digunakan dengan begitu meluas oleh ahli astronomi Latin dan Islam hingga beberapa abad kemudian.
Ahli astronomi pada abad ke-6H/12 M, banyak membuat kritikan tentang system yang dianjurkan oleh Batlamus. Jabir Ibn Aflah (Geber) yang telah mengkritik system planet Batlamus. System baru yang telah dikemukakan oleh Ibn Tufail yang kemudiannya diperkembangkan oleh muridnya yang bernama al-Bitruji dalam abad ke-7H/13M. ketidakpuasan hati terhadap karya Batlamus telah mendorong al-Khazanimenerbitkan Sanjari Zij.
Dalam abad ke-6H, aktiviti pencerapan sudah bertapak di Maragha yang diterajui oleh Nasir al-Din al-Tusi. Kumpulan dari Maragha telah berjaya mengeluarkan Ilkhanid Zij pada abad ke 7H/13M. Al-Tusi telah mencadangkan model planet yang baru dan teori ini telah didalami oleh muridnya yang bernama Qutb al-Din al-Shirazi. Setelah itu Ibn al-Shatir dalam abad ke 8H/14M, telah memperbaiki model tersebut dan menambahkan dengan system bulan. Teori bulan yang dimajukan oleh Copernicus 200 tahun kemudian adalah sama seperti yang dicadangkan oleh Ibn al-Shatir.
Tradisi melakukan pencerapan astronomi dan cubaan memperbaiki teori yang ada terus dilakukan di Maragha oleh murid-murid al-Tusi. Tradisi yang sma juga diamalkan oleh kumpulan ahli falak yang berpusat di Samarqand yang ditubuhkan oleh Ulugh Beg (1393-1449 M). Di bawah kepimpinan Ulugh Beg, kumpulan Samarqand telah berjaya meneluarkan katalog bintang yang baru. Jadual peredaran planet juga telah dikeluarkan.10

Tokoh Astronomi Islam telah memelihara dan mengembangkan ilmu tersebut selama tidak kurang dari tujuh abad. Tanpa usaha mereka , ilmu itu mungkin akan terhapus atau tidak semaju yang ada sekarang ini.
Mereka telah memperbaiki dan mencipta alat-alat baru untuk kegunaan astronomi. Alat-alat tersebut menjadi asas kepada alat yang lebih moden seperti sekstan dan teodolit.
Penggunaan matematik yang begitu meluas telah dipraktikkan pada zaman kegemilangan Islam dala ilmu astronomi. Ini telah menghasilkan keputusan yang mengkagumkan ,memandangkan alat-alat yang ada pada masa itu.
Tokoh-tokoh Islam telah mengkritik teori Planet yang dikemukakan oleh Batlamus, berdasarkan pencerapan yang dilakukan oleh mereka. Nasir al-Din al-Tusi telah mencadangkan model termasuk yang sama seperti yang dianjurkan oleh Copernicus 200 tahun kemudian.
Pencapaian dan usaha yang dibuat oleh tokoh astronomi Islam adalah sesuatu yang sangat membanggakan. Walaubagaimanapun dalam Islam, mengaitkan kejadian dan rahsia alam sejagat dengan keesaan dan kebesaran Allah adalah lebih penting.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com