Ilmu Perubatan Dalam Tamadun Islam

Ilmu Perubatan Dalam Tamadum Islam

Definisi Perubatan Islam
Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan dimana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Pengertian Tamadun.
Perkataan tamadun merangkumi kebudayaan peradaban, kemajuan(kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Manusia tidak akan dapat mempunyai satu etika tamadun jika tidak mempunyai masyarakat yang bermoral. Kemajuan tamadun Islam tidaklah terbatas hanya kepada kemajuan kebudayaan semata-mata, malah ia merupakan kebudayaan yang berjalan serentak dengan kerohanian. Tamadun Islam berbeza dengan tamadun dunia yang lain kerana ia meletakkan Ad-Din sebagai asas yang membentuk tamadun, bukan manusia yang membentukkannya. Jika diteliti pada tamadun yang lain, jelas menunjukkan bahawa manusia yang membentuk asas kepada sesebuah tamadun.
Latar belakang asal-usul ilmu perubatan dalam Tamadun Islam
Kira-kira dalam lingkungan 200 tahun sebelum Hijrah, tapak-tapak tamadun gemilang telah mulai runtuh yang disebabkan oleh peperangan, penyakit yang merebak melanda umatnya dan serangan puak Barbarian yang merentas pergunungan Alps, lalu menyerang Itali dan meruntuhkan empayar Rom. Ini merupakan suatu zaman yang merupakan detik terhentinya sejarah tamadun dunia pada ketika itu. [1]

Kemajuan fikiran perubatan yang berasaskan prinsip-prinsip penganalisaan dan pengalaman yang dibentuk dari konsep aliran Yunani serta diperkembangkan pula oleh pemikiran berhaluan Iskandariah dan disistemkan oleh Galen mulai lumpuh. Dari pusat perubatan empayar Rom yang pada suatu masa dahulu begitu gemilang dan memancarkan cahaya kesemua negara-negara lingkungan lautan Mediterranean, lahir pula suatu pusat baru yang dibangkitkan oleh puak Nestorian. Pengasas pusat ilmiah ini ialah Nestorius, yang merupakan ‘patriach’(pengetua) Constantinople pada awal abad ke-5 M2. Beliau diusir dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 440 M. Cara pemikiran serta kepercayaan pengikut-pengikutnya memang telah menggoncangkan Pertubuhan Agama Kristian pada awal-awal lagi. Kini pengikut-pengikutnya telah menubuhkan pusat-pusat pengajian perubatan di Edessa dan Nisibis yang telah berkembang ke peringkat yang disanjung ramai menjelang akhir abad yang ke-5 M.
Apabila orang Arab disatukan di bawah pemerintahan Islam dan seterusnya menewaskan Syiria dan Parsi mereka menemui tamadun ini yang sebenarnya telah diketahui oleh mereka. Jelasnya sebelum ketibaan Nabi Muhammad S.A.W. telah pun ada dikalangan orang Arab, doktor yang terdidik di Jundishapur. Kuasa Islam terus bertapak dari tebing sungai Indus sehingga ke pergunungan Caucasus dan menyelubungi hampir ke seluruh Afrika Utara dan Sepanyol Selatan termasuk Sardina dan Sicily. Bargdad tertubuh sebagai ibu kota Islam pada tahun 762 M.


Dalam abad kemegahan inilah tokoh-tokoh Islam yang menyerap tamadun yang terdapat dikalangan puak-puak yang ditewaskannya. Khalifah-khalifah Islam merupakan pembela utama dan tokoh yang melindungi dan membina pusat-pusat pengajian tersebut dan hasil usaha merekalah yang menyebabkan Baghdad menjadi pusat pengajian yang begitu cemerlang. Selepas itu pula akademi-akademi mulai tumbuh di Samarkand, Isfahan dan Damsyik. Akademi-akademi tersebut berpusat di masjid, tempat mahaguru serta siswa menginap. Di masjid pula terdapat perpustakaan yang lengkap, klinik dan hospital. Buku-buku yang digunakan untuk pengajian perubatan pada mulanya berupa terjemahan dari bahasa Yunani. Pada tahun 765 M, Khalifah Harun al-Rasyid(763-809 M) pula mula menubuhkan dan mengembangkan pusat pengajian di Baghdad. 3
Zaman sejarah ilmu perubatan Islam memakan masa 7 abad dan serentak dengan zaman kecemerlangan Islam. Dengan ringkasnya penggal pertama zaman tersebut bermula dengan Nabi Muhammad S.A.W. baginda amat memahami kepentingan kesihatan jasmani dan menekankan beberapa ajaran dari segi kesihatan. Konsep-konsep kesihatan dari unsure-unsur asas keagamaan yang lain dari Islam umpamanya Yahudi dan Nasrani tidak dinafikan oleh pengajaran Islam. Tib al-Nabi(kitab perubatan S.A.W. ) mengandungi beberapa ajaran asas tentang pemakanan dan membina jasmani yang sihat. Orang Arab dalam zaman permulaan agama Islam juga pernah terdedah pada pengaruh pusat-pusat perubatan di Iskandariah dan Syiria yang menjadi tempat orang Nestorian dari pusat-pusat di Edessa dan Nicibis mengajar ilmu ini serta menterjemah karya klasik Yunani ke dalam bahasa Arab dan dianggap sebagai pusaka yang sangat dihargai4.


Ahli falsafah Aristotle merupakan karyawan Yunani yang begitu popular di kalangan orang Arab pada ketika itu. bayak karyanya diterjemah dan dipelajari dengan penuh ketekunan. Juga banyak karya tokoh Yunani seperti Hippocrates, Dioscorides, Galen, Oribasius, Allexander Tralles dan Paulus Aegina diterjemahkan dan diperlajari serta dibincang dan dianalisa dengan luasnya5. Sumber-sumber dari Parsi dan Hindu juga merupakan asas pengajian asas pengajian umat Islam pada masa itu. Dari arus-arus sejarah inilah unsur-unsur ilmu perubatan Islam mula bertunas dan ini dpadankan pula dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
Institusi ilmu perubatan
Pakar perubatan keturunan Arab yang pertama ialah Harith Ibn Kaladah, graduan pusat pengajian perubatan Jundishapur di Parsi, yang sezaman dengan Nabi s.a.w. Dalam masa yang sama, umat Islam juga mementingkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w tentang rawatan dan kesihatan, daripada amalan perubatan yang dianggap asing. Hospital pertama dalam tamadun Islam telah dibina oleh Khalifah al-Walid pada tahun 707 M. Pengaruh secara langsung pusat ilmiah Jundishapur di Parsi ke atas perubatan Islam bermula pada tahun 765 M. sewaktu pemerintahan Al-Mansur, Khalifah ‘Abbasiyyah yang kedua. Selepas Khalifah berjaya dirawat oleh Jurjis Bakhtishu, pakar perubatan dari pusat itu,maka ramailah ahli keluarga serta para siswanya dari Jundishapur yang. merantau ke Baghdad.


Pakar perubatan Khalifah Harun al-Rasyid,Masawaih(yang juga ahli farmakologi dan pakar oftalmologi) juga berpindah bersama keluarganya dari Jundishapur ke Baghdad. 6
Pengalaman perubatan dalam tamadun Islam bersifat ‘alamiyyah atau sejagat. Pada kurun ke-10 M, Toledo yang terletak di Sepanyol atau Andalusia, merupakan pusat perubatan Arab bagi Eropah. Sebuah institusi penterjemahan telah didirikan di situ. Cedekiawan dari seluruh Eropah dan Kepulauan British berkumpul dan meraih ilmu. Antara tokoh Barat yang ternama yang telah menuntut ilmu perubatan Islam ini ialah Gerard of Cremona, Michael Scot, Adelaid of Bath, Robert of Chester dan Constantinus Africanus(seorang pakar perubatan Yahudi yang mendakwa bahawa al-Kitab al-Maliki karya ‘Ali Ibn al-‘Abbas al-Majusi ialah hasil karyanya sendiri dan diberi tajuk Pentagne). 7
Walaupun kurun ke-13 M merupakan zaman gerhana bagi sebahagian besar daerah Islam kerana pemusnahan warisan tamadun Islam oleh tentera Mongol, namun kecintaan dan kegiatan ilmu masih berkembang dikalangan para pengamal perubatan Islam,hingga lahirlah empat orang tokoh terkemuka iaitu Ibn al-Qifti, Ibn Abu ‘Usaibiyah, Ibn Khallikan dan Abu al-Faraj.
Kemudian, satu lagi keanehan berlaku pada waktu itu iaitu pemerintah Mongol yang hanya beberapa tahun sebelumnya menjadi pemusnah Empayar Islam Timur di Baghdad, kemudian berubah menjadi pemerintah yang berasaskan keimanan dan ‘aqidah tauhid, hingga mampu menjadi penaung pengalaman perubatan. Dari kalangan orang-orang istana yang mengamalkan perubatan Islam ialah tokoh-tokoh seperti Qutd al-Din al-Syirazi(yang menulis sebuah komentar bagi al-Qanun Ibn Sina) dan Rasyid al-Din Fadl Allah, yang telah menjadikan kota Tabriz penuh dengan pusat pengajian tinggi, sekolah dan hospital; dan juga menganjurkan pertandingan menulis buku di samping mengeratkan semula perhubungan antara para pewaris perubatan Islam di Andalusia, Tunis, Tripoli dan Tabriz. 8
Proses pengubatan
Setiap pesakit yang datang untuk mendapat rawatan biasanya menderita dengan kesakitan. Jiwa dan emosinya juga mungkin tertekan. Ia mengharapkan layanan dan rawatan yang terbaik serta menaruh keyakinan dan harapan yang tinggi kepada doktor serta kakitangan yang terlibat dalam rawatan. Pesakit tadi seterusnya bertawakal kepada Allah s.w.t agar penyakitnya sembuh. Dengan harapan dan keyakinan seperti ini, doktor dan kakitangan yang terlibat dalam rawatan pesakit, bukan saja perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam bidang rawatan perubatan, mereka juga patut menpunyai satu etika dan adab yang sesuai untuk melayani pesakit. Mereka perlu mempunyai keimanan dan ketakwaan agar dapat meyakinkan pesakit. 9 Disaat-saat begini biasanya pesakit bukan sahaja mengharapkan penawar dari pelbagai jenis ubatan atau tatacara rawatan, malah ia sokongan emosi dan mental. Ia memerlukan segala-galanya untuk menceriakan diri dan suasana, termasuk nasihat dan bimbingan.
Etika Doktor Islam
Para doktor dan perawat Islam bukan sahaja dikehendaki untuk mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang kedoktoran, malah mereka perlu mempunyai adab serta akhlak yang mulia.
Perkara-perkara yang penting berkaitan etika doktor terhadap pesakitnya seperti doktor dan para perawat perlulah mempunyai keimanan yang kuat. Mereka percaya kepada Allah dan rasul serta melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan menjauhi larangan-Nya. Mereka juga perlu mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi, khususnya dalam bidang perawatan dan mampu mengendalikan masalah dan tabiat manusia. Mereka perlu senyum selalu, bersifat sabar, pemaaf, adil dan sentiasa mencetuskan keceriaan terhadap pesakit dan keluarga mereka. Mereka sepatutnya berakhlak mulia, bercakap dengan lunak dan mempunyai tingkah laku lemah lembut dan bersopan. Doktor dan para perawat mestilah menghayati bahawa hidup dan mati itu adalah hak Allah. 10 Para doktor perlulah menunjukkan tauladan yang baik dengan menjaga kesihatan diri. Mereka perlu menunjukan tauladan tentang kaedah-kaedah penjagaan kesihatan enggan menjauhkan tabiat dan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan. Mereka perlulah ikhlas dan benar dalam percakapan, tulisan dan laporan. Mereka juga perlulah mempunyai sifat tawaduk dan rendah diri, mereka tidak ujub,riak atau angkuh. Para doktor perlulah mengikut kemajuan dan perkembangan ilmu sains perubatan demi untuk melengkapkan diri mereka dalam kaedah ujian dan rawatan yang termoden dan terkini.


Kepentingan Etika Perubatan Islam
Sebelum mengurangkan skop penyelidikan dan menunjukkan kaedah-kaedah yang digunakan dalam analisis sekarang, ada baiknya disebutkan di sini kepentingan ini.
Terdapat hampir satu billion penganut Islam di dunia. Kebanyakkan mereka tinggal di Dunia Muslim yang merentangi pantai Atlantik di barat ke pedalaman Cina dan Malaysia di Timur. 11 Pada masa yang sama, kita tidak dapat menafikan bahawa kebanyakkan mereka menetap di Eropah, Amerika dan Kanada dan di beberapa tempat di Amerika Selatan. Jadi, orang-orang Islam tidak hidup terpisah dan menyedari perkembangan di sekeliling mereka dalam bidang sains, teknologi, perubatan dan lain-lain. Teknologi Biomedic, salah satu cabang sains moden, adalah satu realiti dan tidak boleh dipandang ringan. Banyak penyelidikan telah dan sedang dijalankan dalam lapangan ini dengan tujuan mengawal kehidupan dan kematian. Sama ada orang-orang Muslim tinggal di Dunia Muslim atau di luarnya, mereka berada dalam dilemma apabila berhadapan dengan inovasi teknologi. Berdasarkan keadaan inilah kita dapat menilai kesalahan setengah-setengah dari isu-isu Biomedic berdasarkan etika Islam seperti disebutkan terdahulu,etika tidak bebas dari Syari’ah dan kepentingan inovasi teknologi di sisi Syari’ah.
Penyumbang Ilmu Perubatan
Dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w 527 M yang membawa Nur Islam, suatu zaman kegemilangan atau keemasan telah berlaku sebagai zaman penerokaan bagi beberapa ilmu Algebra, Alkemi dan Astronomi. Ilmu-ilmu itu dikaji, diasingkan dan diselidiki terutamanya dalam bidang perubatan. Beberapa tokoh Islam telah memainkan peranan. Seramai 25 orang disebut oleh Donald Campbell dalam bukunya Arabian Medicine dan jumlah ini mungkin lebih banyak lagi daripada itu. Di antara tokoh terkemuka yang telah memberi banyak sumbangan dalam perubatan ialah al-Razi(al-Hawi), Ibn Sina(Al-Qanun),Ibn Rusyd(Al-Kuliyyah), Al-Zahrawi(Al-Tasrif) dan Ali Ibn Abbas Al-Majusi(Al-Maliki). 12
Hadith Dan Ilmu Perubatan
Hadith-hadith perubatan daripada Rasulullah s.a.w bolelah dikategorikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama ialah hadith yang menggalakkan rawatan perubatan apabila sakit dan memberikan prinsip-prinsip yang amat luas tentang kesihatan. Bahagian yang kedua pula merangkumi kenyataan-kenyataan yang dikenali oleh Rasulullah s.a.w tentang penyakit tertentu dan masalah-masalah kesihatan dan juga kaedah-kaedah rawatan samada secara secara spiritual atau secara perubatan. Yang ketiga ialah peranan hadith dalam hasil-hasil tulisan Perubatan Nabi-Nabi.
Satu kenyataan yang menyeluruh daripada Rasulullah s.a.w. dalam tulisan hadith ialah “Tuhan menurunkan rawatan bagi setiap penyakit”, atau “ada ubat bagi setiap penyakit iaitu jika ubat yang betul digunakan terhadap sesuatu penyakit,dangan redha Tuhan, kesihatan akan kembali”. Hadith ini mempunyai satu titik teologi yang mustahak-iaitu ubat-ubat bertindak terhadap pelbagai penyakit melalui kehendak Tuhan. Kebanyakan hadith itu merupakan nasihat tentang makanan dan minuman serta bersifat pencegahan. Ini adalah prinsip mustahak dalam penjagaan kesihatan pada zaman praIslam Arab. Sebagai contohnya, nasihat yang melarang terlampau kenyang atau makan terlalu cepat, banyak dibincangkan dalam hadith-hadith. Kebersihan juga banyak dibincangkan, malahan, berwudhuk sebelum solat yang melibatkan pembasuhan tangan, muka, kaki, gigi sebelum solat subuh. Hadith yang menceritakan, “jasad seseorang mempunyai hak keatas dirinya”.
“Kerisauan yang terlalu menyebabkan kesakitan fizikal kepada seseorang” 13, menurut satu hadith mengenai fenomena psikosomatik penyakit. Walaupun kita mendapati contoh-contoh rawatan penyakit melalui azimat dan doa-doa, ia sangat terhad. Telah dilaporkan bahawa pada mulanya Rasulullah s.a.w mengharamkan semua jenis azimat kerana takut mempunyai ayat-ayat yang dapat membawa kepada syirik dengan cara menyeru hantu-hantu dan pelesit. Kemudian, baginda membenarkan penggunaanya dengan syarat kandungan tidak bertentangan dengan ajaran Al-Quran. Baginda juga membenarkan doa menyembuh bagi gigitan binatang beracun dan terkena sampuk. Kepercayaan kepada terkena sampuk atau ilmu jahat sangat berleluasa dikalangan orang-orang Islam.
Sihir, samada “jahat” atau “baik”, telah diharamkan oleh Allah, kuasa yang dihasilkannya boleh diterima tetapi hanya pada perinkat psikologikal. Ahli-ahli sihir Firaun yang menentang Nabi Allah Musa, membaling tali dan kayu” hanya mengaburi mata yang memandang” tanpa menukar bentuknya yang asal walaupun perkara itu juga menakutkan Nabi Musa. Dengan kata lain semua ilmu sihir merupakan ilmu yang jahat kerana ia menutup kebenaran, bertentangan dengan “tanda-tanda”(ayat) atau mukjizat yang benar-benar memberi kesan kepada kebenaran. Begitu juga,kesan psikologi dapat ditunjukkan dalam satu cerita tenteng dua malaikat yang turun ke bumi iaitu Harut dan Marut yang mengajar manusia ilmu sihir bagi menceraikan diantara seorang suami dan isterinya melalui manipulasi psikologi.
Nabi Muhammad s.a.w pernah mencadangkan beberapa rawatan untuk orang sakit. terdapat hadith yang menyakan bahawa Rasulullah s.a.w ada mencadangkan bekam(pengeluaran darah dari sesetengah urat) dan penggunaan madu sebagai penyembuh penyakit. 14 Bagi sesetengah penyakit dalam perut, baginda sendiri menggunakan minuman yang diperbuat daripada kulit bijirin, susu dan madu. Tetapi, seperti yang telah dinyatakan oleh Ibn Khaldun, mungkin cara ini telah diambil oleh baginda daripada tradisi perubatan orang-orang Arab Zaman Jahiliah.
Walau bagaimanapun, terdapat juga suatu hadith yang bertentangan dengan beberapa jenis penyakit dan cara rawatannya. Sebagai contoh, terdapat suatu hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah melarang penyelaran yang telah menjadi kebiasaan orang-orang Arab untuk rawatan penyakit pada daging. Tetapi terdapat juga hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan penggunaannya malah digunakan sendiri pada pejuang-pejuang Islam yang luka dalam peperangan. Hadith yang awal tidaklah bersyarat, yang hanya disebut oleh Rasulullah s.a.w. adalah, “walaupun ia adalah baik untuk memulihkan kesihatan, aku melarang masyarakatku daripada penyelaran”15. Para pengulas hadith yang percaya bahawa penyelaran adalah betul, menyatakan larangannya hanya boleh diambil sekiranya ia dianggap satu cara yang boleh menyembuhkan, seperti yang dipercayai oleh orang-orang Arab sebelum kebangkitan Islam.
Ilmu Perubatan Nabi-Nabi
Kita telah melihat majoriti umum berpegang bahawa rawatan perubatan mempunyai nilai rohaniah dan kebaikan agama, malahan menjadi kewajipan dalam agama. Walau bagaimanapun, terdapat segolongan kecil masih berpegang bahawa ilmu perubatan adalah bidang ilmu dalam agama yang tidak dituntut dan masih ada golongan yang lebih kecil berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan tetapi cukup sekadar “berserah kepada Tuhan”. Rasulullah s.a.w penah ditanya oleh seseorang samada dia patut mendapatkan rawatan, iaitu samada ubat-ubatan yang semulajadi mempunyai sekatan dalam agama dan mempunyai kemujaraban yang semulajadi dan Rasulullah s.a.w telah memberi jawapan yang positif.
Ibn Taimiyah(meninggal 1328 M) seorang ulamak yang terkenal, guru bagi Ibn Qayyun al-Jauziyah telah disoal tentang penggunaan bahan-bahan yang tidak halal bagi orang Islam menggunakannya. Ibn Taimiyah menjawab bahawa penggunaannya adalah haram untuk tujuan perubatan walau penggunaannya dibenarkan sekiranya tiada terdapat makanan yang lain dan hampir mati disebabkan oleh lapar atau dahaga.
Akhirnya, perbincangan juga perlu ditumpukan pada bentuk yang nyata bagi hasil penulisan Ilmu Perubatan Nabi-Nabi. Mungkin yang paling penting ialah kecenderungan yang ditunjukkan bagi ubat-ubatan yang agak mudah(al-adwiyah al-mufradah atau al-basitah) berbanding dengan ubat-ubatan sebatian(al-murakkaba). Kelin-Faranke berpendapat ubat-ubatan sebatian berkemungkinan mengandungi kandungan yang tidak halal dari segi hukum Islam bagi digunakan oleh orang-orang Islam. Ibn Qayyun al-Jauziyah menjelaskan hal ini:
Atas panduan baginda sendirilah baginda mendapat rawatan dan mengarahkan keluarga dan pengikut-pengikutnya yang mengidap penyakit mendapatkan rawatan juga. Tetapi bukanlah termasuk dalam panduan baginda atau sahabat-sahabat baginda untuk menggunakan ubat-ubatan sebatian yang dikenali sebagai aqrabadhin. Ubat-ubatan jenis ini ialah ubat daripada orang yang berbeza-beza yang terdiri daripada pelbagai jenis etnik-Arab, Turki dan penduduk-penduduk gurun. Bagi mereka yang selalu memakan makanan yang mudah atau ringkas tidaklah mengidap penyakit yang banyak dan rawatannya juga adalah ubat-ubatan yang ringkas. 16
Rumusan
Ilmu dan amalan perubatan telah lama berkembang dan masih lagi maju ke hadapan walaupun banyak lagi isu-isu tenteng punca penyakit dan kaedah rawatan belum dapat diselesaikan. Masanya telah tiba bagi para doktor dan ahli-ahli sains perubatan Islam, negara-negara Islam, hartawan dan ahli-ahli korporat Islam untuk mengambleng tenaga untuk memulakan satu era baru dalam meningkatkan satu lagi sudut perkhidmatan kemanusiaan menerusi perubatan Islam. Penggemblengan tenaga pakar yang disokong dengan pembiayaan dan pengumpulan dana dan tabung kewangan yang bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan amalan perubatan Islam akan mengangkat imej Islam ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan.




Rujukan
1. Ismail Saad, Prof(1985), Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan, jilid 1,
Kuala Lumpur : DBP.
2. S. M. Hatta(1995), Perubatan Psikologi Islam, Kuala Lumpur : DBP.
3. Abu Bakar Majeed(1999), Konsep Dan Operasi Perubatan Islam,
Kuala Lumpur : Ikim.
4. Wan Mohd. Nor Daud(1992), Kesihatan Dan Perubatan Dalam Tradisi Islam,
Kuala Lumpur : DBP.
5. Abul Fadl Mohsin Ebrahim(1980), Isu-Isu Bio Perubatan Menurut Islam,
Kuala Lumpur : A. S. Noordeen.













DATA
1. Perkataan tamadun merangkumi kebudayaan peradaban, kemajuan(kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun.
2. Pengasas Pusat Islamiah ini ialah Nestorius yang merupakan ‘Patriach’(pengetua) Constantinople pada awal abad ke-5 M.
3. Pada tahun 765 M, Khalifah Harun Al-Rasyid(763-809 M) pula mula menubuhkan dan mengembangkan pusat pengajian di Baghdad.
4. Orang Arab dalam zaman permulaan Islam juga pernah terdedah pada pengaruh pusat-pusat perubatan di Iskandariah dan Syiria yang menjadi tempat orang Nestorian dari pusat-pusat di Edessa dan Nicibis mengajar ilmu ini serta menterjemah karya klasik Yunani ke dalam bahasa Arab dan dianggap pusaka yang amat dihargai.
5. Banyak karya tokoh Yunani seperti Hippocrates, Dioscorides, Galen, Oribasius, Allexander Tralles dan Paulus Aegina diterjemah dan dianalisa.
6. Pakar perubatan Khalifah Harun Al-Rasyid, Masawaih(yang juga ahli farmakologi dan pakar oftalmologi) juga telah berpindah bersama keuarganya dari Jundishapur ke Baghdad.
7. Tokoh barat ternama yang telah menuntut perubatan Islam ialah Gerard Of Cremona, Michael Scot, Adelaid Of Chaster dan Constatinus Africanus.
8. Kalangan orang istana yang mengamalkan perubatan Islam ialah tokoh-tokoh seperti Qutd al-Din, al-Syirazi dan Rasyid al-Din Fadl Allah yang telah membangunkan kota Tabriz dan menganjurka pelbagai pertandingan untuk mengeratkan semula perhubungan antara pewaris perubatan di Andalusia, Tunis, Tripoli dan Tabriz.
9. Mereka(doktor) perlu mempunyai keimanan dan ketaqwaan agar dapat meyakinkan pesakit.
10. Doktor dan para pelawat mestilah menghayati bahawa hidup dan mati itu adalah hak Allah.
11. Kebayakan mereka(umat Islam) tinggal di Dunia Muslim yang merentasi pantai Atlantik di barat ke pedalaman China dan Malaysia di timur.
12. Diantara tokoh terkemuka yang telah memberi banyak sumbangan ialah al-Razi(al-Hawi), Ibn Sina(al-Qanun), Ibn Rusyd(al-Kuliyyah), al-Zahrawi(al-Tasrif) dan Ali Ibn Abbas Al-Majusi(al-Maliki).
13. Kerisauan yang terlalu menyebabkan kesakitan fizikal kepada seseorang.
14. Nabi Muhammad s.a.w pernah mencadangkan bekam(pengeluaran darah dari sesetengah urat) dan penggunaan madu sebagai penyembuh penyakit.
15. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Walaupun ia adalah baik untuk memulihkan kesihatan, aku melarang umatku daripada penyelaran”.
16. Atas panduan baginda Rasulullah sendirilah,baginda mendapat rawatan dan mengarahkan keluarga dan pengikut-pengikutnya yang mengidap penyakit mendapat rawatan juga. Tetapi bukanlah termasuk dalam panduan baginda dan sahabat-sahabat baginda untuk menggunakan ubat-ubatan sebatian yang dikenali sebagai aqrabadhin. Ubat-ubatan jenis ini ialah ubat daripada orang yang berbeza-beza yang terdiri daripada pelbagai jenis etni-Arab,Turki dan penduduk gurun. Bagi mereka yang selalu memakan makanan yang mudah dan ringkas, tidaklah mengidap penyakit yang banyak dan rawatannya juga adalan ubat-ubatan yang ringkas
[1] Abu Bakar Majeed (1999), Konsep Dan Operasi Perubatan Islam, KL:IKIM, halaman 65.
2 Prof Dr Ismail Saad (1985), Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan, KL:DBP, halaman 5.
3 Ibid, halaman 7.

4 Ibid, halaman 9.
5 Ibid, halaman 9.
6 S.M. Hatta (1995), Perubatan Psikologi Islam, KL:DBP, halaman 114.
7 Ibid, halaman 115.

8 Ibid, halaman 115.

9 Ibid, halaman 115.
10 Op.cit, Abu Bakar Majeed, halaman 65.
11 Ibid, halaman 66.
12 Abul Fadl Mohsin Ebrahim (1980), Isu-Isu Bio Perubatan Menurut Islam, KL:A.S.NOORDEEN, hal 13.
13 Wan Mohd.Nor Daud (1992), Kesihatan Dan Perubatan Dalam Tradisi Islam, KL:DBP, halaman 51.

14 Ibid, halaman 56.

15 Ibid, halaman 59.
16 Ibid, halaman 99.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com