Wednesday, April 16, 2008

Peranan Ulamak Dalam Tamadun Islma


PENGENALAN

“ ULAMA’ ADALAH PEWARIS PARA NABI “
Demikianlah sabda Rasulullah SAW dan kerana sabda bagindalah maka tugas dan tanggungjawab serta peranan para Ulama’ tidaklah begitu mudah. Bila para nabi telah tiada, maka dengan sendirinya yang meneruskan tugas serta tanggungjawab para nabi adalah para Ulama’.
Sebelum mengetahui lebih lanjut mengenai peranan-peranan para Ulama’, terlebih dahulu kita ketahui ciri-ciri yang perlu pada seorang Ulama’. Antara ciri-ciri tersebut ialah seorang Ulama’ itu haruslah pakar dalam agama Islam. Mereka mestilah pakar dalam ilmu-ilmu Islam, memahami Al-Quran, menguasai ilmu tafsir, hadis, mustalahul hadis, fiqh dan usul fiqh dan sebagainya. Mereka juga mestilah seorang yang menjaga amanah ilmu dengan sempurna.
Kedua, seorang Ulama’ mestilah mencintai ilmu pengetahuan kerana mereka adalah golongan yang menghayati budaya ilmu. Bagi mereka menuntut dan menyebarkan ilmu adalah satu usaha yang berterusan. Kemantapan ilmu mereka lebih menyerlah dan meyakinkan lagi masyarakat terhadap kata-kata mereka.
Ketiga, seorang Ulama’ haruslah bersifat taqwa kerana ketaqwaan adalah keunggulan seseorang Ulama’. Ilmu yang yakin serta keimanan yang teguh menjadikan seseorang Ulama’ itu amat taqwa kepada Allah SWT. Ini akan menjadikan mereka sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.
Keempat, seorang Ulama’ mesti tegas dalam mempertahankan kebenaran. Mereka adalah golongan yang benar-benar melaksanakan amanah ilmu. Mereka juga tidak akan menggantikan kewajipan ini dengan habuan duniawi. Oleh itu dalam usaha menyampaikan mesej Islam serta mempertahankan kebenaran itu mereka tidak gentar kepada ugutan, ancaman dan seksaan. Namun harus diingat bahawa ketegasan itu bukan bermakna bersikap kasar, keras hati dan tiada toleransi. Dalam berdakwah, mereka haruslah berdakwah dengan lemah lembut dan penuh hikmah tetapi tidaklah sampai menggadaikan prinsip-prinsip agama Islam.
Kelima, seorang Ulama’ mestilah mempunyai kemahiran berdakwah. Antaranya ialah seperti kemahiran berkomunikasi. Kemahiran ini perlu ada kerana tugas-tugas mereka mendedahkan mereka kepada berbagai-bagai ragam manusia. Kemahiran lain yang perlu ada pada seorang Ulama’ ialah kefasihan dan kebijaksanaan berbincang dan berbahas. Ciri-ciri terakhir yang perlu ada pada seorang Ulama ialah mempraktikkan ilmu yang ada pada mereka. Oleh itu, segala perbuatan mereka haruslah selaras dengan yang mereka miliki. Ulama’ yang sebenar bukanlah mereka yang hanya tahu menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi mereka tidak melakukannya. Dengan itu mereka dapat menjadikan diri mereka sebagai contoh kepada masyarakat.
Sebagai kesimpulannya, seseorang Ulama’ itu haruslah mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan tadi agar mereka dapat melaksanakan peranan-peranan seorang Ulama’ dengan lancar dan sempurna.
DEFINISI

Sebelum mengetahui apakah peranan-peranan seseorang Ulama’, kita perlu mengetahui definisi Ulama’ itu sendiri. Dari segi istilah, Ulama’ beerti ‘ orang-orang yang mengerti ‘, atau ‘ orang-orang yang berilmu ’, atau ‘ orang-orang yang berpengetahuan ‘. Jadi kata Ulama’ adalah jama’ dari kata tunggal ‘aalim. Kata ‘aalim adalah isim fa’il dari kata kerja ‘alima yang ertinya ‘ ia telah mengerti ’ atau ‘ ia telah mengetahui ‘.
Dari segi bahasa pula, Ulama’ dieertikan sebagai orang yang ahli tentang Islam iaitu orang yang mendalam ilmu dan pengetahuannya tentang agama Islam beserta cabang-cabang dalam urusan agama Islam itu. Contohnya, ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu fiqh, ilmu kalam, bahasa arab dan sebagainya. Jadi, seorang Ulama’ itu adalah orang yang faham tentang agama Islam meliputi aqidah, syariah, ibadah, muamalah dan akhlak. Pendek kata, seorang Ulama’ itu adalah seseorang yang benar-benar pakar dan mendalami betul-betul mengenai Islam.
Al-Quran dengan jelas sekali telah megiktiraf golongan Ulama’ ini sebagai golongan yang paling mulia disisi-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dikalangan hamba-Nya ialah ulama’ “
Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Sesungguhnya perumpamaan Ulama’ di muka bumi laksana bintang di langit yang menjadi pedoman di dalam kegelapan di darat dan di laut. Maka apabila bintang telah gelap hampirlah petunjuk itu sesat. “
Dari sini kita dapati penghormatan yang tinggi telah diberikan kepada para Ulama’ kerana tugas mereka yang sangat berat. Para Ulama’ mewarisi tugas para nabi untuk memimpin manusia kepada kehidupan Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama juga mereka terpaksa mengharungi keperitan hidup dan berbagai penderitaan. Ulama’ juga mewarisi amanah menyampaikan ilmu-ilmu Allah kepada manusia, sebagaimana rasul-rasul mengajarkannya kepada umat mereka.
PERANAN ULAMA’

Di dalam bahagian ini kita akan mengenalpasti apakah peranan-peranan seseorang Ulama’ setelah kita mengetahui apakah definisi Ulama’ dan cici-ciri yang perlu ada pada seorang Ulama’. Para Ulama’ haruslah memainkan peranan mereka dengan baik.
Peranan terpenting seseorang Ulama’ adalah menjadi seorang pendakwah. Mereka haruslah berdakwah menyeru masyarakat supaya mengikut jalan yang benar iaitu jalan yang berdasarkan kepada agama Islam. Ulama’ mesti menjalankan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakatnya. Umat Islam disifatkan oleh Allah SWT sebagai umat yang terbaik kerana mereka beriman kepada-Nya dan mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) manusia, kerana kamu menyuruh berbuat perkara makruf, dan melarang perkara mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah “
Di dalam ini, para Ulama’ sebagai golongan pewaris nabi mestilah menunjukkan contoh kepada masyarakatnya. Mereka harus tampil di barisan hadapan dalam melaksanakan tugas dakwah iaitu menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Ulama’ juga bertanggungjawab menyatukan ummah atas dasar iman dan taqwa. Selain itu juga, Ulama’ harus membentuk masyarakat dengan nilai-nilai murni serta akhlak terpuji, menjadi penggerak kepada pembangunan manusia dan menjadi pemangkin kepada pembentukan tamadun rabbani.
Peranan Ulama’ yang kedua pula adalah menjalankan tangungjawab dalam program pembangunan masyarakat. Para Ulama’ bukan hanya menyeru manusia kepada Islam tetapi mereka harus membimbing pembangunan masyarakat supaya selari dengan kehendak agama Islam. Jadi Ulama’ perlu meluaskan peranan mereka dalam aspek pendidikan serta pembangunan masyarakat. Di samping menjadi pengembang dan penyampai ilmu, para Ulama’ juga adalah sebagai model dalam penghayatan terhadap ilmu. Ini kerana para Ulama’ merupakan gambaran hukum Allah SWT di alam realiti. Di dalam konteks pembangunan masyarakat pula, para Ulama’ harus memahami dan mengolah setiap ilmu yang berkaitan dengan perkembangan masyarakat semasa seperti dalam bidang perundangan, ekonomi, politik, kemasyarakatan, sains dan apa sahaja yang berkait rapat dengan konteks pembangunan masyarakat. Ini bertujuan agar pembangunan material dapat diperkembangkan dalam masyarakat mengikut perpektif Islam dan mampu untuk memberi penyelesaian kepada permasalahan umat manusia pada masa kini. Oleh itu, jelas sekali bahawa Ulama’ perlu terlibat secara langsung dalam pembangunan masyarakat samada dari segi keilmuan, mahupun kegiatan-kegiatan yang lain di seluruh peringkat masyarakat yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa. Ini adalah kerana Ulama’ merupakan pengerak dan penyumbang kepada inspirasi pembangunan umat.
Peranan Ulama’ yang seterusnya pula adalah membina generasi muslim yang sejati. Para Ulama’ mestilah berusaha melakukan pembaikan (islah) ke arah memurnikan pemikiran umat Islam agar dapat menerima Islam sebagai satu sistem hidup yang paling sempurna mencakupi segenap aspek kehidupan. Untuk merealisasikan Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, umat Islam perlu dibimbing agar generasi Muslim yang sejati dapat diwujudkan. Para Ulama’ perlu lebih kreatif dalam usaha membersihkan pengaruh pemikiran Barat yang meresapi pemikiran umat Islam pada masa kini sehingga meletakkan Islam hanya dalam aspek-aspek ‘ ritual ‘ dan ‘ ceremonial ‘ semata-mata. Kekuatan generasi Muslim adalah bergantung kepada komitmen mereka dengan ajaran Islam. Dengan itu tiadalah kemegahan dan kekuatan umat Islam tanpa generasi Muslim yang benar-benar iltizam dengan ajarannya.
Peranan Ulama’ yang terakhir adalah sebagai tempat rujukan masyarakat. Para Ulama’ memainkan peranan penting sebagai rujukan kepada masyarakat terutama dalam bidang keilmuan. Selain itu, Ulama’ juga berperanan untuk menjadi rujukan dalam pelbagai masalah terutamanya dalam soal perpaduan dan perhubungan masyarakat. Oleh itu, para Ulama’ perlu menghidupkan semula tradisi perhubungan masyarakat yang bertunjangkan konsep ukhuwwah, semangat kejiranan, konsep jamaah dan sebagainya. Di sini jelas sekali bahawa peranan Ulama’ adalah sebagai jambatan penghubung di antara seluruh kelompok masyarakat sepertimana peranan Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka telah menjadi tempat rujukan dan contoh penghayatan pemikiran dan nilai-nilai yang positif untuk pembangunan dan kesatuan masyarakatnya.


No comments: