Wednesday, April 16, 2008

Tamadun Islam Di Zaman Rasulullah s.a.w.

TAMADUN ISLAM DI ZAMAN RASULULLAH SAW.

PENGENALAN :

KONSEP TAMADUN.

Tamadun mengikut Kamus Dewan ialah kebudayaan, peradaban dan kemajuan.Kemajuan meliputi dari sudut kerohanian dan kejasmanian.[1]
Manakala bagi bahasa Inggeris pula, perkataan 'Civilization'[2] digunakan bagi mentafsir maksud sebenar tamadun. Dari sudut etimologi, perkataan 'Civilization' berkait rapat dengan urbanisasi, yang berasal dari perkataan Latin 'Civitas' yang membawa maksud kota atau 'City' dalam bahasa Inggeris.[3]
Bagi bahasa Arab pula, 4 istilah digunakan bagi menterjemah
dan membicarakan konsep tamadun iaitu istilah Hadharah,[4] Umran,[5] Madaniyah [6] dan Tamadun.[7]
Istilah 'Umran', dari segi bahasa, terbitan dari kata dasar 'Amara' bermakna kawasan tanah atau rumah yang didiami, diduduki orang, tinggal menetap dan seumpama dengannya; juga bermakna satu dasar membayangkan ' Bunyan ' yang membawa maksud satu binaan, struktur atau kerja mendirikan bangunan.
Dalam pengertian yang lebih khusus, makna 'Umran' ialah merujuk kepada masyarakat yang memiliki beberapa ciri seperti mempunyai pegangan agama yang kukuh, sistem kenegaraan yang teratur, sistem perundangan yang sistematik, kehidupan cara bandar, pencapaian kaedah penulisan yang tinggi dan kepakaran di bidang seni lukis dan senireka.
Istilah 'Hadharah' lebih dikatakan sealiran dengan istilah 'Umran'. 'Hadharah' merujuk kepada keadaan kehidupan yang tinggal menetap.
Dari segi bahasa, istilah 'Hadharah memberi makna suatu wilayah, daerah atau bahagian dari ibukota - ibukota atau bandar -bandar atau kampung - kampung dan dari kawasan tanah yang ditanami. Istilah 'Hadharah' merupakan kata lawan bagi perkataan Badwi atau Badawah.[8]
'Hadharah' juga dari segi harfi boleh diertikan sebagai berada di tahap maju. Kehidupan Badawah lebih banyak bersandarkan kepada pertanian dan ternakan untuk memenuhi keperluan hidupnya, sedangkan 'Hadharah' lebih banyak bersandarkan kepada perindustrian dan perniagaan.[9]
Mengikut Malik Bin Nabi, 'Hadharah' mengandungi 2 makna :
i. Pengertian yang objektif :
ð Iaitu suatu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi dalam sesebuah masyarakat.
ii. Pengertian yang subjektif :
ð Ia digambarkan sebagai suatu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang tinggi dan berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas, atau digambarkan sebagai kehidupan yang dapat atau hampir dapat mencapai ideal atau bentuk kehidupan yang tinggi yang hendak dicapai.
Istilah 'Madaniyah' yang seerti dengan tamadun pula diterima pakai oleh penulis-penulis terkenal abad ke-20 M seperti Muhammad Farid Wajdi dan Syeikh Muhammad Abduh.
Perkataan 'Madaniyah' mempunyai perkaitan dengan perkataan tamadun atau kebudayaan berasaskan bandar ( 'City - Based Culture' ) kerana ianya diambil dari bahasa Arab 'Madinah' atau 'City'. Pertalian antara perkataan latin 'Civitas' dan 'Civilization' mempunyai banyak persamaannya dengan perkaitan antara 'Madinah' dan 'Madaniyah'. Perkaitan ini wujud kerana biasanya bandar-bandar menginduki tamadun dan tamadun muncul berkembang di kawasan-kawasan bandar.
Istilah yang ke - 4 ialah istilah 'Tamadun'. Perkataan 'Tamadun' ini diambil dari kata kerja 'Maddana' yang merujuk kepada 'Madinah' yang membawa erti membina bandar-bandar, menaikkan ke taraf beradab, menghaluskan budi pekerti, menimbulkan sifat keinsanan sejati yakni menjadi manusia yang berpeikemanusiasan dan bertentangan dengan sifat kebinatangannya.
Jelasnya istilah 'Tamadun' ialah keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mancapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.


TAMADUN ISLAM.
Media barat dan warganya kini begitu ghairah menonjolkan kehebatan dan keunggulan tamadun mereka sehingga mengaburi mata masyarakat umum kini yang semakin terlupa bahawa Barat hanyalah pelajar atau 'murid derhaka' yang tidak mengenang budi, tamadun Islam yang pernah menguasai dunia lebih dari sepuluh abad dulu.
Dunia sebenarnya telah dikuasai oleh tamadun Islam selama lebih dari sepuluh abad, iaitu bermula dari abad ke - 7 hingga ke - 18 M yang mana tamadun Islam diklasifikasikan sebagai sebuah tamadun yang didirikan oleh masyarakat Muslim dari abad ke - 7 M hingga kini. Ia merupakan sebuah tamadun yang bersepadu yang begitu menitikberatkan soal kemajuan kerohanian dan juga kemajuan material untuk pembangunan umat Islam.
Tamadun Islam telah berjaya mengangkat martabat umat manusia sewajar dengan fitrah semulajadinya sebagai khalifah Alllah SWT di muka bumi ini, yang mana telah berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan Jahiliah kepada cahaya kebenaran, yakni sinar Islam yang bukan sahaja menerangi bumi Arab tetapi juga seluruh pelusuk dunia.
Tamadun Islam lebih jelas jika disimpulkan sebagai sebuah manifestasi kemajuan dan pembangunan umat Islam yang dibina berdasarkan kepada ciri-ciri asas ketamadunan Islam iaitu aqidah, syariat dan akhlak yang mana ia juga merangkumi penekanan kepada aspek spiritual, material dan intelektual, yakni keseluruhannya bersifat 'Multidimensional'. Seorang ulama Islam ada menjelaskan bahawa ;
"Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek kehidupan manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat". [10]
Malangnya kecuaian umat Islam terhadap ajaran Islam dan disertai dengan pelbagai tragedi pahit yang melanda dunia Islam, mengakibatkan tamadun Islam mulai melalui zaman kemerosotan dan kemalapannya menjelang abad ke-13 M.
Kini walaupun umat Islam mewakili lebih dari 1/5 daripada umat manusia seluruh dunia tetapi umat Islam masih lagi bergantung kepada negara blok Barat dari segala aspek. Umat Islam masih lagi lemah dalam serba-serbi.
Hal ini tidak seharusnya menjadi kenyataan jika umat Islam kini sedar dan berusaha gigih kembali menuju ke arah pembebasan ummah tanpa dicengkami lagi oleh negara blok Barat. Ummah hari ini perlu kembali berpaling kepada syariat Allah SWT, melengkapkan diri dengan asas-asas kekuatan Islam.
Masa depan ummah dan tamadun Islam adalah cemerlang, justeru ummah hari ini perlu berusaha berjihad menegakkan kembali warisan tamadun Islam masa lalu agar tidak terus malap dibayangi cahaya kejayaan negara blok Barat.


KEGEMILANGAN TAMADUN ISLAM.
Kegemilangan tamadun Islam bermula apabila berlakunya kemuncak ledakan paradigma tamadun Islam itu sendiri dari sudut pencapaian bersepadu dua aspek penting iaitu aspek spiritual dan aspek material. Aspek spritual adalah aspek penting yang menunggaki pencapaian kemajuan aspek material dalam sejarah kegemilangan tamadun Islam.
Dalam mempersoalkan kegemilangan tamadun Islam , kita sebagai umat Islam tidak dapat lari dari menyusuri dan menyingkap kembali lembaran sejarah pertumbuhan dan perkembangan tamadun Islam di zaman keemasan Rasulullah SAW.
Tamadun Islam di zaman Rasulullah SAW adalah zaman yang paling ideal dicontohi oleh semua umat Islam masa kini dalam mencari sinar Islam yang sebenar kerana tidak ada langsung penyelewengan ajaran Islam pada zaman ini baik dari segi aqidah , syariah mahupun akhlak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya ;
" Sebaik - baik kurun adalah kurun ku, kemudian (kurun) selepasku dan (kurun) selepas itu kemudian tersebarlah bidaah dan kata kata tambahan." [11]
Zaman ini dipelopori oleh golongan "al - Sabiqun al Awwalun" dari kalangan kaum Muhajjirin dan kaum Ansar yang dianggap sebagai golongan taraf tertinggi oleh Allah SWT.
Tamadun Islam di zaman Rasulullah SAW terbahagi kepada dua fasa ;
· FASA MEKAH (SEBELUM HIJRAH)
· FASA MADINAH (SELEPAS HIJRAH)
Kedua - dua fasa ini mempunyai perbezaan masing - masing baik dari segi pertumbuhan kemajuan kerohanian dan kemajuan intelektual dalam pembangunan insaniahnya.

· FASA MEKAH (SEBELUM HIJRAH).
Detik permulaan penerusan tamadun Islam dalam sejarah perkembangan tamadun manusia ialah melalui peristiwa penerimaan wahyu yang pertama oleh Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril a.s pada bulan Ramadhan pada tahun 610 M ketika Rasulullah berusia 40 tahun.
Tamadun Islam terus berkembang selama 23 tahun iaitu hingga ke tahun 623 M (zaman Kerasulan). Kelahiran dan pembentukan tamadun Islam itu amat jelas dan nyata sekali kerana pada jangka masa itulah merupakan penurunan al - Quran al - Karim yang merupakan sumber utama tamadun Islam sendiri.
Rasulullah SAW menyampaikan dakwahnya selama 23 tahun tanpa henti kepada masyarakat Arab Jahiliyah yang ketika itu jahil dalam serba serbi. Orang Arab sebelum kedatangan Islam adalah golongan yang menganut kepercayaan menyembah berhala. Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW menekankan larangan kepada penyembahan berhala dan mengajak umat mentauhidkan Allah SWT.
Kedatangan Islam membawa lembaran baru kepada masyarakat Arab Jahiliyah sehingga terhapusnya fahaman perkauman yang sempit juga bernilai negatif kepada Muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dari segi aqidahnya yakni mentauhidkan Allah SWT dan benar dari segi muamalahnya yang berdasarkan kepada syariah serta benar tingkah lakunya yang berteraskan kepada akhlak Islam, yang mana keseluruhannya berlandaskan kepada sunnah Allah SWT.
Perkataan Jahiliyah yang disebut beberapa kali dalam al - Quran adalah berlawanan dengan pengertian tamadun. Jahiliyah yang disebutkan itu melambangkan kepada kekufuran, keangkuhan, kemaksiatan dan juga kejahilan tentang konsep ketuhanan yang sebenar. Contoh ungkapan Jahiliyah dalam al - Quran ialah dalam surah - surah al - Maidah 5 : 50, surah al - Ahzab 33 : 33, surah al - Imran 3 : 154 dan banyak lagi surah yang terdapat di dalam al - Quran yang memperkatakan tentang Jahiliyah.
Mengikut asy - Syahid Syed Qutb dalam bukunya 'Ma'alim fi at - Tariq, dalam mempersoalkan tentang masyarakat Jahiliyah, beliau menyebut bahawa masyarakat Jahiliyah lahir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Ada yang berbentuk engkar akan kewujudan zat Allah SWT, melaksanakan sistem yang disebut sebagai 'Sosialisma Saintifik' sebagai panduan hidupnya. [12]
Jelasnya, Jahiliyah ialah segala bentuk perlanggaran terhadap kekuasaan Allah SWT di atas muka bumi ini terutamanya hak - hak khusus ketuhanan iaitu dalam menentukan siapa yang berkuasa.
Kebangkitan Rasulullah SAW telah membawa lembaran baru kepada masyarakat Arab Jahiliyah baik dari segi :
i.) Aqidah (Kepercayaan)
ii.) Akhlak
iii.) Sosial (Kemasyarakatan)
Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al - Anbiya', yang membawa maksud :
" Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad), melainkan sebagai rahmat untuk alam sejagat. " [13]
i.) Aspek Aqidah.
Pada peringkat awalnya sesudah Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertamanya di Gua Hira', Rasulullah SAW mengembangkannya hanya di kalangan orang - orang yang terhampir dengan Baginda sahaja dan dakwah tersebut tidak dilakukan secara terang - terangan.
Tambahan pula ketika itu boleh dikatakan setiap kabilah dan setiap rumah mempunyai berhala mereka sendiri. Pada ketika itu juga disekeliling Kaabah terdapat lebih kurang 360 buah berhala. [14] Selain daripada penyembahan berhala, ada juga golongan yang menyembah jin (Banu Malih dari suku Khuza'ah), matahari (Banu Himyar), bintang (Dabran - Banu Tamim, Mars - Banu Lakhmin dan Juzam, Suhail - kabilah Thai, Utarid - Banu Asad) dan Tulan (suku Kinanah). [15] Pendakwahan secara terang - terangan hanya dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas bilangan pengikutnya bertambah.
Orang Arab Jahiliyah hampir - hampir menerima seruan Rasulullah SAW sehinggalah Rasulullah menyebut tentang penyembahan berhala yang ditegah dalam Islam. Kedatangan agama Islam dianggap mengancam ekonomi mereka kerana berhala merupakan sumber utama ekonomi masyarakat Arab ketika itu.
Ketua - ketua kaum Quraisy dan juga puak Kapitalis beranggapan seruan Rasulullah SAW itu mengancam kekuasaan politik yang dikecapi mereka selama ini. Maka berlakulah penentangan diantara ketua - ketua kaum Quraisy terhadap Rasulullah SAW. Antara yang paling memusuhi Rasulullah adalah Abu Jahal daripada kabilah Makhzum.
ii.)Aspek Akhlak.
Gejala keruntuhan akhlak di zaman Jahiliyah amat ketara sekali ketika Rasulullah mula menyebarkan syiar Islam. Minuman keras menjadi kebanggaan terutama di kalangan penyair - penyair. Pelbagai puisi dicipta untuk memuji minuman keras yang kononnya enak bagi mereka.
Perjudian dan amalan zina berlaku dengan berleluasanya. Kaum wanita sebahagiannya dipaksa memperjudikan maruah diri dengan melacur yang kononnya dilakukan demi menjaga maruah suami yang kalah berjudi. Amalan riba pula dianggap sebagai salah satu cara dalam berdagang.
Penyebaran agama Islam oleh Rasulullah kembali membendung semua gejala yang memudaratkan dan melemahkan masyarakat Jahiliyah ketika itu. Kongkongan tradisi Jahiliyah telah berjaya dikikis semata - mata kerana asas aqidah dan keimanan yang semakin mendalam di jiwa umat ketika itu.
Di bawah didikan dan asuhan Rasulullah SAW, umat Islam telah dididik untuk membersihkan jiwa, diri dan hidup dengan beradab, zuhud , tawadduk, warak, suci, amanah, tidak mementingkan diri dan takut akan azab Allah SWT. Sifat ini jelas dapat dilihat pada Saidatina Aisyah, Fatimah, Khadijah, Saidina Ali, Abu Bakar dan lain - lain.
iii.)Aspek Sosial (Kemasyarakatan).
Masyarakat Arab Jahiliyah begitu menitikberatkan soal kelas atau taraf dalam masyarakat mereka. Kelas tetinggi dipegang oleh keturunan Quraisy. Golongan ini bukan sahaja menduduki kelas pemerintah kerana keturunan mereka tetapi kerana kekayaan yang diwarisi dan kelayakan mereka.
Di zaman Jahiliyah ini, terdapat satu golongan kelas bawahan yang mana dipelopori oleh golongan hamba abdi. Sebahagiannya dari kalangan golongan yang miskin dan tidak mempunyai apa - apa hak.
Zaman ini juga memperlihatkan tentang wanita yang umumnya nilai mereka sangat rendah dalam pandangan masyarakat. Lazimnya, sesebuah keluarga itu akan merasa malu yang amat jika ada di antara ahli keluarganya yang melahirkan bayi perempuan dan seperti biasanya nasib si bayi seakan - akan diibaratkan seperti telur dihujung tanduk yang mana samada akan terus dibela keluarganya yang akan menanggung malu seumur hidup atau ditanam hidup - hidup.
Ketika itu juga, amalan pembunuhan bayi berlaku dengan sewenang - wenangnya. Ibu - ibu takut untuk melahirkan bayi kerana bimbang akan melahirkan bayi perempuan yang kesudahan hayatnya dibunuh oleh si bapa. Fanatik kesukuan juga amat ketara dalam masyarakat ketika itu. Masing - masing berbangga dengan keturunan sendiri dan sanggup melakukan apa sahaja bentuk pembelaan untuk membela ahli keluarga masing - masing walau pun berada dalam keadaan tidak benar.
Peperangan sesama bangsa Arab juga merupakan perkara biasa ketika itu. Kehadiran Raulullah SAW telah berjaya mempersaudarakan golongan yang saling bertentangan ketika itu. Layanan sosial untuk semu bangsa adalah sama. Tidak ada lagi sistem kasta atau golongan hamba abdi.
Kedatangan Islam telah membuka lembaran baru bagi kaum wanita yang selama ini teraniaya. Islam talah menaikkan taraf dan memberikan hak - hak kepada kaum wanita. Kaum wanita diberikan hak untuk menuntut ilmu dan tidak ada lagi wanita yang dipaksa melacurkan diri. Gejala pembuangan bayi juga semakin dapat dihapuskan.
Kejayaan Rasulullah SAW bukan sahaja dapat mengikis sifat - sifat negatif masyarakat Arab Jahiliyah menjadi mukmin sejati tetapi juga membawa perubahan dari kesesatan kepada kebenaran, kejahatan kepada kebaikan, peperangan kepada perdamaian dan perubahan sifat mazmumah kepada sifat mahmudah.
Walau bagaimanapun, dalam usaha Rasulullah SAW mengajak umatnya mentauhidkan Allah SWT dan walau seramai manapun pengikut Baginda, Rasulullah SAW serta pengikutnya tetap berhadapan dengan pelbagai bentuk permusuhan dan penindasan daripada orang Quraisy malah Rasulullah SAW pernah dipujuk dengan ganjaran harta, kuasa dan juga godaan wanita. Namun Rasulullah SAW dan pengikutnya tetap beristiqamah dengan tujuan asal yakni terus menyebarkan Islam kepada penduduk Mekah yang ketika itu rata - ratanya semakin ramai mula menerima cahaya Islam.
Memandangkan kebanyakan dari pengikut Rasulullah SAW ketika itu terdiri daripada golongan bawahan terutamanya hamba, maka mereka semua diseksa dalam pelbagai bentuk seksaan yang pastinya dilakukan dengan kejam oleh orang - orang Quraisy, seperti Bilal Ibn Rubah dan Amir Ibn Fuhairah. 13 tahun sinar Islam bersinar di kota Mekah adalah zaman kepahitan dan penyiksaan yang paling kritikal yang dilalui oleh umat Islam sepanjang Rasulullah SAW tegas berjihad menegakkan syiar Islam.
Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW yang banyak membela Baginda walaupun kaum Bani Hasyim dipulaukan oleh masyarakat setempat.
Hijrah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah penghijrahan ke Habsyah yang mana dilakukan adalah untuk mengelak dari terus ditindas oleh orang Quraisy. Penghijrahan pertama ini membawa 12 orang lelaki dan 5 orang wanita. Penghijrahan ini bukan sahaja telah dapat mengelakkan umat Islam dari terus ditindas tetapi juga membawa cahaya Islam ke Benua Afrika. Pengislaman Umar Ibn Khattab juga telah memberikan erti yang besar kepada syiar Islam yang mana beliau telah berjaya menarik 40 orang Arab menganut Islam.
Pelbagai bentuk penindasan tetap dilakukan oleh orang Quraisy yang tidak jemu - jemu berusaha untuk mematahkan semangat Rasulullah SAW dan para pengikutnya dari terus menganut dan menyebarkan agama Islam. Orang Quraisy membuat pakatan memulaukan kaum Bani Hasyim dan keturunan al - Mutalib. Mereka membuat perjanjian tidak akan mengadakan sebarang aktiviti perniagaan dan menjalinkan ikatan perkahwinan dengan keturunan tersebut.
Akibat dari tindasan yang berlangsung selama 2 tahun ini, masyarakat Islam mengalami penderitaan sehinggakan terpaksa memakan daun - daun kayu dan kulit - kulit binatang demi meneruskan hidup. Walau bagaimanapun, tindakan puak Quraisy itu tidak langsung mematahkan semangat mereka dalam terus berjihad ke jalan Allah SWT.
Susulan dari peristiwa ini, sekali lagi Rasulullah SAW dan para pengikutnya berhijrah buat kali ke - 2 ke Habsyah. Demi mencari sokongan, Rasulullah SAW telah pergi ke Taif untuk berdakwah tetapi sebagai balasannya baginda telah dilempari dengan batu hingga cedera parah.
Demi kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT dan semangat yang tidak luntur dalam menegakkan syiar Islam, Rasulullah SAW mengubah dan mengatur strategi baru iaitu dengan berhijrah ke Madinah.
Memandangkan ramai penduduk Madinah yang mula menerima Islam dan ditambah pula dengan jemputan masyarakat Madinah yang mengharap Rasulullah SAW ke sana, juga mengenangkan semakin sengitnya permusuhan dan penindasan yang dilakukan oleh puak kafir Quraisy maka Rasulullah SAW sepakat bersama - sama pengikutnya berhijrah ke Madinah.
Tanggal tahun 1411 M telah membuka lembaran baru bagi dunia Islam yang mana bertitik tolak dari penghijrahan Rasulullah SAW inilah bermulanya pembentukan negara Islam pertama di Madinah yang dikenali sebagai Generasi al - Quran atau ' Jail al - Quran '.
· FASA MADINAH (SELEPAS HIJRAH).
Tuntutan Allah SWT supaya Rasulullah SAW dan umat Islam berhijrah adalah demi kepentingan agama dan ummah. Sebaik sahaja penduduk Madinah bersedia menyerahkan kota suci itu kepada pentadbiran Rasullulah SAW, maka disamping memperteguhkan aqidah, Rasulullah SAW juga melaksanakan penekanan kepada asas syariah secara menyeluruh.
Sebuah masyarakat Islam yang bebas dan merdeka dari belenggu Jahiliyah, di bawah satu tampuk pemerintahan kerajaan Islam pertama dengan pembentukan Piagam Madinah sebagai Perlembagaan Negara, dipikul di bahu Rasulullah yang berperanan bukan sahaja sebagai Pemimpin Negara Islam tetapi juga sebagai Ketua Agama.
Perkembangan pergerakan dakwah Islamiah di Madinah juga dianggap paling bersejarah dalam tamadun Islam. Ibadah kepada Allah SWT dapat dilakukan tanpa sebarang gangguan, masyarakat hidup dalam aman dan harmoni. Rasulullah SAW memberikan penekanan kepada pembentukan semula beberapa aspek penting dalam masyarakat iaitu :
i) Aspek Keagamaan
ii) Aspek Sosio - Politik
iii) Aspek Sosio - Ekonomi
Rasulullah SAW juga telah berjaya membentuk dasar - dasar masyarakat Islam sepenuhnya dengan pelbagai perubahan yang telah berjaya dilaksanakan. Di antaranya ialah :
i) Mendirikan masjid an - Nabawi
ii) Mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin yang saling bertelingkah dan disatukan di bawah panji - panji Islam.
iii) Memeterai perjanjian bantu membantu antara sesama kaum Muslimin dan bukan Muslimin.
iv) Meletakkan dasar - dasar politik, ekonomi dan sosial.[16]
Hasil pemerintahan Rasulullah SAW ini telah melahirkan golongan masyarakat Islam yang mempunyai keimanan yang kental yang tidak dapat diubah oleh apa jua bentuk penyiksaan. Pegangan tauhid ini dapat diambil iktibar dari kisah Bilal Ibn Rabah yang sanggup menerima seksaan dijemur dibawah panas terik dengan batu diletakkan di atas bahunya, tetapi tidak sedikit pun menggugat pegangan aqidahnya.[17] Begitu juga dengan Abu Bakar yang sanggup meninggalkan harta kekayaannya demi meninggikan kalimah Allah SWT.[18]
i.) Aspek Keagamaan.
Suasana di kota Madinah amat berlainan dengan suasana di kota Mekah dahulu ketika sebelum Hijrah, yang mana secara zahirnya dari segenap sudut umat Islam mengalami penderitaan lantaran dari seksaan dan tindasan yang dilakukan oleh puak kafir Quraisy.
Masyarakat Islam ketika itu berada dalam keadaan tertekan zahir dan batin. Segala urusan harian yang berkaitan dengan Islam terutamanya dalam soal beribadah kepada Allah SWT dilakukan secara sembunyi - sembunyi. Rasulullah SAW juga tidak terlepas dari ditindas oleh puak kafir Quraisy, malah Rasulullah SAW sendiri pernah diancam untuk dibunuh.
Penghijrahan ke Madinah membawa sinar kehidupan yang baru kepada umat Islam yang mana mereka tidak lagi berada di dalam kongkongan puak kafir Quraisy. Ibadah kepada Allah SWT dapat dilakukan secara terang - terangan. Penduduk Madinah menerima kedatangan kaum Muhajjirin Mekah dengan tangan yang terbuka dan memberi kerjasama serta sanggup menolong dengan ikhlas kerana Allah SWT demi kepentingan Islam.
Kaum Muhajjirin Mekah pula sanggup meninggalkan semua harta kekayaan mereka di Mekah demi iman yang utuh kepada Allah SWT, sanggup membanting tulang mencari rezeki yang halal di bumi Madinah yang mana mereka percaya bahawa rezeki Allah SWT ada di mana - mana sahaja. Sebagaimana firman Allah SWT :
"Sesiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang di tuju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [19]
ii.) Aspek Sosio - Politik
Menurut catatan Ibnu Hisyam, ''Sahifah al - Madinah" atau Piagam Madinah diasaskan selepas terbinanya masjid Nabi. Piagam ini mengandungi perjanjian di antara orang - orang Muhajjirin dan Ansar serta seluruh penduduk Madinah yang berbilang kaum seperti Aus, Khazraj serta kaum Yahudi, Bani Quraizah, Bani Qainuqa dan Bani al - Nadir. [20]
Piagam Madinah ini mengandungi 47 fasal, sebagai asas pegangan perjanjian di antara umat Islam dengan puak Yahudi yang meliputi pelbagai aspek kehidupan. Di antara isi kandungannya adalah seperti berikut :
¨ Bahawa puak Yahudi hidup damai bersama - sama dengan kaum Muslimin, kedua - dua belah pihak bebas memeluk dan mengerjakan ibadah bagi agama masing - masing.
¨ Kaum Muslimin dan puak Yahudi hendaklah bekerjasama untuk menentang siapa sahaja yang memerangi mereka, dan orang - orang Islam memikul perbelanjaan mereka sendiri.
¨ Kaum Muslimin dan puak Yahudi wajib nasihat - menasihati, bantu - membantu dan melaksanakan kebajikan dan keutamaan.
¨ Bahawa kota Madinah adalah kota suci yang wajib dihormati oleh semua mereka yang terikat dengan perjanjian itu. Seandainya terjadi perselisihan di antara puak Yahudi dan kaum Muslimin, sekiranya dikhuatirkan akan mengakibatkan hal - hal yang tidak diingini, maka urusan itu hendaklah diserahkan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
¨ Bahawa sesiapa sahaja yang tinggal di dalam atau di luar kota Madinah, wajib dilindungi keamanan dirinya (kecuali bagi orang - orang yang zalim dan bersalah) sebab Allah SWT menjadi pelindung kepada orang - orang yang baik dan berbuat kebajikan. [21]
Institusi masjid pula dibina atas dasar merealisasikan konsep persaudaraan sesama Islam agar lebih berkesan yang mana Rsaulullah SAW cuba mempersaudarakan kaum Muhajjirin Mekah dengan kaum Ansar, penduduk asal kota Madinah. Masjid pertama yang dibina di Madinah ialah masjid an - Nabawi. Fungsi masjid menurut perspektif Islam bukanlah semata - mata untuk menunaikan ibadah khusus sepeti solat lima waktu sahaja tetapi juga merangkumi aspek lain yang berkaitan dengan ibadah umum seperti tempat menuntut ilmu pengetahuan, madrasah, markas tentera dan tempat menerima tetamu baik dari luar negara dan seumpama dengannya.
Dengan termeterainya Piagam Madinah yang dibincangkan diatas maka Rasulullah SAW telah berjaya mengasas dan memantapkan kedudukan sosial dan politik umat Islam di Madinah. Kejayaan ini telah membawa keharmonian kepada penduduk kota Madinah umumnya dan umat Islam secara khasnya.


iii.) Aspek Sosio - Ekonomi.
Sumber pendapatan pemerintahan Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW tidak bersumberkan kepada sumber yang tetap. Walaupun demikian, masyarakat Islam tidak mengalami sebarang krisis ekonomi.
Hal ini kerana wujudnya kesatuan dan perpaduan pada diri setiap anggota masyarakat Madinah ketika itu, yang sanggup berkorban harta ke jalan Allah SWT.
Dalam pentadbiran Rasulullah SAW, baginda sangat menitikberatkan soal kewangan untuk pembangunan negara. Rasulullah SAW telah membasmi amalan riba yang hanya memundurkan masyarakat Islam ketika itu, juga mengemaskinikan pungutan zakat, kharaj, jizyah, ghanimah, cukai perniagaan, pertanian dan penternakan.[22]
Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam menceburkan diri dalam bidang ekonomi agar dapat memecah monopoli perdagangan yang dipelopori oleh puak Yahudi. Ini kerana hanya dengan cara ini sahaja masyarakat Islam dapat memecahkan jaringan kewangan golongan Yahudi yang menindas dan memerangkap masyarakat Islam dengan memberi pinjamam kewangan dengan kadar faedah yang tinggi [23], yang mana ini membebankan kaum Ansar dan Muhajjirin Mekah ketika itu.
Rasulullah SAW seterusnya mengasaskan sistem penguatkuasaan untuk membanteras sebarang bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh puak Yahudi kepada masyarakat Islam Madinah.

KESIMPULAN / PENUTUP.
Tamadun Islam tidak mengenal perbezaan warna kulit, pangkat kedudukan juga harta kekayaan. Ketinggian taraf manusia di sisi Allah SWT adalah berdsarkan kepada sifat - sifat takwa dan keluhuran budi dan akhlaknya.Tamadun Islam tidak dibatasi oleh ruang waktu atau sempadan kawasan. Perbezaannya hanyalah dilihat dari segi pegangan aqidahnya, amalan syariahnya dan gerak laku akhlaknya.
Kemunculan sinar Islam membawa 1001 rahmat yang tidak ternilai harganya bagi umat manusia. Dengan penurunan al - Quran, Rasulullah SAW telah berjaya mengeluarkan umat manusia daripada bayangan hitam kegelapan era Jahiliyah kepada sinar suci cahaya Islam yang telah merubah persepsi dan pegangan hidup umat manusia kepada memahami konsep ketuhanan yang sebenar yakni mentauhidkan Allah Yang Esa,Tuhan Yang Maha Kuasa mentadbir sekelian alam.
Sebagaimana yang telah tersurat di dalam al - Quran, yang berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :
" Katakanlah : Siapa Tuhan langit dan bumi ?
Katakanlah : Allah SWT.
Katakanlah : Adakah kamu ambil wali - wali selain daripadaNya,
yang tiada memberi manfaat kepada dirinya
dan tiada pula memberi melarat ?
Katakanlah : Adakah bersamaan orang yang buta dengan
orang yang melihat ? Bahkan adakah bersamaan
gelap dengan nur (cahaya) ? Bahkan adakah
mereka mengadakan bagi Allah sekutu - sekutu
yang menjadikan seperti Allah menjadikan, lalu
serupa makhluk atas mereka ?
Katakanlah : Allah yang menciptakan tiap - tiap sesuatu dan Dia Esa
lagi Maha Kuasa. "[24]
Kebangkitan Rasulullah SAW dalam menyebarkan sinar Islam, teguh menegakkan panji - panji Islam telah membawa cahaya kegemilangan kepada tamadun Islam seluruhnya. Era pemerintahan Rasulullah SAW adalah zaman keemasan dan kemenangan kepada umat Islam khasnya.
Justeru umat Islam hari ini perlu kembali kepada jihad yang sebenarnya dalam usaha memantapkan pegangan aqidah, syariah dan melentur kembali akhlak masyarakat Islam hari ini, agar sinar tamadun Islam akan kembali bergemerlapan dan tidak terus dibayangi bayangan hitam kejayaan tamadun Barat.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

No comments: