Tuesday, April 15, 2008

Akhlak sebagai asas pembinaan tamadun Islam

AKHLAQ SEBAGAI ASAS PEMBINAAN TAMADUN ISLAM

SEJARAH TAMADUN ISLAM

Sebelum Islam
Masyarakat jahiliyah dianggap sebagai sebuah masyarakat yang tidak mempunyai pengetauhuan,kepandaian kecergasan berfikir dan kecepatan bekerja. Tetapi tanggapan itu adalah salah kerana mereka tidak bodoh tetapi mereka menyembah selain daripada allah s.w.t. , tidak mempunyai pegangan agama yang betul,serta mengkhayalkan tuhan pada perkara yang bukan-bukan sehingga menyebabkan ada diantara mereka yang selalu menukarkan dari satu benda kepada benda yang lain,kerana sifat inilah maka tuhan mengutuskan Rasulnya dari kalangan orang arab itu sendiri bertujuan membetulkan akhlak,akidah dan menyebarkan ajaran islam seterusnya membentuk sebuah negara islam yang bertamadun tinggi.

KOTA MADINAH
Madinah merupakan tempat yang startegik untuk penyebaran agama islam kerana kedudukannya di persimpangan jalan bagi saudagar-saudagar dan kafilah dagangan yang berulang-alik dari negeri Syam ke Mekah dan ke bandar-bandar yang ada di selatan semenanjung tanah arab. Terdapat dua golongan penduduk pada ketika itu, iaitu kaum yahudi yang dikenali dengan kemewahannya serta mengamalkan riba dan kaum yang kedua iaitu orang arab yang bekerja dibawah ladang-ladang orang yahudi

Membentuk sebuah negara bukanlah semudah yang disangkakan dan ia memerlukan pengorbanan untuk mendapat hasil yang memuaskan. Diantara pendekatan yang diambil rasullulah ialah:-
1. Penyatuan orang arab dibawah satu akidah
Baginda menyeru manusia supaya mempercayai bahawa tidak ada tuhan yang lain melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruhnya. Baginda menanamkan ke dalam setiap jiwa pengikutnya kepercayaan kepada allah dengan sepenuh hati. Akidah tauhid merupakan tali penghubung antara seorang dengan seorang yang lain dan antara seorang dengan Allah.

2. Pembentukan negara islam yang berdisplin

Baginda membentuk negara islam yang penuh berdisplin dan sempurna dari semua aspek. Pada mulanya tugas-tugas rasullalah hanya khusus kepada soal akidah dan ibadat kepada yang maha esa sahaja tetapi selepas berhijrah baginda banyak menumpukan kepada aspek kehidupan seperti syariat dan akhlak yang elok.

3. Perlaksanaan undang-undang syariat yang sempurna

Rasullallah mencipta satu peraturan undang-undang yang teguh dan dilaksanakan berdasarkan kepada kebenaran dalam ertikata yang luas berpandukan kepada wahyu Allah s.w.t. Ini meliputi peraturan-peraturan peribadatan,jual-beli, tatanegara dan lain-lain lagi. Perlaksanaan peraturan yang dibawa oleh islam inibukan sahaja khusus untuk orang islam sahaja, tetapi meliputi orang bukan islam yang terdapat begitu ramai bernaung di bawah negara islam.
4. Pembelaan kaum wanita

Dalam masyarakat jahiliyah wanita boleh dijual-beli atau disewakan atau diperlakukan sesuka hati mengikut kehendak tuan mereka. Kedatangan islam telah merubah kedudukan kaum wanita dan mempertinggikan kedudukan kaum wanita. Sejak dari itu setiap wanita islam telah mempunyai kehormatan diri dan tanggungjawab yang tertentu terhadap rumahtangga,masyarakat,negara dan agama sebagaimana lelaki juga.

5. Persaudaraan dan persamaan hak-hak dalam masyarakat islam

Sebelum kedatangan islam kehidupan bangsa jahiliyah adalah secara kasta. Antara seorang dengan yang lain ada yang tinggi dan ada yang rendah mengikut darah keturunan kabilah atau kaum tertentu. Kedatangan islam adalah untuk menentukan persamaan hak dan darjat dalam masyarakat. Antara satu dengan yang lain semuanya bersaudara,tidak ada yang tinggi dan yang rendah. Nilaian tinggi rendah seseorang itu terletak pada keimanan dan taqwa seseorang terhadap Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman :
“hai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan,sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang bertakwa “
(Al-Hujurat ; 13)[1]

Rukun islam dalam pembinaan akhlaq

Akhlaq adalah merupakan sesuatu perkara yang susah untuk diserap kerana ia memerlukan bimbimngan seseorang yang berpengetauhuan dan perlu dididik sejak dari kecil seperti kata pepatah lama “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Asuhan dan didikan yang sempurna merupakan faktor utama pembentukan akhlaq yang baik. Oleh sebab itu dari mula lagi baginda cuba untuk membentuk dan menunjukkan akhlaq yang baik seperti memberi salam ketika bertemu,berlaku benar, beradap sempurna,memelihara lidah,tiada berdusta,tiada melihat barang haram,bermurah tangan,memberi pertolongan kepada fakir miskin dan sebagainya. Nabi Muhammad s.a.w. diutus menjadi rasul dengan maksuk utamanya membina dan menyempurnakan akhlaq,sebagaimana dinyatakan dalam hadis:-

“bahawasanya aku diutus Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlaq(budi pekerti).

Terbuktilah bahawa pembentukan akhlaq yang mulia dapat membentuk negara islam yang sempurna. Islam telah membina dan menunutun bangsa arab pada zaman jahiliyah dengan ajaran akhlaq yang mulia,hingga mereka akhirnya keluar dari kegelapan. [2]
Pembentukan Akhlak yang mulia.
Apabila disebut perkataan akhlak dan dikaitkan dengan Islam, maka sudah tentu panduannya bersumber Al Qur'an dan Al Hadis. Pengamal yang pertama dan utama ialah Rasululah s.a.w dan diikuti oleh generasi Al Qur'an iaitu para sahabat, alim ulamak dan mereka yang mengikut jejak langkahnya dari peringkat awal sehingga akhir zaman. Manusia adalah hamba Allah yag diciptakan dengan sebaik-baik bentuk. Ia juga merupakan makhluk sosial, yang tidak dapat melepaskan diri daripada berinteraksi di antara satu sama lain dalam kehidupan mereka, di mana akhlak merupakan salah satu alat/ cara untuk mengatur hubungan di antara mereka. Oleh kerana akhlak mempunyai sifat yang syamil dan skopnya sangat luas, bukan hanya untuk berinteraksi dengan Allah SWT dan RasulNya semata-mata, tetapi makhluk-makhluk Allah, dan alam sekeliling.

Dalam konteks pembinaan tamadun Islam, setiap individu sangat diutamakan mengiltizamkan diri terlebih dahulu dengan budi pekerti yang luhur, kemudian merealisasikan pula kepada orang lain supaya mampun membentuk generasi akan datang sebagai asas kekuatan ummah sejagat. Budi pekerti yang luhur adalah salah satu sifat yang dimiliki Rasullulah s.a.w dan eratlah menjadi amalan harian baginya kerana akhlak itu termasuk setengah dari iman, sebagaimana Rasullulah s.a.w bersabda sebagai berikut:
Pengertiannya:"Sesungguhnya Allah menghiasi Islam dengan budi pekerti yang mulia dan perbuatan yang terpuji. "

Akhlak mulia merupakan tunggak kekuatan masyarakat dan negara. Oleh itu setiap individu wajib berjuang menegakkan akhlak mulia dan berusaha mencegah dan memerangi apa sahaja gejala kerusakan akhlak dalam masyarakat. Jika perkara ini di abaikan tentu seseorang itu akan rugi dan mendapat kehinaan, baik dalam masyarakat, mahu pun negara, di dunia dan akhirat. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Asy Syams, ayat 8-10 sebagai berikut:

Pengertiannya:". . maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu(jalan) kefasikan dan ketakwaan-sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu-dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. "

Untuk melengkapkan perjuangan seseorang individu dalam membentuk akhlak yang mulia demi keutuhan ketamadunan masyarakat sejagat, maka memerlukan beberapa pedoman, contoh teladan dan kriteria tertentu, antara lain:
1. Teladan Adab Dan Akhlak Rasullulah s.a.w.
Sejarah telah membuktikan bahawa pandangan Rasullulah s.a.w kepada semua manusia adalah sama, tidak ada perbezaan di antara satu sama lain bersesuaian dengan sifat kejadiannya. Oleh itu baginda sentiasa memulakan memberi salam dan menghulur tangan untuk berjabat tangan dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya, Rasulullah s.a.w juga sentiasa menghormati pendapat orang lain, malah sering kali meminta pendapat para sahabat tentang sesuatu masalah yang timbul. Apabila menghadiri sesuatu majlis, Baginda s.a.w sentiasa menatap wajah hadirin dengan mesra untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka. Dengan demikian, majlis
tersebut dapat berlangsung dengan penuh keharmonian, kesopanan dan amanah, sebagaimana Allah SWT pernah berpesan pada wahyuNya dalam surah Al Imran, ayat 159 sebagai berikut:
Pengertian:"Maka di sebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. "

Keteladanan Rasulullah s.a.w adalah amat sesuai dengan sabdanya sendiri sebagai berikut:Pengertiannya:"Sesungguhnya aku(Rasulullah) diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. "
2. Hakikat Akhlak Yang Sebenar.

Kita sudah sama-sama maklum bahawa akhlak itu adalah jiwa pendidikan Islam. Mencapai ke tahap akhlak yang sempurna adalah tujuan sebenar dari pendidikan Islam. Oleh itu maksud akhlak menurut perspektif Islam ialah satu sikap Jiwa dalam diri seseorang yang boleh melahirkan sesuatu perkara dengan mudah atau secara motoris, sama ada perkara baik atau buruk, Misalnya: melakukan sesuatu kebaikan tanpa mengingat atau menyebut ganjaran yang akan diteri daripada manusia lain kecuali hanya mengharapkan balasan Allah SWT semata-mata. Segala tindak tanduknya, menggambarkan kerelaan terhadap ketentuan dan ketetapanNya belaka. Itulah sebenarnya membuahkan jiwa yang tenteram dan penuh ketaatan seorang hamba terhadap pencipta dan hubungan yang harmonis dengan sesama manusia lain dan alam sejagat. Sehubungan dengan itu, Allah SWT lebih memuliakan tingkatan jiwa kerana hubungannya lebih akrab dengan zatNya, sebagaimana firmanNya dalam surah Shaad, ayat 71-72 sebagai berikut:Pengertiannya:"(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. -Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan kepadanya roh(ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya. "

Berdasarkan kepada firman Allah SWT tersebut, maka jelaslah bahawa tubuh badan dihubung kaitkan dengan tanah, sedangkan jiwa/ roh dihubungkaitkan pula dengan Allah Rabbal'alamin. Berdasarkan kepada keterangan di atas, maka dapatlah diambil kesimpulan bahawa jiwa/roh itu sama dengan akhlak/ budi pekerti.
3. Akhlak Mengalami Perubahan.

Sebagaimana telah diterangkan di atas bahawa manusia diciptakan Allah SWT terdiri dalam dua bentuk iaitu, bentuk jasmaniah dan bentuk rohaniah.

Jasmaniah memang tidak boleh berubah bentuknya sehingga sampai seratus peratus, misalnya: orang yang panjang berukuran dua meter, tidak mungkin menurut akal fikiran boleh berubah kepada berukuran satu meter. Begitu juga orang yang berkulit hitam legam, boleh berubah menjadi putih melepak, dan begitulah seumpamanya. Selain dari itu, bentuk jasmani manusia mempunyai ciri-ciri tertentu sebagai manusia dan tidak akan mengalami perubahan kepada bentuk makhluk lain, seperti: berubah kepada bentuk haiwan. Tetapi sebaliknya, akhlak yang termasuk dalam kategori rohaniah, boleh berubah atau dibentuk melalui didikan dan bimbingan yang betul daripada ibu bapa, mursyid dan syiqah, latihan yang berterusan serta melalui petunjuk yang benar, ikhlas, dan berdoa kerana Allah SWT.

Perubahan akhlak seseorang, sama ada ke arah akhlak terpuji atau sebaliknya menjadi akhlak tercela adalah berkait rapat dengan aspek didikan, pergaulan dan latihan, sebagaimana sabda Rasullah s.a.w sebagai berikut:Pengertiannya:
Dari Ali k. w berkata: "Rasulullah s.a.w bersabda, berilah pendidikan anak-anakmu ke atas tiga macam, mengasihi Nabi, mengasihi ahli rumahnya, dan membaca Al Qur'an. Maka sesungguhnya orang-orang hafal Al Qur'an pada naungan Allah, pada hari yang tidak ada naungan, kecuali naungan Allah beserta NabiNya dan sahabat-sahabat Nabi. "Dalam Hadis di atas, Rasulullah s.a.w telah memberi panduan kepada ibubapa cara-cara pendidikan akhlak terhadap anak-anak melalui kaedah pengajaran, didikan dan latihan untuk membentuk mereka berakhlak mulia. Sebaliknya Baginda Rasulullah s.a.w juga memberi amaran tentang bahaya pergaulan yang boleh merosakkan akhlak seseorang, Sebagaimana sabdanya seperti berikut:
Pengertiannya:"Awas! kamu berkawan dengan kawan yang jahat, nanti anda jadi sama seperti dia. "
(dlm. Tarbiyatul Aulad).

Selain daripada itu, doa yang dipohonkan dengan bersungguh-sungguh juga berperanan merubah sikap seseorang daripada berakhlak tercela kepada berakhlak mulia. Sejarah telah membuktikan bahawa berkat doa Rasulullah s.a.w, maka perwatakan Omar Al Khaththab telah berubah daripada seorang yang bengis, zalim dan menentang Allah serta RasulNya menjadi seorang yang berakhlak mulia, mentaati dan sangat mengasihi Allah dan Rasulullah s.a.w. [3]

AKHLAQ YANG BAIK

Rasulullah mempunyai berjuat teladan yang dapat kita ambil atau kita jadikan sebagai landasan hidup kita. Antara teladan akhlak yang baik yang dapat kita ambil iktibar ialah:-

Ø Memberi salam

Dalam masyarakat islam, memberi dan menjawab salam adalah doa dan harapan bagi keselamatan dan kesejahteraan antara satu sama lain. Konsep memberi dan menjawab salam ini adalah berdasarkan peritah Allah s.w.t. yang disebut dalam al-quran surah al-hujarat ayat 10 yang bermaksud:
“ Sebenarnya orang-orang yang beriman(islam) itu bersaudara. Maka damaikanlah diantara dua saudara kamu(yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. “

Anas pula menceritakan:
“Saya telah berkhidmat(menjadi pelayan) selama 8 tahun kepada Nabi Muhammad s.a.w. baginda telah bersabda kepadaku:
“hai Anas ! ratakanlah wudukmu nescaya bertambahlah kebajikanmu! Dan apabila engkau masuk ke tempatmu maka berilah salam kepada keluargamu nescaya banyaklah kebajikan rumahtanggamu.
(Hadis Riwayat alKhairaithi dan al-Baihaqi)


Doa dan mendoakan selamat sejahtera, diantara yang memberi dan menjawab salam. Daripada doa dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan, maka lahirlah perasaan sillaturrahim,persaudaraan islam yang penuh mesra dan bermakna.

Ø SALAM

Sabar itu ertinya menahan diri dari mengikutkan kehendak hati atau perasaan yang panas atau marah,menahan diri ketika mengalami penderitaan,kesusahan atau bencana alam,sanggup bersusah payah dan berusaha untuk mendapatkan kebaikan dan sebagainya.
Faedah sabar, firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 96:-
“dan sesungguhnya kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberi pahala yang lebih baik daripada apa yang telah dikerjakan oleh mereka”
Masyarakat islam pada umumnya telah mengrtauhi bahawa sabar itu adalah separuh dari iman. [4]

PENUTUP

Sebagai penutup saya ingatkan kembali kepada semua pembaca akhlak yang terpuji akan melahirkan tamadun islam yang berwibawa. Sebagai ringkasan saya tuliskan kembali akhlak-akhlak yang diamalkan rasulullah hingga menjadi pedoman atau pr\etunjuk kepada kita hari ini:-
1) Memberi salam ketika bertemu
2) Tolong menolong antara satu sama lain
3) Sabar dalam menghadapi dugaan
4) Berjimat cermat dalam berbelanja
5) Dan banyak lagi yang boleh kita perolehi dari al-quran mahupun hadis rasulullah.

Selagi kita berpegang kepada akidah yang tetap dan akhlak yang terpuji insyallah kita tidak akan terpesong dari islam. Dunia sekarang amat membenci umat islam tambahan lagi kaum yahudi yang menjadi musuh utama umat islam maka wajarlah kita memperkuatkan ciri-ciri tamadun islam yang semakin lupus di dunia ini. Janganlah kita hanya mengaku kita adalah negara Islam tetapi kita masih menggunakan sekularisme dalam negara kita oleh itu semua pemimpin tertinggi negara islam perlu duduk berbincang bagi mengatasi masalah ini. Diharap umat islam akan mewujudkan semula Tamadun Islam seperti pada zaman rasulullah agar kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara bukan islam atau kita lebih tinggi dari mereka. Islam adalah satu agama yang unggul, takbirkan Allahuakbar di seluruh pelosok dunia agar Islam kembali seperti pada zaman kegemilangan tamadun Islam
[1] Buku Bertajuk “Akhlaq seorang muslim karya Muhammad al-Ghazali mukasurat 10-15 terbitan Thinkers Library sdn. bhd. pada tahun 1987.

[2] Buku Bertajuk “Akhlaq seorang muslim karya Muhammad al-Ghazali mukasurat 10-15 terbitan Thinkers Library sdn. bhd. pada tahun1987.

[3] www.masjid.net
[4] Buku Bertajuk “Akhlaq seorang muslim karya Muhammad al-Ghazali mukasurat 10-15 terbitan Thinkers Library sdn. bhd. pada tahun 1987.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com


No comments: