Tamadun Islam Suatu Gambaran Umum

Pendahuluan.
Tamadun Islam merupakan salah satu tamadun dunia yang terunggul. Kajian demi kajian telah dilakukan dan sehingga hari ini, masih lagi terdapat penemuan baru dalam tamadun Islam yang belum disingkap oleh masyarakat moden. Sumbangannya tidak ternilai dalam membentuk generasi manusia yang bertamadun dan maju.

Dalam ruangan ini, saya cuba membincangkan beberapa ciri-ciri tamadun Islam yang telah berjaya membina tamadun unggul tersebut. Rangkaian ciri-ciri ini telah dapat menghasilkan satu tamadun yang boleh dilihat dengan jelas pengaruhnya hingga ke Eropah, seluruh benua Asia dan Afrika.

Kajian ini mengetengahkan pendapat-pendapat dan hasil kajian sarjana-sarjana Islam dan juga sarjana-sarjana bukan Islam terhadap tamadun Islam. Ringkasnya ia berpandukan sejarah dan bukan rekaan semata-mata. Selain itu ia juga merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Tamadun Islam.
Tamadun Islam ialah manifestasi kemajuan dan pembangunan yang dibina oleh masyarakat Islam berlandaskan ciri-ciri Islam. Penekanan dalam pembinaan tamadun Islam adalah merangkumi aspek spiritual, material dan intelektual. Ringkasnya Islam merupakan sebuah tamadun yang bersifat ‘Multi-dimensional’.[1]
Terdapat beberapa ciri tamadun Islam yang menjadikan tamadun ini cemerlang dan unik. Berdasarkan tajuk ini, kita akan membincangkan ciri-ciri tersebut dengan lebih mendalam.

Ciri-ciri Tamadun Islam.
Beberapa ciri yang bersifat membantu untuk mencapai matlamat tamadun Islam ialah:

Penggunaan Tulisan.
Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan umat. Penggunaan tulisan berkait rapat dengan penggunaan bahasa iaitu bahasa Arab. Profesor Madya Dr. M.A.J. Beg telah mengemukakan beberapa pendapat sarjana barat dan Islam tentang bahasa Arab ini.
J.S. Badeau mengatakan bahawa tidak siapa yang dapat meragui tentang perpaduan di antara bahasa Arab dengan tamadun Islam. Malah kedua-duanya telah bersatu sebagai satu sebatian. Sebab itulah pencapaian bangsa Arab lebih dikenali sebagai tamadun Islam dan pemikiran Arab.[2]

M. Nizamuddin pula menjelaskan bahawa tamadun Islam telah diresapi oleh bahasa Arab. Di mana boleh dikatakan semua bidang tamadun Islam telah diresapi oleh bahasa Arab seperti filologi, kamus, fonetik, tafsir al-Quran, ilmu persejarahan, nahu, surat-menyurat, sejarah, akidah, hadis, tasauf, falsafah, akhlak, matematik, astronomi, astrologi, muzik, mekanik, sains-sains natur, perubatan dan lain-lain ilmu seni.[3]
Syeikh Inayatullah mengatakan bahawa untuk memperingati tamadun yang agung di dunia ini iaitu tamadun Islam, maka perlu diadakan kelas bagi mempelajari bahasa Arab kerana bahasa itulah merupakan alat bagi menyampaikan seseorang untuk menikmati tamadun Islam.[4]
H.A.R Gibb juga memberikan pendapat yang lebih kurang serupa dengan Syeikh Inayatullah yang mengatakan bahawa untuk memahami tamadun Islam yang merupakan satu sumbangan yang teragung kepada dunia, seseorang itu mestilah mendalami bahasa Arab.[5]
Menurut J. Schacht, tamadun Islam mempunyai bahasa rasminya sendiri. Bahasa itu ialah bahasa Arab. Bahasa Arab juga adalah merupakan asas kepada kesusasteraan umat Islam yang merupakan salah satu ciri utama tamadun Islam. Bahasa Arab yang bertanggungjawab mengabadikan tamadun Islam.[6]
G.E Von Grunebaum beranggapan bahawa bahasa Arab adalah merupakan lambang bahasa tamadun umat Islam. Ia juga adalah merupakan identifikasi kepada umat Islam dan bangsa Arab sendiri. Bahasa Arab juga dikatakan sebagai lambang kepada keunggulan bangsa Arab sebagai bahasa manusia terbaik. Merekalah yang bertanggungjawab menjadikan bahasa Arab sebagai perhiasan tamadun Islam.[7]
F.W. Fernau menjelaskan bahawa tidak perlu diragukan lagi tentang peranan al-Quran sebagai mukjizat daripada Allah S.W.T yang secara langsung bertanggungjawab mengekal dan mengabdikan kesempurnaan dan ketulenan al-Quran yang kini telah lebih dari 14 abad lamanya. Mukjizat inilah juga yang bertanggungjawab memelihara dan memupuk perkembangan bahasa Arab. Sehingga ia berjaya menjadi bahasa tamadun Islam. Keberkekalan bahasa Arab adalah merupakan satu kes yang unik dan luar biasa di dalam sejarah manusia.[8]
Professor Madya Dr. M.A.J. Beg akhirnya mengemukakan pendapatnya sendiri yang mengatakan bahawa keistimewaan bahasa Arab terletak pada beberapa faktor. Di antaranya ialah bahasa itu adalah merupakan bahasa ibadat kepada Allah S.W.T, bahasa al-Quran, bahasa hadis, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa perundangan, bahasa sejarah, bahasa akidah, bahasa ilmu sains, bahasa falsafah dan sebagainya.
Keindahan seni khat di semua negara Islam dari Moroko sampailah ke Malaysia adalah diinspirasikan oleh bahasa Arab. Kebanyakan bahasa di dunia ini termasuk Parsi, Turki, Urdu, Bahasa Melayu, Tausug, Uzbek, Pashto, Sindhi, Arab-Tabil, Tifinagh, Swahili, Ajemik, Malagasi, Slavon dan sebagainya mengambil huruf Arab (jawi) sebagai huruf di dalam tulisan mereka. Ini bererti huruf, bahasa dan Islam mempunyai pengaruh yang mendalam dan luas di dalam tamadun Islam.[9]

Mengapakah bahasa Arab dipilih oleh Allah S.W.t sebagai bahasa al-Quran yang menjadi sumber tamadun Islam? Jawapan yang diberikan oleh al-Maududi adalah seperti berikut. Bahasa Arab yang dimiliki oleh bangsa Arab adalah merupakan bahasa yang terbaik dan tersempurna di atas muka bumi ini yang mempunyai daya kekuatan untuk menyampaikan sebarang bentuk pemikiran dan ilmiah. Hanya bahasa tersebut sahajalah yang mampu untuk menyampaikan ajaran Islam yang menyempurnakan segala syariat Allah S.W.T sebelumnya sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran.[10]
Tidak dapat dinafikan dengan kedatangan ‘Deen Islam’ telah membuka luas perbahasan-perbahasan ilmu pengetahuan. Dengan demikian berlakunya perkembangan dan bertebaranlah ilmu khususnya untuk kepentingan manusia. Tidaklah itu mukjizat Yang Agung (Allah) iaitu AL Quranul Karim yang memulakan ayat pertamanya dengan lafaz ‘Iqrak’.
Inilah detik yang Allah S.W.T mahukan supaya manusia berfikir dan menggali kembali khazanah atau perbendaharaan yang terdapat dalam al-Quran kitabullah.
Perkembangan daulah Islam dan kekuasaan pemerintahannya diakui hingga ke negeri China dan Perancis di bahagian barat. Banyak terjemahan telah dilakukan dan dipindah terus ke bahasa Arab melalui bahan-bahan intelektual Tunani, Rome, Farsi dan India. Para khalifah telah membuka dan menggunakan sebahagian ruang istana sebagai khutub khanah. Padanya terdapat berpuluh ribu buah kitab yang tinggi nilainya. Khalifah-khalifah sebagai pemegang teraju utama dalam memelihara kedudukan dan kepentingan ulama dan ilmu. Peranan ini dijalankan oleh Khalifah Al-Rasyid dan Makmum.





Kemunculan Kota.
Kemunculan kota atau bandar bagi menampung pertambahan penduduk yang sedia ada dan yang datang untuk pelbagai aktiviti lain. Bandar-bandar Islam itu terdapat di Iraq, Syam, Mesir, Afrika, Andalus dan lainnya, sebahagian daripadanya masih diduduki seperti Basrah, Baghdad dan Kaherah, tetapi sebahagian yang lain tinggal runtuhan dan kesan-kesannya sahaja seperti Fustat di Mesir dan al-Zahra’ di Andalus.[11] Daripada segi sejarah, bandar Islam pertama yang unggul ialah bandar Madinah pada zaman Nabi dan Khulafa’ al-Rasyidin, kerana pada zaman itulah masyarakat Islam yang tulen telah berjaya dibentuk oleh baginda.
Salah satu ciri utama perkembangan fizikal bandar Islam ialah kelahiran institusi masjid Jami’ sebagai tempat perhimpunan sembahyang berjama’ah pada hari Jumaat. Perhimpunan ini menimbulkan satu pemusatan paasr-pasar di sekitarnya, dikenali dengan suq (jama’nya:aswaq) . Masjid-masjid jami’ dan aswaq ini bukan sahaja sebagai tempat ibadat dan urusan perdagangan malah sebagai tempat ibadat dan urusan perdagangan, pusat kegiatan sosial dan kegiatan sastera.[12]
Daripada aspek pembentukan bandar-bandar “formation of towns”, perkembangan bandar-bandar Islam pada zaman awal Islam berubah daripada bentuk pemusatan “centralized” [13] iaitu daripada pusat-pusat pemerintahan kepada bandar-bandar wilayah. Perkembangan bandar Islam seperti juga perkembangan bandar-bandar Rom dan Greek, terdiri daripada tiga keadaan iaitu sama ada ia berasal daripada penempatan baru tentera “amsar” yang muncul kemudiannya sebagai pusat utama perbandaran seperti Basrah atau menduduki penempatan bandar yang sedia ada seperti Damsyik dan Constantinople, atau merancang penempatan baru seperti Baghdad.[14] Menurut Grunebaum, bandar-bandar Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu “spontaneous” (terbangun secara spontan) dan “created” (dibangunkan secara terancang) .[15] Bandar-bandar daripada jenis yang pertama ialah bandar-bandar yang berkembang di sekitar rumah ibadat, tanpa perancangan badan kerajaan seperti Mashad dan Karbala. Sementara itu, bandar-bandar daripada jenis kedua pula adalah bandar-bandar daripada kem tentera seperti Fustat di Mesir dan Kufah di Iraq, bandar-bandar politik atau pusat pemerintahan seperti Baghdad, atau bandar wilayah seperti Samarra’ dan Raqqadah, dan bandar-bandar berkubu “fortress towns” seperti Rabat, ibukota Morocco.[16]
Dilihat daripada sudut sejarah, perkembangan bandar-bandar Islam amat sukar untuk membentuk sebuah gambaran yang tepat tentangnya kerana sebuah kota tidak hanya dinilai daripada sudut luarannya sahaja tetapi juga dinilai daripada sudut dalamannya. Nmaun demikian, secara kasarnya menurut Hourani dalam bukunya The Islamic City[17] bahawa bandar Islam mempunyai beberapa sifat fizikal berikut:
Mempunyai sebuah kota berkubu, biasanya sebagai tempat pertahanan.
Kemungkinan terdapat sebuah kota diraja (a royal complex) atau penempatan diraja. Di dalamnya terdapat istana-istana khalifah dan keluarganya, pejabat-pejabat pentadbiran, tempet-tempat pengawal peribadi dan pasukan tentera khalifah.
Terdapat satu kompleks pusat bandar terdiri daripada masjid-masjid Jami’ dan sekolah-sekolah agama, pasar-pasar pusat dan juga tempat-tempat khusus yang diperuntukkan bagi lumpulan-kumpulan utama tukang dan pedagang. Kedudukan bangunan bagi golongan agama dan pedagang-pedagang atau aristocrat tentera dengan pusat kekuasaan politik sentiasa berdekatan.
Terdapat satu pusat kawasan perumahan yang wujud sekurang-kurangnya dua ciri khusus iaitu kombinasi orang tempatan dengan golongan, bangsa atau agama yang berbeza-beza, dan hubungan secara berasingan dimana setiap kawasan atau kumpulan penempatan diberi kuasa autonomi.
Terdapat kawasan pinggiran kota “suburbs” dan kawasan perumahan diluar kota tempat pendatang-pendatang baru akan menetap dan melaksanakan pekerjaan-pekerjaan tertentu.
Untuk tujuan menjaga kesihatan, maka lahirlah “maristan” (hospital) di bandar-bandar Islam sejak pada zaman Umaiyyah tetapi juga ia berkembang pesat pada zaman Abbasiah. Untuk tujuan keselamatan pula, kebanyakan bandar-bandar Islam mempunyai tembok, pintu besar dan tempat pertahanan.[18]
Daripada sudut perancangan bandar, orang-orang Arab telah mengasaskan pusat tentera di tepi-tepi padang pasir, berhampiran dengan sumber air, padang rumput ternakan dan tempat yang tedapat kayu api. Antara contoh bandar yang terletak berhampiran dengan sungai ialah Kufah yang terletak di barat Sungai Furat, Basrah di Lembah Tigris dan Euphrates, Fustat di Timur Nil, Wasit, Baghdad, Samarra’ di tebing sungai Diljah.[19] Langkah pertama yang dilakukan ketika ingin membina sebuah bandar ialah membuat penyelidikan topografi dan mengenali kesesuaian tempat bagi tujuan ketenteraan sebagaimana mereka lakukan ketika membina Kufah, Wasit, Baghdad dan Samarra’.

Masyarakat Majmuk.
Wujudnya ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam dan akhirnya turut sama-sama membentuk sebuah masyarakat Islam yang aktif dan maju. Perbezaan peranan yang dimainkan melahirkan pembahagian kerja seterusnya wujudlah suatu bentuk ekonomi bandar. Setiap individu berhak hidup dengan aman dan tenteram dalam sebuah masyarakat Islam. Ahli-ahli sains sosial menakrifkan masyarakat majmuk sebagai masyarakat berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Biar apapun takrif dan analisis tentang masyarakat majmuk, ia menepati masyarakat Islam yang pertama wujud di Madinah. Masyarakat pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya, bahasa dan kelas. Islam mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengendalikan masyarakat majmuk. Masyarakat Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan hukum Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:
1. Kewajipan terhadap Allah S.W.T apabila ia mengumumkan Islam sebagai agamanya (tanggungjawab aqidah atau agama) .
2. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam sebagai dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik) .
Kelompok ini mesti tunduk kepada hukum Islam seluruhnya sama ada undang-undang sivil ataupun agama, tidak kira apa mazhab yang dianuti. Tidak ada kebebasan untuk memilih hukum-hukum yang lain daripada hukum Islam. Sementara masyarakat bukan Islam yang tinggal dengan aman di bawah penyeliaan hukum dan pemerintahan yang mengikut sistem Islam ia bertanggungjawab untuk tunduk kepada undang-undang Islam kerana ia tertakluk kepada tanggungjawab politik, bukan tanggungjawab aqidah atau agama.

Pembinaan Bangunan-bangunan Bersejarah.
Wujudnya bangunan-bangunan bersejarah yang menjadi keagungan generasi berikutnya seperti istana-istana, masjid-masjid dan monumen-monumen penting yang lain. Ciri seni bina Islam seperti mana yang dijelaskan oleh I.H Qureshi mempunyai ciri tersendiri seperti mengutamakan kemasukan cahaya ke dalam bangunan semaksimum yang boleh. Contohnya boleh dilihat di dalam masjid-masjid yang didirikan oleh umat Islam di zaman keagungan Islam. Di mana ia memberikan peluang paling luas bagi cahaya menembusi masuk ke ruang masjid tersebut. Ia bukan sahaja sesuai dengan semulajadi bumi malah memberikan keselesaan kepada umat Islam yang melakukan ibadat di dalamnya.[20]
Di antara contoh seni bina Islam ialah Qubbat al-Sakhra (Dom batu) di Jerusalem yang dijelaskan oleh K.A.C. Creswell sebagai “…Keharmonian setiap bahagian dan keindahan hiasannya menjadikan Dom batu itu sebagai salah satu bangunan yang terindah di dunia ini”.[21]
U.S. Scerrato mengenengahkan Alhambra’ di Granada (Andalus) sebagai contoh keunggulan seni bina Islam. Kerana adunannya yang seimbang di antara reka bentuk yang mudah yang terdapat pada setiap bangunan dengan beraneka hiasan di bahagian dalam.[22]
Beliau selanjutnya membawa contoh yang lain iaitu Masjid Sulaimaniah, Istanbul yang dijelaskan seperti berikut “… Di dalam masjid Sulaimaniah yang diasaskan oleh Sulaiman yang sungguh hebat, Sinan menyambung semua tugas yang telah dimulakan oleh Ayia Sophia kira-kira seribu tahun dahulu. Diubahsuai kembali dengan Islam sehingga dianggap sebagai hasil kerjayanya yang terbaik. Untuk menaikkan lagi tarafnya sebagai bangunan yang bersejarah, masjid itu dibina di atas bukit yang tertinggi di Istanbul”.[23]
A.U. Pope pula mengenengahkan Masjid-I-Shah di Isfahan, Iran dengan mengatakan “Pembinaan masjid-I-Shah telah dimulakan pada tahun 1612. Walaupun Syah Abbas begitu tidak sabar sekali, tetapi pembinaannya mengalami kelembapan yang tidak dapat menyiapkan tembok marmarnya yang terakhir sehingga tahun 1638. Bangunan ini adalah satu lambang daripada seribu tahun pembinaan masjid di Iran. Tradisi pembinaannya, idea-idea keagamaan, penggunaan, makna, perancangan yang matang dan secara perlahan adalah merupakan adunan diantara yang lama dengan jenis yang baru, unsur-unsur struktur binaan dan perhiasan yang penuh bertanggungjawab menjadikan Masjid-I-Shah begitu agung dan indah menempatkannya sebagai salah satu bangunan yang teragung di dunia ini”.[24]
P.Bamborough membawa contoh keindahan seni bina Islam yang terdapat pada Taj Mahal, Agra dengan mengatakan “Tidak diragukan lagi bahawa makam yang paling halus, terindah buatannya dan salah satu perbendaharaan Islam yang teragung yang merupakan contoh kesenian marmar yang terbaik ialah Taj Mahal, di Agra, India. Reka bentuknya yang terindah ini diperbuat daripada marmar putih adalah merupakan lambang kepada kesempurnaan seni bina Islam…”[25]
Masjid yang pertama dan tertua di dalam dunia islam yang merupakan titik permulaan bermulanya seni bina Islam ialah Masjid Madinah yang dibina oleh Rasulullah S.A.W dalam tahun 622 sebaik-baik sahaja Rasulullah dan umat Islam tiba di Madinah. Ia berbentuk empat segi yang dikelilingi oleh dinding yang diperbuat daripada bata dan batu. Di bahagian yang menjadikan tempat imam (Rasulullah) memimpin umat Islam di dalam sembahyang dikatakan beratap yang diperbuat daripada pelepah-pelepah tamar yang diliputi dengan tanah liat yang diletakkan di atas batang-batang tamar. Kiblat pada mulanya ialah di Baitul-Maqdis dan kemudiannya diubah ke Mekah dalam tahun 624 setelah Rasulullah menerima wahyu daripada Allah untuk berbuat demikian.[26]
Kufah, Mesopotamia adalah merupakan tempat kedua masjid didirikan yang dikatakan dalam tahun 639 yang mempunyai atap yang diletakkan diatas lengkungan marmar yang dibawa dari istana raja-raja Parsi di Hirah. Ia juga masih berbentuk empat segi. Ia dikelilingi oleh parit. Di Fustat didirikan masjid dalam tahun 642 yang mempunyai ciri baru di dalam seni bina Islam iaitu mimbar yang tinggi. “Maqsurah” (hadangan dari kayu) diperkenalkan untuk memelihara imam dari jemaah yang ramai. Menara juga telah diperkenalkan oleh seni bina Islam pada akhir abad tersebut. Sembilan puluh tahun atau sepuluh tahun lebih awal dari itu setelah bangunan masjid Madinah didirikan “mihrab” (tanda arah kiblat) telah diperkenalkan.[27]
Seni bina Islam yang berorientasikan ketenteraan dikatakan berkembang sejak akhir abad ke-19 hingga akhir abad ke-12. Untuk keselamatan bandar-bandar Islam tembuk telah dibina seperti di Syria dan di Mesir. Seni bina jenis ini telah ditiru oleh tentera-tentera salib kemudian.[28]

Kewujudan Negara Islam.
Menurut sebahagian penulis-penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam.
Zaman Rasulullah S.A.W.
Syariah Islamiah adalah merupakan payung yang menaungi semua umat Islam termasuk Rasulullah S.A.W di dalam negara Islam yang pertama di atas muka bumi ini yang diasaskan oleh baginda. Ketetapan yang diputuskan oleh Rasulullah adalah yang muktamad di dalam sesuatu perkara yang tidak diputuskan dalam al-Quran. Namun demikian baginda lebih mengutamakan para sahabat. Mereka diajak berbincang terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan itu diambil oleh baginda.[29]
Masjid yang menjadi ibu pejabat kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah dikenali sebagai Masjid al-Nabawi. Fungsi masjid terlalu luas merangkumi ibadat khusus seperti solat, pusat pemerintahan, pusat pentadbiran, mahkamah dan sebagainya. Baginda menjadi imam di dalam solat dan melaksanakan segala tugas pemerintahan negara Islam di masjid tersebut. Di antara tugas berat yang lain yang dijalankan oleh baginda ialah kerja-kerja perhubungan awam. Dari situlah baginda menulis surat-surat dan memilih pendakwah-pendakwah untuk di hantar kepada raja-raja luar negeri yang sezaman dengan baginda. Juga kepada ketua-ketua kabilah Arab di semenanjung tanah Arab.
Di situlah juga merupakan tempat Rasulullah S.A.W menyambut ketibaan wakil-wakil kerajaan asing dan ketua-ketua kabilah, arahan kepada gabenor-gabenor di wilayah Islam berkaitan dengan pemungutan cukai dan sebagainya dikeluarkan dan tempat melaksanakan hukuman kepada penjenayah-penjenayah. Dalam hal yang lain segala aduan yang disampaikan oleh rakyat negara Islam didengar oleh baginda di masjid tersebut dan mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah. Malah setiausaha-setiausaha (juru-juru tulis) dan pembantu-pembantu baginda juga melaksanakan tittah perintah baginda di masjid. Pendek kata masjidlah merupakan sekreteriat Rasulullah S.A.W seumur hidup.[30]



2. Zaman Para Sahabat.
2.1 Khalifah.
Tugas utama khalifah ialah berfungsi sebagai Ketua Negara Islam. Ia bebas dari sebarang kawalan dalam bentuk perlembagaan atau badan sesuka hati, bersifat autokrasi dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas. Kerana al-Quran dan Sunnah adalah merupakan panduan yang membimbing dan mengawal segala tindakan khalifah. Khalifah Osman dan Ali kedua-duanya dikatakan mencontohi cara yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar.[31]
Khulafa’ al-Rasyidin amat berbeza daripada Rasulullah S.A.W dari satu aspek iaitu mereka tidak mempunyai tugas-tugas kerasulan. Namun demikian mereka mempunyai tugas-tugas keagamaan yang tersendiri. Contohnya, menjadi imam di dalam sembahyang berjemaah di Masjid Madinah, membaca khutbah pada hari Jumaat dan sebagainya. Di samping berfungsi sebagai ketua Negara mereka juga bertugas sebagai Ketua Panglima Tentera. Mereka bertanggungjawab melantik panglima-panglima tentera dan menghantar pasukan-pasukan tentera ke luar negeri untuk menentang musuh-musuh Islam. Kadang-kadang mereka sendiri memimpin pasukan tentera Islam sepertimana yang dilakukan oleh Umar di dalam Peperangan Qadisiah.[32]
Majlis syura adalah merupakan tempat rujukan kepada Khulafa’ al-Rasyidin sebelum mendapat sesuatu keputusan penting seperti pemilihan panglima-panglima tentera dan serangan-serangan ke atas musuh. Mereka sekaligus berfungsi sebagai hakim atau kadi. Di peringkat wilayah jawatan hakim disandang oleh gabenor-gabenor yang dilantik oleh mereka.
Di zaman khulafa’ al-Rasyidin antara tugas kehakiman dan pentadbiran tidak pernah dipisahkan bagi melaksanakan keadilan. Tetapi mulai zaman Umar pemisahan antara jawatan pentadbiran dengan jawatan kehakiman terpaksa dilakukan. Segala-galanya berpunca dari bertambah luasnya wilayah-wilayah Islam yang menyebabkan bertambahnya beban tugas dalam kadar di luar keupayaan bagi mengharuskan kedua-dua jawatan itu disandang oleh seseorang gabenor. Jesteru itu beberapa hakim atau kadi telah dilantik oleh Umar untuk mengatasi masalah ini.[33]
3. Zaman Bani Umaiyah.
3.1 Perlantikan Khalifah.
Institusi khalifah mula menjadi monopoli kerajaan Bani Umaiyah yang berlainan sekali dari Khulafa’ al-Rasyidin yang menjadi hak milik umat Islam yang perlantikannya diserahkan kepada majlis syura. Ini bererti khilafah mula menjadi harta milik keluarga Bani Umaiyah tidak lagi menjadi hak milik umat Islam sejagat.[34]
Mu’awiahlah merupakan pengasas Bani Umaiyah dan khalifah pertama dari kerajaan tersebut yang telah mewariskan jawatan khalifah kepada puteranya iaitu Yazid yang diisytiharkan sebelum kematiannya. Di peringkat awal kerajaan Bani Umaiyah dikenali sebagai Sufianiah yang merupakan cucu-cucit Sufian bapa kepada Mu’awiah. Di mana sistem penamaan bakal menjadi khalifah hanya ditetapkan seorang sahaja. Tetapi di bawah pemerintahan Marwaniah, iaitu cucu-cicit Marwan yang merupakan keluarga yang kedua mewarisi pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah dua orang calon dilantik serentak sebagai raja muda untuk menjadi khalifah.
Contohnya Marwan menamakan dua orang puteranya iaitu Umar dan Yazid sebagai raja muda. Demikian juga Yazid menamakan adiknya iaitu Hisyam dan puteranya Walid sebagai raja muda.[35]
Sistem perlantikan cara kedua ini membawa padah yang amat buruk kepada pemerintahan Bani Umaiyah dimana ramai anggota kaum keluarga khalifah yang berkebolehan, layak, lebih dewasa dan sebagainya tidak berpeluang menjawat jawatan khalifah. Kesan buruk dari sistem ini ialah timbulnya kekacauan dan perebutan jawatan khalifah. Contohnya di zaman Walid di mana beliau sendiri mati dibunuh. Sekaligus Bani Umaiyah berpecah menjadi dua kumpulan yang merupakan salah satu faktor utama yang membawa keruntuhan kerajaan Bani Umaiyah.[36]
3.2 Majlis Syura.
Majlis syura yang diutamakan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dihapuskan oleh kerajaan Bani Umaiyah. Namun demikian Umar bin Abdul Aziz telah cuba menghidupkan kembali institusi tersebut ketika menjadi Gabenor Hijaz dengan melantik beberapa tokoh ulamak yang berkaliber. Bila menjadi khalifah, beliau cuba mengasaskan semula majlis syura dengan menghubungi ramai ulamak. Zaman pemerintahannya adalah pendek. Sebab itulah majlis itu gagal ditegakkan kembali.[37]

3.3 Kerajaan Pusat.
Kerajaan Bani Umaiyah menubuhkan lima jabatan di dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negara islam iaitu Jabatan Ketenteraan (Diwanul Jund) , Jabatan Kewangan (Diwanul Kharaj) , Jabatan surat-menyurat (Diwanul Rasail) , Jabatan Cop Mohor (Diwanul Khatam) dan Jabatan Pos (Diwanul Barid) .[38]
Kerajaan Bani Umaiyah bukan sahaja menghapuskan Majlis Syura, tetapi banyak melakukan perkara-perkara ganjil lain seperti menghapuskan sistem menseragamkan atau mencampur semua keturunan umat Islam iaitu antara Arab dengan keturunan lain yang dilakukan oleh Umar di dalam satu pasukan tentera. Kerajaan Bani Umaiyah sebaliknya mengasingkan. Kerajaan Bani Umaiyah khususnya di bawah pemerintahan Hisyam telah membatalkan pembayaran pencen kepada pesara-pesara tentera. Khalifah-khalifah Bani Umaiyah juga tidak pernah kelihatan menyertai tentera Islam di dalam sebarang peperangan.[39]
Jabatan Kewangan pusat (Diwanul kharaj) bertanggungjawab mengawal dan menguruskan semua harta negara di zaman kerajaan Bani Umaiyah. Jabatan inilah yang menyimpan rekod dan resit berkaitan dengan pengumpulan hasil negara Islam dan perbelanjaannya.[40]
Jabatan surat-menyurat (Diwanul Rasail) bertugas di dalam menulis dan menerima semua surat rasmi, mengeluarkan surat-surat arahan dan risalah-risalah. Jabatan ini juga bertugas sebagai badan penyelaras ke atas semua yang lain. Jabatan Cop Mohor (Diwanul Khatam) ditubuhkan oleh kerajaan Bani Umaiyah bagi memastikan bahawa segala arahan yang dikeluarkan itu ada dalam pengetahuan khalifah. Semua surat sebelum diedarkan mesti dicapmohorkan.[41]
Mu’awiahlah merupakan pemerintah Islam yang pertama sekali memperkenalkan sistem pos di dalam negara Islam. Pada mulanya ia berfungsi untuk menguruskan kerja-kerja kerajaan sahaja. Tetapi akhirnya berkembang untuk kepentingan rakyat dan negara. Kuda dan unta adalah alat perhubungan yang digunakan oleh jabatan tersebut untuk mengedarkan dan memungut surat dari seluruh ceruk rantau negara Islam. Di zaman Abdul Malik sistem pos benar-benar berkembang dan sempurna perkhidmatannya.[42]
3.4 Keadaan Sosial.
Walaupun sepanjang pemerintahan Bani Umaiyah terjadi huru-hara, tetapi dijelaskan oleh Profesor K. Ali keamanan dan keadilan pada keseluruhannya masih lagi dapat ditegakkan. Memang benar kedudukan Mawali (golongan yang baru memeluk islam) agak rendah jika dibandingkan dengan orang-orang arab yang begitu berkuasa dan mempunyai kedudukan yang amat istimewa tetapi penindasan dalam erti kata yang sebenarnya ke atas mereka tidak berlaku. Mereka tetap hidup dalam keadaan aman dan damai. Di bawah pemerintahan Bani Umaiyah non-muslim tetap juga mendapat hak sebagai rakyat negara islam. Khususnya di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang memeberikan perhatian yang serius terhadap golongan non-muslim ini.[43]
Beliau dikatakan telah memastikan tentang keselamatan gereja-gereja, kuil-kuil dan tempat-tempat ibadat yang lain. Malah beliau telah memberikan wang yang diambil dari Baitumal untuk membantu glongan non-muslim membina rumah-rumah ibadat mereka. Contohnya gereja besar Kristian di Edessa telah rosak ekoran daripada gempa bumi dalam tahun 60H/679M. Mu’awiah dikatakan telah mengarahkan dan memberikan bantuan pembinaan semula gereja tersebut.[44]
Didalam urusan yang berkaitan dengan adat resam, agama dan masalah-masakah peribadi, golongan non-muslim diberikan kebebasan untuk membuat keputusan berdasarkan undang-undang mereka dan mengikut ketentuan dari ketua-ketua mereka. Kerajaan Bani Umaiyah telah menjamin keselamatan, nyawa harta dan kehormatan mereka.[45]
4. Zaman Bani Abasiah.
4.1 Pentadbiran.
Kuasa mutlak di dalam pemerintahan dan pentadbiran adalah merupakan bentuk pemerintahan kerajaan Bani Abasiah. Di mana tiada badan atau sesiapa juga yang boleh mempertikaikan segala keputusan khalifah kerajaan tersebut. Tugas seorang khalifah Bani Abasiah merangkumi sebagai seorang ketua negara, ketua agama, ketua panglima perang, penganugerahan pangkat dan jawatan, berkuasa menamakan bakal penggantinya dan sebagainya. Terdapat satu sistem bagaimana seseorang pengganti khalifah dipilih yang segala-galanya bergantung kepada budi bicara khalifah yang memerintah.[46]
Di dalam masyarakat Islam di zaman Bani Abasiah, khalifah menduduki tangga teratas sekali sebagai Ketua Negara. Pegawai-pegawai pemerintah dan pentadbiran kerajaan Bani Abasiah berada di tangga yang paling hampir dengan khalifah. Sama seperti di zaman Bani Umaiyah wanita menikmati hak istimewa mereka yang dijamin oleh Islam. Lahir tokoh wanita yang aktif dalam politik pada masa yang sama itu seperti Khairuzan, Ulayyah, Zubaidah dan Buran. Mereka juga terlibat di dalam kegiatan intelektual dan syair. Zubaidah dijelaskan oleh Kitab al-Aghani sebagai tokoh penyair wanita yang berbakat.
Seorang ahli sejarah yang memberi kuliah di Baghdad dari kaum wanita yang amat terkenal ialah Syikah Shuhdah. Dalam bidang undang-undang pula dari kaum wanita yang amat termasyur pada masa itu ialah Zainab Umm al-Muwayyid. Ini bererti bahawa wanita juga telah menyumbangkan bakti kepada perkembangan tamadun Islam di zaman pemerintahan Bani Abasiah. Permainan yang agak popular pada masa itu termasuklah polo, catur, perlumbaan kuda dan memburu.[47]
Majlis-majlis perjumpaan yang menemukan beraneka jenis golongan sarjana yang berpotensi kerapkali diadakan untuk mengadakan perbincangan berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Melalui perbincangan-perbincangan ini ada di antara mereka yang menghasilkan buku-buku sejarah, kesusasteraan, falsafah dan sains. Di dalam masyarakat yang mementingkan ilmu ini golongan pengedar buku memainkan peranan yang amat penting. Tumpuan sarjana dan pelajar lebih tertumpu kepada kedai-kedai buku tersebut.[48]
Sistem perhambaan dikatakan merebak kembali yang telah cuba dihapuskan oleh Rasululah S.A.W dan Khulafa’ al-Rasyidin yang dikatakan berkembanag kembali di zaman Bani Umaiyah. Di zaman Bani Abasiah sistem perhambaan kian subur. Boleh dikatakan kebanyakan pembesar dan orang kaya pada masa itu mempunyai hamba. Terdapat dua sumber hamba. Pertama golongan non-muslim yang tertawan. Kedua yang dipenjarakan ketika perang, tetapi di zaman aman dijadikan hamba. Kebanyakan mereka berketurunan Negro yang berkulit hitam. Tetapi ada juga dari keturunan Turki dan orang-orang berkulit putih. Keturunan Greek, Slave, Armenia dan Barbar adalah golongan hamba berkulit putih di zaman Bani Umaiyah.
Ekonomi umat Islam di zaman pemerintahan Bani Abasiah begitu maju dan berkembang. Mereka telah muncul sebagai golongan industrialis, pertukangan, golongan teknik, pencetak dan sebagainya. Inilah profesyen golongan bangsawan dan atasan. Golongan petani dan penternak adalah dari golongan kelas menengah dan bawahan.
Perdagangan di zaman Bani Abasiah begitu memuncak dan menguntungkan sekali. Bandar-bandar negara Islam muncul dan terkenal di seluruh dunia sebagai pusat-pusat perdagangan seperti Baghdad, Basrah dan Iskandariah. Dari bandar–bandar Islam umat Islam telah mengembara ke seluruh ceruk rantau dunia ini untuk menjalankan perdagangan. Mereka mendapat keuntungan yang besar dan menjadi golongan yang kaya-raya.[49]
Kilang-kilang industri bercambah seperti cendawan tumbuh di seluruh bandar Islam. Kilang-kilang permaidani, sutera, kain dan sebagainya didirikan di Barat Asia. Kilang benang, menenun kain dan permaidani juga berkembang di Parsi dan Iraq. Kerajaan Bani Abasiah juga menggalakkan perkembangan sektor pertanian, yang menyebabkan pertanian merupakan salah satu faktor penting yang membawa kepada kemakmuran negara Islam pada masa itu yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara di dunia ini. Sektor pertanian jugalah merupakan salah satu sumber kewangan negara Islam yang penting.[50] Berkembangnya sektor pertanian pada masa itu kerana kerajaan Bani Abasiah telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti tali air yang baik, baja yang baik, tanah yang subur dan sebagainya.[51]
4.2 Baitul Hikmah.
Baitul Hikmah juga dikenali dengan Khazanah Hikmah dan Darul Hikmah yang memberi pengertian sebagai gedung ilmu pengetahuan yang telah ditubuhkan oleh Harun al-Rasyid di zaman keagungan Bani Abasiah. Kegemilangan dan ketinggian mutu ilmu yang dicapai oleh umat Islam di Baitul Hikmah tidak ada tolok bandingnya dengan mana-mana tamadun dari zaman dahulu hingga hari ini. Penubuhan Baitul Hikmah ini adalah ekoran dari kegiatan penyelidikan dan pembelajaran yang dijalankan oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W kerana menuntut ilmu adalah satu kefarduan yang ditentukan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Kegiatan ini semakin pesat di zaman Bani Umaiyah di mana kegiatan intelektual dalam erti kata yang sebenarnya telah berkembang maju dengan wujudnya penterjemahan buku-buku asing dan penulisan buku-buku baru yang telah dipergiatkan oleh umat Islam. Jesteru itu lahirlah satu bentuk perpustakaan yang rasmi di zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Misalnya di zaman Khalifah al-Walid bin Yazid, satu bilik khas telah disediakan oleh beliau sebagai perpustakaan rasmi yang menyimpan bahan-bahan ilmu pengetahuan di istananya. Bahan-bahan ilmu pengetahuan ini terus kekal disimpan di istana Bani Umaiyah dan berkembang sehingga di zaman Abu Jaafar al-Mansur (Bani Abasiah) di mana beliau secara langsung telah mempergiatkan lagi gerakan penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab. Bahan-bahan ilmiah yang lain disimpan di Masjid Jamik al-Mansur yang digunakan sebagai bahan rujukan dalam majlis ilmu di masjid tersebut. Kegiatan intelektual begitu memuncak sekali di zaman Harun al-Rasyid, hasil dari kegiatan penterjemahan dan penulisan dalam segala bidang ilmu pengetahuan daripada bahasa-bahasa asing dan dari ilmu-ilmu pengetahuan Islam sendiri. Untuk mengekalkan prestasi dan mempertingkatkan lagi perkembangan intelektual ini, Harun al-Rasyid telah menubuhkan satu institusi khas yang agung dan terbesar di Baghdad yang diberi nama Baitul Hikmah sebagai markas yang menyelaraskan dan melicinkan lagi segala kegiatan intelektual.
5. Zaman Kerajaan Fatimiah.
5.1 Pentadbiran.
Pentadbiran yang baik dan keperwiraan adalah merupakan dua ciri utama yang dimiliki oleh khalifah-khalifah kerajaan Fatimiah ini. Tidak banyak bezanya di antara sistem pemerintahan kerajaan Fatimiah dengan kerajaan Bani Abasiah. Perbezaan hanya wujud dari segi nama sahaja tetapi dari segi praktisnya adalah lebih kurang sama. Ketua Negara dan Ketua Agama adalah penggerak utama khalifah-khalifah kerajaan Fatimiah. Kekuasaannya maha luas sehingga boleh melantik dan memecat mana-mana pegawai di bawah pemerintahannya.
Di bawah khalifah terdapat menteri-menteri yang boleh dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama yang dikenali dengan gelaran ‘The men of the sword’ dan ‘The men of the pen’. Pedang adalah lambang kekuasaan. Mereka ialah menteri yang diamanahkan untuk menguruskan jabatan ketenteran, jabatan perang dan jabatan keselamatan dalam negeri. Pen pula adalah lambang pentadbiran awam yang mengawal jabatan kehakiman iaitu kadi, jabatan dakwah, jabatan sains dan pendidikan, jabatan pengurusan istana, jabatan pembacaan al-Quran dan sejumlah besar pegawai-pegawai rendah seperti kerani, setiausaha dan sebagainya.[52]
Kerajaan Fatimiah membahagikan wilayahnya kepada tiga bahagian iaitu Syria, Mesir dan sempadan Asia kecil. Mesir di bahagikan kepada daerah-daerah kecil seperti Mesir utara, Sharqiah, Gharbiah dan Iskandariah yang diperintah oleh gabenor masing-masing. Masalah-masalah dalam negeri diselesaikan oleh penguasa-penguasa tempatan wilayah-wilayah tersebut.[53]
Terdapat tiga bahagian tentera. Pertama pasukan tertinggi yang terdiri daripada amir-amir, pegawai-pegawai tinggi dan pengawal khalifah. Kedua pegawai-pegawai pengawal. Ketiga berbagai-bagai regimen yang dikenali sebagai Hafiziah, Juyusyiyah, Sudaniah dan lain-lain lagi. Angkatan tentera laut juga kedapatan dalam kerajaan Fatimiah yang berpusat di Iskandariah, Danika, Ascaton dan pelabuahan-pelabuhan di Syiria.
6. Zaman Kerajaan Islam India.
6.1 Sumbangan.
Di antara sumbangan utama kerajaan-kerajaan Islam di India ialah bidang pendidikan. Professor M. Haminuddin Khan menjelaskan sejak zaman Muhammad bin Kasim yang merupakan penakluk pertama Islam di India telah mendirikan masjid. Masjid bukan sahaja merupakan sumbangan kepada perkembangan seni bina malah merupakan pusat pendidikan. Beliau juga telah dikatakan telah membina maktab-maktab dan madrasah-madrasah.[54]
Mahmud Ghaznawi sebenarnya orang yang telah berjaya menegakkan pemerintahan di India yang diperkukuhkan lagi oleh Muhammad Ghori. Mungkin sukar untuk dinafikan tentang kesibukan Mahmud Ghaznawi untuk memperkukuhkan kerajaannya dari serangan-serangan musuh namun demikian beliau sempat juga mengembangkan tamadun Islam di India. Di antaranya beliau telah membina sekolah-sekolah, maktab-maktab dan universiti-universiti.[55]
Perkembangan Islam di India adalah ekoran daripada perkembangan Islam di Timur tengah. Jesteru perkembangan yang begitu memuncak di Timur tengah juga memberi kesan kepada perkembangan di India. Di mana di India telah terdapat institusi-institusi pendidikan yang berbentuk profesional seperti maktab-maktab, teknik, perdagangan, kraftangan, perakaunan dan sebagainya.[56]
Dr. I.h. Qureshy yang pendapatnya diambil oleh Professor Haminuddin Khan mengatakan sikap Sultan Balban yang memberikan layanan istimewa kepada golongan sarjana yang menyebabkan bandar-bandar utama India pada masa pemerintahanya menjadi tumpuan sarjana-sarjana dari dunia Islam yang memperkembangkan lagi tamadun Islam di India.[57]


Penutup.

Kajian terhadap tamadun Islam dapat dilihat melalui ciri-ciri tamadun Islam sendiri. Secara keseluruhannya, tamadun Islam lebih banyak dibangunkan oleh orang Arab dan kesenian yang terhasil pada zaman selepas bani Umaiyah adalah dari orang Arab. Kejayaan tamadun Islam banyak bergantung kepada kekuatan tenteranya dan kecintaan orang Islam terhadap ilmu pengetahuan. Selain itu umat Islam bersaing rapat dalam ekonomi yang telah menyebabkan kebanyakan umat Islam hidup mewah pada zaman keagungan Islam.

Kemewahan ini akhirnya menutup mata umat Islam sendiri kerana alpa dengan kekayaan dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk menjatuhkan mereka. Kegagalan dalam menegakkan syariat Islam selepas zaman para sahabat melonggarkan hubungan mereka dengan Allah. Walaupun begitu tidak semua umat Islam lalai malah ada juga sebilangan besar dari mereka yang taat kepada Allah seperti khalifah Abdul Malik.

Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah mengambil iktibar dari contoh yang telah ditunjukkan oleh umat Islam dan hindari faktor-faktor kelemahan umat Islam dahulu.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com