Perubahan Islam Ke Atas Melayu



Kedatangan Islam nyata telah melakukan satu perubahan alam aspek kepercayaan daripada alam tahyul dan khurafat, masyarakat telah diperkenalkan satu konsep aqidah yang jelas iaitu aqidah tauhid, Ajaran tauhid yang bersifat metafizik ini menyelit unsur-unsur inteliktualisma serta aqidah ke dalam pemikiran masyarakat. Ia telah menyebabkan timbulnya rasionalisma yang tidak pernah wujud sebelumnya. S.M.N. al-Attas (1972) menyatakan fenomena inilah yang telah mencetuskansatu semangat hebat yang mampu menggerakkan perubahan falsafah hidup masyarakat di Nusantara ini.
Masyarakat mula meninggalkan alam mitos dan khayalan menuju alam pemikiran, akal serta peraturan-peraturan hidup yang jelas. Merake mula percaya kepada rukun-rukun Iman dan Islam serta beribadat kepada Yang Maha Esa.
Sepanjang abad 13-16 M Alam Melayu mengalami proses perubahan yang menghasilkan masyarakat yang putus dari tradisi pra-Islamnya kepada perubahan jiwa dan minda serta berpegang kepada aqidah, syariat, word-view serta nilai-nilai hidup Islam yang murni. Ia membuka laluan bagi Alam Melayu untuk bangkit menjadi “Khairu-ummah”, berusaha menghargai nilai diri serta mempunyai sikap dan tabiat menghargai akal dan fikiran.

PENGARUH ISLAM DARI SUDUT AQIDAH

Pada dasarnya aqidah bererti iman, yakni kepercayaan atau keyakinan hidup. Menurut pandangan tradisional, pembahasan tentang aqidah Islam berkisar pada Rukun Iman yang enam iaitu iman kepada Allah s.w.t, iman kepada malaikat- malaikat-Nya, iman kepada kitab-kitab-Nya, iman kepada rasul-rasul-Nya iman kepada Hari Akhirat dan iman kepada qada dan qadar. Inilah aspek-aspek yang dibahaskan dalam ilmu yang disebut usuluddin atau ilmu tauhid.
Tetapi bagi para pemikir islam kini pembahasan tentang aqidah Islam tidak setakat Rukun iman tersebut sahaja, malah merangkumi tiga masalah poko yang dihadapi oleh manusia; tuhan, alam dan manusia sendiri. Mengenai tuhan, konsep yang pertama dan utama ialah doktrin tentang tauhid. Menurut aqidah Salafiyyah, tauhid dalam Isalm bukan hanya bersifat Ubudiyah atau Uluhiyah. Ertinya kita tidak hanya dituntut mempercayai adanya Allah s.w.t. sebagai pencipta, pemelihara atau penguasa alam ini, malah dituntut agar menyembah-Nya dengan penuh iklas lagi tawaduk. Menurut ajaran Salaf ini, tauhid Rububiyah bukan sahaja tidak cukup bahkan membawa kepada bahaya syirik, yakni menyukutukan Allah s.w.t. dengan yang lain-lain.
Sebenarnya syirik tidak hanya sekadar menyembah berhala atau memuja kuasa-kuasa alam, bahkan juga meliputi menyembah sesama manusia kerana kelebihan-kelebihan tertentu yang dimilikinya (seperti gaagah perkasa atau bijaksana), menyembah nenek moyang (ancestor) atau menyembah hawa nafsu sendiri. Pendeknya seperti yang ditegaskan oleh Syeikh Muhammad Abduh bahawa yang dikatakan syirik ialah kepercayaan tentang adanya sesuatu yang dapat memberi bekas atau mempunyai kekuasaan yang mutlak selain Allah s.w.t.
Mengenai alam, menurut Al-Quran alam semesta dan manusia adalah sesuatu yang rahsia atau tersembunyi hakikatnya. Alam semesta sebagaimana digambarkan oleh al-Quran adalah tersangat luas penjurunya, bergerak dan berubah terus menerus, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan, dapat diukur dan dihitung perjalanannya. Terciptanya alam ini sebenarnya adalah untuk dua tujuan penting; pertama untuk faedah dan kepentingan insan, dan kedua untuk renungan dan kajian pemikiran terhadapnya. Jika tujuan yang pertama lebih bersifat kebendaan, maka tujuan yang kedua pula bersifat rohani dan akliah.
Adapun tentang manusia, ada dua aspek penting yang perlu diketahui. Pertama, kedudukan manusia sebagai khalifah Allah s.w.t. yang diamanahkan untuk memakmur dan memanfaatkan muka bumi ini untuk kepentingannya. Dan kedua status manusia sebagai 'abdullah' atau hamba Allah s.w.t. sungguhpun ia diberi amanah untuk menguasai muka bumi.
Demikianlah dua konsep asas tentang aqidah yany saling melengkapi. Dalam hubungannya denga hidup dan kebudayaan, pada hakikat aqidah adalah merupakan teras atau asas pemikiran bagi seluruh kemasyarakatan, seumpama lapangan sosial, ekonomi, politik dan lain-lainnya. Atau dalam bidang ilmu, aqidah juga merupakan asas dan dasarpembinaannya. Pendeknya dalam bidang apa sekalipun, baik aspek jasmani mahupun rohani, segala-galanya harus bertolak dari aqidah Islam atau al-Tasawwur al-Islami (pandangan Islam).

Aqidah Islam di Nusantara
Sebelum kedatangan Hindu ke Nusantara, masyarakat tempatan sudahpun mempunyai kepercayaannya sendiri yang sering diistilahkan sebagai animisme, dinanisme dan khususnya pemujaan Hyang atau nenek moyang (ancestor cult). Dan selepas proses pengindiaan masyarakat tempatan menganut pula agama Hindu atau Budda, atau kedua-duanya sekali. Bahkan seperti yang dikupas sebelumnya, wujud apa yang disebut sebagai sinkretisme atau persenyawaan di mana kedua-dua agama India itu dianuti bersama-sama kepercayaan nenek moyang. Jadi di sini kelihatan betapa tolak ansurnya penduduk peribumi terhadap pengaruh asing, tetapi serentak dengan itu pula mereka masih tetap mencintai tradisi nenak moyangnya.
Dengan kedatangan Islam ke Nusantara, sekali lagi berlaku keadaan yang sama di mana sungguhpun aqidah Islam disambut baik, tetapi di samping itu juga kepercayaan tradisional masih kekal dan dipertahankan. Jika dengan kedatangan agama Hindu-Budda berlaku sinkretisme maka dengan kedatangan Islam pula berlakulah apa yang disebut sebagai 'talbis', yakni percampuran antara yang hak (kebenaran) dengan yang batil (kesalahan).
Di Melaka, berlakunya 'talbis' dapat dilihat pada tindakan raja-raja itu sendiri yang walaupun sudah menerima aqidah Islam dan mengaku tunduk kepada Allah Yang Maha Kuasa, tetapi masih mendakwa sebagai penitisan dewa-dewa yang turun dari Bukit Siguntang Mahameru di Palembang. Tidak cukup dengan pengekalan konsep Dewaraja ini ianya diperkukuhkan lagi dengan tindakan menghubungkan nasab keturunan mereka dengan Iskandar Zulkarnain dan juga Nabi Khidr. Bahkan di Acheh sendiri pernah di metoskan bahawa nenek moyang Iskandar Muda adalah berasal dari buluh betung, yakni sama dengan ibu Seri Rama yang juga berasal dari buluh betung itu. Dengan itu kedudukannya akan di pandang tinggi dan dikuduskan melebihi penghormatan terhadap manusia biasa.
Teruma di Jawa, pengaruh ajaran pantheisme warisan Hindu-Buddha yang melihat adanya kesatuan antara 'Kawula lan Gusti' atau hamba dengan Tuhan itu masih tetap bertahan dengan gagahnya. Dan setelah penerimaan Islam ia disesuaikan pula dengan faham tasawuf Wahdah al-wujud yang juga melihat kesatuan wujud di antara tuhan dengan makhluk itu. Dengan itu Tuhan sudah tidak lagi berbeza dengan makhluk, sungguhpun faham tauhid mengajarkan bahawa "tiada sesuatu pun yang menyerupai- Nya" (al-Syura:11).
Memang jika diteliti sejarah perkembangan usuluddin atau ilmu tauhid di Nusantara, sejak zaman kebesatan Acheh pada abad ke-17 lagi sudah diperkenalkan oleh Syeikh Abdul Rauf Fansuri ajaran 'Sifat 20' yang bertolak dari kitab Umm al-Barahin oleh Imam al-Sanusi. Sesudah itu berturut-turut muncul para ulama yang memperluaskan lagi ajaran 'Sifat 20' ini melalui kitab-kitab mereka, seperti kitab Bidayah al---Hidayah oleh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin al-Ashi, kitab Zuhrat al Murid fi Bayani Kalimat Al-Tauhid oleh Abdus Samad al-Falimbani, serta kitab Aqidah Al-Bayan oleh Tuk Shihabuddin Palembang. Kemudiannya semakin banyaklah yang mengupas dan mengembangkan ajaran 'Sifay 20' ini, seumpama Uthman bin Yahya al-Betawi, Muhammad Zainuddin ibn Muhammad Badawi al-Sambawi, Dawud bin Abdullah al-Fatani dan sebagainya.
Bagaimanapun juga, perkembangan ajaran tauhid 'Sifat 20' ini tidak menghalang kepercayaan tradisional daripada terus hidup subur seperti sebelumnya. Khusus tentang pemujaan nenek moyang, kesan-kesannya dapat disaksikan pada upacara kenduri arwah pada malam-malam ke-7, 40, 100 dan sebagainya. Menurut kepercayaan nenek moyang, dengan berkumpul beramai-ramai pada malam-malam tersebut dapat menghindarkan diri dari gangguan-gangguan roh si mati. Dan kalau sebelumnya dipercayai adanya puaka atau penunggu di suatau tempat, dengan kedatangan Islam kepercayaan ini tetap kekal melalui penyesuaian dengan konsep keramat dalam Islam yang disalahtafsirkan itu
Selain dari itu kita masih dapat menyaksikan kesan-kesan kepercayaan tradisional pada kegiatan ‘memanggil semangat’ pada upacara perkahwinan, orang yang baru sembuh dari penyakit atau baru pulang dari perjalanan. Dalam kegiatan perubatan pula sungguhpun ada disebut nama allah atau Bismillah, tetapi masih digunakan jampi atau mentera yang mana kandungannya terdapat kepercayaan kepada roh-roh atau penunggu di suatu tempat.
Demikianlah dari contoh-contoh amalan atau kepercayaan tradisional yang masih hidup itu maka sukarlah untuk mengatakan yang kedatangan Islam telah berjaya menukar atau mengubah sama sekali kpercayaan tradisional setelah menirima aqidah islam. Apa yang sebenarnya berlaku bukannya perubahan (taghyir), tetapi kesinambungan disamping perubahan. Melalui sikap toleransi dan kompromi yang menjadi bawaan penduduk peribumi itu masih tidak pernah ditolak, tetapi disambut baik untuk kemudiannya disesuaikan dengan warisan nenek moyang. Dengan itu wujudlah apa yang disebut tadi, iaitu suasana ‘talbis’ atau bercampur di antara hak dengan yang batil. Contoh siini disebutkan sendir idalam al-quran sebagai berikut:[1]
“Dan janganlah kamu campur adukkan hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui” al-Baqarah:42.


Pembaharuan yang di bawa oleh Islam.

Kedatangan Islam telah membawa suatu pembaharuan kepada cara hidup penduduk yang terlibat secara keseluruhannya.pembaharuan yang paling ketara sekali ialah semangat persaudaraan dan perpaduan di kalangan penganut-penganutnya. Mereka beragama Islam dan menggunakan bahasa melayu. Sebelum ini agama mereka berbeza-beza, dan bahasa juga berlainan mengikut daerah-daerah yang tertentu.
Tetapi dalam banyak pembaharuan yang dibawa itu adalah berbeza dengan apa yang berlaku di Asia Barat, Asia Tengah dan Eropah. Pada keseluruhannya kebudayaan Islam yang lahir di sana lebih mendekati kepada keasliannya ataupun kepada hakikatnya, berbeza dengan apa yang telah di bawa ke alam Melayu dan lain-lain kawasan sini telah banyak menerima pembaharuan sejarah.
Kebudayaan Islam yang lahir di kawasan-kawasan di atas adalah sejajar dengan zaman keemasan kerajaan-kerajaan Islam yang tertentu, seumpamnya Kerajaan Abbasiyah,Kerajaan Umayyah yang berpusat di Sepanyol, dan sebagainya, sementara kedatangan Islam di rantau ini telah dibawa oleh golongan yang telah tewas,lemah dan yang telah menempuh pelbagai bentuk sejarah. Banyak pula bentuk sejarah itu lebih merupakan kebudayaan tempatan dari kebudayaan Islam sendiri. Walaupun demikian dalam banyak perkara, ideoloji Islam yang tiba di rantau ini telah memperlihatkan beberapa aspek yang rasional, radikal dan progresif, lebih daripada cara hidup tempatan itu sendiri sebelumnya.2

Kepercayaan Aqidah
Pembaharuan terpenting yang jelas dapat dilihat ialah aspek kepercayaan yang mempunyai hubungan rapat dengan cara penduduk di rantau ini berfikir. Sebelum kedatangan Islam kebanyakannya beragama Hindu, selain daripada menganuti kepercayaan-kepercayaan Buddha dan anamisma, ataupun tidak berkepercayaan lansung. Mereka mempercayai Tuhan lebih daripada satu, menyembah berhala dan berbagai lagi, ini terutamanya dilakukan oleh penganut-penganut ananisma pula mempercayai bahawa segala benda di dalam dunia ini mempunyai semangat, atau dengan lain-lain perkataan, berpenunggu.
Secara keseluruhannya kedatangan agama Islam itu telah membawa kepada kepercayaan keesaan Tuhan, iaitu Allah. Kepercayaan ini merupakan suatu objektif yang maha tinggi dan merupakan suatu hakikat rasional dan universal. Walaupun demikian masih banyak lagi saki-baki yang wujud selepas kedatangan Islam ini, terutamanya saki-baki yang berhubung dengan anamisma.
Kepercayaan dan aqidah ini datang dalam bentuk ajaran metafisik ahli tasauf. Menerusi ilmu tasauf roh keagamaan yang bersifat intelektual dan akliah menjalar ke dalam fikiran orang ramai secara terbuka, menyebabkan timbulnya rasionalisma dan intelektualisma yang tidak pernah terlibat dalam zaman sebelum kedatangan Islam. Kelahiran ini dapat dipandang sebagai roh yang kuat yang memulakan proses peruabahan falsafah hidup Nusantara, dengan memalingkan dari alam yang menitikberatkan soal khayal, dongeng, dewa-dewa, dan lain-lain kepada alam fikiran, akal dan peratuarn. Ini menyediakan Nusantara untuk dunia moden yang akan dating. Muballigh-muballigh Isalm mendakwahkan kepercayaan kepada Tuhan yang kekuasaanya :yang kudrat irodatNya penuh dengan dayacipta bertindak mengikut kehendakNya. Manusia adalah dianggap sebagai alam kecil bagi alam semesta. Hakikat dari manusia adalah berakal, dan sifat berakal itu menjadi penghubung antara manusia dengan Allah. Konsep ini memberikan suatu kesedaran tentang harga dan kemuliaan dirinya yang tiada diberikan kepadanya dalam masa sebelum Islam.3
Dalam tamadun Islam terdapat beberapa penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah aqidah akhlak, dan ilmu diikuti dengan asas yang lain keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama.
Aqidah ialah kpercayaan seluruh jiwa raga terhadap keEsaan Allah (swt), kudrat dan iradat-Nya, tiada lain yang disembah selain-Nya.dalam ungkapan yang ringkas ini mengandungi erti kebebasan dan keadilan di kalangan sesama manusia, yakni tidak ada beza dari segi bangsa, keturinan atau warna kulit di sisi Allah(swt). Di atas asas dan prinsip inilah dan bukan kerana kepentingan politik golongan tertentu yang terdiri daripada pelbagai puak, bangsa dan keturunan, umat Islam telah bersatu dan membina tamadun yang tinggi. Tujuan utamanya ialah untuk menjalin hubungan antara mnusia dengan Tuhan antara manusia sesama manusiadan manusia dengan alam sekitar, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Bangsa Arab,Parsi,Turki dan lainya pada ketika dahulu telah berjaya mencipta satu di bawah sistem politik, sosial dan ekonomi dan telah berjaya mencipta satu tamadun yang tinggi dalam hampir semua bidang ilmu pengetahuan, agama dan bukan agama. Tetapi kemudiannya mereka berpecah, berpuak-puak, benci-membenci dan sebagainya kerana aqidah mereka sudah menurun.
Zaman nabi muhammad (saw) merupakan zaman kegemilangan sistem sosial,politik dan ekonomi Islam.umat Islam pada waktu itu telah berjaya membentuk sebuah kerajaan yang kukuh di kota madinah berasaskan aqidah. Walaupun kemajuan sains dan teknologi pada waktu itu tidaklah secanggih zaman moden, tetapi asas tamadun Islam yang dinyatakan di atas, khususnya aqidah sudah dibina dengan mantap.4
Aspek aqidah menjadi aspirasi dalaman bagi setiap orang Islam untuk beramal dan berusaha bagi mendapatkan keredaan Allah (swt). Oleh sebab aqidah bersifat sarwajagat dan tidak terikat dengan batas bangsa, keturunan dan geografi, maka ia dapat diterima oleh semua bangsa di dunia.
Pada zaman nabi muhammad (saw) aqidah atau tauhid adalah bersifat sederhana, murni dan mudah difahami tanpa diserabuti oleh dalil dan hujah-hujah akliah yang berbelit-belit.untuk diterima sebagai seorang Islam umpamanya, cukup dengan mengucap dua kalimah syahadat.
Tahap kedua, pada zaman Sayidina ‘Ali terdapat perubahan aqidah, perubahan ini disebabkan pengaruh asing yang telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam. Pengaruh asing ini cuba mencemarkan aqidah orang islam dengan menyatakan bahawa Allah (swt) bertempat pada diri Sayidina ‘Ali. Pada waktu itu juga timbul teori Wasi dan Raj’ah. Sebenarnya teori ini diambil daripada orang Parsi dan Yahudi. Dripada teori inilah munculnya doktrin Syi’ah. Pada masa yang sama muncul pula mazhab Khawarij dan Murji’ah, dan setelah itu Muktazilah dan Ahl al-sunnah wa al-Jamaah.

Aqidah ialah iman atau kepercayaan kepada Allah S.W.T. yang diikat oleh dua
kalimah syahadah.ia merupakan inti dasar kepada kepada kewujudan tamadun Islam. Apabila seseorang itu beriman kepada Allah S.W.T. dia wajib mematuhi segala yang terkandung dalam tuntutan syahadatian yang diucapkannya. Seseorang yang beraqidah Islam harus faham bahawa dengan menyebut ucapan dua kalimah syahadah tadi telah menyebabkan dirinya terikat dengan tanggungjawab serta komitmen yang tinggi terhadap Allah S.W.T. Bukan sekadar ketaatan yang mutlak kepada Allah (swt), sahaja bahkan seseorang yang mengaku beraqidah Islam mesti menjadikan seluruh jiwa raganya serta hidup dan matinya untuk Allah semata-mata, serta menjauhi sebarang bentuk unsur-unsur syirik dan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam pelbagai bentuk dan corak. Konsep tauhid inilah yang telah melahirkan satu motivasi yang tiada taranya terhadap umat Islam di zaman awal untuk mempertahankan Islam. Penanaman aqidah yang teguh telah menyebabkan seseorang itu sanggup mempertahankan kebenaran dan menumpaskan kebatilan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda demi mempertahankan aqidah serta membuktikan ketakwaan kepada Allah S.W.T.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com