Ilmu-Ilmu Fardhu Kifayah

ILMU-ILMU FARDU KIFAYAH

DEFINISI :

Ilmu menurut Kamus Dewan bermaksud pengetahuan, kepandaian ( dalam perkara dunia, akhirat, zahir batin dll ) dan

kajian berkenaan sesuatu perkara.(1) Fardu pula bermaksud kewajipan yang dituntut (ditentukan ) oleh agama.(2) Kifayah

bermaksud fardu. Oleh itu ilmu fardu kifayah bermaksud ilmu pengetahuan yang wajib dituntut dalam Islam. Ilmu fardu kifayah

ialah semua disiplin ilmu yang diperlukan untuk menyempurnakan keperluan hidup manusia sama ada yang berbentuk

keagamaan atau keduniaan.(3) Contohnya ialah semua ilmu yang berkembang dari semasa ke semasa sesuai dengan keperluan

manusia kepadanya. Misalnya ialah dalam bidang perubatan, sains dan teknologi, astronomi, kejuruteraan ,botani, pentadbiran

dan lain-lain. Ilmu-ilmu fardu kifayah merupakan ilmu yang lebih bersandarkan akal. Oleh itu, ia di tempat kedua dari segi

hirarkinya. Ilmu ini sebagai penyempurna dan pelengkap kepada umat Islam dalam menangani persoalan-persoalan kepentingan

masyarakat semasa. Ia dapat difahami dengan mudah oleh setiap akal yang sempurna. Oleh sebab itulah Rasulullah SAW

apabila ditanya oleh seorang sahabat tentang mencantumkan baka pokok tamar untuk menghasilkan buah yang bermutu, maka

Rasulullah SAW menjawab, “Kamu lebih mengetahui tentang urusan keduniaan kamu.”

SUMBER-SUMBER :

Di antara sumber-sumber ilmu fardu kifayah ialah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar. Selain itu akal, pancaindera,

pengkajian, eksperimentasi dan sebagainya dijadikan sumber kepada ilmu ini.(4)

KEWAJIPAN MEMPELAJARI:

Di antara kewajipan mempelajar ilmu fardu kifayah ini ialah wajib ke atas anggota masyarakat secara kolektif. Selain itu,

penglibatan sebahagian dari anggota masyarakat dalam sesuatu bidang ilmu fardu kifayah adalah mewakili keseluruhan anggota

yang lain dalam aspek tersebut. Sekiranya semua anggota masyarakat melepaskan dan mengabaikan tanggungjawab ini,

kesemuanya dianggap menanggung dosa.(5)

KEPENTINGAN ILMU FARDU KIFAYAH:

Kepentingan ilmu ini kepada manusia ialah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada manusia dalam

melaksanakan kewajipan terhadap Allah SWT. Selain itu ia akan memantapkan lagi perkembangan ilmu fardu ain. Ia juga

mempelbagaikan kemudahan dan keselesaan hidup masyarakat sesuai dengan perkembangan zaman. Kepentingan lain ialah

sebagai alat untuk kesempurnaan tamadun manusin serta mengangkat martabat umat Islam. Firman Allah ;

“ Dan siapkan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk

berperang ( yang dengan persiapan itu ) akan menggentarkan musuh Allah dan musuhmu.”
( Surah al-Anfal 8:60 )

Ilmu fardu kifayah ini secara ringkas dapat dibahagikan kepada tiga bahagian besar :

Ø Ilmu indera (knowledge ) iaitu ilmu yang dapat diperolehi melalui pengamatan, penelitian dan pengalaman seperti ilmu sejarah, ilmu ekonomi , ilmu politik dan lain-lain lagi yang tersimpul di dalam kategori ilmu sains kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Ø Ilmu sains (science) iaitu ilmu yang diperolehi melalui penelitian, penghimpunan fakta, penganalisaan fakta, pengujian di makmal, perumusan daripada keputusan yang dihasilkan da percubaan (eksperimen ). Ia mempunyai ruang lingkup yang luas seperti biologi, kimia, matematik, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain lagi.

Ø Ilmu falsafah iaitu yang berasaskan kepada panduan ilmu dan pengalaman yang berusaha menangkap kebenaran yang berada di luar pengalaman. Keputusan itu pula belum muktamad tentang kebenaran atau kesalahannya dan tidak pula dapat diuji. (6)

Di antara ilmu-ilmu fardu kifayah ini ialah :

Ilmu sains dan teknologi.

Manusia boleh mengetahui rahsia kebesaran Allah SWT melalui dua cara iaitu melalui al-Quran yang merupakan bukti-

Bukti yang tersurat melalui kosmos dan alam tabii yang merupakan bukti-bukti yang tersirat. Al-Quran memaparkan ilmu

mengenai nilai-nilai asa serta perkara-perkara ghaib seperti alam akhirat dan lain-lain yang perlu diketahui oleh manusia. Di

samping itu, di dalam Al-Quran juga terdapat banyak ayat-ayat yang membicarakan tentang ilmu sains tabii dan sains social.

Terdapat lebih 900 ayat yang menerangkan tentang sains sumber air dan kejuruteraan dan lebih 1400 ayat mengenai

ekonomi.(7) Di dalam Al-Quran trdapat banyak sekali ayat-ayat yang menggesa manusia supaya mengkaji dan meneliti tentang

fenomena alam agar mereka mencapai ilmu pengetahuan dan berupaya membina tamadun di dunia ini (8) malah ia juga

menggalakkan manusia mengembara untuk mencari penemuan-penemuan baru.(9)

Astronomi.

Sumbangan sarjana Islam dalam bidang ilmu astronomi bermula apabila Muhammad Ibn Ibrahim al-Fazari

menterjemahkan sebuah buku astronomi dari India yang bertajuk “Siddharta” ke bahasa arab pada tahun 155H/771M.

Seterusnya beliau menterjemahkan pula “Jadual Pahlavi” yang diberi nama “Zij”. Diikuti pula seterusnya dengan penterjemahan

karya-karya astronomi berbahasa Yunani. Buku Yunani yang pertama diterjemahkan ke bahasa Arab ialah “Almagest”

karangan Ptolemy. Dua buah buku Ptolemy yang lain turut diterjemahkan oleh al-Hajaj Ibn Mathar pada tahun 212H/887M

dan oleh Hunain bin Ishaq yang kemudiannya disemak semula oleh Thabit Ibn Qurrah 329H/901M.(10) Abu Abdulah

Muhammad Ibn Jahir al-Battani ( Al-bategnius ) berasal dari Harran adalah salah seorang ahli kaji bintang. Beliau telah

membuat penyelidikan seperti melakukan pencerapan astronomi di Raqqah. Hasil pencerapan itu beliau telah berjaya membuat

pembetulan beberapa pendapat Ptolemy, termasuk membuat hitungan yang betul terhadap orbit bulan dan planet-planet

tertentu. Beliau membuktikan tentang kemungkinan gerhana matahari dan mengemukakan teori tentang penentuan dapat melihat

bulan baru.(11) Di antara kepentingan mempelajari ilmu ini ialah menambahkan kefahaman di dalam ilmu peredaran malam dan

siang seperti perlu mengetahui kedatangan waktu subuh, waktu terbit matahari dan sebagainya.

Geografi.

Mempelajari ilmu geografi merupakan suatu perkara yang amat penting bagi umat Islam. Ini kerana melalui ilmu inilah akan

dapat diketahui di mana letaknya Mekah yang menjadi kiblat umat Islam dan juga tempat mereka menunaikan fardu haji.

Justeru itu kita perhatikan umat Islam sejak dari zaman awal lagi telah memberikan perhatian terhadap ilmu itu. Hasil daripada

kesungguhan mereka mempelajari ilmu ini, maka sejak abad ke-1H/7M lagi umat Islam berjaya sampai ke negeri China, baik

melalui jalan darat mahupun jalan laut. Mereka telah berjaya sampai ke hujung paling selatan benua Afrika dan di bahagian

utara pula telah sampai ke Russia.(12) Sarjana-sarjana geografi Islam Zaman Pertengahan telah pun mempunyai maklumat yang

agak jelas tentang asal-usul fosil sebagai peninggalan binatang-binatang laut yang telah menjadi batu. Dalam artikel-artikel yang

dihasilkan oleh anggota Ikhwan al-Shafa mengenai mineralogy, mereka menjelaskan tentang teori siklus kosmik yang

menyebabkan terhasilnya perubahan-perubahan pada muka bumi. Kawasan Steppe boleh berubah menjadi laut atau

sebaliknya. Demikian juga kawasan pertanian boleh bertukar menjadi gurun pasir dan sebaliknya. Mereka menjelaskan tentang

kepentingan malapetaka seperti gempa bumi dalam mengubah bentuk permukaan bumi.(13)

Matematik.

Perkembangan ilmu matematik di dalam dunia Islam berkait rapat dengan perkembangan ilmu astronomi. Justeru itu sudah

menjadi kebiasaan seorang ahli astronomi Islam beliau juga seorang ahli matematik. Sarjana-sarjana Islam telah memberikan

sumbangan yang amat besar dan bermakna di dalam bidang perkembangan ilmu matematik. Mereka banyak mencipta

perkara-perkara baru yang menjadikan ilmu matematik lebih mudah dipelajari. Salah satu sumbangan paling besar sarjana

Islam di dalam bidang ini ialah memperkenalkan system angka baru, termasuklah angka sifar ( kosong ) yang belum ada pada

zaman sebelumnya. Di antara kepentingan mempelajari ilmu ini ialah dalam pembayaran zakat yang diwajibkan yang

memerlukan mereka mengetahui ilmu matematik dan begitu juga soal pembahagian harta pusaka dan lain-lain. Di antara tokoh

terkenal matematik ialah Al-Khawarizmi. Baliau telah membuktikan persoalan yang telah dikemukakan oleh Neo-Babylonian

dalam bentuk dugaan. Beliau yang telah memperkenalkan angka Arab ke dunia barat. Justeru itu orang-orang Barat menyebut

angka arab sebagai “algorismus” yang diambil dari nama Al-Khawarizmi. Begitu juga dengan nama daftar logaritma.(14)

Perubatan.

Tamadun Islam juga telah memberikan sumbangan yang besar di dalam bidang perubatan sama ada di dunia Timur

mahupun di Barat. Pada zaman kemuncak perkembangan ilmu pengetahuannya tamadun Islam telah berjaya melahirkan tokoh-

tokoh ilmu perubatan yang ramai. Di sebelah Timur, cabang ilmu pengetahuan yang pertama sekali dikaji ialah ilmu kedoktoran

dan perubatan. Ada tiga factor utama yang mendorong para sarjana menumpukan minat mereka untuk mengkaji bidang ilmu

perubatan dan kedoktoran:
Ø Tersebarnya wabak penyakit terutamanya penyakit mata di kalangan masyarakat. Ini berpunca daripada iklim panas dan debu gurun yang beterbangan.
Ø Sikap prihatin para pemerintah terhadap kesihatan rakyat di mana mereka mengambil berat atas kesihatan rakyat.
Ø Profesion kedoktoran mendapat penghormatan dan bayaran yang tinggi.

Dengan faktor-faktor tersebut, maka ramailah lahir doktor-doktor yang berkaliber di seluruh dunia Islam. Antaranya ialah

Yuhanna Ibn Musawah (237H/851M) yang membuat kajian mengenai anatomi tubuh manusia. Selain itu, Ali Ibn Sahl Rabban

al-Tabari yang berasal dari Tabaristan telah berkhidmat sebagai doctor peribadi Khalifah al-Mutawakkil. Pada tahun

236H/850M, beliau telah menghasilkan buku yang bertajuk “Firdaus al-Hikmah” yang merupakan sebuah copendium ilmu

kedoktoran. Buku ini merupakan naskah tertua tentang ilmu perubatan yang ditulis dalam bahasa arab. Ia juga turut

membicarakan serba sedikit tentang ilmu falsafah dan astronomi. Ibn Sina juga merupakan seorang yang pakar dalam bidang

kedoktoran, ilmu falsafah dan syair. Beliau telah menulis kitab ilmu kedoktoran iaitu “al-qanun Fi al-Tibb”. Kitab itu merupakan

sebuah karya perubatan yang amat berpengaruh.(15)

Kimia

Al-Quran berulang kali menggesa umat islam agar memikirkan tentang penciptaan alam ini dan mengkaji bagaimana langit

dan bumi diciptakan untuk kepentingan manusia. Ini jelas membuktikan bahawa tidak wujud pertentangan di antara iman dan

akal di dalam Islam. Maka itulah kita dapati sejak dari awal lagi uamt Islam telah membuat kajian yang serius tentang ilmu fizik

dan kimia.(16)Kimia Islam mencapai kemuncaknya dengan cepat dalam abad ke 8M dengan kemunculan Jabir Ibn Hayyan

(776M). Jabir yang dikenali di barat sebagai Geber telah menghasilkan banyak penulisan yang kemudiannya ditambah lagi oleh

pengikut-pengikutnya yang menulis mengikut doktrin Jabir. Himpunan hasil penulisan ini dikenali sebagai “Korpus Jabir”. Di

antaranya termasuklah “Kitab al-Sab’in” dan “Kitab al-Mizan” yang merupakan asas kepada kimia Katin yang mula

berkembang pada abad ke 15M.(16)Selain itu, al-Razi juga merupakan seorang ahli kimia. Beliau telah menolak proses

kerohanian (ta’wil) dari zahir kepada batin dan ini sudah tentu merupakan penyisihan dari kimia tradisi. Sumbangan yang

terpenting al-Razi kepada kimia moden termasuklah pengelasan benda-benda kepada logam, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Beliau juga memberikan penerangan yang lebih teliti berbanding dengan Jabir tentang proses penyulingan, pengkalsinan,

penurasan dan sebagainya.(17)

Zoologi

Pemahaman asas mengenai habitat, kelakuan dan pengelasan haiwan dan tumbuh-tumbuhan telah dikaji dan dicatatkan

oleh orang Islam sejak dari zaman Bani Umaiyyah lagi. Mereka amat berminat di dalam perkara pembiakan kuda dan unta dan

ini telah memberikan dorongan kepada mereka memulakan kajian dalam bidang zoology dan biologi biak-baka. Sejumlah

monograf khusus menjelaskan tentang jenis-jenis kuda, nama bahagian-bahagian tubuhnya, warna dan jenis kuda yang baik,

telah dihasilkan oleh pakar-pakar zoology Islam.(18)Di antara karya terawal di dalam bidang ini ialah “Kitab al-Ibil”, “Kitab al-

Khail”, “Kitab al-Wuhusy” dan “Kitab al-Sya” yang telah dihasilkan oleh al-Asma’I yang berasal dari Basrah (739-738 M).

Abu Uthman Amr Ibn Bahr al-Jahiz (254 H / 868 M)yang berasal dari Basrah telah menghasilkan buku bertajuk “Kitab al-

Hayawan”. Buku ini menyentuh tentang psikologi haiwan, persaingan di antara haiwan-haiwan untuk kehidupan dan adaptasi

mereka kepada alam sekitar.(19)

Kejuruteraan

Kajian-kajian mutakhir menunjukkan banyak sunbangan sarjana dan jurutera Islam tersebar ke benua Eropah khususnya

melalui Andalus (Sepanyol) dan Itali. Sarjana-sarjana Islam dahulu menganggap kejuruteraan sebagai salah satu daripada sains

matematik. Sains matematik pula dibahagikan kepada sains bentuk, sains nombor, sains muzik dan sains kejuruteraan. Sains

kejuruteraan pula dibahagikan kepada 12 bidang kecil iaitu bangunan, ukur, pelayaran dan pengapungan, optik,cermin

membakar, mesin perang, pusat gravity, mengangkat beban berat, imbangan dan pengimbangan, jam pengangkutan air dan

mesin rohani. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan sarjana-sarjana Islam memberi sumbangan besar di dalam tiap-tiap

bidang kecil tersebut. (20) Kemahiran dan kefahaman sarjana Islam dalam segala bidang kejuruteraan pada zaman itu, apabila

dicampur dengan seni-seni halus,telah dapat menghasilkan rekaan-rekaan yang amat menarik. Pada awal abad ke-8M,

jurutera-jurutera Islam telah mempelajari teknologi membuat keatas dan sebelum akhir abad ke-8M beberapa buah kilang keatas telah didirikan di Samarqand dan Baghdad.(21)


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com