Astronomi Menurut Islam

Definisi Ilmu Astronomi :
Berikut adalah definisi-definisi yang diberikan oleh tokoh-tokoh atau sarjana-sarjana Islam pada zamannya:-
(1) Ilmu untuk mempelajari suria, bintang, buruj, jarak, saiz dan gerakan jasad-jasad tersebut oleh: As Shafa
(2) Ilmu untuk mengetahui hal ehwal jasad-jasad cakerawala yang bertaburan di angkasa lengkap dengan bentuk, kedudukan, ukuran serta jaraknya. oleh : Thasy Kura
(3) Ilmu berkaitan dengan gerakan dan peredaran bintang-bintang yang tetap. Dari gerakan dan peredaran bintang ini dapat diketahui bentuk dan kedudukannya melalui hitungan gerakannya yang dapat dilihat dengan cara metrik. oleh : Ibnu Khaldun


2.1.3 Al-Quran Sumber Ilmu Pengetahuan & Astronomi :
Al-Quran adalah sumber tentang khazanah ilmu pengetahuan, dan telah memberikan pengaruh yang amat besar terhadap pendidikan dan kebudayaan ummat manusia. Pengaruh ini antara lain adalah penemuan-penemuan ilmiah dan pertumbuhan ilmu pengetahuan yang amat pesat dalam dunia Islam pada abad ke 7 hingga ke abad 14 Masehi.
Al-Quran dan ilmu pengetahuan merupakan dua aspek kebenaran yang sama, dan tidak ada pertentangan diantara kedua-duanya. Al-Quran juga menyuruh manusia untuk berdoa semoga Allah s.w.t. menambahkan ilmu pengetahuan kepada mereka. Al-Quran menegaskan bahawa hanya orang yang berilmu akan mendapat darjah ketakwaan yang lebih tinggi kepada Allah. Ia adalah kerana mereka mengetahui dan memahami tanda-tanda kebesaran Allah, baik yang termaktub dalam al-Quran mahupun yang dapat dilihat dalam alam semesta.
Al-Quran menjelaskan bahawa seluruh kandungan alam semesta penuh dengan tanda-tanda kekuasaan Allah, dan hanya manusia yang berilmu sahaja yang dapat mengamati dan memahaminya.
Astronomi mempunyai hubungan yang sangat erat dengan masalah-masalah ibadah seharian dalam Islam. Hal ini diterangkan dengan terperinci di dalam ilmu falak syarie. Ilmu astronomi juga adalah ilmu yang tertua daripada semua ilmu pengetahuan alam. Ilmu ini menjelaskan tentang kemajmukan langit dan bumi.
Al-Quran memberikan perhatian khusus terhadap ilmu Astronomi. Banyak ayat-ayat al-Quran menceritakan perihal Astronomi. Ia memberi ruang kepada manusia untuk menghayati kebesaran Allah yang jelas terbukti dari wujudnya bintang-bintang, planet-planet, matahari dan bulan dengan segala bentuk dan sifatnya.
Berikut dicatatkan beberapa ayat yang penting berkaitan dengan astronomi:
(i) Al-Quran menuntut manusia supaya memerhati langit, firman Allah s.w.t. dalam surah Qaaf; ayat ke 6: Maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka, bagaimana kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiaskannya (dengan bintang-bintang) dan dengan keadaan tidak ada padanya retak renggan sedikit pun ?.
(ii) Kenyataan bahawa langit itu tidak bertiang disebutkan dalam al-Quran antaranya:
“Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas ‘Arasy, dan Ia menundukkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) ; masing-masing beredar dalam waktu yang ditentukan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan (makhluknya) , dan menerangkan kekuasaanNya satu persatu, supaya kamu yakin pertemuan (kamu) dengan Tuhan kamu”. [Surah Ar-Ra’d ; ayat 2]
2.1.4 Kosmologi Dalam Al-Quran :
Kosmologi adalah titik permulaan daripada ilmu pengetahuan dalam Islam. Ia adalah berhubung kait dengan permulaan penciptaan alam semesta, samada yang berada di dalam atau diluarnya. Al-Quran menyebutkan hakikat tertinggi alam semesta yang menunjukkan bahawa Allah adalah kekuatan yang mengendalikannya. Penyelidikan tentang alam semesta ini akhirnya membawa manusia kembali untuk menikmati ilmu pengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t.
Dalam surah al-A’raaf, ayat ke 54, Allah s.w.t. mengingatkan bahawa:
“Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, lalu Ia bersemayam di atas ‘Arasy ; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras, dan Ia pula menciptakan matahari dan bulan serta bintang-bintang, semuanya tunduk kepada perintahNya...”.
Allah menjadikan seluruh langit dan bumi dalam enam hari mengikut hitungan Tuhan. Hari yang disebutkan dalam ayat ini bukanlah hari 24 jam sebagaimana yang kita hitung sekarang. Dalam al-Quran, surah al-Haj, ayat 47, dan surah as-Sajdah, ayat 5, dijelaskan bahawa bilangan hari di sisi Allah sama dengan 1000 tahun hitungan manusia.
Dalam surah al-Ma’rij, ayat 4 diterangkan satu lagi hitungan satu hari sama dengan 50, 000 tahun menurut hitungan tahun peredaran bumi matahari.
Penjelasan daripada ayat-ayat di atas mengenai dengan bilangan hari dapat dirumuskan bahawa di dalam bahasa Arab, hari itu juga bererti masa atau zaman. Ia berbeza dari hitungan hari kita yang berdasarkan definasi astronomi yang melibatkan bumi mengelilingi matahari.
Kesimpulan daripada maksud ayat yang berkenaan membawa pengertian malalui kemajuan penyelidikan ilmu bahawa kejadian langit dan bumi adalah melalui enam zaman.
Zaman Pertama: Semuanya masih merupakan wap atau asap. Bermula daripada wap timbul pula pecahan-pecahan kecil yang kemudiannya menjadi planet-planet termasuk bumi.
Zaman Kedua: Wap bertukar menjadi air.
Zaman Ketiga: Kejadian bukit-bukit dan gunung-ganang.
Zaman Keempat: Kehidupan di dalam air seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang.
Zaman Kelima & Keenam: Apa yang dapat dilihat dan dialami sekarang.
Dalil bermula segala-galanya dari wap atau asap adalah terdapat dalam surah al-Fussilat, ayat ke 11 yang bermaksud:
“Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap...".
Sesuai dengan hasil penyelidikan ilmiah mengenai dengan asal usul sistem suria yang bermula dengan asap, kemudiannya berpisah menurut hukum tarikan graviti dan ia kemudian membentuk menjadi matahari sebagai nucleus, lalu terbentuk planet-planet lain termasuklah bumi.
Ayat-ayat al-Quran berikut menghuraikan dengan lebih lanjut terhadap berlakunya ciptaan Allah mengenai bumi dan langit.
Surah al-Fussilat; ayat 9-12:
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya ! Yang demikian (sifatnya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam”.
“Dan Ia menjadikan di bumi ini gunung-gunung yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa”.
“Lalu ia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa, dan Ia memberi tahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiaskan langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya...”.
2.1.5 Penciptaan Alam Semesta :
Al-Quran mangajak manusia untuk mengetahui dan memahami nilai dan kekuatan yang hakiki melalui penelitian dan pengamatan terhadap fenomena alam semesta yang penuh dengan segala rahsia dan keajaiban, yang akhirnya membawa manusia menyedari keagungan Allah. Penelitian dan pengamatan ini menunjukkan adanya keserasian dan keseimbangan yang takjub dalam hukum-hukum Islam.
Di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai aspek-aspek tertentu ciptaan bumi dan langit yang memberi maklumat terhadap peristiwa-peristiwa yang teratur yang menunjukkan perkembangannya dengan terperinci. Al-Quran memberi gambaran yang sempurna tentang penciptaan alam semesta, iaitu merangkumi yang berada diluar mahupun yang berada di dalamnya. Seluruh alam raya yang maha luas ini adalah ciptaan Allah s.w.t. yang melambangkan keesaan Allah taala.
Penyelidikan tentang alam raya akhirnya membawa manusia kembali untuk menikmati ilmu pengetahuan tentang Tuhan Yang Maha Esa dengan seluruh alam semesta ini berada langsung di bawah perintahNya.
Surah Al-Baqarah, ayat 117 menegaskan Allah s.w.t. sebagai Pencipta dan Penguasa dari semua hukum dan fenomena alam semesta.
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) , dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya : Jadilah engkau ! Lalu menjadilah ia.”
2.1.6 Penciptaan Langit, Bumi & Benda-benda Antara Keduanya :
Semua proses penciptaan alam semesta ini kemutlakannya berada dalam kendalian dan perintah Allah s.w.t. yang telah memberi bentuk yang sempurna. Hukum dan fenomenanya teratur dan tepat meliputi ruang yang maha luas sehinggalah kepada unsur-unsur terperinci dalam alam semesta. Allah mencipta alam semesta ini dengan berjuta bintang dan lengkap dengan segala sistem cakerawala, planet-planet, matahari dan bulan dalam galaksi yang begitu luas. Kesemuanya adalah mengikut perintah Allah pada susunan dan aturan yang ditetapkan untuk mereka dengan sempurna.
Al-Quran membentangkan beberapa fakta terhadap ciptaan alam semesta dalam tiga golongan ciptaan segala kandungan di langit, segala kandungan di bumi dan segala kandungan diantara keduanya, yang merupakan satu organisasi Tuhan yang begitu tersusun dan bersistematik dalam beberapa ayat:
i. Surah Taha ; ayat ke 6:
“Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada diantara keduanya, dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi”.
ii. Surah al-Furqaan ; ayat ke 59:
“Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, ialah Ar-Rahman...”.
iii. Surah As-Sajdah ; ayat ke 4:
“Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya di dalam enam masa...”.
iv. Surah Qaaf ; ayat ke 38:
“Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta yang ada di antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah”.
Rujukan dalam al-Quran mengenai “serta segala yang ada di antara langit dan bumi” terdapat dalam beberapa ayat lagi. Ciptaan Allah s.w.t. yang berada di luar langit dan bumi disebut dalam al-Quran beberapa kali yang bermaksudkan perwujudan benda-benda kosmos di luar galaksi.
2.1.7 Penciptaan Langit Sebagai Satu Entiti :
Keserasian dan kesempurnaan ciptaan Allah menurut al-Quran adalah sebagai lambang bagi tanda-tanda kekuasaan Allah, sesuai dengan firmannya dalam beberapa surah mengenai ciptaan 7 lapisan langit. Angka 7 tersebut merupakan suatu angka yang simbolik.
Maksud firman berikut menerangkan parihal penciptaan langit:
(i) Surah al-Mulk ; ayat 3-4:
“Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis, engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah yang maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah: (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu) ..dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?”
(ii) Surah al-Baqarah ; ayat ke 29:
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna, dan Ia maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(iii) Surah al-Mu’minin ; ayat ke 17:
“Dan demi sesungguhnya kami telah mencipta tujuh jalan di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan keperluan) makhluk-makhluk Kami”.
(iv) Surah Nuh ; ayat ke 16-17:
“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat”“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang benderang) ”.
2.1.8 Kepentingan Ilmu Astronomi :
Seperti sedia difahami, bahawa agama Islam itu terbina oleh lima tiang utama yang kita kenali sebagai Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa sebulan bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengerjakan haji.
Kalau diteliti secara halusi, boleh dilihat bahawa kesemua perkara dalam Rukun Islam ada peranan yang boleh dimainkan oleh ilmu falak/astronomi.
Astronomi memberi ruang kepada para penyelidik dan ilmuan yang mendalaminya bagi meningkatkan darjah keimanan. Ia membolehkan umat Islam menentukan waktu solat dan arah qiblat dan penyediaan takwim serta penentuan awal bulan Hijriah bagi menentukan tarikh-tarikh penting dalam diari umat Islam.
Kesyumulan yang ada pada Islam sememangnya tiada keraguan lagi. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Atas sebab kesyumulan inilah maka Islam mampu untuk berdepan dan menyelesaikan sebarang masalah. Kemampuan Islam bukan terhenti setakat itu sahaja, tetapi mampu pula membawa taraf hidup manusia itu jauh lebih baik daripada apa yang dinikmatinya sekarang, asalkan dengan syarat kesyumulan itu dihayati. Sains dan teknologi yang dipelajari, digunakan dan dikuasai oleh manusia pada zaman serba canggih ini juga tidak terlepas daripada jangkauan kesyumulan yang dibawa oleh Islam itu.
Sayangnya, kemampuan yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk menguasai sains dan teknologi ini telah membuatkan manusia lupa daratan. Ada golongan manusia yang bertuhankan sains dengan mengenepikan langsung aspek agama. Tidak kurang pula yang mengambil Islam apabila dirasakan perlu kerana dapat menjaga kepentingan tertentu.
Ketidakseimbangan yang wujud hasil daripada pemikiran dan tangan manusia inilah yang menjadi faktor utama kacau-bilau yang ada di dunia sekarang ini. Kumpulan yang menguasai teknologi telah menjadikannya sebagai senjata untuk menindas kumpulan atau negara yang lemah. Sementara bagi mereka yang lemah pula tidak segan-silu untuk terus menadah tangan meminta bantuan, seolah-olah tanpa bantuan dari mereka yang berteknologi ini maka akan binasalah mereka.
Sesungguhnya ajaran Islam yang suci ini, sudah lama mengajak dan mengajar manusia untuk memerangi ketidakadilan seperti ini. Cuma yang malangnya, orang-orang Islam sekarang tidak mengindahkan seruan yang besar ini, sehinggakan sumber kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada hampir setiap negara orang-orang Islam tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Orang Islam bukannya tidak faham bahawa Islam itu mampu untuk memulihkan imej mereka di mata dunia dan mampu pula menjadikan mereka umat yang terbaik. Dengan segala kekayaan yang ada pada bumi Islam, orang Islam mampu untuk berusaha dan bekerjasama untuk menghasilkan teknologi yang diperlukan. Pun begitu ini semua didahulukan dengan syarat. Iaitu orang Islam perlu kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam yang murni tersebut. Islam sangat menekankan supaya Kebesaran Allah itu dapat dihayati dengan memerhati dan mengkaji alam ini. Contohnya, dalam surah Al Fatihah yang dibacakan pada setiap kali sembahyang itu dimulakan dengan bacaan:
"SEGALA PUJI BAGI ALLAH, TUHAN SEKELIAN ALAM."
Dalam ayat pertama surah yang penting ini, telah menarik perhatian orang Islam kepada Allah dan penciptaanNya. Sebagai orang Islam kita perlu melihat kepada ciptaan Allah yang dijadikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan seterusnya menerokai alam ini sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Rasa tanggungjawab itu hendaklah lahir dari kefahaman Islam yang jelas dan betul supaya penerokaan ilmu pengetahuan yang bakal dilakukan tidak terpesong daripada kehendak Islam yang sebenar. Kita bimbang sekiranya mereka yang terlibat dengan usaha penerokaan ini adalah terdiri daripada mereka yang jahil terhadap Keesaan Allah, maka lahirlah golongan-golongan yang menyembah ilmu semata-mata dengan tidak mengambil kira Zat yang mencipta ilmu tersebut.
Sekiranya ini berlaku, maka usaha untuk memperbaiki keadaan yang sudah sedia ada akan menjadi lebih buruk lagi. Maka sebab itulah para ilmuan dan cendikiawan Islam yang mempunyai kesedaran hendaklah melengkapi diri masing-masing dengan pengetahuan Islam yang secukupnya, agar ilmu yang akan disebarkan nanti adalah ilmu pengetahuan yang sudah dibentuk dengan acuan Islam.
Sejarah keagungan Islam yang gilang gemilang yang tercatit dalam banyak buku sejarah telah membuktikan Islam dan penganutnya mampu menjadi model yang terbaik. Pada waktu itu, orang-orang Islam bukan sahaja dianggap sebagai umat yang kuat berpegang pada agama tetapi juga yang membawa bersama mereka tamadun budaya yang tinggi seperti akhlak, pemerintahan, senibina, sastera, sains dan sebagainya. Bahkan kota-kota besar seperti Baghdad adalah dianggap sebagai kota ilmu oleh dunia pada waktu itu. Kemasyhuran umat Islam sebagai pelopor di bidang ilmu melangkaui batas sempadan sehingga para pelajar hampir dari seluruh dunia datang untuk mempelajari dan mengambil ilmu dari orang Islam.
Ilmu yang dimiliki oleh orang Islam pada waktu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada orang Islam semata-mata tetapi juga kepada dunia. Sumbangan Islam kepada dunia ilmu adalah suatu yang amat besar nilainya. Di zaman keemasan Islam inilah lahirnya tokoh-tokoh besar seperti Al Biruni dan Al Kindi yang memberi sumbangan kepada ilmu fizik. Al Khawarizmi, Umar Khayyam, Al Battani dan Altusi di bidang ilmu matematik. Al Fazari dan Al Nayrizi memberi sumbangan di bidang astronomi. Ibnu Sina, Al Razi dan Al Zahrawi di bidang perubatan dan bermacam-macam lagi sumbangan yang telah diberikan oleh ilmuan-ilmuan Islam ini kepada dunia. Inilah istimewanya apabila ilmu pengetahuan itu berada di tangan orang Islam yang benar-benar beriman dan beramal dengan ilmunya, maka seluruh dunia akan mendapat manfaat darinya. Sebaliknya jika ilmu itu berada di tangan mereka yang tidak bertanggungjawab maka berlakulah apa yang dapat kita lihat pada hari ini, penindasan, penipuan, penyelewengan dan bermacam-macam kerosakan lagi yang semuanya menjuruskan masyarakat ke arah kemusnahan.
Oleh itu adalah satu yang amat malang bagi umat Islam sekarang yang tidak mahu mengambil contoh dan pengajaran daripada sejarah Islam untuk dijadikan modal penggerak umat yang layu dan kaku masakini. Umat Islam kini lebih mudah dijajah fikirannya, mudah ditipu dan terlalu lemah untuk bangun menyatakan haknya. Umat Islam kini diletakan di satu sudut dan dilihat sebagai umat yang mundur dari segenap segi dan perlu diberi bantuan setiap kali bila ingin melangkah untuk berdikari.
Kenapakah ini berlaku kepada umat yang telah dijanjikan kemuliaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Kenapakah imej umat Islam menjadi sebegini buruk? Jawapannya ialah umat Islam itu sendiri yang menjadikan dirinya sedemikian. Jangan semata-mata menyalahkan orang lain. Allah telah memberikan segala bentuk panduan di dalam kitab suci Al Quran untuk dilaksanakan dan telah menurunkan rasulNya sebagai petunjuk. Kedua-duanya menjadi dasar utama kepada umat Islam untuk dijadikan panduan hidup dan juga menjadi syarat utama untuk umat Islam kembali kepada kemuncak kegemilangannya.
Di samping itu, umat Islam haruslah melengkapkan diri dengan segala keperluan masakini supaya mampu berdikari dengan tidak mengharapkan atau bergantung kepada orang luar. Kepentingan ilmu sains dan teknologi adalah satu keperluan yang perlu diberi perhatian. Ini adalah kerana penguasaan umat Islam di bidang ini akan memudahkan lagi Islam maju ke hadapan dengan lebih berkesan dan mudah diterima masyarakat. Dari sinilah Islam dapat membina semula kekuatan dan kembali menguasai dunia sebagaimana yang telah pernah dibuktikan oleh sejarah. Barangkali inilah persoalan yang perlu difikirkan dan dijawab oleh setiap individu muslim.
Dalam bidang astronomi terdapat beberapa karya karangan Abu Ma’syar dan al-Khawarizmi. Karya mereka telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Adelard of Bath dan John of Siville. Karya al-Battani juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Alfonso X. Ahli astronomi Eropah bernama Romond telah menulis karya astronominya berdasarkan karya Ibn al-Zarqiyali (Azarchel) . Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari. Dalam bahasa Eropah ter­dapat beberapa istilah astronomi yang dipinjam daripada bahasa Arab. Antaranya ialah alsumut dan nadir (nazir) . Umat Islam juga telah berjaya mencipta kompas yang digunakan dalam pelayaran di laut. Dengan itu pelayaran di laut dan kegiatan perdagangan telah berkembang dengan lebih pesat. Muhammad bin Musa telah mencipta astrolab (jam matahari) . Beliau juga mencipta sebuah alat yang dapat mengukur bulatan dunia. Pada abad ke-12M, Abu Solet telah mencipta sebuah alat yang dapat menimbulkan semula kapal yang sudah tenggelam.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com