Pecapaian Umat Islam Dalam Botani

Kedatangan orang-orang islam ke Andalus mampu mengasaskan satu bentuk ekonomi baru yang dikenali sebagai ekonomi mediteranean melalui sistem perladangan, perindustrian dan perdagangan. Orang-orang islam yang memang terkenal dalam bidang perdagangan dan perniagaan telah menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka dalam mengembangkan lagi pengaruh islam ke Eropah. Mereka mendirikan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang beroperasi mengimport barang-barang dari seluruh pelusuk dunia.

Hubungan perdagangan dengan Eropah dibuat melalui jalan darat manakala dengan Asia dan Afrika melalui jalan laut. Bandar-bandar pelabuhan di Andalus menjadi tumpuan kapal-kapal dagang asing seperti Venice, Itali dan Iskandariah. Ini membawa perkembangan ekonomi yang pesat kepada Andalus. Di sector pertanian, orang-orang islam turut memperkenalkan metod-metod baru seperti pembinaan empangan, system saliran, tali air, jambatan dan jalan-jalan raya yang lebih baik diseluruh Andalus meliputi suatu kawasan yang luas dari Toledo, Cordova, Marseille dan Valencia. System perairan yang ada sebelum itu diperbaiki dan diperkemaskan lagi sehingga memberi pulangan yang maksima kepada para petani. Tanaman buah-buahan seperti delima (Arab) limau (India) diusahakan dengan lebih giat. Industri ulat sutera yang dipelihara diatas daun-daun “Tut or Farsad” (pokok keratu-mulberry) diperkenalkan untuk dieksport. Begitu juga hasil tanaman kapas dikeluarkan oleh Andalus sejak abad ke 9 M lagi. Pokok-pokok jut yang dibawa dari China turut ditanam untuk dibuat tali dn kertas. Tebu dan manisan lebah yang diperolehi dari lebah yang dipelihara telah memberikan hasil yang lumayan kepada para pengusaha. Malah menurut tulisan ‘Arib bin Said dan Razi Andalus ketika itu merupakan pengeluar gula yang utama.

Kitab al arwa karangan Abd. Hasan al Qurtubi mengandungi kalendar pertanian dan kitab al Fihlah (buku pertanian) yang ditulis oleh Abul Qasim al Suhrawi telah menjadi bahan rujukan penting dalam bidang pertanian ketika itu. Abd Rahman Ibnu Wafid al lakhmi pula telah menulis sebuah lagi buku dengan tujuan yang sama kemudian menjadi bahan rujukan untuk pertanian di dunia islam mahupun barat. Ia diterjemahkan ke dalam catalan dengan tajuk “Agrucultura General” pada tahun 1513M oleh Alonso de Herrera. Ibn Wafid juga menjadi penjaga kepada taman botanical Di Raja di Toledo. Banyak lagi kerja-kerja yang dihasilkan mengandungi pengajian umum tentang pertanian, penggunaan tanah dengan lebih sistematik, air dan tumbuhan-tumbuhan supaya ia tidak memberi kesan yang buruk kepada system ekologi atau sebagaimana yang terjadi pada hari ini1.









Umat Islam Andalus juga banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat Eropah dalam bidang pertanian iaitu dengan memperkenalkan berbagai jenis tanaman dan teknologi pertanian yang selama ini belum dikenali oleh mereka. Berbagai jenis tanaman seperti padi, anggur, limau, kurma, tembikai kuning, ros biru, tebu, kapas dan sebagainya. Demikian juga dengan teknologi pertanian seperti empangan, saliran, cara pembiakan dan lain-lain teknik yang lebih maju. Segala pengalaman dicurahkan kepada masyarakat tempatan sehingga menjadi amalam di Eropah ketika itu.

Walaupun Andalus jatuh balik ke tangan orang kristian, teknologi pertanian yang dipelajari dari orang islam dahulu terus dikekal dan duhidupkan untuk pembangunan ekonomi negara. Berbagai jenis tanaman yang dipercayai berasal dari bahasa Arab boleh didapati di Eropah hingga ke hari ini seperti “Naranj” berasal dari Parsi kemudian diarabkan dan di Eropah disebut sebagai “Naringa” atau “Loranja”. Limau dipanggil “Portogallo” oleh orang Eropah dikatakan berasal dari bahasa arab “Burtuqal”. Tananam kapas dalam bahasa Arab “Qutn”, di Sepanyol disebut “Algudor” dan Inggeris “Cotton”. Banyak lagi perkataan –perkataan Arab tetapi telah menerima proses asimilasi sehingga dianggap sebagai bahasa tempatan seperti “rice” [al aruz] dan spinach [sabaruj]. Apa yang jelas bahasa –bahasa ini masuk ke Eropah melalui Andalus. 2
Begitu juga dengan alat-alat teknologi pertanian yang pernah diperkenal dan digunakan oleh masyarakat islam Andalus masih menggunakan nama yang sama Cuma sebutan lebih kepada dialek tempatan seperti “Naurah” iaitu kincir air yang beroda besar di Sepanyol dikenali sebagai “Noria”, “al sud” iaitu empangan disebut “Azud”, “al Minhar” bererti saliran dalam bahasa Sepanyol disebut “Almenaro”. Jambatan dalam bahasa Arab disebut “al Qantarah” sementara di Sepanyol dipanggil “Alcantara”.
Ilmu tumbuhan adalah pengetahuan yang luas sehinggakan tidak dijangkau oleh pandangan mata. Ia juga tidak dapat dirangkumi dan didalami oleh seseorang kecuali orang yang memusatkan perhatian kepadanya sepanjang hayatnya. Maha Suci ALLAH Yang Maha Pengasih dan Maha Bijaksana dalam segala ciptaan-Nya3.
Dan semua itu dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
" Dan Kami tumbuhkan pada (bumi) segala macam tanaman yang indah
dipandang mata untuk menjadi pengajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba
yang kembali (mengingat Allah) " (Surah Qaf : 7-8)

"Dan Dialah tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya, dan menjadikan padanya segala macam buah-buahan berpasang-pasangan. Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkannya." (Surah Ar Ra'ad ;3)

"Dan di bumi ini terdapat bagian-bagian yang bersampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama, kami melebihkan sebahagian tanaman itu atas sebagian yang lain, tentang rasa dan bentuknya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir." (Surah Ar Ra'ad : 4)

Di dalam ayat tersebut Allah menyebutkan dahulu gunung-gunung, kemudian sungai-sungai, ini menunjukkan bahawa air sungai itu bersumber dari gunung, kerana mengetahui kenyataan itu, bermanfaat bagi sesuatu.kemudian Allah menyebutkan buah-buahan, disambung dengan siang dan malam yang keduanya sangat berpengaruh kepada proses pertumbuhan buah-buahan, rumput-rumput dan segala sesuatu yang tumbuh dimuka bumi. Kemudian ia menjelaskan bahawa dibumi ini ada beberapa macam tanah, demikian juga air dan sebagainya. Selanjutnya Allah menerangkan keadaan kebun, sawah dan ladang yang penuh dengan beraneka macam buah-buahan yang berlainan rasanya, berbeza baunya, beraneka ragam warnanya dan bermacam-macam bentuknya. Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta. Sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran :
" Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanaman-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa bentuk dan warnanya, dan tidak sama rasanya.makanlah dari buahnya, dan bila berbuah, dan tunaikanlah haknya pada hari memetik hasilnya dengan memberi kepada fakir miskin dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan." (Surah Al An'am : 141)

" Perhatikanlah buahnya diwaktu pohonnya berbuah, dan (perhatikanlah pula) kematangannya, sesungguhnya yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." (Surah Al An'am : 99)

Ahli sains yang pakar dalam bidang botani atau lebih dikenali sebagai ahli botani mencari maklumat berlandaskan al quran dan juga alam sekelilingnya yang penuh dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang setiap satunya berfungsi mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Kuasa.4 Dengan bantuan sumber-sumber dari al quran sebagai bahan rujukan ramai ahli sains telah berjaya sehingga dikagumi oleh masyarakat barat dan ada sesetengah buku yang telah dibuat oleh ahli botani yang beragama islam digunakan sebagai bahan rujukan oleh masyarakat barat.
Umat islam amat berminat dalam ilmu botani, kerana kebanyakan ubat-ubat yang digunakan untuk pemulihan pesakit pada masa itu adalah daripada herba dan pokok-pokok tumbuhan. Mungkin mereka berpandukan kepada sabda Rasullah yang bermaksud; " Tidak ada penyakit yang diturunkan Allah melainkan diturunkan ubatbaginya. "
Hipokrates, ahli falsafah yunani bapa ilmu perubatan telah berkata bahawatuhsn mengadakan penyakit dan mengadakan ubatnya yang didapati daripada tumbuh-tumbuhan yang ada di daerah ini. Oleh kerana itu umat islam sangat berminat untuk mengkaji tumbuhan yang terdapat disatu-satu tempat dan menulis secara terperinci bagi tiap-tiap tumbuhan supaya pokok yang merbahaya tidak dikelirukan dengan pokok yang berfaedah. Mereka juga mencatatkan ciri-ciri alam sekitar tumbuhan pokok itu samaada tanah pasir atau tanah liat dan sebagainya. Selepas itu mereka mencatatkan kegunaan tumbuhan itu bagi perubatan cara penggunaannya, masanya dan bagaimana menyediakan ubat. Cara membuat ubat telah dikuasai oleh ahli sains muuslim dengan sepenuhnya.5

Dapat dirumuskan bahawasannya ilmu botani merupakan salah satu ilmu yang harus dipelajari sebagai ilmu pengetahuan tambahan. Dalam ilmu botani ini ramai ahlinya telah mencipta dan menemui pelbagai penemuan yang amat diperlukan terutamanya masakini yang kebanyakannya lebih menjerumus ke dalam dunia perkomputeran atau digital. ilmu botani adalah salah satu cabang perubatan dimana melaluinya kita dapat mengkaji sifat-sifat tumbuhan tersebut disamping mengaplikasikanya.
Seperti yang diketahui masyarakat islam kini sudah mencapai tahap tamadun yang disegani didunia namun ada beberapa pihak yang masih tidak berpuashati dengan kemajuan islam mula memporakperandakan islam sehingga mereka yakin bahawa islam tidak akan berkembang dengan lebih maju lagi. Banyak ladang telah diusahakan oleh umat islam sendiri dan hasilnya boleh meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk islam.
Ini menunjukkan bahawa umat islam sudah maju dalam perladangan yang dahuluny dimonopoli oleh golongan yang berkedudukan tinggi.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com