Konsep Tamadun Islam

Pendahuluan

Dunia telah dikuasai oleh tamadun Islam selama lebih dari sepuluh abad, iaitu mulai dari abad ke-7 hingga ke-18M. Ia merupakan tamadun yang paling seimbang dalam sejarah manusia, yakni seimbang di antara kemajuan kerohanian dengan kebendaan. Dalam jangka masa itu di seluruh pelusuk dunia islam, sains dan teknologi berkembang pesat. Kecuaian umat islam terhadap ajaran islam dan disertai dengan berbagai tragedi pahit yang melanda dunia islam, mengakibatkan tamadun islam mulai melalui zaman kemerosotan dan kemalapan menjelang abad ke 13M. Contohnya, pada tahun 1942M, Granada jatuh ke tangan kristian dan dengan itu berakhirlah pemerintahan umat islam di Andalus,setelah melalui zaman kegemilangannya selama lebih kurang lapan ratus tahun(711 – 1492). Orang-orang islam lemah dari segi kebendaan dan moral, pada ketika orang-orang bukan islam bergabung secara ekonomi, politik dan ketenteraan.

Realiti umat islam masa kini ternyata bercanggah dengan apa yang berlaku pada zaman kegemilangan tamadun islam dahulu. Orang islam sekarang telah menjadikan barat sebagai destinasi terpenting mereka terutamanya di dalam bidang sains dan teknologi. Ini kerana barat telah berjaya mengambil alih peranan yang dulunya diterajui oleh negara islam, iaitu sebagai pemimpin dalam bidang sains dan teknologi. Kita tidak ada pilihan dan jalan pintas untuk mengembalikan semula kegemilangan ummah dan tamadun islam selain dari pada kembali kepada syariat Allah s.w.t. Kita perlu berusaha dari sekarang, memperlengkapkan diri dan ummah dengan asas-asas kekuatan islam dan seterusnya menegakkan kembali keagongan warisan tamadun islam masa lalu. Tamadun dan masyarakat Barat kini sedang menuju keruntuhan yang menyeluruh. Akhlak mereka sudah lama runtuh dan apabila runtuhnya tamadun kebendaan mereka dan bangkitlah
tamadun islam.
Konsep Tamadun Islam

M. A. J Beg dalam membicarakan konsep tamadun mengemukakan satu teori di mana dalam dunia ini hanya terdapat dua konsep tamadun iaitu konsep tamadun Islam(The Islamic Concept Of Civilization) dan konsep tamadun Barat(The Western Concept of Civilizaation). [1] Sekumpulan sarjana sains kemasyarakatan, seperti pengikut Max Weber membahagikan kebudayaan kepada dua kategori, iaitu kebudayaan kerohanian dan kebudayaan kebendaan(Jasmaniah). Menurut pembahagian ini, jenis yang kedua itulah yang dinamakan civilization-tamadun atau peradaban. [2] Dari sudut epistimologi, perkataan civilization berkait rapat dengan urbanization. Civilization diambil daripada perkataan Latin untuk city iaitu civitas, dengan alasan bahawa tiap-tiap perubahan adalah jelas pertumbuhannya di bandar-bandar besar, dan ciri-ciri asas peradaban manusia lebih mudah ditemui di bandar-bandar. [3] Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah digunakan dalam konteks tamadun antaranya ialah perkataan madaninah, tamadun, hadarah dan umran. Prof. Syed Naquib Al-Attas telah memberikan satu takrif mengenai tamadun Islam sebagai “keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluuh masyarakatnya. ” Ibn Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau tamadun Islam ini sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni. [4] Beberapa orang sarjana Islam seperti Muhammad Asad dan Ali Shari’ati menekankan peranan Islam sebagai faktor penting dalam pembentukan tamadun Islam. Kedua-dua penulis ini telah memberi tekanan khas kepada kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w dalam proses mentamadunkan orang-orang arab. Muhammad Asad maju lagi setapak ke hadapan dan menerangkan peranan al-Qur’an dalam menggariskan asas tamadun Islam. Muhammad Asad mensifatkan tamadun Islam sebagai satu ‘tamadun yang bersifat ideologi’. [5] Beliau menyatakan, ‘tamadun kita adalah tamadun yang berideololgi, al-Qur’an adalah sumber ideologi tersebut dan lebih dari itu sebagai justifikasinya yang unggul. Tamadun Islam mementingkan daya intelektual dalam setiap motifnya, ia berkembang merangkumi bidang-bidang yang luas, menetapkan aspek ‘syariah’[6]. Dari mula lagi tamadun Islam dibina atas dasar yang ditetapkan oleh syariah semata-mata, ianya tidak menyentuh konsep keturunan atau bangsa. Dengan ini tamadun Islam tidak menanamkan semangat keturunan seperti yang terdapat dalam tamadun lain. Tamadun Islam bukan dihasilkan daripada pelbagai peristiwa dan tradisi(apa yang diwarisi) tetapi dihasilkan daripada sumber yang satu dan peristiwa bersejarah, penurunan al-Qur’an dan kepada sejarah keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. [7] As-Syahid Syed Qutb dalam bukunya ‘Ma’alim fiat-tariq’ telah membicarakan tentang masyarakat Islam. Mengikutnya, masyarakat Islam adalah masyrakat yang bertamadun. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang di dalamnya di laksanakan Islam dari sudut akidah, ibadah, undang-undang, akhlak dan cara hidup. [8] Adapun ciptaan, kemajuan dan pembangunan benda sahaja, tanpa menjalankan tugas sebagai khalifah dan menjalankan ubudiyah kerana Allah s.w.t sahaja tidak diiktiraf oleh Islam sebagai ‘tamadun’ sebab kemajuan dan pembangunan benda seperti itu boleh jadi diresapi oleh pengaruh jahiliyah. [9] Benteng tamadun Islam ialah kerohanian dan pemeliharaan sebenar tamadun ialah yang paling takwa dan paling pemurah. Kiranya kita ingin tepatkan pandangan-pandangan kita,kita akan menemui bahawa sebab-sebab kerohanian dan moral sentiasa memberi sumbangan besar kepada kebangkitan atau kehancuran sesebuah tamadun. [10] Abu Bakar Hamzah dalam bukunya “Sejarah Kebudayaan Islam” telah menegaskan bahawa tamadun dan kebudayaan Islam bersumberkan akidah, syariah dan akhlak. [11]
Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Muhammad Uthman
al-Muhammady. Beliau mencatatkan bahawa tamadun dan kebudayaan Islam pembentukannya adalah berteraskan kepada ajaran Islam sebagai ad-din. Islam yang bercirikan akidah, syariah, dan akhlak yang merupakan nadi pengerak yang mencetuskan tamadun dan kebudayaan Islam. [12] Profesor Ismail al-Faruqi dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Islam : The Civilizing Force”, menyatakan bahawa tauhid merupakan intidasar kepada tamadun Islam kini merupakan idea yang bertemankan kenyataan yang menggambarkan peranan manusia masa kini dan masa lampau. Ilmu tauhid juga memberi gambaran dan membentuk cara berfikir dan tingkahlaku umat Islam ke jalan yang diredhai oleh Allah. Ilmu tauhid merupakan sumber pengerak yang penting dalam membentuk identity dan kebudayaan dan tamadun Islam. [13] Seorang diplomat Arab beragama Kristian Costi Zurayk pernah menulis mengenai cirri-ciri asas ‘Tamadun Arab’. Ia juga menyentuh mengenai factor-faktor utama yang merintis jalan kepada pembentukan tamadun arab di zaman awal Islam. Beliau berpendapat bahawa perkhabaran penting yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah konsep tauhid(Unity Of God) yang mana ianya membawa kepada kebangkitan rohaniah kaum Arab dan membentuk pandangan duniawi mereka. Keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. telah meniupkan roh kepada pengikutnya dan mengubah mereka daripada orang kebanyakan kepada pemimpin yang mulia.
Para sahabat telah memberikan panduan kepada orang-orang Arab untuk menubuhkan satu empayar yang paling kuat untuk menubuhkan ‘Gerakan Keagamaan’(Religous Movement). Faktor-faktor ini telah menjadi pembantu kepada kelahiran tamadun Islam. [14] Seorang sarjana Barat, Profesor Richard E. Sullivan juga menekankan peranan agama dalam pembentukan tamadun Islam. Tegasnya lagi, ‘Tamadun Islam adalah hasil dari agama Islam itu sendiri. ’[15] James Feibleman dalam merumuskan tentang tamadun Islam menyatakan bahawa tamadun Islam itu merupakan hasil perkembangan Islam itu sendiri. Beliau menyatakan bahawa agama menuju kepada kebudayaan dan kebudayaan menuju kepada tamadun, sebagai jejari(radius) dari bulatan pengaruh terbesar. [16]
Profesor J. Jomier dalam artikelnya ‘Islam’ yang termuat dalam ‘Encyclopedia Of Islam’ menjelaskan bahawa Islam menyediakan elemen yang kreatif yang mana menghasilkan tamadun yang baru. [17] Profesor Schart juga menyedari bahawa undang-undang Islam mempunyai suatu kedudukan tertinggi dalam tamadun Islam. Tamadun tidak boleh hidup tanpa undang-undang. [18] Dengan demikian kita dapati ramai ahli sejarah, ahli theology dan penulis menyedari bahawa Islam merupakan sumber pokok bagi tamadun Islam. Islam membekalkan anasir kreatif yang darinya muncul tamadun baru. Bagi memperlihatkan Islam sebagai suatu sumber dalam melahirkan sebuah tamadun yang tersendiri Muhammasd Asad telah menjelaskan :
“Islam merupakan suatu sistem hidup yang lengkap, tidak sahaja menuntut atau
mengistiharkan sebuah tamadun baru, tetapi sebenarnya merasmikan kelahirannya. ”[19]

Matlamat Tamadun Islam.
Untuk mencapai matlamat tamadun Islam beberapa ciri yang bersifat alat Bantu diperlukan :
· Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam, seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan umat.
· Kemunculan kota-kota bagi menampung pertambahan penduduk yang sedia ada di sana di samping yang bertumpu ke sana.
· Wujudnya ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam, dengan membentuk sebuah masyarakat Islam yang memainkan pelbagai peranan. Perbezaan peranan ini melahirkan pembahagian kerja dan seterusnya wujudlah suatu bentuk ekonomi bandar.
· Wujudnya bangunan-bangunan bersejarah yang menjadi keagungan bagi generasi berikutnya, seperti istana-istana, masjid-masjid dan sebagainya. [20]
Segala faktor ini dapat melahirkan matlamat tamadun Islam sebanyak mungkin, seperti berikut :

Ø Hubungan Manusia dengan Allah(Hablumminallah)
Islam tidak merestui bahawa pemikiran manusia hanya terhad sekadar memikirkan tentang alam ini sahaja, sebaliknya menyuruh manusia melakukan lebih jauh daripada itu, dengan mengarahkan pemikiran kepada Pencipta Alam ini dan segala yang terdapat di dalamnya. Tidak juga hanya tertumpu kepada bidang pembangunan dengan menggunakan segala bahan yang terdapat di alam ini,tetapi Islam menyeru agar menghidupkan rasa perhubungan dengan pencipta-Nya kerana Dialah yang memudahkan ahli-ahli fikir mencipta berbagai-bagai ciptaan dari semasa ke semasa untuk kemanfatan dan keperluan manusia.

Pengiktirafan terhadap Pencipta.
Perhubungan manusia dengan Allah menjadi matlamat yang terakhir untuk dituju. Inilah perhubungan yang tertinggi sekali di antara perhubungan-perhubungan lain; perhubungan dengan keluarga, kaum dan bangsa, jenis manusia, harta benda dan sebagainya. Perhubungan-perhubungan lain ini merupakan makhluk Allah yang lain daripada perhubungan manusia dengan-Nya. Pada hakikatnya perhubungan mulia manusia dengan manusia dan alam lainnya akan kembali kepada perhubungan yang kudus dengan Pencipta Alam itu sendiri. Sebab itulah perhubungan dengan Allah adalah perhubungan yang unggul, kudus, bahagia dan suci murni. Perhubungan dengan Allah adalah setinggi-tinggi martabat perhubungan, yang melahirkan suatu kenikmatan tidak terhingga kepada jiwa yang bersih suci. [21] Oleh sebab itu, hubungan dengan Allah adalah suatu hubungan yang unik, tidak menyamai sebarang perhubungan yang lain. Ia merupakan perhubungan ubudiah. Umpamanya hubungan dengan para rasul adalah hubungan mengambil petunjuk dan teladan daripada tingkahlaku dan aktiviti mereka, serta mematuhi ajaran yang dianjurkan oleh mereka, disamping mencintai sifat-sifat peribadi mereka yang begitu unggul, tetapi bukanlah hubungan kehambaan, kerana para rasul itu sendiri ialah hamba-hamba Allah. Keimanan mempunyai unsur kekuatan yang mencukupi untuk mengubah individu dan umat menjadi individu dan umat yang berjiwa besar. Contohnya masyarakat Arab Jahiliyah yang dahulunya buta huruf, yang hidup dalam keadaan mundur, muncul sebagai satu bangsa penakluk, pemerintah dan perancang tamadunyang agung. Imanlah yang bertanggungjawab melakukan semuanya ini kerana segala tingkah laku, penguasaan ilmu pengetahuan dan daya reka umat Islam tidak dapat dipisahkan dari keimanan yang mereka hayati. [22]
Orang yang beriman sentiasa berada dalam keadaan aman dan bahagia. Mereka sentiasa mengingati Allah s.w.t. sama ada dalam keadaan kesenangan atau kesusahan. Apabila di anugerahkan dengan kenikmatan oleh Allah s.w.t. mereka bersyukur dan membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t. Sebaliknya jika ditimpa kemalangan atau kedukaan mereka akan bersabar dan rela dengan qadak dan qadar Allah s.w.t. Hal ini amat berbeza dengan mereka yang tidak beriman. Apabila mereka memperoleh kenikmatan mereka bergembira sehingga melakukan maksiat, tetapi apabila ditimpa kecelakaan mereka tidak sabar, lalu membunuh diri. Contohnya di Jerman Barat dilaporkan dalam tahun 1974, terdapat 10,000 kes membunuh diri kerana kekecewaan masyarakat Barat dengan tamadun kebendaan. [23]

Pengiktirafan terhadap Keagungan Pemerintahan-Nya dan Kebesaran Kekuasaan-Nya.
Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam yang lima, membuktikan tentang ketinggian iman dan daya kegigihan yang maha tinggi untuk mematuhi, menyembah dan menyerahkan diri kepada Allah s.w.t
Perlaksanaan rukun Islam yang lima juga melambangkan kejayaan seseorang membesar mengagungkan Allah s.w.t. yang diakui sebagai pencipta dirinya sendiri. Pengagungan manusia akan Allah s.w.t. juga melambangkan perendahan diri seseorang apabila berhadapan dengan fenomena kebesaran Allah s.w.t. Perasaan ini akhirnya berjaya membentuk peribadi muslim yang warak, tawaduk, dan merendah diri. Bukan sahaja terhadap Allah s.w.t.

Pengiktirafan terhadap Nikmat-nikmat Allah.
Melahirkan kesedaran dan keinsafan diri manusia akan betapa besarnya nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Kesedaran ini dilambangkan di dalam bentuk kesyukuran. Sebagai seorang yang bersyukur, pasti sentiasa merasa puas hati dengan segala anugerah Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya. Hatinya sungguh rela dan bahagia dengan kurniaan Allah s.w.t. Segala nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t. sama ada dalam bentuk kesempurnaan tubuh badan, harta benda dan sebagainya dipergunakan sebaiknya untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Perlu bagi manusia membalas nikmat-nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan dengan mengucap kata-kata pujian dan kesyukuran yang layak bagi sifat-sifat ketinggian-Nya dengan bukti amal yang ikhlas lahir batin semata-mata untuk-Nya. [24]

Menyedari dan Mengharapkan Rahmat Allah s.w.t.
Hendaklah disedari bahawa penganugerahan Allah s.w.t. adalah meliputi dirinya dengan apa yang diusahakan melalui jalan-jalan yang mendampingkan dirinya dengan Allah s.w.t. dan rahmat-Nya. Rukun Islam mencetuskan sifat ihsan di dalam diri seseorang. Dengan ini lahirlah kesedaran dan keinsafan tentang kehadiran kekuasaan Allah s.w.t. pada setiap masa dan di setiap tempat. Segala laku perbuatannya dirasakan berada di dalam cermin terang yang sentiasa lantas kepada pemerhatian Allah s.w.t. Sifat ihsan ini penting bagi melahirkan individu muslim yang sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t. tanpa mengira tempat dan masa. [25]

Perasaan Bertanggungjawab.
Sebagai perhubungan yang murni, hendaklah ada perasaan bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. -pencipta pemegang teraju hidupnya, penguasa ke atas dirinya dan untung nasibnya. Sifat ini penting untuk memperolehi nikmat-nikmat dan rahmat dari Allah s.w.t.

Penumpuan kepada Allah s.w.t. dengan Permohonan dan Doa.
Permohonan dan permintaan hanyalah kepada Allah s.w.t. sahaja kerana selain Allah s.w.t. semuanya makhluk yang lemah dan tidak berdaya apa-apa. Oleh itu, permohonan kepada yang lain adalah merendahkan ketinggian dan kemurahan Allah s.w.t. yang tiada tolok banding itu, dan ini merupakan sesat yang nyata. Hanya kepada Allah s.w.t. sahajalah kita pohon pertolongan.

Cinta dan Rindukan Allah s.w.t. adalah sebagai Matlamat.
Cinta dan rindukan Allah s.w.t. sebagai sumber bagi segala yang maujud dan sumber bagi segala nikmat dan rahmat umum di alam, di samping mencari keredaan-Nya yang sejati, agar dapat menikmati kebahagiaan dunia dan akhirat. Setiap kegiatan sentiasa diserahkan kepada Allah s.w.t. hingga tiada sesuatu yang menakutkan atau menggentarkan apabila bertindak untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t. Ia sanggup mempertaruhkan jiwa dan raganya demi menegakkan kalimah Allah s.w.t. Mati syahid adalah cita-cita mereka yang dihayati oleh jihad dan dihayati oleh konsep dan tuntutan syahadah yang merupakan rukun Islam yang pertama. [26]

Ø Hubungan Manusia dengan Manusia( Hablumminannas)
Setiap individu diwajibkan mematuhi segala titah perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangan-Nya apabila berhubungan di antara satu dengan yang lain. Hal ini disebabkan tidak ada manusia yang dapat hidup bersendirian. Justeru itu, pematuhan perundangan gubalan Allah s.w.t. yang mengatur cara bagaimana seharusnya manusia itu berinteraksi di antara satu dengan yang lain dalam membentuk keluarga, jiran, masyarakat, negara, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya juga termasuk dalam bidang hubungan manusia dengan manusia.
Pematuhan syarak amat besar ertinya ke arah pembentukan masyarakat dan tamadun khalifah Allah s.w.t. di atas muka bumi ini. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat disempurnakan dengan adanya tolong-menolong, kerjasama dan perpaduan. Hal ini dapat diselaraskan, jika ada undang-undang. Dengan adanya undang-undang ditentukan hak setiap anggota masyarakat dan terselamat daripada penceroboh. [27]

Ø Hubungan Manusia dengan Alam.
Hubungan manusia dengan alam juga merupakan matlamat tamadun Islam. Allah s.w.t. telah memperundangkan aturcara bagaimana manusia seharusnya bertingkah laku apabila berhubungan dengan alam sekitar. Hal ini penting kerana segala yang berada di lautan dan di daratan semuanya dijadikan untuk kepentingan dan kebahagian manusia sejagat. Dengan penganugerahan akal pula, manusia digalakkan oleh Allah s.w.t. untuk menguasai dan menerokai angkasa lepas, menyelami dasar lautan dalam dan mencari gali di perut bumi untuk mengambil faedah, dan mengetahui rahsia alam. Hal ini semuanya adalah ke arah peningkatan keimanan kepada Allah s.w.t. , dan tamadun manusia untuk kepentingan kehidupan manusia sejagat. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat terjemahannya :[28]
“Allah s.w.t. yang menjadikan langit-langit dan bumi dan ia menurunkan dari akan air, maka ia mengeluarkan dengannya buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu. Dan ia memudahkan bagi kamu kapal untuk kamu berjalan di laut dengan ketentuan daripada-Nya dan dimudahkan untuk kamu sungai-sungai, disediakan malam dan siang, dan ia membawa datang untuk kamu akan segala sesuatu yang kamu memohon daripada-Nya. ”
Perundangan yang digubal oleh Allah s.w.t. di dalam hal hubungan manusia dengan alam sekitarnya mempengaruhi atau memberi kesan kepada manusia dalam dua hal :
· Supaya manusia sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah s.w.t. apabila ia dikurniakan pangkat, kebesaran dan harta kekayaaan.
· Supaya kesemuanya dipergunakan sebaik mungkin bagi memperoleh keredaan Allah s.w.t.

Dasar Tamadun Islam.
Dasar utama tamadun Islam adalah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak asasi manusia yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini, termasuk makhluk-makhluk lain. [29] Dasar tamadun Islam ialah untuk memelihara lima perkara berikut. [30]
Ø Keselamatan Nyawa.
Tiada apa yang lebih berharga di dunia ini pada diri setiap manusia selain nyawa. Justeru itu, tamadun Islam meletakkan pemeliharaan nyawa sebagai dasar yang paling utama. Pencapaian manusia dalam bidang tamadun mestilah memelihara keselamatan nyawa. Jaminan keselamatan terhadap setiap nyawa daripada pencerobohan oleh manusia lain telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an. Membunuh – sama ada diri sendiri atau diri orang lain – adalah sesuatu yang amat dilarang oleh Allah s.w.t. Perbuatan ini memusnahkan generasi manusia. Sebaliknya, pemeliharaan diri setiap manusia daripada bahaya sentiasa digalakkan oleh Allah s.w.t. dan sebarang tindakan yang dapat mencederakan fizikal orang lain juga turut sama ditegah. Allah s.w.t. telah menerangkan hal ini di dalam ayat terjemahannya : [31]
“Dan janganlah kamu membunuh bangsamu sendiri. Sesungguh Tuhan itu penyayang kepadamu. ”
· Tiap-tiap perkara yang berhubung dengan hidup dan kawalannya adalah wajib; seperti memelihara kesihatan, melawan penyakit, dan melawan wabak untuk mengawal hidup.
· Setiap perkara yang merosakkan tubuh badan, mengancam nyawa atau melemahkannya adalah haram, seperti mabuk, memakan benda yang mendatangkan bahaya kepada tubuh dan yang membawa kepada lemah anggota untuk berbuat ibadat kepada Allah s.w.t.
· Setiap perkara yang bertujuan memelihara hidup; seperti makan, miium, pakaian, dan sebagainya.
· Setiap perkara yang boleh mengelakkan daripada mati adalah wajib; seperti orang yang terlampau dahaga atau terlampau lapar yang dikhuatiri akan membawa maut, maka wajiblah ia minum atau makan asalnya dilarang, kiranya dengan perbuatan itu dapat menghindarkan diri daripada bahaya kematian. [32]

Ø Keselamatan Akal.
Islam sangat mengambil berat tentang pemeliharaan akal fikiran sehingga mewajibkannya ke atas manusia kerana kesempurnaan akal itu menunjukkan kesempurnaaan makhluk manusia daripada makhluk-makhluk lain. Untuk memelihara kesempurnaan akal, Allah s.w.t. telah mengharamkan segala sesuatu yang dapat
merosakkan akal. Contohnya pengharaman arak adalah satu contoh yang baik, kerana arak dapat merosakkan akal fikiran manusia. Hal ini dijelaskan dalam ayat terjemahan :[33]
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya(meminum) arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperoleh keberuntungan. ”
Oleh itu, Islam menggariskan beberapa panduan agar akal fikiran manusia terkawal dan berfikiran baik :
· Islam memaksa setiap penganutnya menuntut ilmu pengetahuan sebanyak mungkin tanpa had masa, tempat dan bangsa sebagaimana ditegaskan oleh sebuah hadis Rasulullah s.a.w. :
Terjemahan : “ Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad. ”
[ Riwayat Muslim ]
· Islam mengalakkan pemikiran yang berbentuk takwa, ketauhidan kepada Allah s.w.t. , berfikiran terbuka dan lapang serta bersih daripada segala unsur keburukan, kepalsuan, kekhayalan, keraguan dan was-was. Fikiran-fikiran negatif ini memungkinkan pelaksanaan yang negatif pula.
Maka berlakulah kemaksiatan, pembunuhan, jenayah dan berbagai angkara yang tidak selaras dengan ajaran Islam. [34]

Ø Keselamatan Keturunan( Maruah).
Tamadun Islam berusaha memelihara kesempurnaan keturunan Allah s.w.t. telah memperundangkan cara yang terbaik untuk memelihara pembentukan keluarga yang sempurna. Segala tindakan itu dapat merosakkan keturunan adalah dilarang. Contohnya ialah pengharaman zina, liwat(lesbian/homoseksual) kerana tindakan itu dapat merosakkan keturunan. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat; terjemahan-Nya:[35]
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. ”
Fitrah semulajadi manusia ialah suka kepada berketurunan dan mempunyai cahaya mata. Tapi malangnya, sejarah telah mencatatkan bahawa pada zaman Jahiliyah pembunuhan anak berleluasa berlaku. Untuk mengekalkan generasi manusia, perundangan untuk menyekat kemungkaran itu terus berlaku adalah penting. Punca pembunuhan anak-anak pada zaman Jahiliyah ialah ketakutan ibu bapa terhadap anak perempuan yang biasanya menjadi punca maksiat yang mencemarkan nama keluarga dan takut kepapaan dalam penyaraan anak-anak mereka. Seks adalah satu gejala yang amat mulia dan murni, jika ia disalurkan ke mengikut peraturan yang sempurna melalui sistem nikah kahwin secara syarak. Untuk memelihara tamadun manusia, akhlak dan keturunannya, al-Qur’an telah memperundangkan secara tegas pengharaman zina dan segala yang dapat membawa kepada perlakuan penzinaan. [36]

Ø Keselamatan Harta

Fitrah semulajadi manusia juga ialah suka mencari kekayaan. Justeru itu, penimbunan harta kekayaan oleh setiap individu adalah sesuatu yang amat dugalakkan oleh al-Quran, terutamanya umat Islam agar mereka menjadi kaya dan berkuasa di atas muka bumi ini. [37] Setelah Islam memperakui hak hidup atau nyawa, hak akal fikiran, hak kehormatan diri serta keturunan dengan segala kewajipan memeliharanya, maka Islam menetapkan pula hak memiliki harta benda dan kewajipan mempertahankannya. Di samping itu Islam menggariskan pula cara menafkahkan harta tersebut secara halal mengikut tabii manusia sendiri. [38] Oleh kerana pemilikan kekayaan merupakan naluri semulajadi manusia, maka Allah s.w.t. telah mengalakkan bakat manusia dalam penimbaan harta diperkembangkan ke tahap yang paling maksimum dengan membahagikan masa hidup manusia kepada dua bahagian, iaitu masa untuk beribadat khusus(penunaian rukun Islam yang kelima), dan masa untuk ibadat umum, iaitu mencari kelebihan hidup di dunia ini seperti yang dijelaskan Allah s.w.t. di dalam ayat terjemahannya :[39]
“Maka apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang kamu, bertaburanlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah s.w.t. dan ingatlah Allah s.w.t. banyak-banyak supaya kamu beruntung. ”
Untuk menjamin keselamatan harta benda yang menjadi hak milik halal yang mutlak setiap individu di dunia ini, Allah s.w.t. telah mengharamkan sebarang bentuk pencurian dari sekecil-kecil barang seperti jarum hingga sebesar-besar harta manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat; terjemahannya :[40]
“Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai pembalasan bagi apa yang telah dikerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah s.w.t. ”

Ø Keselamatan Kebebasan.
Kebebasan yang ada kaitannya dengan hak Allah sw. t. merupakan kebebasan manusia daripada sebarang bentuk pengabdian diri selain Allah s.w.t. Dalam erti kata yang lain, konsep kebebasan yang ada kaitannya dengan Allah s.w.t. ialah pengtauhidan Allah s.w.t. itu sendiri. [41] Hal ini adalah bertitik-tolak daripada kenyataan bahawa Allah s.w.t. sebenarnya menjadi punca segala kekuasaan, bertanggungjawab menentukan segala sesuatu yang ada di dalam alam ini. Semua baik dan buruk adalah berada di dalam ilmu, qudrat dan iradat-Nya. Setiap insan dilahirkan secara bebas; sebab itulah Umar al-Khatab berkata : “Bagaimanakah kamu memperhambakan manusia, sedangkan ia diperanakkan dengan bebas. ” [42] Maksud kebebasan manusia itu, ialah tiada pengabdian ke atas seseorang atau sesuatu benda di dunia ini melainkan kepada Allah s.w.t.
Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah bebas daripada segala unsur kezaliman yang merupakan kongkongan kebendaan dan nafsu yang jahat. Teras bagi segala kebebasan ialah kebebasan fikiran yang tiangnya kemerdekaan beragama. [43]
Mengenai kebebasan seseorang individu dalam tanahairnya, Islam telah menjelaskan kedudukan tersebut sebagai waris. Ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya, [44]
“ Dan kami hendak menumpukan budi ke atas mereka yang ditindas di bumi ini dan Kami hendak mereka mewarisi(bumi). ”
Mengenai kebebasan setiap penduduk untuk memberi pandangan dan kritikan terhadap masyarakatnya, pentadbirannya dan pemerintahnya, Islam telah membuka ruang ini kepada mereka yang mampu berbuat demikian; Firman Allah s.w.t. [45]
“Mereka yang sekiranya Kami berikan kedudukan yang baik di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan menyuruh manusia berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan mungkar. ”
Bimbingan ini juga ditujukan kepada pemerintah masyarakat agar mereka memenuhi dua faktor penting, iaitu mengarah kebajikan dan melarang kemungkaran demi kestabilanmasyarakat dan negara serta mereka sentiasa mendapat sokongan rakyat.
Segala kebebasan itu terikat kepada hak-hak tabii manusia dan maslahat umum. Jadi, Islam meletakkan kebebasan di bawah kepentingan umum. [46]
[1] M.A.J Beg, Islamic and Western concept of Civilization, (Kuala Lumpur : Universiti kebangsaan Malaysia, 1980/1400), hal : 19.
[2] Amir A.Rahman, Pengantar Tamadun Islam, (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990) hal : 2.
[3] Ibid, hal : 3.
[4] Ibid, hal : 3.
[5] Ustaz Azam Hamzah, Tamadun Islam : Konsep Dan Pencapaiannya, (Penerbitan Hizbi,1990), hal : 19.
[6] Ibid, hal : 20.
[7] Ibid, hal : 20.
[8] Syed Qutb, Petunjuk Sepanjang Jalan, (terj.), (Kuala Lumpur, Penerbitan Pena,1984), hal : 21.
[9] Ibid, Hal : 120-121.
[10] M.A.J Beg, Islamic and Western Concepts of Civilization, (Kuala Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia,1980/1400), hal : 47-48.
[11] Abu Bakar Hamzah, Sejarah Kebudayaan Islam, (Kota Bharu : Pustaka Aman Press, 1976), hal : 13.
[12] Muhammad ‘Uthman al-Muhammady’, Peradaban Islam, (Kota Bharu : Pustaka Aman Press,1976),
hal : 32.
[13] Ismail al-Faruqi,’Islam : The Civilizing Force’, Islamic Civilization Seminar di Kuala Lumpur, 18-22 May 1984, anjuran Berita Harian dan Ministry of Culture Youth and Sports.
[14] Beg, Two Lecturer on Islamic Civilization, (Malaysia, 1982), hal : 6.
[15] Beg, Islamic and Western Concepts of Civilization, (Kuala Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia,1980/1400), hal : 42.
[16] Ibid.
[17] Ibid.
[18] Ibid, hal : 40.
[19] Ibid, hal : 35.
[20] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 4.
[21] Ibid, hal : 5.
[22] M.A.J Beg, The Image of Islamic Civilization, (Kuala Lumpur : The University of Malay Press,1980), hal : 13.
[23] Sayid Mujtaba Musawi Lari, Western Civilization Through Muslim Eyes, (Houston : Free Islamic Literatures, 1974), hal : 26-28.
[24] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 6.
[25] Mustafa Haji Daud, Tamadun Islam, Utusan Publication & Distribution Sdn.Bhd, hal : 9.
[26] Ibid, hal : 10.
[27] Hj. Wan Salim bin Hj. Wan Mohd Nor, Pengantar Islam, (Pulau Pinang : Pusat Pengajian Luar kampus USM , t.t.), hal : 2.
[28] Surah Ibrahim : 14, 32-34.
[29] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 11.
[30] Hassan Bin Salleh, Panduan Pelajar Di Dalam Fiqab Islam, (Petaling Jaya : Jabatan Syariah UKM,1970), hal : 21.
[31] Surah an-Nisa’, 4 : 29.
[32] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 12.
[33] Surah al – Ma’idah, 5 : 90
[34]Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 14.
[35] Surah al – Isra’, 17 : 31.
[36] Mustafa Haji Daud, Tamadun Islam, Utusan Publication & Distribution Sdn.Bhd, hal : 17.

[37] Ibid, hal : 17.
[38] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 16.

[39] Surah al-Jumu’ah : 62 : 10.


[40] Surah al-Ma’idah : 5 : 38.
[41] Sti Fatimah Ishak, Falsafah Kebebasan Dalam Islam, (Bangi : Jabatan Usuluddin dan Falsafah UKM . Latihan Ilmiah 1981/82.) Intisari Keseluruhan .
[42] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 17.
[43] Ibid, hal : 18.
[44] Surah al-Qasas : 5.
[45] Surah al-Haj : 41.
[46] Amir A. Rahman, Pengantar Tamadun Islam, hal : 19.




Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com