Konsep ilmu dalam Tamadun Islam

PENDAHULUAN
Persoalan ilmu telah menjadi agenda utama dalam sejarah manusia sejak pemilihan Nabi Adam a.s lagi. Peristiwa pengiftirafan Nabi Adam a.s sebagai khalifah di muka bumi adalah bersandarkan ilmu pengetahuan yang ada padanya. Ini jelas Allah s.w.t meletakkan kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan yang mampu mengatasi kekuatan-kekuatan lain yang ada pada manusia. Kesinambungan budaya ilmu berterusan sampai kepada rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. peristiwa bersejarah penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’ adalah berhubung dengan keilmuan1. Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat ini, menunjukan bahawa Islam mengkehendaki umatnya supaya berilmu dan mementingkan ilmu. Sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Mana-mana umat yang mementingkan ilmu akan bangkit sebagai umat yang ulung di mata dunia. Benarlah segala seruan Allah s.w.t dan rasulnya bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan. Oleh itu, proses menuntut ilmu adalah satu usaha yang berterusan sepanjang hayat seseorang insan. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”

KONSEP ILMU DALAM TAMADUM ISLAM
Islam amat mementingkan ilmu dalam pembangunan ummah. Pada masa ini terdapat beberapa ideologi besar yang dianuti oleh kumpulan-kumpulan manusia yang tertentu. Hampir semua ideologi-ideologi itu lahir dari permikiran manusia semata-mata. Tidak ada siapa yang akan terlindung dari cuba dipengaruhi sama ada secara kabur atau secara terang. Satu-satunya benteng yang dapat mempertahankan seseorang dari pengaruh ideologi ini ialah ilmu pengetahuan. 1
Ilmu dalam pengertian yang mudah ialah sistem penelitian, cara berfikir yang sistematik dan radikal yang mampu merumuskan jawapan yang aktif dan cekap. Perkataan ilmu berasal dari kalimah Arab iaitu “Alima” yang bermaksud “telah mengetahui”. Kata asalnya ialah “al-Ilm” yang membawa erti “pengetahuan”. Masyarakat kita menggabungkan kedua-dua makna ini menjadi “ilmu pengetahuan”.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa menghendaki dunia, wajiblah baginya ilmu dan barang siapa menghendaki akhirat, wajiblah baginya ilmu dan barang siapa menghendaki kedua-duanya, wajiblah baginya ilmu.”

Keterangan ini memberi maksud jelas kepentingan ilmu dalam erti kata yang luas. Ia memberi panduan jelas bagi membolehkan manusia menimbang dengan wajar di antara ilmu yang manfaat atau tidak dalam pembangunan tamadun Islam.


SUMBER-SUMBER ILMU DALAM TAMADUN ISLAM
Dalam Tamadun Islam, espistemologi adalah diasaskan oleh prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadith juga al-Sunnah. Istilah epistemologi merupakan gabungan dua perkataan ‘Greek-Yunani’ iaitu “episme” bermakna “ilmu” dan “logos” bermakna sains, kajian atau teori. Oleh itu, espistemologi ilmu adalah satu perbahasan mengenai makna ilmu, sumber ilmu, bentuk ilmu, termasuk juga aktiviti-aktiviti berfikir yang berpunca dari otak manusia. Dalam tamadun Islam epistemologi adalah bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Contohnya sumber ilmu Islam ialah Allah s.w.t. Rujukannya ialah nas al-Quran yang menyebut “Allah sebagai yang maha mengetahui”. Jadi jelas “Dia” adalah segala sumber ilmu. Dalam menghuraikan bagaimana memperolehi ilmu dan mencapai tahap menyakinkan, ini bermakna kita perlu membincangkan fakulti-fakulti kognitif (mengetahui) yang ada pada manusia serta proses yang membabitkan penggunaan setiap fakulti seperti pancaindera dan deria batin, Walaupun begitu, perlu diingat kebergantungan kepada kemampuan kognitif semata-mata adalah merbahaya. Ia mesti bertindak berdasarkan panduan wahyu Ilahi. Rumusnya sumber-sumber ilmu dalam Islam datangnya dari :

AL-QURAN
Sumber utama ilmu dalam tamadun Islam datangnya dari Al-Quran1. Dari segi bahasa “Al-Quran” berasal dari perkataan al-qiraah yang bererti bacaan, tetapi lafaz Al-Quran bermaksud yang dibaca. Dari segi istilah Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam bahasa Arab dan sampai kepada kita secara mutawir.
Di dalam Al-Quran terkandung ajaran Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, pengetahuan tentang alam ghaib, asas perundangan, muamalah, tauhid akidah dan panduan hidup manusia dialam ini.Al-Quran menunjukkan bagaimana hubungan antara makluk dan Tuhan sepatutnya dikendalikan dan bagaimana manusia harus berinteraksi sesama manusia dengan makluk yang lain. Al-Quran merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w yang kemukjizatnya berkekelan sepanjang zaman. Ia merupakan daya penggerak kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu urusan dan menjadi sumber dan pencetus kebanyakan bidang ilmu yang lain. Oleh itu, adalah wajar dikatakan Al-Quran sebagai sumber inspirasi dalam membina tamadun Islam kerana pendorong dan penggerak utama umat Islam ialah Al-Quran.
Pelopor-pelopor Ilmu Ulum Al-Quran ialah :
i) Khalifah Al-Rasyidin yang empat, Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud, Zaid bin Tabit,Udai bin Kaab, Abu Musa al-Asy’ari dan Abdullah bin Zubir
ii) Di kalangan tabiin ialah Mujahid, Ata’ bin Yasar, Ikrimah, Qatadah, Hassan Basri, Said bin Jubir, Zaid bin Aslam dan Malik bin Anas.
iii) Kemudian muncul Ibnu Jarir al-Tabari, dengan Tafsir al-Tabari yang merupakan suatu tafsir yang lengkap.
Walaupun Al-Quran menyentuh berbagai-bagai tajuk, namun tiga topik yang terpenting yang menjadi tema utama di dalam al-Quran ialah tauhid, pedoman hidup yang dibawa oleh Rasul-rasul dan pembalasan di dalam akhirat. Al-Quran menegaskan bahawa segala amalan di dunia ini tiada ertinya jika tidak mengikut petunjuk dan jalan yang benar. Dengan berteraskan tauhid dan kepercayaan adanya pembalasan yang setimpal pada hari akhirat, al-Quran meletakkan asas-asas kepada sistem akhlak, sosial, politik, ekonomi yang menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup1.
Firman Allah yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama tuhanmu yang mencipta (sekalian makluk). Dia mencipta manusia daripada (darah) yang menempel; Bacalah, dan Tuhanmu adalah Maha Pemurah,Yang mengajar manusia melalui pena, Ia mengajar menusia apa yang tidak mereka ketahui.”
Ayat ini adalah lima ayat lima al-Quaran pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad. Pertama-tama sekali ditekankan bahawa Tuhan adalah pencipta dan yang lain adalah makluk. Juga dinyatakan bahawa Tuhan adalah maha pemurah, penyayang dan tidak memusuhi makluknya. Kemudian al-Quran menekankan bahawa Tuhan mahu umatnya memberi perhatian tentang kepentingan pena dalam penyebaran ilmu. Akhir sekali segala ilmu datangnya dari Allah s.w.t .Manusia boleh berusaha untuk mendapatkan ilmu melalui penyelidikan, pemikiran dan sebagainya tetapi pada hakikatnya ilmu yang sebenar datingnya dari Allah s.w.t.
AL-SUNNAH DAN AL- HADITH
Al-Sunnah dan Al-Hadis merupakan sumber ilmu yang ke 2 selepas Al-Quran dalam tamadun Islam1. Dari segi bahasa AI-Sunnah ialah jalan. Manakala dari segi istilah ialah jalan atau cara hidup Nabi Muhammad s.a.w yang berkaitan dengan perbuatan (Fi’il), pengakuan (Taqrir), perkataan (Qaul) serta sirah hidupnya samada sebelum atau selepas menjadi rasul.
Maksud Al-Hadis pula dari segi bahasa ialah ‘Hadatha’ yang bererti percakapan, bahasa dan perkhabaran. Dari segi istilah ialah suatu yang diriwayatkan daripada Rasullulah s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, kelakuan dan pengakuan baginda. Para ulama telah membuat kesimpulan bahawa Al-Sunnah dan Al-Hadith merupakan sutu perkara yang sama. Sebagai sumber ilmu dan perlembangan dalam tamadun Islam, Al-Sunnah dan Al-Hadith melengkapi Al-Quran dengan 3 cara iaitu :
i) ia menegaskan apa yang terdapat hukumnya dalam Al-Quran
ii) ia menjelaskan apa yang tidak diperincikan di dalam Al-Quran, dan
iii) ia menetapkan sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam Al-Quran tetapi hukum ini bertepatan dengan prinsip umum dalam Al-Quran.
Kebanyakan hadis yang dikumpulkan oleh ulamak hadis adalah berbentuk Ahad. (Khalaf,1998:42). Dari segi penerimaannya pula, hadis dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Sahih, Hassan dan Dhaif mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulamak hadis. (Al-Khatib, 1987:127). Diantara ulamak-ulamak hadis yang masyhur di kalangan mereka mengikut tempat (Ahmad Shalaby,1968:107) ialah Ibn Juraih (Makkah), Imam Malik (Madinah), Sufian At-Thauri (Kufah), Hammad b. Salamah (Basrah), Laits b. Saad (Mesir), Muammar b. Rashid (Yaman) dan Ibnu Mubarak (Khurasan).
Ulamak hadis telah mengkaji hadis dari segi matan iaitu teks hadis dan riwayatnya bagi memastikan kesahihannya. Mereka membukukan hadis sama ada mengiket susunan nama sahabat yang menjadi perawi (Kitab Musnad) ataupun mengikut tajuk masalah fiqah (Kitab Sunan).Kitab hadis yang paling sahih ialah Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim yang ditulis dalam bentuk Sunan. Empat lagi sunan yang terkenal ialah Sunan At Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Sunan Abu Daud dan Sunan An- Nasai. Keenam-enam kitab ini digelar Kutub As-Sittah.

IJTIHAD
Ijtihad ialah kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh para ulama (mujtahid) bagi menentukan kedudukan sesuatu perkara dari segi syara’. Di dalam tamadun manusia, banyak perkembangan baru yang berlaku dari masa ke semasa. Sebahagian deripada pembaharuan ini tidak jelas dari segi hukumnya, kerana tidak dijelaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dengan yang demikian para ulama dibenarkan menggunakan akal mereka dengan bersungguh-sungguh berdasarkan ilmu yang ada pada mereka untuk mengeluarkan hukum. Inilah yang dikatakan ijtihad.
Dalam sejarah hukum Islam, Ijtihad bermula sejak di zaman Rasulullah s.a.w lagi. Dapat dirumuskan bahawa ijtihad merupakan sumber ilmu dalam ajaran Islam selepas al-Quran dan al-Hadith. Ia merupakan sesuatu usaha yang gigih oleh para ulama (mujtahid) untuk menyelidik dan menentukan hukum berdasarkan kemampuan serta kemahiran dari segi ilmu pengetahuan dan kecerdasan akal fikiran mereka.Walaupun para mujtahid diberi kebebasan untuk mengeluarkan hasil ijtihad mereka, al-Quran tetap menjadi panduan asas dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang tidak ada nas (dalil) atau tidak jelas hukumnya dalam al-Quran dan al-Sunnah/al-Hadis. Ijtihad memungkinkan Din Islam terus ‘hidup’ sesuai untuk semua bangsa, tempat dan masa. Tanpa ijtihad tamadun Islam akan beku dan lapuk, yang memungkinkan ia ditinggalkan sama sekali. Oleh itu, kepentingan ijtihad sebagai sumber ajaran Islam zaman kini sangat diperlukan dengan satu pendekatan baru kepada prinsip yang sama dalam menyelesaikan permasalahan semasa.
Kebenaran dan Permulaan Ijtihad
Rasulullah telah mengutuskan sahabatnya yang bernama Muaz Bin Jabal ke negeri Yaman sebagai pendakwah, juga sebagai kadi. Sebelum pemergiannya, Rasulullah telah menemuduganya dengan sabdanya :
"Wahai Muaz, bagaimanakah engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?" Jawab Muaz ,"Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati di dalam kitab Al-Quran." Tanya Rasulullah lagi; "Jika tidak ada hukuman dalam Al-Quran?" Kata Muaz; "Aku akan hukum dengan sunnah Rasulullah(Al-Hadith). "Rasulullah bersabda lagi : "Jika sekiranya tidak ada dalam hadith?",


Jawabnya; "Aku akan berijtihad." Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah ( Muaz ) denagn perkara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya."
(Riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi)
Pengakuan Rasulullah mengenai ijtihad.
Mengenai penerimaan tuhan dengan hasil ijtihad, jelas dalam sabdanya yang bermaksud :
"Barangsiapa berijtihad dan betul ijtihad maka ia memperolehi dua pahala. Dan barangsiapa berijtihad dan salah ijtihadnya, maka ia dapat satu pahalanya sahaja".
Perlunya Kepada Ijtihad
Manakala kehidupan manusia semakin hari semakin luas dan bercabang-cabang, dan manusia sendiri bertambah-tambah ramai dari semasa ke semasa, maka bidang ilmu fiqh dengan sendirinya menjadi luas, kehidupan orang-orang Islam semakin maju. Ajaran-ajaran Islam telah tersebar luas ke seluruh dunia. Maka banyaklah peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang berlaku, sedangkan nas-nas hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith nabi ada masa dan batas-batasnya. Tetapi peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian tetap berkembang dengan luasnya tanpa berhenti-henti. Justeru itu maka tidak dapat tidak, perlu adanya perbincangan hukum dan ijtihad.
AL-IJMA’ DAN AL-QIYAS
Al-Quran dan Al-Hadith adalah sumber asasi bagi ilmu fiqh Islam, yang mana pada permulaannya ialah di zaman Rasulullah S.A.W., sumber-sumber ini bertambah mengikut peredaran masa dan bidang luas ilmu fiqh.1
Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadith ialah pendapat Rasulullah S.A.W. yang sama dinamakan ijma’. Maksud dengan ijma’ ialah persetujuan atau permuafakatan ulama’ di atas satu perkara atau hukum yang tidak ada nas dari Al-Quran dan Al-Hadith pada satu-satu masa.
Di sana terdapat juga "Al-Qiyas" kerana bahawasanya hukum syara’ pada gholibnya mempunyai beberapa ‘ilah atau sebab-sebab yang boleh diketahui, apabila terdapat hukum yang dinaskan, maka bolehlah dipindahkan hukum itu kepada perkara yang tidak ada nas jika terdapat sama ‘ilahnya. Seperti wajib zakat pada padi adalah diqiyaskan daripada gandum, kerana terdapat sama pada ‘ilatnya, iaitu mengeyangkan dan tahan disimpan.
Maka dapat dibuat kesimpulan, bahawasanya Al-Quran, Al-Hadith, Al-Ijma’ dan Al-Qiyas merupakan sumber-sumber hukum yang terus hidup subur dan menjadi perbendaharaan yang besar yang membuka luas pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah perbendaharaan, kekuatan dalam hukum-hukum Islam.

AKAL DAN PANCAINDERA
Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dari kalangan makluknya. Selain kesempurnaan fizikal, manusia juga dikurniakan akal. Dengan akal dan pancaindera, manusia boleh berfikir, merancang, mengkaji dan membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Islam jelas mengiftiraf akal manusia berdasarkan kebenaran mengambil hukum syarak melalui kaedah Ijtihad, Ijmak dan Qiyas.
Walau bagaimanapun akal dan pancaindera semata-mata tidak mampu untuk menemui kebenaran yang mutlak. Oleh kerana akal merupakan ciptaan Allah s.w.t kepada manusia, maka sebagai makhluk ia bersifat terbatas. Mustahil bagi akal merumuskan jawapan tentang persoalan-persoalan metafizik tanpa panduan pencipta (Allah s.w.t). jadi fungsi akal tidak boleh berdiri sendiri secara mutlak tanpa berpandukan wahyu. Orang-orang yang tidak tahu menggunakan akal dan pancaindera mereka untuk mencari ilmu kebenaran disifatkan aleh Allah s.w.t sebagai orang yang bodoh dan dungu. Justeru itu mereka tidak mendapat ilmu.

FENOMENA TABI’IE
Kita telah mengetahui bahawa Allah s.w.t menciptakan alam ini sebagai anugerah kepada umat manusia. Alam ini menjadi sumber ilmu yang penting untuk manusia. Disinilah peranan akal manusia perlu dimainkan dengan semaksimum yang mungkin berserta bimbingan dari al-Quran dan al-Sunnah. Khazanah alam yang kaya raya ini telah melahirkan banyak ilham kepada manusia untuk menerokai pelbagai bidang ilmu dari masa ke semasa. Contohnya ialah tentang biologi, kimia, fizik, astronomi dan sebagainya.

ILHAM /INTUISI /MIMPI
Ilham dan intuisi merupakan satu daripada sumber-sumber ilmu bagi manusia. Ia berlaku kepada sesiapa yang dikehendaki aleh Allah s.w.t dari kalangan umatnya yang bertaqwa. Sumber ini berkait rapat dengan deria batin seseorang. Ilham ialah idea yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada seseorang untuk melakukan sesuatu. Instuisi ialah kelebihan yang diberikan kepada seseorang untuk mengetahui sesuatu dengan cepat secara semulajadi. Ia tidak memerlukan aktiviti berfikit terlebih dahulu. Ia diberikan Allah s.w.t kepada mereka yang bertaqwa dan taqarrub denganNya. Mimpi juga merupakan sumber ilmu dalam Islam. Islam mengakui mimpi merupakan sumber ilmu para rasul seperti mimpi Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Yusof a.s. walaupun begitu sumber ilmu ini merupakan sumber khusus kepada golongan-golongan yang tertentu sahaja dari kalangan hamba-hamba yang beriman.



KESIMPULAN
Sebernarnya ilmu merupakan unsur yang mesti diletakkan sebagai unsur pertama dan utama dalam proses pembinaan tamadun Islam. Tetapi apabila al-Quran dan as-Sunnah dijadikan sumber dan akidah, syarak dan akhlak sebagai asas pembinaan tamadun Islam. Ini bererti ilmu yang berasaskan wahyu merupakan sumber dan asas utama dalam tamadun Islam. Oleh itu kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama dalam tamadun Islam tidak boleh dipertikaikan lagi. Kedua-dua sumber ini berfungsi sebagai pembimbing yang akan memberi panduan kepada manusia untuk memperkembangkan lagi ilmu mereka.


BIBLIOGRAFI
1. Prof.Dr Ahmad Shalaby, Sejarah Perundangan Islam, Pustaka Nasional Singapore, 1971.
2. Baharuddin Yatim, Sulaiman Nordin, Islam, Al-Quran dan Idelogi Masa Kini, UKM, 1990.
3. Ustaz Syed Hasan Alatas, Al-Quran Sumber Ilmu Pengetahuan, INTERNET.
4. Y. Bhg. Dato’ Haji Ishak bin Haji Baharom, Perkembangan Mazhab Dalam Islam,


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com