Faktor Kedatangan Islam Ke Nusantara

Faktor-Fakktor Kedatangan Islam Ke Nusantara

Ada beberapa faktor tentang penyebaran agama islam di nusantara. Antaranya ialah faktor kesederhanaan, kesucian dan keluhuran agama islam itu sendiri. Bersama dengankedatangan islam itu pula wujudnya keamanan, ilmu pengetahuan, kepandaian,menulis dan membaca, keadilan sosial dan kemajuan, sebagai gambaran daripada keluhuran dan kesucian agama tersebut. Salah satu daripada ajaran islam itu ialah wajib percaya kepada adanya syurga dan pahala dan kita juga akan merima azabnya jika berbuat kejahatan.
Faktor ekonomi dan sosial juga menjadi pendorong yang besar ke arah kepesatan berkembangnya agama islam di nusantara. Kemewahan yang dimiliki oleh saudagar-saudagar islam juga telah menarik hati penduduk tempatan termasuk pihak pemerintah sendiri. Mereka mengahwinkan puteri-puteri bangsawan dan puteri-puteri orang besar untuk mengekalkan saudagar-saudagar tersebut di tempat itu untuk mendapat faedah ekonomi. Huru-hara akibat peperangan juga merupakan faktorpenting tersebarnya agama islam.
Disamping itu, kelemahan pengaruh hindu dan buddha telah mendorongkan kepada penukaran dari agama tersebut kepada agama islam. Lagipun aliran fikiran yang menjadi panduan hidup orang hindu banyak yang bertentangandengan tradisi penduduk tempatan Disebaliknya pula islam telah menarik fikiran mereka menyebabkan mereka berasa senang hati memeluk islam.

Tempat tumpuan islam yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kuala Brang. lebih kurang dua puluh lima batu ke hulu sungai Terengganu. Buktinya masih dapat dilihat sekarang ini di Muzium Negara Kuala Lumpur iaitu Batu Terengganu. Walaubagaimanapun islam tidak tersebar dari Terengganu ke seluruh Tanah Melayu kerana beberapa faktor.

MELAKA
Telah diketahui dan dipercayai umum bahawa disekitar tahun 1400 M, Melaka sudah menjadi sebuah negar pelabuhan dan perdagangan terpenting di Tanah Melayu. Menurut catatan sejarah Cina ada menyatakan bahawa seorang general Dinasti Ming yang bernama Cheng Ho yang beragama islam telah datang ke Melaka pada tahun 1403 M. Catatan itu ada menyatakan bahawa rakyat negeri Melaka yang waktu itu telah ramai beragama islam. Ini menunjukkan bahawa agama islam telah pun bertapak disana sejak dari tarikh tersebut.
Raja Melaka yang pertama memeluk agama islam ialah Megat Iskandar Syah. Pengaruh Arab-Parsi ternyata besar, lalu dia berkahwin dengan puteri Raja Pasai. Pada masa pemerintahannya agama islam telah berkembang di Johor, Pahang, Jambi, Siak, Rokan, Indagiri, Kampar, Bengkalis, Bentan dan Kepulauan Riau.
Setelah Sultan Mansur Syah mangkat pada tahun 1477 M, putera baginda bergelar Alauddin Riayat Syah menaiki takhta. Beliau telah menguatkan undang-undang islam dalam pemerintahannya sebelum kemangkatan beliau.

JOHOR
Johor sentiasa berhubung rapat dengan kesultanan Melaka malah sebahagian dari negeri Johor adalah dianggap sebahagian dari negeri Melaka asli. Dapat dikatakan bahawa kepala-kepala daerah di Johor dan juga penduduk yang begitu jauh terasing di pedalaman negeri itu telah memeluk islam sebagai hasil secara langsung dari penerimaan agama islam di Melaka. Berlakunya demikian kerana adanya jalinan yang erat antara kedua-dua negeri yang berkenaan Batu bersurat islam Islam yang mula-mula sekali dijumpai di daerah ini ialah kubur Sultan Alauddin Syah yang telah meninggal dalam tahun 1488 M, di Ulu Pagoh dan kubur saudaranya Sulaiman bin Sultan Mansur di Sayong.



NEGERI SEMBILAN
Sungai Ujong menjadi milik Tun Peark, Bendahara Sultan Muhammed Melaka(1423-46 M). Jadi daerah ini pun sebagaimana yang telah berlaku di Johor telah memeluk agama islam pada permulaan abad ke lima belas.



KELANTAN
Dalam sejarah negeri Kelantan ada tersebut bahawa disekitar tahun 1550M. , seorang Syekh dari Pantai telah datang membawa agama islam di negeri ini. Wang dinar perbelanjaan negeri Kelantan yang bertulis angka Arab577 yang mungkin bermaksud tahun 577 Hijrah telah dijumpai disana.

KEDAH
Sejarah negeri Kedah ada menyatakan bahawa agama islam masuk ke negeri itu pada tahun 1501 M dibawa oleh seprang pengembang agama bernama Syaekh Abdullah. Kaedah pada masa itu yang bernama Pra Ong Maha Wangsa atau nama islamnya Sultan Muzaffar Syah. Kemudian seisi istana dan orang besar sekelilingnya turut menganut islam. Berhala-berhala yang disembah sejak datuk-nenek mereka dibakar dan dibinasakan.

SELANGOR
Tun Perak yang memiliki Sungai Ujung juga memiliki Kelang sebagai tanah jajahannya. Ini menunjukkan bahawa Kelang telah menjadi kota islam semenjak pertengahan pertama abad kelima belas. Sebelum kedatangan Bugis dalam abad ke lapan belas, di Selangor sangat terbatas kepada daerah Kelang semata-mata.




PAHANG
Dinegeri Pahanglah banyak sekali batu nesan raja yang terjaga baiksehingga dapat dihubungkan sejarah satu-persatu dengan tepat. Batu nesan tersebut dapat dilihat dilanggar dan inilah batu bersurat islam yang mula-mula dijumpai di Pahang.

PERAK
Raja Melaka yang akhir iaitu Sultan Mahmud(1488-1511 M) pernah memberi bantuan kepada Beruas memerangi musuhnya. Perhubungan mereka bertambah erat apabila saudara perempuan Raja Beruas telah kahwin salah seorang kerabat diraja Melaka. Ini menunjukkan islam tersebar di Beruas.










JAWA
Jawa diislamkan dari Melaka. Pemergian mubaligh islam dari Acheh hanya merupakan kegiatan menyebar ajaran islam kerana dalam zaman kesultanan Melaka telah wujud perhubungan perdagangan yang besar dan tetap antara Melaka dengan pelabuhan –pelabuhan di utara Jawa seperti Tuban dan Gerisik. Melaka mengimport beras dari jawa yang merupakan sebahagian besar berada dalam tangan orang jawa sebagai pengangkutnya. Selain dari itu dalam pasukan tentera Sultan Melaka dan pasukan tentera swasrta terdapat sebilangan besar orang jawa. Mereka ini sebahagian dari penduduk Melaka yang penting. Ramai dari mereka telah memeluk agama islam Dengan ini islam berkembang dengan pesatnya di Jawa.

BANJARMASIN,KALIMANTAN
Daerah Kalimantan Selatan yang mula-mula menganut agama islam ialah banjarmasin. Dahulu daerah ini adalah sebahagian jajahan Majapahit. Setelah kejatuhan Majapahit tahun 1478 M, Banjarmasin menerima islam dari kerajaan Demak. Penerimaan agama islam oleh Banjarmasin adalah syarat yang ditetapkan oleh Sultan Demak untuk mengirim bantuan tentera untuk menghapuskan pemberontakan penduduk asli Kalimantan Selatan.

SULAWESI
Di Pulau Sulawesi penduduk yang mula menganut agama islam ialah suku Bugis yang tinggal di Makasar, Semenanjung Barat daya pulau itu. Suku bugis adalah penduduk yang terbanyak yang paling maju dan kaya. Mereka adalah pedagang dan ahli pelayaran yang berani mengharungi segala akwasan perairan di gugusan-gugusan pulau melayu sehingga mereka dapat mendirikan kerajaan kecil di beberapa daerah.

FILIPINA
Pengislaman penduduk Pulau Mindanao adalah hasil daya usaha seorang bangsa Arab yang bernama Syarif Muhammad kabongsuaan. Kapten Thomas Forrest ada menyatakan bahawa ketika beliauu mengunjungi Mindanao dan Sulu pada tahun 1775M orang islam disana menerangkan bahawa agama islam telah berkembang disana sejak 300 tahun yang silam

SULU
Menurut cerita orang Sepanyol yang datang kedaerah ini dalam tahun 1521 M pulau-pulau sebelah utara masih penuh dengan manusia biadap tetapi penduduk pulau selatan telah memeluk agama islam dan mempunyai kerajaan sendiri. Orang islam telah mengadakan hubungan perdagangan dengan orang islam dari Jawa dan China serta saudagar-saudagar dari Hindustan. Dari Mindanao dan Sulu Islam berkembang ke pulau-pulau dari Utara Filipina dan beberapa buah kerajaan Islam pun terbentuklah. Manila sendiri merupakan Kerajaan Islam di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman ketika kerajaan itui jatuh ke tangan Sepanyol dalam tahun 1571 M.

BALI DAN SUNDA KECIL
Agama islam dibawa ke Maluku oleh saudagar islam yang sentiasa mengunjungi dan mendiami disitu. Semenjak beberapa kurun yang lalu pulau Maluku telah mengadakan perhubungan perdagangan dengan daerah-daerah di kepulauan alam melayu. Islam datang melalui perhubungan ini.

BENTAN
Islam tersebar dari Demak ke Bentan pada awal kurun keenam belas ketika tenyerta Demak di bawah pimpinan Syarif Hidayatullah dapat menaklukinya. Penaklukan ini penting bagi kerajaan islam Demak sebab Bentan adalah batu loncatan untuk bertaopak dipantai sebelah barat Sumatera. Walaubagaimanapun penaklukan tersebut bukan atas paksaan supaya raja mereka turut serta memeluk islam.

BURMA
Daerah Burma yang banyak dan mula-mula mempunyai penduduk islam ialah Arakan. Daerah Arakan ini sangat berhampiran dengan Benggala Timur yang mempunyai penduduk islam yang berhubung rapat pula dengan islam di Hindustan. Walaubagaimanapun orang islam Arakan ini bukanlah dari keturunan Hindustan, malah dari keturunan tentera Moghul yang datang menyerbu ke negeri Burma dan Hindustan pada penghujung abad yang kesebelas Masehi. Hari ini terdapat beberapa buah masjid Kota Mandalay ibukota negeri Burma pada zaman dahulu.

INDO-CHINA
Semenjak dari abad kesepuluh Masehi lagi daerah di Indo-China telah banyak disinggahi oleh pedagang-pedagang bangsa Arab dan Iran. Sambil berniaga mereka berpeluang mengislamkan beberapa orang yang tertarik pada agama islam. Pedagang-pedagang islam itu juga berkahwin dengan perempuan-perempuan Indo-China dan menebus budak belian disana, sebagaimana yang dilakukan oleh pedagang-pegdagang islam di daerah-daerah lain di Asia Tenggara.

SIAM
Sejarah siam ada menyatakan bahawa agama islam mula-mula sampai ke negeri tersebut dibawa oleh orang yang datang dari Tanah Arab dan Hindustan dalam kurun yang ke-sepuluh Masehi. Mereka itu adalah pedagang-pedagang Islam yang tiba di Siam dan didapati belum ada orang islam lagi di negeri itu. Nyatalah bahawa merekalah yang mula-mula orang islam sampai kesana. Diatas permintaan mereka Raja Siam telah memberi sebidang tanah bertentangan dengan istananya untuk mendirikan sebuah masjid. Pahlawan-pahlawan Melayu yang ditawan di dalam peperangan antara Siam dengan raja-raja Melayu juga mengambil usaha yang giat dalam perkembangan islam di negeri itu.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com