Tuesday, April 15, 2008

Definisi Tamadun Islam

PENDAHULUAN
Alam Melayu yang lebih terkenal dengan nama “Semenanjung Tanah Melayu” adalah termasuk salah satu pulau dari beberapa gugusan pulau-pulau Melayu di rantau ini , antara lain : Borneo, Sumatera, Kepulauan Riau, Jawa, Pulau Maluku, Pulau Luzon, dan Pulau Mindanau. Menurut sejarah, penduduk di Alam Melayu pada peringkat permulaannya adalah terdiri dari etnik Melayu dan etnik asli. Kedua-dua etnik ini jarang mengadakan interaksi dan membuat perhubungan di antara satu sama lain kerana tempat tinggal mereka berbeza; di mana orang-orang Melayu tinggal di persisir, manakala orang-orang asli pula tinggal di pendalaman.
Oleh kerana alat berkomunikasi dan perhubungan pada zaman dahulu hanya melalui jalan air, seperti sungai dan kuala, maka telah memberi keuntungan besar kepada masyarakat Melayu. Mereka telah cepat mendapat dan menerima kemajuan berbanding dengan orang-orang asli kerana setiap hari ada sahaja orang yang keluar masuk melaui jalan ini. Jadi secara langsung atau tidak, masyarakat Melayu boleh dikatakan sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain dalam semua aspek termasuk agama.
Alam Melayu merupakan antara kawasan yang strategik yang amat diminati oleh pelbagai kuasa besar di dunia. Ini adalah kerana laut sebagai tempat laluan mereka yang tenang dan aman lantaran kedudukannya yang terletak di antara dua banjaran besar iaitu Tanah Besar Semenanjung dan Sumatera. Oleh itu tidaklah menghairankan jika Alam Melayu telah menjadi rebutan di antara kuasa-kuasa dunia dalam pelbagai bidang seperti kepercayaan-

kepercayaan tertentu, penyebaran agama-agama besar dunia, politik, dan budaya.
Dr. Muhammad Zaki Badawi di dalam bukunya “Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu” mengatakan bahawa Islam telahpun sampai Ke Asia Tenggara amnya dan di alam Melayu khasnya sejak abad ke-12 lagi. Sejak itu, Asia Tenggara amnya dan alam Melayu khasnya membuka satu lembaran sejarah baru iaitu zaman bertamadun dan berkemajuan.[1]
Profesor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas di dalam bukunya “Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu” menjelaskan bahawa Islam mempunyai pengaruh yang amat besar, mendalam dan meluas di alam Melayu sehingga berjaya mencabut akar umbi pengaruh Hindu dan Buddha. Kedatangan Islam menandakan bermulanya satu zaman baru dan berakhirnya satu zaman lama di rantau ini. Ini bererti bahawa perubahan yang dibawa oleh Islam terhadap tamadun alam Melayu bukan sahaja dari segi rupa malah meresap masuk ke jiwa.[2]



DEFINISI
TAMADUN
· Profesor Madya Dr. M.A.J Beg mendefinisikan tamadun sebagai pencapaian manusia dalam bentuk kota,skrip, kesenian, seni bina, agama, undang-undang dan politik.[3]
· Redfield di dalam rencananya ‘Thinking About Civilization’ dalam ‘Introduction to the Civilization of India: Changing Dimensions of Indian Society and Culture’ mendefinisakan tamadun sebagai satu cara hidup yang dapat diberikan kriterianya.[4]
· Karl A. Wittfogel di dalam rencananya ‘Ideas and the Power Structure’ mendefinisikan tamadun sebagai ciri-ciri kebudayaan secara keseluruhan daripada sesuatu negara yang berdasarkan kepada idea dan kepercayaan.[5]
· Arnold Toynbee di dalam bukunya ‘A Study of History’ mendefinisikan tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Beliau seterusnya menghuraikan bahawa tamadun itu adalah satu kumpulan pemikiran dari pelbagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan, yang bertanggungjawab membentuk institusi politik dan undang-undang, membentuk kesenian, kesusasteraan, agama dan akhlak.[6]



KEBUDAYAAN
· S. Khuda Bukhsh di dalam bukunya ‘Contributions to The History of Islamic Civilization’ menjelaskan bahawa perkataan ‘culture’(kebudayaan) berasal daripada perkataan ‘cultivation of land’(pertanian). Justeru itu kebudayaan pada pandangan beliau lebih bersifat pencapaian dalaman atau pemikiran.[7]
· Abu Bakar Hamzah di dalam bukunya ‘Sejarah Kebudayaan Islam’ menjelaskan bahawa kebudayaan ialah sesuatu yang dihasilkan oleh manusia dalam bentuk abstrak iaitu sesuatu yang dicetuskan oleh akal dan budi manusia.[8]











PENGARUH TAMADUN ISLAM DI ALAM MELAYU
Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat di Alam Melayu dengan cepat menerima Islam disebabkan keistimewaan yang ada pada Islam itu sendiri, di samping faktor-faktor lain yang boleh mengalami perubahan dan memberi kesan positif kepada ummah di Alam Melayu. Di antara kesan-kesan dan perubahan-perubahan tersebut ialah:

KEPERCAYAAN
Perubahan yang paling ketara terhadap masyarakat di Alam Melayu ialah keyakinan yang berteraskan kepada ketauhidan Allah SWT; di mana sebelum ini mereka percaya kepada aminisme, Hinduisme dan Buddhisme. Sebaliknya mereka menyembah Allah SWT yang bersifat Esa, mempunyai segala sifat kesempurnaan dan maha suci dari segala kekurangan.[9]
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:-
“Iman ialah kepercayaan kepada Allah, malaikatNya, KitabNya, RasulNya, hari akhirat dan percaya kepada qada’ dan qadarNya.”
Dengan meresapnya kefahaman tauhid yang menjadi asas akidah Islam kepada masyarakat di Alam Melayu telah melahirkan amalan yang selaras dengan syariat Islam, terutama ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran dan seumpamanya. Pandangan mereka terhadap kehidupan juga menjadi benar iaitu semata-mata untuk beribadat kepada Allah, bukan untuk tujuan-tujuan lain selain dari itu. Inilah pandangan hidup yang benar, tepat,

sejagat dan rasional. Akidah Islamiah disebarkan ke alam Melayu ini melalui ajaran metafizik ahli sufi. “Menerusi ilmu tasawuf roh keagamaan yang bersifat intelektual dan akliah menjalar ke dalam fikiran orang ramai secara terbuka, menyebabkan timbulnya rasionalisme dan intelektualisme yang tidak pernah terlibat dalam zaman sebelum kedatangan Islam.”[10]
Selain daripada itu, masyarakat Melayu juga telah diperkenalkan dengan persoalan yang berkaitan dengan akhlak dan tasawur Islam secara meluas. Jadi pengaruh akidah, ibadah, dan tasawur Islam yang meresap ke dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu adalah merupakan teras yang kukuh sampai kini dapat dipertahankan. Terlalu sukar untuk dipisahkan antara Melayu dan Islam, seolah-olah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.

KEILMUAN
Di samping perubahan akidah tauhid, tidak kurang juga pentingya perubahan masyarakat di Alam Melayu dalam aspek keilmuan. Perubahan ini cukup bererti di mana wujudnya budaya ilmu yang merata di kalangan rakyat. Terbukti bahawa proses Islamisasi di Alam Melayu telah membawa kesan pendemokrasian keilmuan yang berteraskan kepada pendidikan al-Quran. Dengan kata lain telah mencetuskan revolusi celik huruf, budaya membaca, dan tamadun ilmu tersebar di merata tempat. Dengan demikian, masyarakat Melayu

pra-Islam yang terbelenggu dalam budaya mitos atau dongeng tahyul telah mengalami transformasi intelektual yang cukup hebat hingga mampu membina masyarakat berbudaya ilmu, saintifik dan rasional.
Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menjelaskan bahawa samada mahu diterima atau tidak, sejarah telah membuktikan bahwa Islamlah yang bertanggungjawab menghapuskan buta huruf di kalangan masyarakat alam Melayu. Dalam erti kata yang lain, masyaakat Nusantara baru menjadi berpendidikan dan intelektual dengan kedatangan Islam.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :-
“Sesiapa yang menghendaki kebahagiaan di dunia hendaklah dengan ilmudan sesiapa yang menghendaki kebahagian di akhirat hendaklah dengan ilmu dan sesiapa yang menghendaki kedua-duanya hendaklah dengan ilmu.”
Kegiatan keilmuan di alam Melayu yang berkembang pesat sudah pasti mendedahkan kepada rakyat terhadap kekayaan khazanah pembudayaan ilmu Islam. Karya-karya kesusasteraan Islam telah menghasilkan transformasi jiwa dan minda masyarakat. Perkembangan ini telah melahirkan “Melayu Baru” dalam erti terbinanya watak Melayu yang berasaskan nilai-nilai baru keislaman. Islam telah menjadikan mereka manusia global yang menghayati nilai-nilai universal. Kini, al-Quran, sirah nabawi,dan kisah-kisah hidup peribadi-peribadi mulia dalam sejarah Islam masih menjadi sumber inspirasi dan panduan. Dari sumber-sumber inilah umat Melayu membentuk “world view” dan nilai-nilai hidup. Jadi gagasan


“Melayu Baru” digarap dengan jelas sebagai Melayu yang mengalami proses at-tajdid Islamy, pembaharuan komitmen, kefahamn dan penghayatan terhadap ajaran dan nilai-nilai Islam dalam bentuknya yang asli, murni dan segar.
Selang beberapa tahun setelah kedatangan Islam, maka para ilmuan dan ulama telah menjadi tempat rujukan pihak atasan dan pentadbir serta masyarakat umum, sebagai pengganti tempat atau peranan pawang, bomoh dan ahli nujum sebelum kedatangan Islam.

SASTERA MELAYU
Perkataan santera berasal dari bahasa Sanskrit yang bermasud “kata-kata yang indah”. Keindahan bahasa dalam bahasa Arab disebut “adab”. Jika “kata-kata indah” itu dikaitkan dengan “adab”, maka sesuailah dengan ungkapan Melayu “budi bahasa”. Bahasa adalah ucapan lidah, sedangkan ucapan yang keluar dari lidah itu adalah berasal dari dalam batin kita iaitu “budi”. Bertambah halus budi, maka bertambah haluslah bahasa yang kita pakai. Sebaliknya orang yang kurang budi, maka mereka suka mengungkapkan ucapan kasar. Ia amat berkait rapat dengan pepatah Melayu yang berbunyi: “Hidup di dunia birlah beradab, bahasa tidak dijual beli”, yang bermaksud bahasa yang halus, budi yang baik, tidak dapat dihargai dengan wang; tidak dapat dijual beli.
Kedatangan Islam ke alam Melayu telah memperhaluskan lagi budi bahasa orang-orang Melayu. Islam telah memperkenalkan kepada mereka huruf-


huruf tulisan jawi untuk dipakai bagi menyatakan apa yang terasa di hati dan fikiran dengan cara tertulis. Hal ini pada mulanya berlaku di atas pengajaran dan didikan kepada anak-anak mengaji al-Quran yang telah dibaca setiap hari, lalu dipakai secara berulang-ulang, akhirnya menjadi hurif kita: sebagaimana di alam Melayu biasanya disebut “hurif Jawi, huruf Melayu, huruf Alam Melayu”[11]

BAHASA DAN PERKATAAN
Islam bertanggungjawab menaikkan bahasa Malaysia ke taraf Lingua-Franca apabila ia menjadi bahasa penyebaran dakwah Islamiah di alam Melayu sejak abad ke-13 hingga hari ini. Ini disebabkan ia bukan sahaja menjadi bahasa perantaraan yang difahami oleh masyarakat Malaysia, Indonesia dan Filipina, malah difahami oleh masyarakat di Kampuchea, Vietnam dan Thailand. Justeru itu, Islam dikatakan bertanggungjawab mengasaskan sistem pendidikan yang terawal di alam Melayu.[12]
Islam jugalah yang bertanggungjawab menjadikan bahasa Malaysia mempunyai daya kekuatan sehingga berkemampuan menjadi bahasa sains, akademik, undang-undang, politik, perdagangan dan sebagainya sepertimana yang dapat kita saksikan pada hari ini, di mana menjelang tahun 1985, semua peringkat pendidikan di Malaysia, dari peringkat rendah sampailah ke peringkat universiti hanya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar tunggal dan utama.

Islam berperanan sebagai kuasa yang dapat menjadikan bahasa Malaysia daripada bahasa lisan kepada bahasa persuratan, apabila tulisan jawi diperkenalkan kepada bahasa Malaysia, melalui pengajaran yang berasaskan kepada al-Quran. Al-Quran dalam ertikata yang lain bertanggungjawab mendidik basaha Malaysia menjadi bahasa persuratan dari sekadar bahasa pertuturan. Secara kebetulan huruf-huruf jawi yang diperkenalkan oleh tulisan Arab amat sesuai sekali dengan cara bahasa Malaysia dituturkan.[13]
Dengan kehadiran Islam, pengaruh dari sudut bahasa dan perkataan-perkataan yang baru adalah memberi nafas baru terhadp bahasa Melayu. Tulisan al-Quran yang diasaskan oleh 29 huruf itu menyebabkan masyarakat Melayu pandai membaca dan menulis. Ulama dahulu telah mengambil initiatif dengan menambah lima huruf lain yang mirip dengan huruf Arab iaitu huruf ”NGA”, “CA”, “NYA”, “PA”, “GA” dan sekarang ditambah satu lagi huruf “V” yang akhirnya orang-orang Melayu berkebolehan membaca dan menulis tulisan jawi.

KELAHIRAN PARA ULAMA DAN ILMUAN
Dengan kejatuhan kerajaan Islam Melaka, maka kegiatan kebudayaan Islam dan pengaruhnya dalam sastera Melayu telah berpindah semuanya ke Aceh. Setelah mengetahui berdirinya kerajaan Aceh Darul-Salam bersama dengan Pasai sebagai ganti Melaka, ramai ulama Islam datang dari luar negeri seperti Mekah, Madinah, Yaman, Syam, Turkey dan India ke negeri Aceh.

Kesannya, maka lahirlah tokoh-tokoh ilmuan dan ulama-ulama tempatan yang memajukan pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti Nuruddin Ar-Raniri, Syamsuddin Al-Sumaterani, Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Samsuri, Fadhlullah dan ramai lagi. Sehubungan dengan itu, maka tepat pada pertengahan abad ke-16, Aceh diberi gelaran “Serambi Mekah”.[14]

PERLAKUAN INDIVIDU
Hasil positif dakwah oleh para da’i terhadap masyarakat setempat amat ketara kesannya dalam kehidupan muda-mudi setempat. Hampir di setiap kampung wujud pendakwah muda, bahkan kebanyakan keluarga sanggup mempunyai anak yang menjadi pendakwah. Mereka sanggup mempelajari dan menghayati Islam secara mendalam. Lantaran itu, akhirnya menjadi sebati dan sesuai dengan jiwa mereka. Akhirnya mereka bukan sahaja mempraktikkan amalan fardhu ‘ain semata-mata, malah perkara fardhu kifayah dan sunat pun dibiasakan, seperti orang lelaki sanggup memakai jubah san serban seperti haji atau lebai kampung. Selain daripada itu, mereka sering mengucapkan “salam” jika bertemu dengan seseorang dan selalu menyebut “astaghfirullah, “alhamdulillah”, “insyaAllah” dan sebagainya, jika terdapat perkara-perkara yang berkaitan dengan ucapan itu. Akhirnya ramai anak-anak muda yang sanggup menuntut ilmu pengetahuan berpuluh tahun lamanya di pondok-pondok. Setelah selesai pengajian dan pulang ke kampung masing-masing, maka mereka amat disanjungi dan diberi penghormatan oleh masyarakat setempat.

SOSIAL
Perubahan sosial masyarakat setempat yang berlaku ke atas individu yang telah menerima dakwah amat ketara sekali, terutama dari segi pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Perhubungan dan pergaulan amat terbatas, hanya dalam bentuk hubungan yang diharusakan mengikut lunas-lunas Islam. Tujuannya adalah untuk mengelak berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti pergaulan bebas yang boleh membawa kepada perzinaan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
Islam juga memperkenalkan akhlak yang tinggi sehingga menjadikan penduduk-penduduk alam Melayu ini amat terkenal sebagai bangsa yang bermaruah, berhemah dan berakhlak tinggi. Islam juga menjadikan penduduk-penduduk alam Melayu ini hiduo\p rajin, di mana Allah SWT telah menetapkan bahawa setiap individu itu sama sahaja di sisi Allah di dalam melakukan sebarang amalan. Yang lebih hampir kepadaNya ialah orang yang bertakwa. Rezeki yang disediakan oleh Allah adalah sama sahaja kepada umat manusia, terpulanglah kepada manusia untuk merebut peluang untuk mencari rezeki dan kelbihan yang telah disediakan. Ini bererti Islam memperkenalkan hidup yang berdisiplin, amanah dan jujur.[15]

SOSIO-POLITIK DAN UNDANG-UNDANG
Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh di dalam bukunya “Sejarah Islam” menjelaskan bahawa kesan segera daripada pengislaman alam Melayu ialah kelahiran kerajaan-kerajaan Islam yang bercambah seperti cendawan tumbuh yang bermula dengan kerajaan Demak yang didirikan oleh Senopati, kerajaan Banten yang didirikan oleh Hasanudin dalam tahun 1552 dan sebagainya.[16]
Islam dikatakan bertanggungjawab memperkenalkan sistem pemerintahan bersultan. Haji Dasuki Haji Ahmad menjelaskan bahawa memang tidak banyak bezanya di antara sistem kerajaan Hindu dengan sistem pemerintahan bersultan yang diperkenalkan oleh Islam. Di antaranya ialah penasihat kepada sultan dalam segala hal ehwal yang berkaitan dengan Islam iaitu mufti.
Syariah Islamiah dikatakan begitu luas sekali dilaksanakan di dalam kerajaan-kerajaan Islam di alam Melayu ini. Undang-undang jenayah Islam telah dilaksanakan seperti hukuman mencuri, zina, bunuh dan sebagainya. Faraid Islam juga dilaksanakan di dalam pembahagian pusaka, muamalah Islam juga diamalkan seperti dalam jual beli, nikah kahwin dan lain-lain.[17]
Kesedaran penentangan terhadap kuasa-kuasa penjajah barat di alam Melayu iaitu Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia dikatakan merupakan cetusan secara langsung dari Islam. Islamlah yang bertanggungjawab melahirkan kesedaran yang dipelopori oleh Syed al-Hadi melalu akhbar al-Imam di Malaysia adalah berteraskan Islam yang mendapat inspirasi dari gerakan Pan-Islamisme di

Timur Tengah khususnya di Mesir yang diasaskan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.[18]

SOSIO-EKONOMI
Menurut sejarah bahawa aspek ekonomi masyarakat di alam Melayu sebelum kedatangan Islam dalam keadaan tidak menentu. Keadaan kebanyakan daripada mereka seolah-olah kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Jurang perbezaan ekonomi di antara orang kaya dan orang miskin, pangkat tinggi dengan orang bawahan amat ketara sekali kerana dipengaruhi kepercayaan dan amalan animisme dan hinduisme. Setelah Islam tersebar luas di kalangan masyarakat di alam Melayu, maka perbezaan jurang tersebut telah berkurangan disebabkan mereka telah memeluk agama Islam, di mana ajarannya mengamalkan persamaan, tanpa wujud perbezaan disebabkan keturunan, bangsa atau pangkat. Masyarakat sanggup bekerjasama demi meningkatkan ekonomi. Kesanggupan dan kerelaan orang-orang kaya berzakat dan bersedekah merupakan faktor penting penyumbang ke arah perkembangan ekonomi dan keharmonian masyarakat. Amalan demikian berterusan sehingga kini: terbukti dengan wujudnya tabung IKHTIAR, Yayasan SALAM, Yayasan Pembasmi Kemiskinan, dan sebagainya.
Instittusi zakat yang diperkenalkan oleh Islam merupakan salah satu sumbangan Islam yang terbesar. Islam juga dikatakan memperkenalkan sistem

timbang, ukur dan mata wang yang memudahkan lagi kegiatan perdagangan serta menjamin keadilan.


PENUTUP
Sumbangan tamadun Islam kepada perkembangan masyarakat Melayu sejak kedatangannya hingga hari ini, tiada siapa yang dapat mempertikaikannya. Islam telah meletakkan batu asas perkembangan dan pencapaian tamadun manusia yang paling serasi dan sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri iaitu gabungan di antara unsur kerohanian dan kejasmanian.
Asas pembentukan tamadun Islam iaitu wahyu daripada Allah SWT bertanggunjawab menjadikan tamadun Islam itu sebagai yang paling unggul dan sempurna yang telah dapat memberikan kebahagiaan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada manusia sejagat.
RUJUKAN
· Penyusun: W. Abdullah bin Haji W. Mahmood, Pensyarah kanan: DRA. Wista
Ahmad, Tamadun Islam dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya
Kepada Dunia.
· Mustafa Hj. Daud, Pengantar Tamadun Islam, Media Indah Sdn. Bhd.,
Petaling Jaya, 1987.
· Haji Dasuki bin Haji Ahmad,Islam di Malaysia: Kebangkitan dan Masa Depan,
Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1980.
· Ketua pengarang: Prof Khoo Kay Kim; Pengarang: Mohd. Fadzil Othman,
Abdullah Zakaria Ghazali, Amat Adam, Nik Abdul Aziz Nik Hassa, Khozim
Mohd. Tamrin; Penyelaras: Jazamuddin Baharuddin, Tamadun Islam di
Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, 1980.
[1] Muhammad Zaki Badawi, Latarbelakan Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu, terjamahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1962, hlm. 37.

[2]Syed Muhammad Naguib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, terjemahan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1972, hlm 3.
[3] M.A.J Beg, Islamic and Western Concepts of Civilizations, terjemahan,The University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1980, hlm. 17
[4] Ibid, hlm. 18
[5] Ibid, hlm. 19
[6] Ibid.
[7] S. Khuda Buksh, Contributions to The History of Islamic Civilizations, jilid 2, terjemahan, Lahore: Accurate Printers, hlm. 1.
[8] Abu Bakar Hamzah, Sejarah Kebudayaan Islam, terjemahan, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1972, hlm. 10.
[9]Haji Dasuki bin Haji Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, terjemahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1975, hlm. 540.
[10] Ibid.
[11] Hamka, Islam dan Kebudayaan Melayu, 1977.
[12] Syed Naquib al-Attas, op. cit, hlm 40-41.
[13] Ibid, hlm. 41.
[14] Islam dan Kebudayaan Melayu, op. cit.
[15] Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh, Sejarah Islam, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1970, hlm. 542.
[16] Sejarah Islam, op. cit, hlm. 358-362.
[17] Ikhtisar Perkembangan Islam, op. cit, hlm. 542.
[18] Ibid, hlm. 41.

No comments: