Tuesday, April 15, 2008

Islam Di Andalus (Spanyol)

PENDAHULUAN
Ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan atau kepandaian dalam hal-hal dunia dan akhirat, zahir dan batin dan lain-lain. Malah ilmu dalam pengertian yang mudah ialah sistem penelitian, cara berfikir yang sistematik dan radikal, mampu merumuskan jawapan yang aktif dan cekap.

Perkataan ilmu berasal dari kalimah Arab iaitu “alima” yang bermaksud ‘telah mengetahui’. Kata asalnya ialah “al-Ilm” yang membawa erti “pengetahuan”. Masyarakat kita menggunakan perkataan ini dengan merangkaikan kedua-dua makna menjadi “ilmu pengetahuan”.

Professer Syed Mohd Naquib Al-Attas dalam bukunya “Islam and Secularism” mendefinisikan ilmu sebagaimana katanya : “…dengan merujuk kepada Allah sebagai sumber ilmu, ilmu adalah ketibaan makna ke dalam diri seseorang hasil dari maklumat yang benar. ”

Kesimpulannya, ilmu boleh didefinisikan kepada banyak maksud. Namun demikian ia masih dalam skop maksid yang masih sama.

PENGENALAN
Keagungan sains dan teknolodi terkini tidak dapat dipisahkan dari semangat penyelidikan baru yang dicetuskan oleh Islam. Selama 8 abad (92-897H-711-1492M) orang-orang Islam menjadi perintis dan pelopor tamadun yang tersendiri di Andalus. Didorong oleh semangat cintakan ilmu, maka sarjana-sarjana Muslim mendaki setiap ketinggian intelektual dan mengatasi setiap halangan fizikal sehingga orang-orang Islam berjaya memberi sinar dan kemajuan kepada masyarakat Eropah yang ketika itu masih berada dalam kemiskinan dan kemerosotan baik dari sudut material mahupun spiritual. Tradisi mengkaji dengan bebas disamping menghargai fikiran manusia merupakan kejayaan paling manis dalam kehidupan intelektual orang-orang Islam. Lantaran itu kita dapati bumi Andalus ketika itu dipenuhi dengan institusi-institusi pengetahuan yang memperdebatkan idea-idea tanpa halangan dan mencari ilmu pengetahuan sebagai satu ibadah. Orang-orang Islam menjadi pemimpin dan guru dalam semua daya kreativiti dan aktiviti yang dilakukan sehingga Andalus menjadi simbol kekuatan dan keagungan Islam dan dianggap sebagai “The Torch Of Europe”

GESAAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH
Ajaran Al-Quran dan Al Sunnah yang tertanam kukuh di jiwa orang-orang Islam ketike itu menjadikan mereka orang-orang yang cintakan ilmu pengetahuan dan berusaha mengembangkannya kepada penduduk Andalus. Dengan kerjasama dari pemerintah umat Islam telah membina sekolah-sekolah disetiap daerah dan bandar. Kanak-kanak dari keluarga miskin diberikan pelajaran secara percuma. Ini membangkitkan kesedaran yang tinggi tentang pentingnya ilmu pengetahuan kepada masyarakat Andalus yang selama ini tidak diberi kesempatan untuk memperolehinya.

Umat Islam turut memperkembangkan pelbagai ilmu tradisi seperti tafsir, hadis, fiqh dan ilmu-ilmu moden termasu matematik, astronomi, geographi, perubatan dan lain-lain. Dunia ilmu yang diperkenalkan ini telah mendapat sambutan dan penghargaan yang tidak ternilai dari masyaraakat tempatan. Maka tidak hairanlah sejarah mencatatkan bahawa di bawah pemerintahan dan pentadbiran Islam, hampir tidak ada rakyat Andalus yang buta huruf. Malah umat Islam dan masyarakat Andalus sama-sama bergabung tenaga dan terus mengorak langkah ke arah kemajuan hidup yang lebih menyeluruh mencakupi semua dimensi aqliyah dan jasmaniyah.

GALAKAN PEMERINTAH DAN AAMIR
Sepanjang pemerintahan Islam di Andalus sejak tahun 711-1492M, fenomena naungan politik para pemerintah terhadap kegiatan intelektuel menjadi sebahagian terpenting daripada pencapaian kaum Muslim di Barat. Ilmu dan intelektual tidak mungkin berkembang tanpa penyertaan yang aktif dari pemerintah atau Amir. Bermula pada 711M dan mencapai zaman kemuncak disekitar tahun-tahun 756-1031M, seluruh lapisan masyarakat diperkenalkan dengan sistem pembelajaran yang intensif dan komprehensif mencakupi dunia dan akhirat, Buku-buku dan guru-guru dan sarjana-sarjana dari Timur di bawa masuk ke Andalus. Dalam masa yang sama pemerintah turut menaja pelajar ke Timur untuk mempelajari semua disiplin ilmu yang boleh membangunkan masyarakat.

KESTABILAN ANDALUS
Kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Andalus turut menjadi penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Keistimewaan komuniti Andalus yang bersifat ‘multi-racial’ seperti Islam, Yahudi dan Kristian mewujudkan daya saing dan budaya ilmu yang memberansangkan. Ia juga melahirkan ulama dan ahli fikir dari pelbagai bangsa. Dalam masa yang sama, sikap dan corak pentadbiran para khalifah yang tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam memberi dorongan kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Fenomena kepelbagaian bangsa, budaya dan tamadun telah memperkaya dan memantapkan lagi identiti, komuniti dan intelektual. Di samping sikap pemerintah, kerjasama para ulama dan cendikiawan serta penyertaan secara kolektif oleh masyarakat meningkatkan lagi kecemerlangan ilmu ketika itu.

Khalifah turut menggalakkan kaum wanita dalam aktiviti keilmuan. Mereka turut diberi kesempatan untuk belajar dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Selepas itu kaum wanita dilibatkan dalam usaha-usaha mengumpul dan mengemaskinikan buku-buku di perpustakaan. Antara yang terkenal ialah Maznah (968M) yang bertugas sebagai penulis kepada Khalifah Nasirudindullah dan Aisyah bt Ahmad Mohd Khadim (1009M) , seorang yang mahir dan pakar dalam kesusasteraan, seni khat dan turut mempunyai perpustakaan peribadi. Sejarah mencatatkan terdapat kira-kira 100 orang wanita Andalus yang bekerja sebagai penulis mashaf ketika itu.

Selain dari orang Islam, Khalifah turut memberi pengiktirafan kepada cendikiawan-cendikiawan bukan Islam seperti Moses ben Maimon dan Salomon ben Gabirol dari bangsa Yahudi. Kedua mereka terdiri dari ahli falsafah dan banyak mencurahkan tenaga dalam aktiviti penterjemahan. Penghargaan para khalifah dan pembesar Islam ini secara tidak langsung telah mendorong ke arah pendemokrasian ilmu hingga dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat samada golongan bangsawan atau rakyat biasa termasuk bukan Muslim.

KERJASAMA PARA ULAMA
Faktor yang mempercepatkan perkembangan ilmu pengetahuan di Andalus ialah kerjasama dan usaha tanpa mengenal jemu oleh para ulama. Semasa pembukaan Andalus, para cendikiawan dan ulama Islam telah sama-sama datang sebagai tentera. Mereka membawa bersama ilmu dan pengalaman masing-masing kemudian dikembangkan dan dicurahkan kepada penduduk Andalus. Pada peringkat awal. para ulama bertugas menyiarkan aqidah dan menyelesaikan soal-soal asas yang dihadapi seperti ilmu syariat dan bahasa. Kemudian perlahan-lahan mereka turut menyebarkan ilmu pengetahuan dan memberi galakan kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu. Contohnya Ibn Hazm (994-1064M) yang merupakan ilmuan Islam yang agong di Andalus. Beliau juga seorang ahli fikir, sasterawan dan hakim. Beliau mampu menguasai pelbagai bidang ilmu. Malah terdapat ramai lagi para ulama dan cendikiawan Islam yang turut memberi sumbangan besar dalam proses perkembangan ilmu pengetahuan ini seperti Ibn Firnas (888M-mati) dan Yahya al Ghazal (865M-mati) . Kepesatan kegiatan intelektual ini juga disebabkan para ulama dan ilmuan Islam terpaksa menghadapi cabaran ilmiah daripada pemeluk Islam yang baru. Hijah-hujah, falsafah dan ilmu logik mereka yang kukuh terpaksa ditangani dengan hujah-hujah yang lebih mantap.

Dalam menganalisa tentang pengaliran ilmu-ilmu pengetahuan Islam ke dunia Barat, para sejarahwan sepakat bahawa terdapat beberapa faktor pendorong seperti peranan orang-orang mpzarab, perdagangan, hubungan diplomatik, aktiviti penterjemahan, pembukaan pulau Sicily, pembukaan Andalus (Sepanyol) dan Perang Salib.

PERANAN ORANG-ORANG MOZARAB
Mozarab adalah panggilan kepada masyarakat Kristian. Ia diambil dari bahasa Arab “musta’ribun” (orang-orang yang diarabkan) iaitu orang-orang Kristian yang tertarik dan mengamalkan beberapa aspek kebudayaan Arab dan tamadun Islam. Mereka turut mempelajari bahasa Arab disamping bahasa Latin dan Rumawi. Orang-orang mozarab memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan Islam ke Eropah. Dengan mempelajari bahasa Arab mereka berpeluang membaca karya-karya dan hasil-hasil penulisan orang-orang Islam. Mereka juga membelanjakan wang yang banyak untuk mendirikan perpustakaan bagi menempatkan koleksi-koleksi yang berbahasa Arab. Perkembangan ini telah menimbulkan kebimbangan dan bantahan dari Bishop Alwaro. Ini disebabkan mereka terpaksa menterjemahkan bible Ke dalam bahasa Arab supaya boleh dibaca oleh orang-orang Kristian yang nyata lebih suka dan fasih menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan melebihi bahasa mereka sendiri sebagaimana yang dilakukan oleh John Seville pada tahun 1049M. Versi Arab ini kemudiannya dibahagikan kepada bishop-bishop dan paderi-paderi disemua wilayah di Andalus ketika itu. Ini telah menunjukkan telah wujud hubungan yang erat diantara masyarakat Arab Islam dan Kristian terutama penduduk tempatan. Secara tidak langsung mereka turut menyebarkan ilmu-ilmu Islam terutama bidang falsafah, puisi dan kesusasteraan.

HUBUNGAN DIPLOMATIK
Sejarah telah mencatatkan bahawa telah wujud hubungan diplomatik di antara negara-negara Eropah dengan Andalus lantaran sikap mereka yang berhasrat memajukan Eropah setanding dengan Andalus antaranya England, Perancis, Jerman dan Holand. Mereka talah menghantar delegasi yang terdiri dari pelajar-pelajar ke Andalus untuk menuntut ilmu seperti sains, kesenian, pertukangan dan lain-lain. Mereka juga menghantar pembesar-pembesar dan putera-putera mereka untuk melanjutkan pelajaran di Andalus serta mendalami dan mempelajari setiap aspek kemajuan yang dimiliki oleh orang-orang Islam.

Menurut Petter, antara rombongan yang tiba ke Andalus ialah Elizabeth sepupu kepada Louis ke IV dari Perancis dan Putera Dubant dari England sementara German pula menghantar perutusan diketuai oleh menterinya bernama William. Ketika itu Universiti Cordova yang diasaskan oleh Abd Rahman merupakan universiti terbaik pada masa itu. Ia bukan sahaja menampung pelajar-pelajar Muslim tetapi juga pelajar-pelajar Kristian dan Yahudi dari seluruh pelusuk dunia samada Eropah, Afrika dan Asia. Secara tidak langsung ilmu-ilmu Islam telah tersebar dengan begitu cepat dan pesat. Ia bukan sahaja menerangi dunia Islam tetapi turut membawa nafas baru kepada Eropah yang masih dalam kegelapan.

AKTIVITI PENTERJEMAHAN
Antara pusat gerakan penterjemahan ialah Toledo yang berjaya melahirkan cendikiawan-cendikiawan yang terkenal seperti Micheal Scott, Danial Morley dan Ibrahim Daud al Israili. Buku-buku yang sering diterjemahkan meliputi bidang-bidang ilmu hisab, falaq, mantiq, perubatan, kimia dan botani. Penterjemahan berlaku samada dari bahasa Arab ke bahasa Latin atau dari bahasa Latin;Greek, Yunani ke bahasa Arab. Ini jelas memperlihatkan betapa besarnya pengaruh Andalus ke atas dunia Eropah.

Banyak sekolah-sekolah dan universiti diwujudkan di sekitar Andalus seperti di Cordova, Granada, Toledo dan Sevielle. Pelajaran yang diperkenalkan merangkumi bidang undang-undang, perubatan, kimia, falsafah dan astronomi. Buku ‘al Jadual al Faleki’ karangan al Khawarizmi telah diterjemahkan oleh Adelard of Bath. Begitu juga penulisan al Khindi mengenai ‘kaji cuaca’ telah dikaji secara terperinci oleh Roger Bacon sementara buku mengenai kimia karangan Jabir bin Hayyam telah dijadikan asas rujukan yang utama dan pertama di Eropah sehingga abad ke 18M.

Jelaslah Eropah ketika itu amat mengkagumi kemajuan Andalus sehingga dikatakan apa saja yang diperlukan oleh Eropah akan diambil dari Andalus.

PEMBUKAAN PULAU SICILY
Setelah berada di bawah kekuasaan Islam selama 800 tahun, Sicily telah memainkan peranan dalam pemindahan ilmu ke Barat. Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah perjalanan antara Eropah dengan Afrika mendorong ia menjadi puast perkembangan intelektual yang penting ketika itu. Antar faktor yang mempercepatkan proses keilmuan ialah guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah dan masjid-masjid dikecualikan dari perkhidmatan tentera. Ini membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang-bidang pengajaran. Peranan pemerintah juga yang turut mencintai ilmu dan berusaha memperkembangnya. Malah mereka dikatakan aktif dalam bidang penulisan dan menjadi penaung kepada ahli-ahli persuratan Sicily.

Hasilnya ramai tokoh-tokoh ulama dan cendikiawan muncul di Sicily pada abad 10-11M. Antaranya Hamzah al Basri seorang ahli Filologi dan sasterawan. Muhammad bin Khurasan seorang yang mahir dalam bidang Qiraat.

PEMBUKAAN ANDALUS
Andalus ialah negeri pertama di Eropah yang pernah diperintah oleh orang Islam seterusnya mencetuskan pelbagai disiplin ilmu termasuk pertumbuhan sains moden yang amat mengkagumkan. Penaklukan kaum Muslim ke atas Andalus bermula pada 711M dibawah tiga orang pemimpin iaitu Tharif bin Malik yang menjadi perintis diikuti oleh Musa bin Nusayr dan Tariq bin Ziyad. Mereka berjaya menawan keseluruhan bumi Andalus pada tahun 711M. Dari sini bermulalah era pemerintah Islam di Andalus. Kedatangan orang-orang Islam ke sana merupakan satu rahmat bagi penduduk Andalus khususnya dan benua Eropah umumnya.

Islam telah membawa perubahan kepada seluruh aspek kehidupan masyarakat samada dari segi politik, pentadbiran, ekonomi, sosial dan yang paling menonjol ialah dalam aspek ilmu pengetahuan. Islam telah berjaya mengubah wajah Andalus dari sebuah negeri yang mundur dan miskin kepada satu tahap ketamadunan yang tinggi dan dikagumi oleh dunia.

Orang Islam Andalus telah menyedarkan masyarakat Barat dari tidur seterusnya membawa mereka ke zaman kemajuan dan peradaban. Peradaban Islam di Andalus telah di bawa ke negeri-negeri di Eropah oleh penuntut mereka yang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi Islam di Cordova, Seville, Malaga dan Granada atau orang-orang Islam yang tinggal di bawah pemerintahan Kristian yang berada hampir di seluruh Andalus dan Portugal yang di panggil Mudejars (Mudajjerin) atau ia di bawa oleh pihak penjajah Kristian yang pernah hidup bersama-sama orang Islam Andalus.

Kesimpulannya jelas menunjukkan tamadun Barat banyak menerima sumbangan dan pengaruh tamadun Islam meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan samada di dunia dan di akhirat. Terdapat banyak faktor-faktor penyebaran ilmu Islam termasuk melalui perkahwinan. Maka wajarlah Barat berterima kasih kepada budi dan jasa orang-orang Islam kerana mengeluarkan mereka dari alam kejahilan.

No comments: