Sumber-Sumber Tamadun Islma

PENGENALAN

Dunia telah dikuasai oleh tamadun Islam selama lebih dari sepuluh abad, mulai abad ke-7 hingga ke-18M. Ia merupakan tamadun yang paling seimbang dalam sejarah manusia, seimbang di antara kemajuan kemajuan kerohanian dengan kemajuan kebendaan. Dalam jangka masa itu di seluruh pelusuk dunia Islam, sains dan teknologi berkembang pesat. Kota Baghdad, Cordova, Iskandariah dan lain-lain muncul sebagai pusat-pusat penting perkembangan kebudayaan dan tamadun. Ia menjadi tumpuan para pelajar dan sarjana dari seluruh pelusuk dunia untuk mempelajari dan mendalami berbagai aspek ilmu pengetahuan terkini.

Kecuaian umat Islam terhadap ajaran Islam dan disertai dengan pelbagai tragedi pahit yang melanda dunia islam, mengakibatkan tamadun islam mulai melalui zaman kemerosotan pada abad ke-13 M. Antara tahun 1096-1291 serta antara 1496 hingga 1453 dua gelombang perang Salib telam meletus dimana negara-negara Kristian Eropah bergabung menentang kuasa Islam.

Rangcangan jahat yang telah dilaksanakan oleh Kristian itu telah mengakibatkan umat Islam terbahagi 53 buah negara yang berbeza kawasan geografi dan penduduknya. Ini tidak termasuk sebilangan besar minoriti Islam yang berjumlah beberapa ratus juta di India, China, Filipina dan kebanyakan negara bukan Islam di dunia. Pembahagian ini menjadikan orang-orang Islam lemah dari segi kebendaan dan moral pada ketika orang-orang bukan Islam bergabung secara ekonomi, politik dan ketenteraan.

DEFINISI TAMADUN ISLAM
Teuku Iskandar di dalam Kamus Dewan mencatatkan pengertian tamadun sebagai kebudayaan, peradaban, kemajuan dan sopan-santun. Kemajuan meliputi dari segi kerohanian dan kejasmanian.

Abu Bakar Hamzah di dalam bukunya Sejarah Kebudayaan Islam menjelaskan bahawa tamadun adalah berasal dari perkataan Arab yang telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada perbendaharaan kata Melayu. Tamadun itu lahir serentak, seiring dan sejalan dengan perkembangan kehidupan manusia dari semasa ke semasa dalam bentuk pemikiran dan kebendaan.

Istilah peradaban pernah digunakan oleh beberapa orang sarjana Islam seperti Muhammad Uthman El-Muhammady yang menulis buku Peradaban Islam, Profesor Madya Dr. Ismail Hamid yang menulis buku Peradaban Melayu dan Islam dan lain-lain. Mereka pada keseluruhannya berpendapat bahawa peradaban itu ialah pencapaian manusia dalam kedua-dua bidang iaitu kerohanian dan kebendaan.

A.S Hornby dan E.C Parnwell di dalam The Progressive English Dictionary, menjelaskan civilization bermaksud meningkatnya pencapaian hidup manusia daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang ilmu, sains, teknologi, politik, moral dan sebagainya.

Dalam bahasa Arab terdapat empat istilah yang digunakan dalam membicarakan konsep tamadun iaitu istilah Hadarah, Umran, Madaniyah dan Tamadun. Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi di dalam Qamus al-Marbawi, menjelaskan bahawa kata tamadun berasal daripada kata madana yang bermaksud kehalusan budi pekerti dan akhlak mulia seperti orang kota. Ia juga menjelaskan bahawa kata tamadun juga membawa maksud kehalusan adat atau kemurnian pencapaian manusia yang hidup di kota yang memiliki peraturan yang baik sehingga berjaya menghasilkan keamanan, keselamatan, kemakmuran dan penghasilan teknologi yang membantu menyempurnakan kehidupan kota yang bahagia.

Profesor Madya Dr. Lutpi Ibrahim pula menjelaskan bahawa kata tamadun berasal daripada kata tamaddana, tamaddunan dan madinah yang membawa maksud kehidupan kota yang menghasilkan pencapaian tinggi di dalam pelbagai aspek sama ada kerohanian atau kebendaan.


“Nota: untuk maksud perkataan Hadarah dan Umran dengan lebih tepat kerana tidak dibincangkan di sini, sila rujuk “Ma’alim fi at-Tariq”, oleh Syed Qutb dan “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun.”

KEISTIMEWAAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam mempunyai keistimewaan dan ciri-ciri yang membezakannya dengan tamadun dunia yang lain. Antaranya yang terpenting adalah sumber kepada tamadun itu sendiri.

Berasaskan kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Tamadun Islam tegak di atas dasar Allah S.W.T yang terpancar di dalam al-Quran al-Karim, kitab Allah yang terakhir diturunkan kepada manusia, mengandungi segala nilai, dasar, prinsip serta hukum-hukum yang membimbing manusia untuk mencapai perkembangan dan kesempurnaan hidupnya.

Ajaran-ajaran yang dibawa oleh al-Quran al-Karim dan bimbingan serta panduan di dalamnya seperti yang telah disebutkan sebelum ini telah mewujudkan tamadun yang unggul yang dipersembahkan oleh islam kepada kemanusiaan. Oleh kerana al-Quran adalah wahyu dan kalimah Allah S.W.T, maka ia menghubungkan manusia dengan perubahan dan perkembangan dan tamadun yang di cetuskannya sentiasa subur dan berkembang selaras selaras dengan kehidupan dan sentiasa memenuhi keperluan manusia.

Dengan demikian menurut perspektif Islam wahyu al-Quran dan al-Hadis adalah sebagai kriteria utama bagi menilai sesuatu perkara bersama-sama dengan kriteria-kriteria yang lain seperti pengalaman manusia, kebolehan mengetahui sesuatu tanpa berfikir atau mengkaji dan akal fikiran adalah sebagai faktor-faktor pembantu kepada wahyu.

SUMBER – SUMBER TAMADUN ISLAM
Antara sumber – sumber tamadun Islam ialah:
1. al – Quran
2. al – Hadith
3. al – Ijmak
4. al – Ijtihad
5. Tamadun – tamadun asing

Walaupun terdapat pelbagai sumber kepada tamadun Islam, tetapi pengkhususan untuk perbincangan ini diberikan kepada al – Hadith yang kurang ditekankan oleh kebanyakan penulis – penulis yang lain.

As – Sunnah sebagai sumber tamadun
As –Sunnah dari segi bahasa beerti perjalanan, iaitu sama ada perjalanan baik ataupun buruk. Dari segi istilah Ilmu Hadith, ahli – ahli Hadith menyamakan perkataan al-Hadith dengan as-Sunnah, iaitu apa –apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sama da perkatan, perbuatan, persetujuan ataupun sifat – sifat kejadian, akhlak dan sirahnya sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi rasul.
Dalam penggunaan biasa, Hadith hanya membawa maksud apa – apa yang disandarkan kepada Rasulluh s.a.w sama ada dari segi perkataan, perbuatan ataupun pengakuan selepas baginda diutus menjadi rasul. Ahli – ahli Hadith membuat kesimpulan bahawa as – Sunnah lebih umum daripada al-Hadith. As-Sunnah meliputi segala aspek kehidupan baginda Rasullullah s.a.w dari semenjak baginda dilahirkan sehinggalah kepada kewafatan baginda. Sedangkan al-Hadith hanya terhad merujuk pada masa selepas baginda di angkat menjadi rasul kepada seluruh umat manusia.

Mengikut Ulama Usul a-Fiqh, as-Sunnah ialah segala yang dating daripada Nabi s.a.w. selain dari al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan ataupun keakuran baginda yang boleh di jadikan dalil kepada hokum syarak.

Adakalanya sarjana – sarjana hadith dan Usul al-Fiqh menggunakan perkataan ‘Sunnah’ ini terhadap perbuatan atau amalan para sahabat baginda s.a.w. berdasarkan kepada sabda Rasullullah s.a.w yang menggalakkan umat Islam mengikut sunnah para sahabat r.a.

Sunnah mengikut pengertian ulama Usul al-Fiqh telah di bahagikan kepada tiga bahagian:


i. Sunnah Qawliyah (sunnah perkataan)
Iaitu hadith – hadith yang di sebut oleh Rasullullah s.a.w.untuk menerangkan berbagai tujuan dan dalam berbagai kesempatan, seperti sabda baginda s.a.w.:

“Dari Umar al-Khattab: Telah berkata Rasullullah s.a.w, Sesungguhnya segala amal itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap – tiap seseorang itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah s.w.t. dan RasulNya ia akan mendapat balasan kerana Allah dan RasulNya dan sesiapa yang berhijrah kerana mendapatkan faedah dunia semata – mata atau kerana ingin mengahwini seseorang perempuan, maka hijrah ia adalah kepada apa yang dihijrahkannya.”


ii. Sunnah Fi’iliyyah (sunnah perbuatan)
Iaitu perbuatan Rasullullah s.a.w. sendiri seperti mendirikan sembahyang lima waktu, mengerjakan haji, mengadili perkara berdasarkan saksi dan sumpah dan lain – lain lagi. Contohnya di samping Rasullullah s.a.w. melakukan ibadat sembahyang dan haji, baginda juga memerintahkan kaum Muslimin mengerjakan sembahyang dan haji seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasullullah s.a.w. Di mana baginda telah bersabda sambil mengerjakan ibadat itu yang bermaksud:

“Sembahyanglah kamu seperti mana kamu melihat aku sembahyang.“
Demikian juga sewaktu baginda mengadili suatu perbicaraan di mahkamah, antara lainnya baginda bersabda memperingatkan hakim supaya sentiasa berlaku adil terhadap sesiapa sahaja yang bermaksud:

“Andaikata dilayangkan setiap orang dengan tuntutannya, nescaya ada orang yang menuntut harta benda orang lain, ada pula yang menuntut darahnya. Akan tetapi yang menuntut itu harus membawa saksi, manakala yang memungkiri harus bersumpah.”


iii. Sunnah Taqririyah (sunnah pengakuan)
Iaitu diam atau keakuran Rasullullah s.a.w. terhadap perkataan atau perbuatan orang lain yang dilakukan di hadapan baginda atau sewaktu baginda ada dan mengetahui perkara tersebut. Umpamanya setelah selesai perang Banu Qurayzah Rasullullah s.a.w. menyerahkan ketua – ketua pemberontak dari kabilah itu kepada Sa’d bin Mua’dh supaya mereka itu dijatuhkan hukuman menurut ijtihadnya. Lalu Sa’d pun menjatuhkan hukuman bunuh keatas pemberontak-pemberontak itu. Keputusan itu telah diketahui oleh baginda lantas diakuinya dan baginda s.a.w bersabda:

“Sesunngguhnya engkau telah menghukum antara mereka dengan hokum Allah dari atas tujuh petala langit.”

Jelasnya sama ada baginda s.a.w. menampakkan persetujuan atau gembira dan senang hati atau baginda memujinya atau tidak menjelaskan atau akur sahaja terhadap perkataan atau perbuatan orang lain (sahabat) adalah termasuk dalam pengertian Sunnah Taqririyyah.


Terdapat juga perbezaan antara hadith dan sunnah. Hadith adalah kenyataan dari apa yang dilakukan. Sedangkan sunnah pula ialah apa yang terkandung di dalamnya. Lantaran itu dapat dikatakan bahawa hadith – hadith ialah pengertian atau pernyataan daripada sunnah.

Dalam konteks tamadun Islam as-Sunnah merupakan sumber yang kedua selepas al-Quran. As-Sunnah berfungsi sebagai penguat atau penyokong kepada hukum – hukum yang terdapat di dalam al-Quran, penghurai dan pentafsir kepada ayat – ayat al-Quran dengan berbagai cara menjadi keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tidak ada dalam al-Quran dan keterangan bagi nas. Sebagai rumusannya fungsi as-Sunnah bolehlah dikatakan sebagai penterjemah amali dan perincian kepada al-Quran al-Karim.

Kedudukan al-Hadith yang begitu penting selepas al-Quran dalam kehidupan seorang Muslim dan hubungannya dengan Allah s.w.t dapat dilihat peranannya di bidang – bidang akhidah, ibadat, hukum, akhlak dan syariah.

Peranan al-Hadith di bidang Akhidah dan iman ialah membicarakan tentang asas – asas keimanan terhadap Allah s.w.t. dan perkara – perkara berhubung dengannnya. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Islam diasaskan di atas lima perkara, wajib mengesakan Tuhan, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji.”

Peranan hadith di dalam bidang akhidah juga meliputi perkara – perkara yang berhubung dengan ‘tawakul’ dan alam akhirat. Tawakul mempunyai hubungan yang rapat dengan akhidah atau iman.

Dalam pengertian tawakul dapat diumpamakan sebagai sandaran hati kepada wakil. Menurut Islam, tawakkal ialah menyerahkan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. dalam menghadapi sesuatu pekerjaan atau situasi. Dalam masalah ini Rasullullah s.a.w. telah memberikan garis panduan dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Seorang lelaki bertanyakan Rasullullah s.a.w., “Wahai Rasullullah, adakah unta itu saya tambat
terlebih dahulu kemudian saya tawakkal, atau saya lepaskan sahaja dan sesudah itu saya
tawakkal?” Rasullullah menjawab, “Tambatlah ia terlebih dahulu kemudian anda tawakkal.””

Oleh itu tawakkal adalah merupakan jalan terakhir dalam perjuangan seseorang mukmin di mana apabila segala usaha telah dilakukan sebelumnya.

Peranan al-Hadith dalam Ibadat begitu penting sekali kerana dengan al-Hadithlah dapat diketahui maksud – maksud ayat – ayat al-Quran dan kuasa – kuasa sesuatu hukum dan masalah – masalah yang berhubung dengan soal – soal ibadat sama ada wajib ataupun sunat. Apa yang disebut di dalam al-Quran berhubung denagn ibadat ini (contohnya sembahyang) hanya seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dirikanlah sembahyang.”

Bagaimana caranya, bilangan rakaat, bacaan dan syarat – syaratnya tidaklah dinyatakan oleh al-Quran, maka dengan hadithlah perkara – perkara demikian dapat diselesaikan sehingga umat Islam dapat mengerjakan ibadat sembahyang sebagaimana yang dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. sendiri. Begitu juga dengan ibadat – ibadat dan amalan – amalan yang lain telah dipelajari dan difahami oleh para sahabat r.a melalui sunnah atau hadith yang meliputi kata – kata, perbuatan dan pengakuan baginda selama hayatnya.

Peranan hadith di bidang hukum atau undang – undang dapat dilihat kesempurnaannya sebagai salah satu dari sumber – sumber hukum Islam sesudah al-Quran. Dalam hal hukuman terhadap penzina umpamanya, walaupun ianya diterangkan di dalam al-Quran dengan agak terperinci. Tetapi masih ada lagi hal – hal yang memerlukan perincian dari sunnah atau hadith jika tidak, seseorang hakim akan membuat keputusan dan tindakan yang bercanggah dengan ketetuan Allah s.w.t. sekaligus kezaliman dan ketidak adilan berlaku dalam masyarakat manusia. Orang yang hanya berpandukan kepada Al-Quran sahaja atau yang jahil terhadap sunnah Nabi s.a.w. atau yang lupa tentang hadith – hadith yang menjelaskan aspek – aspek hukum pasti akan melakukan kesilapan atau kesalahan dalam keputusan hukumannya. Peristiwa berikut dapat membuktikan hakikat ini:

Pada suatu ketika seorang wanita yang tidak siuman telah di bawa kehadapan khalifah Umar al-Khattab. Wanita itu telah melakukan zina dan telah mengakui kesalahannya. Lantas Umar memerintahkan agar ianya direjam. Saidina Ali bin Abi Talib r.a. telah membantah dan berkata, “Apakah tuan hamba memerintahkan agar wanita itu di rejam? Lupakah tuan hamba dengan sabda Rasullullah s.a.w.”

” Tiga perkara yang di maafkan, iaitu orang gila yang tidak waras akalnya, orang yang tidur
sehingga ia jaga dan kanak – kanak sehingga ia baligh.”

Hadith – hadith Nabi s.a.w. telah membicarakan perkara – perkara yang meliputi soal – soal yang berhubung dengan keadilan sosial, ekonomi dan politik. Oleh kerana ayat – ayat al-Quran mengenai hukum hanya menerangkan prinsip – prinsipnya sahaja sudah tentunya tidak merangkumi keterangan – keterangan yang terperinci berhubung dengan semua perkara diatas. Kita tidak dapat menemui dalam al-Quran, misalnya larangan – larangan secara khusus terhadap amalan – amalan rasuah dan menyorok barang – barang dagangan, walhal amalan – amalan demikian adalah dikutuk dan dilarang oleh Islam sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
1. ”Allah melaknat orang yang memberi, orang yang menerima dan orang yang menjadi perantaraan berlakunya rasuah.”

2. “Barang siapa menyorok barang – barang makanan selama 40 hari, maka tiadalah apa-apa lagi diantaranya dengan Allah, dan Allah tiada lagi apa – apa dengannya.”

Ajaran – ajaran hadith yang berhubung dengan akhlak (moral) seperti nilai – nilai perseorangan, memberi salam, istighfar, taubat dan zuhud adalah merupakan sifat – sifat yang boleh membawa kepada kesempurnaan manusia da di pandang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Prinsip perseorangan yang diterangkan oleh hadith umpamanya dari pandangan praktis tidak sahaja diajarkan tetapi juga diamalkan dan ini adalah satu kemegahan yang besar. Hampir semua agama telah mengajar persaudaraan manusia dalam pelbagai bentuk, tetapi dalam sejarah tidak ada satu agama pun yang dapat membanggakan diri dengan menjadikan ajarannya itu begitu nyata dan meresap dalam kehidupan sehari – hari penganut – penganutnya selain dari agama Islam. Dalam pidatonya yang terakhir, Rasullullah s.a.w. telah mengatakan kepada pengikut – pengikutnya bahawa keutamaan hanya terletak dalam amal tindakan. Kebanggaan kerana warna kulit atau kebangsaan sangat di cela oleh baginda.”Orang Arab tidaklah lebih dari orang bukan Arab. Kamu semua dari Adam dan Adam dijadikan daripada tanah.”

Hadith – hadith telah memberikan pendidikan bukan sahaja dalam perkara – perkara besar sahaja sepertial soal – soal negara tetapi juga perkara – perkara kecil seperti adab makan, minum dan adab ke tandas. Dalam soal memberi salam terdapat sebuah hadith yang bermaksud:

“Orang yang berkenderaan hendaklah memberi slam kepada orang yang berjalan kaki, dan yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan yang sedikit memberi salam kepada yang ramai.”

Hadith menjadi sumber kepada syariah selepas al-Quran. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w. sendiri ketika baginda mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Bagaimanakah kamu akan menghukum (sesuatu) ?” Jawab Muaz, “Dari apa yang ada di dalam
kitab Allah.” ”Bagaimana jika tidak ada di dalam kitab Allah?” Tanya Rasullullah s.a.w. Jawab Muaz “Jika tidak ada dalam kitab Allah, hamba akan menghukum dengan sunnah Rasullullah.””Bagaimana jika tidak ada dalam sunnahku.” Tanya Rasullullah lagi. “Hamba akan berijtihad dengan menggunakan fikiran hamba.” Jawab Muaz. Lantas Nabi s.a.w bersabda:“Maha Terpuji Allah yang telah menganugerahkan utusan Rasullullah dengan apa yang dapat diterima opleh RasulNya.”

Hadith yang merupakan tempat kita mendapat panduan dan ilham dalam usaha kita mengambil sesuatu hukum telah memberi nilai keagungan syariah.

PENUTUP
Peri pentingnya sunnah ini dapat dilihat daripada peranannya yang telah mewujudkan bentuk – bentuk amali terhadap prinsip – prinsip yang terdapat dalam al-Quran. Melalui sunnah kita dapat melihat bagaimana Rasullullah s.a.w. melaksanakan hukum – hukum (perundangan) al-Quran dan prinsipnya di Tanah Arab. As-Sunnah seolah – olah satu gambaran yang lengkap bagi prinsip – prinsip al-Quran yang dilahirkan dalam bentuk amali yang memberikan kita contoh – contoh latar yang bernilai tentang perlembagaan Islam dan juga tentang beberapa tradisi perlembagaan (constitutional tradition) .

Sunnah juga seperti al-Quran, ada di antaranya yang berhubung dengan hukum – hukum (perundangan khas dan am) , dan ada pula yang menyentuh bidang – bidang lain yang kesemuanya ada kaitan dengan kecergasan manusia dalam kesemua bidang hidupnya sejajar dengan keperluan zaman baginda. Dengan kerana itu, sehubungan dengan perbincangan mengenai perlembagaan Islam ini, ulama telah membangkitkan hadith – hadith Rasullullah s.a.w. kepada dua kategori. Pertamanya, hadith hukum iaitu segala hadith yang mengandungi penjelasan tentang prinsip – prinsip umum atau kaedah – kaedah hukum yang terdapat di dalam al-Quran. Keduanya, hadith – hadith yang ada kaitan dengan bidang – bidang lain selain daripada bidang hukum.

Ringkasnya kedudukan hadith di dalam Islam adalah amat penting sekali. Pentingnya hadith kerana ia menjelaskan segala aspek dari kehidupan Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. hidup selama 23 tahun sesudah baginda menjadi utusan Allah s.w.t dan telah memberikan ‘Din’ yang diredhai oleh Allah yang baginda s.a.w. sendiri mengamalkannya dan mengasaskan negara yang baginda sendiri mentadbirnya dan mewujudkan suasana keamanan, memimpin tentera serta membuat keputusan hukum dan melaksanakannya dengan adil dan saksama.

Jelaslah di sini bahawa apabila umat Islam sudah lari dari landasan al-Quran dan as-Sunnah, maka sudah tentu umat itu dianggap sebagai umat yang tidak bertamadun, jauh dari nur Ilahi. Dari peristiwa sejarah banyak telah terbukti, bahawa sesuatu tamadun itu tidak akan kekal lama atau akan menerima kehancuran sekiranya ia terkeluar dari dasar yang telah ditetapkan oleh Allah. Al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber tamadun ini telah dinyatakan dengan jelas sekali oleh baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu selama mana kamu berpegang teguh
dengannya, nescaya kamu tidak sekali – kali akan sesat buat selama – lamanya, iaitu kitab Allah
dan sunnah NabiNya (atau sunnahku, mengikut lafaz hadith yang sama diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a) …..”



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com